27 March, 2010

Jom Heboh Kelantan santuni misi ekonomi-dakwah

Penghujung tahun lalu, Karnival Jom Heboh TV3 telah diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 4,5 dan 6 Disember 2009. Seperti biasa Jom Heboh yang dimuatkan dengan acara hiburan, promosi perniagaan dan beli belah. Pun begitu, acara yang sentiasa mendapat sambutan hangat adalah biasa dikenali sebagai rancangan hiburan melibatkan pelbagai lapisan artis. Namun, tidak kurang juga sambutan ribuan orang ramai kepada konvensyen jutawan, gerai promosi Malaysian Biotechnology serta jualan pelbagai jenama perkhidmatan telefon selular.

Sehubungan itu, Jom Heboh lebih popular sebagai karnival hiburan, walaupun kandungannya bersifat berimbang antara matlamat hiburan dengan perniagaan. Dalam menangani soal ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pernah menegur penganjuran Sure Heboh (lihat Malaysiakini.com, 30 Julai 2004) sebagai program hiburan yang melampau mengundang pelbagai kesan maksiat.

Dari Sure Heboh ke Jom Heboh

Mungkin atas teguran Mufti Perak, pihak TV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur budaya barat dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.

Sensitiviti itu dijadikan sebab bagi TV3 selaku penganjur menukar nama dan konsep Sure Heboh kepada Jom Heboh. Ia boleh berlaku atas sifat TV3 sebagai saluran televisyen swasta yang dipacu oleh orientasi untung perniagaan. Maka, tidaklah pelik bagi TV3 mengambilnya sebagai pencetus bagi mendapat sambutan lebih hangat pelbagai golongan masyarakat dan tidak sahaja golongan muda yang berwatak “happy go lucky.”

Ketika Jom Heboh dikenali dengan Sure Heboh dulu, boleh dikatakan hampir semua bandar besar telah menerima penganjuran karnival TV3 itu yang dimulakan sejak tahun 2003. Sambutan di Johor Baru melebihi 200,000 orang, Melaka melebihi 300,000, di Kuantan 400,000 dan Pulau Pinang melebihi 450,000 dan paling ramai di Ipoh mencecah 500,000 orang.

Dengan persembahan baru pihak penganjur dijangka lebih berjaya menarik lebih ramai pengunjung kalangan ibu-bapa dan para pelajar, di samping golongan peniaga, usahawan dan peminat hiburan. Oleh itu, Karnival Jom Heboh Kelantan dijangka mendapat sambutan hebat seperti mana sambutan kepada beberapa konsert hiburan alternatif seperti Konsert Tautan Kasih melibat penyanyi popular Mawi satu ketika dulu.

Jom Heboh Kelantan

Kini sudah heboh pula, Jom Heboh memasuki Negeri Kelantan, bumi Serambi Mekah yang dipimpin oleh menteri besar, seorang ulamak. Apa jampi yang TV3 tiupkan kepada kerajaan Negeri Kelantan tidaklah dipastikan. Apa yang pasti, pada 26-27 Mac nanti Kelantan sebuah negeri yang meletakkan panduan syariat sebagai asas pentadbiran menjadi tuan rumah. Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat komited di dalam merealisasikan dasar hiburan berkonsepkan dakwah dan terkawal. Menerusi dasar hiburan itulah diterapkan penguatkuasaan halal dan haram, termasuklah untuk penganjuran Jom Heboh itu.

Kesemua aspek dasar hiburan itu terkandung di dalam enam prinsip dan garis panduan utama Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan 1998. Antaranya mestilah berlandaskan Islam bagi mencapai keredaan Allah, apa-apa unsur kebudayaan luar hendaklah selaras dengan prinsip Islam, boleh diamalkan kebudayaan setiap kaum tetapi hanya untuk kaum tersebut, mengutamakan pembangunan yang mengambil kira nilai budaya setempat dan selaras dengan Islam, berlaku pengasingan lelaki dan wanita, dan amalan kebudayaan yang bercanggah dengan hukum syarak hendaklah disesuaikan dengan syarak.

Menjelaskan perkara itu (TheMalaysiainsider.com, 6 Mac 2010), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri. Asas kawalan utama adalah tetap melarang penyanyi wanita membuat persembahan, di samping penonton hendaklah diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.
“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.”

“Pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini.”

“Turut diadakan sempena Jom Heboh itu ialah satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” jelas Takiyuddin.

