10 October, 2009

Bagan Pinang: Mood rakyat menyebelahi PAS

Tinjauan rambang pelbagai pihak mendapati umumnya bersetuju bahawa mood rakyat semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah menyebelahi PAS. Faktor mood sudah cukup mengatakan PAS boleh bertarung dan boleh menang!

Semuga Tuhan Yang Esa menyuntik kesedaran kepada pengundi Bagan Pinang agar bersama-sama dengan mood rakyat di serata Semenanjung yang telah merasmikan pihak Pakatan Rakyat adalah pilihan rakyat di semua pilihan raya kecil.

Berikut adalah analisis daripada beberapa tinjauan atau undian yang mengutip mood rakyat tersebut.

Undian online

Beberapa kutipan pendapat yang dibuat melalui laman sesawang akhbar online tentang senario pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang, sebahagian besar memberi sokongan kepada isu-isu yang menyebelahi PAS/Pakatan Rakyat.

Berpandukan respon pembaca akhbar online yang sebahagian besar mereka adalah penjenguk laman sesawang (mungkin mereka sebahagian professional, blogger atau penggemar internet) dari pelbagai lapisan social pembaca, menyatakan mood mereka (tentang sesuatu isu pilihan raya kecil Bagan Pinang) adalah menyebelahi pihak Pakatan Rakyat.

Di antara isu itu adalah Bagan Pinang adalah DUN kuat pengaruh BN, penilaian terhadap popularity Tan Sri Isa Samad dan hubungan popularity calon BN dengan peluang kemenangan.

Oleh itu, undian para pembaca laman MyStar online dan the Malaysian Insider adalah antara sample yang boleh dibaca. Berikut adalah keputusan undian tersebut.

Undian MyStar online 20 September 2009, atas persoalan: Apakah peluang BN untuk menang di pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang lebih besar kerana ia adalah kubu kuat Umno? Jawapannya yang bersetuju (Ya) = 12.9% dan tidak bersetuju (Tidak) = 87.1%.

Undian MyStar online 1 Oktober 2009, atas persoalan: Adakah pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon beri peluang kemenangan BN di DUN Bagan Pinang? Jawapannya yang menyokong (Ya) = 9.7% dan tidak menyokong (Tidak) = 90.3%.

Kemudian undian MyStar online pada 9 Oktober 2009 atas persoalan yang sama: Adakah pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon beri peluang kemenangan BN di DUN Bagan Pinang? Jawapannya yang menyokong (Ya) = 3.8% dan tidak menyokong (Tidak) = 96.2%.

Melalui laman akhbar online The Malaysian Insider pula, atas isu popularity Tan Sri Isa Samad lagi: Do you think Tan Sri Isa Samad's popularity in Bagan Pinang makes the by-election result a foregone conclusion? Jawapan pembaca laman berkenaan pada 6 Oktober 2009 adalah 63.8% yang memandang popularity Isa tidak menjamin kemenangan BN. Undian pada 7 Oktober pula menunjukkan pandangan atas persoalan yang sama adalah meningkat kepada 64.0%.


Undian SmS

Namun, hasil kajian respon SmS pula mendapati agak berbeza bacaan pandangan individu respondan dibandingan dengan pembaca laman online di atas. Walaupun keputusannya penerimaan respondan SmS ke atas isu ‘memperkenal calon PAS: Zulkefly Mohamad Omar” kepada pengundi (melalui telefon bimbit) didapati agak rendah menyatakan sikap berpihak kepada mana-mana parti – setuju/tidak setuju dengan calon PAS – sebahagian mereka mengambil sikap tidak menyatakan sikap bersetuju dengan calon PAS. Kajian SmS oleh Unit IT pilihah raya kecil Bagan Pinang yang dilakukan antara 1-4 Oktober mendapati serami 223 orang respon SmS itu jelas menyembunyikan sikap mereka melalui jawapan yang bernada berkeciuali/tidak menjelaskan persetujuan sebenar kepada calon PAS yang dipilih bertanding.

