12 June, 2013

Bersama Ustaz MB ziarah keluarga YB Kepong [kematian ayahnya]

KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menziarahi mendiang ayah anggota parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang meninggal dunia akibat sakit tua.

Tan Seng Ren, 95 yang juga menghidap penyakit barah meninggal dunia pada 6 Jun lalu di rumahnya di Kampung Cina, Jalan PCB.

Pagi tadi mayat mendiang dibakar di Temple Jalan Mustafa, Kampung Sungai Keladi. Hadir sama menyaksikan acara itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anggota keluarga dan rakan-rakan mendiang.

Mendiang bekas usahawan yang berjaya merupakan pengasas Kampung Cina. Beliau mempunyai 11 anak termasuk Seng Giaw.

Beliau juga merupakan pengasas sekolah Chong Hwa. Sekolah tersebut berjaya melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Pegawai Perhubungan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Chai Chuan Lay berkata, pada kunjungan tersebut Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada Dr Tan.

“Mendiang merupakan seorang pemimpin masyarakat yang terkenal di Kota Bharu, turut mempunyai pertalian keluarga dengan Kapitan Cina yang datang ke Kelantan beratus tahun lampau,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Politiknya, Wan Nik Wan Yusoff.

- Harakahdaily.net [berlaku pada 1 Syaban 1434/10 Jun 2013]