Kandungan Jom Heboh itu dipastikan memenuhi kehendak Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan. Antaranya, pada malam 27 Mac program hiburan yang diadakan hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Difahamkan ketika Jom Heboh di Bukit Jalil tahun lalu, pihak Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) turut membuka khemah pameran dan penerangan mengenai kemajuan teknologi berasaskan bio itu.

Sebelum itu, pihak BiotechCorp turut menyertai Jom Heboh di Danga Bay Johor, Petrajaya Kuching dan Batu Kawan Pulau Pinang. Sambutannya amat baik dan hangat yang sekali gus telah mendedahkan kepada golongan muda dan generasi awal mengenai teknologi baru untuk kelestarian hidup ummah sejagat. Ini kerana BiotechCorp merupakan peneraju utama industri berasaskan biotechnology yang dikenal pasti sebagai peneraju penting ke arah pembangunan masa depan negara dalam bidang ekonomi yang berkaitan.

Dalam konteks ini, ia selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang telah menubuhkan Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Bagi Jom Heboh Kelantan kali ini, Kelantan Biotech difahamkan turut sama menyertai BiotechCorp bagi mempromosikan komitmen Negeri Kelantan di dalam perkembangan teknologi bio itu.

Sudah tentu, rakyat Kelantan akan dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Tuhan yang menjadi misi Kelantan Biotech di dalam mempromosikan kejadian-Nya melalui sifat semula jadi serta biologinya. Sehingga kini, Kelantan Biotech telah memproses pelbagai produk menggunakan bioteknologi untuk manfaat pembangunan usahawan, perniagaan dan pengenalan produk biobahan novel (penemuan baru).

Peluang memacu ekonomi

Bukan sekadar itu, difahamkan banyak lagi pameran perniagaan dan bidang keusahawanan akan turut serta di dalam Jom Heboh Kelantan kali ini. Ia adalah peluang bagi agensi negeri menjadikan Jom Heboh sebagai pemacu ekonomi negeri dan pelancongan, kerana bersesuaian dengan cuti Keputeraan Al-Sultan Kelantan. Ia juga merupakan peluang bagi pelbagai syarikat, termasuk produk batik, kraft tangan, kesihatan dan pemakanan asli keluaran usahawan Kelantan yang begitu banyak aktif di negeri ini.

Antara yang mengesahkan penyertaan adalah produk perubatan Islam dan ubat-ubatan tradisional daripada pelbagai jenama. Di samping agensi Kerajaan Negeri Kelantan seperti Urusetia Penerangan sedia mempamerkan kemajuan dasar dan program pembangunan Negeri selama 20 tahun di bawah kepemimpinan ulamak.

Begitu juga, difahamkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan menerusi pelbagai syarikat anak sedia mempromosi produk pembangunannya. Antaranya, menerusi Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad akan dipamerkan pelbagai produk Kelantan Best jenis makanan dan minuman; Binaraya mempromosikan produk perumahan, An-Nisa produk klinik bersalin dan Ar-Rahn dengan produk gadaian Islam.

Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) dimaklumkan turut memberi kerjasama bagi memastikan Jom Heboh berjalan dengan jayanya. Malah MPKBBRI turut terlibat dengan acara perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan VVIP Negeri Kelantan diketuai Pengerusi Kerajaan Tempatan, Datuk Takiyudin Hassan dengan Pasukan TV3 di sebelah malamnya.

Menyampai misi dakwah

Apa yang penting diambil perhatian, peluang Jom Heboh Kelantan kali ini adalah medan pelbagai kumpulan pengunjung sedia hadir. Paling utama harus dilihat kumpulan pengunjung remaja dan ibu-bapa. Masa itulah pelbagai pihak dari agensi dakwah, Pemuda, Pasukan Amal dan Pasukan Nisa’ serta Muslimat turut menyampaikan risalah penerangan dan seruan keagamaan serta pendekatan terbaik untuk ibu-bapa dan anak-anak mereka. Sewajarnya, pihak penganjur memberi laluan kepada usaha sisipan dakwah itu demi mendapat manfaat bersama bagi keharmonian rakyat Kelantan.

Semoga Tuhan Yang Esa mengawasi dan memberkati perjalanan hidup dan pentadbir Negeri Kelantan sepanjang masa.