Sehubungan dengan nilaian kajian tersebut, ternyata pada permualan tempoh kempen padangan pihak luar (mood pembaca laman online) adalah jelas menolak pencalonan tan Sri Isa sebagai calon yang patut dipilih. Sementara jawapan melalui SmS kalangan pengundi Bagan Pinang sendiri, apabila PAS menamakan Zulkefly dan BN pula Tan Sri Isa, ia telah membuka sikap tidak berpihak kepada 52 peratus respondan. Jika keputusan kajian SmS ini dijadikan bandingan atas sikap keseluruhan pengundi di Bagan Pinang, maka factor calon hanya menjadi nilaian penting kepada 48% pengundi sementara 52% lagi pengundi masih bergantung kepada isu-isu lain (ekonomi, pembangunan, kesejahteraan dan integriti parti) yang bertanding. Maka, atas keputusan itu, sesungguhnya Tuhan Yang Esa pasti memberi petunjuk kebenaran kepada para pengundi bagan Pinang di dalam memilih calon dan parti yang mengikut selera masing-masing. Tunggulah esok hari mengundi, keputusannya dijangka akan membuktikan segala analisis pra-pilihan raya kecil.


Bagan Pinang: Analisis BN Isa menang

Pada penghujung kempen pilihan raya kecil ini, banyak pihak mula mengira-gira pihak mana akan menang dan berapa majoriti bakal diperolehi oleh parti yang mungkin menang. Saya turut menerima sms yang kononnya dari maklumat 'sulit' BN, yang mencatatkan sehingga semalam BN mendahului PAS dengan persentij yang selesa - 56:44. Jika persentij itu mungkin tepat, maka analisis yang dapat dibuat berdasarkan jangkaan SPR jumlah keluar mengundi 80% (10,931) ialah BN memperolehi kira-kira 6,121 undi dan PAS 4,810. Oleh itu, majoriti BN ialah 1,312. Maka, PAS sekadar menanh moral kerana berjaya mengurangkan sebanyak 1,000 nilai majoriti BN (BN meraih majoriti 2,333 pada pilihan raya umum 2008).

Bagi saya, maklumat 'sulit' BN itu adalah kontradik dengan analisis awal seorang penganalisis tempatan dari salah sebuah universiti tempatan terkenal yang meletakkan angka kemenangan BN mencecah majoriti lebih daripada 3,000 undi. Sekiranya kita menggunakan anggaran 80% keluar mengundi, maka angka penganalisis politik itu dapat diunjurkan - BN akan mendapat 7,931 dan PAS 4,931 undi. Mungkin logik analisis itu berdasarkan kekuatan BN untuk melonjak undi atas dua faktor besar: faktor Isa yang popular dan dominasi pengundi tentera. Sedangkan PAS tidak ada faktor besar ini.

Jika dilihat kepada keputusan pilihan raya umum 2008 - BN mendapat 6,430 (3,080 disumbang oleh undi pos) dan PAS 4,097 (1,189 disumbangkan oleh undi pos, majoriti BN pula 2,333. Sementara ruang pilihan raya kecil ini, sudah pasti BN akan memberi tumpuan lebih kepada pengundi tentera, maka munasabahnya PAS bakal mencapai undi yang merosot. Mungkin PAS mampu mencapai sekitar 500 undi sahaja undi pos.

Begitu pula, dapat dianggarkan, kesan kempen PAS yang mengutarakan imej integriti yang tercalar kerana rasuah politik wang terhadap Mohd Isa, maka kempen PAS akan mendapat peningkatan sokongan pengundi atas pagar dan kumpulan yang menentang Mohd Isa sahaja. Anggaran kesan kempen imej integriti Mohd Isa itu akan menyumbang tambahan undi sekitar 1,500 undi, maka logiknya PAS akan mampu meraih sekitar 4,900 undi dan BN akan mendapat 7,900.

Secara mudah, simulasi penganalisis politik berkenaan adalah PAS akan merosot undi daripada pengundi tentera, tetapi berjaya meraih sokongan pengundi atas pagar dengan andaian semua pengundi bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong PAS ekoran isu perarakan kepala lembu dan isu kematian Kugan (menyentuh sentimen pengundi India) dan kematian T.B.Hock (Cina). Sementara BN, akan kekal menang dengan majoriti selesa 3,000 undi atas kekuatan faktor ketokohan (populariti Mohd Isa) dan keupayaan mendominasi pengundi tentera.