24 March, 2010

Beramal untuk masyarakat dan kerajaan

MENGGABUNG TENAGA AMAL KE ARAH MEMPERKASA INSTITUSI UMMAT

Kesedaran melakukan kerja-kerja amal amat dialu-alukan. Lebih-lebih lagi di dalam melaksanakan tugas untuk kepentingan masyarakat dan negara. Ia dilihat dapat melengkapi tugas pentadbiran sosial, masyarakat dan agensi awam. Sekali gus mengkayakan sumbangan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat. Apa yang utama, setiap amal itu mendapat pahala dan akan memertabatkan maruah ummat.

Kepada generasi belia, hayatilah kerja-kerja amal ( dalam apa bidang) asalnya memenuhi tunutan iman dan takwa. sesuai dengan firman Allah SWT:

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّ‌ۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى (١٣) وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهً۬ا‌ۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذً۬ا شَطَطًا (١٤)

“Kami ceritakan kisah mereka kepada mu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda (belia-belia) yang beriman kepada Tuhan mereka; dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan Kami telah meneguhkan hati mereka pada waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata, Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami, kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.
(سُوۡرَةُ الکهف 18: 13-14 )

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ
“Bersegeralah kamu menuju pengampunan Rabb dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang telah dijanjikan bagi orang-orang yang bertakwa kepada Allah.”
(سُوۡرَةُ آل عِمرَان 3: 133)

Menurut Imam as-Sa`dy (halaman 115) “Kemudian Allah subhanahu wa taala memerintahkan agar bersegera menuju ampunan-Nya dan menuju syurga seluas langit dan bumi. Dijanjikan oleh Maha Pencipta itu kepada orang-orang yang bertakwa bahawa amalan ketakwaan itulah yang akan menyampaikan dirinya kepada syurga.”

وَلِكُلٍّ۬ وِجۡهَةٌ هُوَ مُوَلِّيہَا‌ۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebajikan.”
(سُوۡرَةُ البَقَرَة 2: 148)

Dalam hal ini, Imam as-Sa`dy (halaman 55) mengatakan, “Perintah berlumba-lumba dalam kebajikan merupakan perintah tambahan bagi melaksanakan kebajikan, kerana berlumba-lumba dalam mengerjakan perintah tersebut dengan sesempurna mungkin dan melaksanakannya dalam segala keadaan dan bersegera kepada-Nya. Barang siapa yang berlumba-lumba dalam kebaikan di dunia, maka dia akan menjadi orang pertama yang masuk ke dalam syurga kelak pada hari kiamat dan merekalah orang yang paling tinggi kedudukannya.”
Semuga Tuhan Yang Esa menguatkan komitmen generasi belia kita untuk terus berbakti kepada masyarakat, negeri dan negara demi kebaikan ummat sejagat.

22 March, 2010

Cubaan kucar-kacir sudut istana Kelantan

Perkembangan semasa yang menyentuh isu-isu dalaman Istana Kelantan nampaknya sudah diarusperdanakan oleh pihak tertentu. Ia mencetuskan persepsi tertentu sebahagian rakyat dan khalayak umum. Atas perkembangan itu, sebahagian rakyat menjunjung kebaktian yang tidak terhingga kepada institusi raja dan istana.

Berikut adalah sekadar catatatan dan ulasan yang dapat saya zahirkan untuk penelitian umum.

Cubaan kucar-kacir sudut istana Kelantan

Usaha ke arah mewujudkan keadaan kucar-kacir politik Kelantan nampaknya tidak pernah reda. Terbaru, muncul lagi mainan pihak tertentu disiarkan Utusan Malaysia (19 Mac 2010) atas tajuk “Sultan batal sambutan hari keputeraan,” kononnya pihak Sultan Kelantan membatalkan kesemua upacara sambutan ulang tahun ke-60 pada 30 Mac ini, termasuk majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri.

Berdasarkan kenyataan media beredar itu, ia telah dibacakan oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya telah selaku Setiausaha Sulit Sultan Kelantan. Namun, kenyataan tersebut telah disanggah pihak Pejabat Sultan (Utusan Malaysia, 20 Mac 2010) oleh Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim.

Jawatan SU Sulit tidak sah

Menurut Abdul Halim, “kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).”

Ekoran daripada itu (Utusan Malaysia 20 Mac 2010) pihak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Wan Hashim yang mendakwa dirinya Setiausaha Sulit Sultan, tidak perlu dipatuhi. Pihak kerajaan negeri ada caranya sendiri untuk mengadakan majlis tersebut.

Kenyataan Menteri Besar itu selari dengan pendirian Pengelola Diraja Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad. Sebagaimana kenyataan dikeluarkan Abdul Halim bahawa sambutan sempena hari keputeraan Sultan Kelantan akan diteruskan seperti yang dirancang. Ini bermakna, sambutan tetap diadakan secara sederhana dengan majlis berbentuk keagamaan termasuk solat hajat di beberapa buah masjid di seluruh negeri ini.

“Begitu juga dengan majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sehingga ke hari ini tidak ada maklumat acara tersebut dibatalkan,” katanya.

Abdul Halim turut dipetik kenyataannya bahawa kenyataan oleh Wan Hashim amat mengelirukan dan tidak benar disebabkan kuasa pentadbiran negeri ini adalah di bawah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Sepatutnya, beliau selaku Ketua Pejabat dan Pegawai Pengawal Istana menerima maklum terlebih dahulu.

Namun apa yang berlaku, “saya tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak bahawa Wan Hashim dilantik sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan Tengku Shah Buddin Tengku Mohd. Maasum sebagai Ketua Istiadat Diraja Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), Datuk Ismail Mat Noor turut mengesahkan kenyataan Abdul Halim (Utusan Malaysia, 20 Mac 2010) bahawa sehingga hari ini pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai Setiausaha Sulit kepada Sultan dan Ketua Istiadat.

Justeru itu, kemunculan Wan Hashim adalah watak yang diaktifkan semula. Mungkin ia boleh disabitkan sebagai suatu perancangan untuk kucar-kacir keadaan dan untuk mencabar institusi pentadbiran istana diketuai Abdul Halim. Maka, munasabahnya Abdul Halim mengambil suatu tindakan wajar, demi membuktikan tunggak kuasa Pemangku Raja tidak digugat.

Menurut rekod, Wan Hashim Wan Daud adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang pernah terpalit dengan krisis pentadbiran kerajaan negeri. Sementara Tengku Shah Buddin Tengku Mohd. Maasum juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang mempunyai rekod bersih dan selepas itu dilantik sebagai Ketua Istiadat Diraja Kelantan dan telah tamat perkhidmatannya pada 14 Ogos 2009.

Wajar dibuat laporan polis

Sehubungan itu, keputusan tepat pihak Pengelola Istana Kelantan, Abdul Halim membuat laporan polis pada 19 Mac mengenai peristiwa “kenyataan media yang diedarkan (18 Mac) oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan.

Bagi Abdul Halim, ia tidak boleh dibiarkan kerana kesahihan kenyataan Wan Hashim itu boleh dipertikaikan dan mengelirukan orang ramai, di samping rakyat Kelantan amnya telah mengetahui bahawa Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.

Sekadar mengingati khalayak, Mahkamah Tinggi melalui penghakiman Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof pada 29 Januari lalu dalam kes Tengku Muhammad Fakhry memohon perisytiharan mengenai perlucutan keanggotaannya dalam Majlis Perajaan, bahawa dalam Perkara 5, Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan telah menjelaskan peranan Pemangku Raja untuk menjalankan kuasa-kuasa yang perlu tanpa sebarang had. Mahkamah mendapati bahawa kes itu tidak boleh diadili, maka mahkamah telah mengesahkan keputusan Pemangku Raja adalah berasaskan kuasa yang sah.

Pemangku Raja penguasa sah


Berdasarkan rentetan peristiwa tersebut, jelas kini telah ada pihak tertentu di belakang watak Wan Hashim yang sedang menggunakan sudut istana untuk mengadu-domba kuasa yang kini terhimpun di bawah Pemangku Raja. Jika begitu dilihat, amat malang bagi pihak tertentu dan individu seperti Wan Hashim sedia menjadi ‘pelakon’ semata-mata untuk ditonton di pentas yang kelam dan berasap.

Hakikatnya, Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan sudah mengabsahkan tunggak kuasa itu sedang diurus di bawah Pemangku Raja. Apakah daya yang ada, pihak-pihak lain mengungkit dan meraih-raih tunggak itu. Melainkan, ia berlaku di dalam suasana sedar dan berniat tidak baik terhadap Pemangku Raja.

Harapnya, seluruh rakyat sedia akur dan memberi ketaatan yang tiada sedikit pun ugah kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Semoga Tuhan Yang Esa merahmati kebaktian rakyat untuk Tuanku Pemangku Raja.

Wassalam.

Wan Nik Wan Yussof.