Namun, kedua-dua analisis dan simulasi tersebut (boleh berubah jika PAS berupaya menterjemahkan misi kempen imej integriti calon secara merosakkan populariti calon BN yang boleh mendapat menarik perhatian pengundi atas pagar, pengundi muda dan bukan Melayu mahupun pengundi wanita.

Senario tersebut boleh berubah apabila pengundi menetapkan pusat tumpuan (dorongan) mengundi ialah kepada faktor calon, kerana calon PAS seorang lebih berintegriti, tiada rekod rasuah politik seperti mana calon BN. Namun, semuanya tetap bergantung kepada ketentuan Tuhan Yang Esa - akan membuka ruang kemenangan kepada pihak mana dan memandu hati nurani pengundi sama ada bersimpati kepada Mohd Isa ataupun Zulkefly.

05 October, 2009

Bagan Pinang: Persoalan untuk Isa Samad

Isa kena jawab soalan rakyat

Ekoran daripada Barisan Nasional mengemukakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon yang bertanding berdepan dengan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS, maka banyak persoalan dapat dibangkitkan dan memerlukan jawapan. Penjawab utama semestinya Mohd Isa sendiri selaku ‘tuan diri,’ kerana rakyat inginkan jawapan yang pasti. Kepastian itu adalah pemutus untuk rakyat bertindak sama ada mahu mengundi beliau atau menolak beliau. Apa yang pasti, kesemua soalan adalah mencabar nilai-nilai integriti dan imej bersih (putih) atau kotor (hitam) peribadi Mohd Isa selaku calon pilihan raya kecil. Fakta dan persoalan yang dianalisis berikutnya merupakan titik-titik yang harus dilihat oleh pengundi secara khusus.

Ramalan Mahathir, Mohd Isa tidak menang

Dr. Mahathir meramalkan dalam blognya, di Bagan Pinang, saya percaya siapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang. Namun, realitinya imej UMNO sekarang sudah banyak tercemar dengan politik wang semasa pemilihan Majlis Tertinggi. Boleh dikatakan hampir semua yang dipilih terlibat dengan rasuah. Sesungguhnya orang ramai tidak lagi hormati UMNO dan besar kemungkinan mereka tidak akan undi calon UMNO dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Pertikaian pencalonan Mohd Isa Kata Dr. Mahathir, “jangan calonkan Mohd Isa Samad.” Imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Mohd Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

Adakah rakyat sedia menanggung segala dosa Mohd Isa yang sudah melanggari hukum UMNO itu sendiri?

Tengku Razaleigh pun menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. Korup bermakna ‘pengamal rasuah,’ apakah Mohd Isa tidak korup?

Mohd Isa sebenarnya ‘perasuah’

Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun lalu.

Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam pemilihan UMNO yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan. Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO ini benar – benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau seharusnya berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga pernah mendesak agar beliau meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.

Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;

11. Jika- (b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa; 16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan (b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Malangnya UMNO telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan Negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal-soal peribadi UMNO.
Amat jelek rasanya bila Wilayah Persekutuan diwakili oleh seorang Menteri yang jelas mengamalkan rasuah. Baru – baru ini juga, beliau telah kemaruk kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan cuba mengurangkan kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perundangan Kerajaan Tempatan.

Perbuatan beliau ini adalah satu perkara yang amat memalukan UMNO kerana status beliau bukanlah Ketua Cawangan, beliau adalah pemimpin tertinggi Nombor Tiga dalam UMNO. Beliau gagal menunjukan sikap yang baik dan seharusnya beliau keluar dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dikeluarkan dari senarai ahli Kabinet.

Rasuah kerana nak menang

KEPUTUSAN pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 23 September 2004:
  1. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - 1,507 undi
  2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - 1,329 undi.
  3. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,234 undi
  4. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib - 1,177 undi.
  5. Dato’ Mustapa Mohamed - 1,059 undi
  6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 690 undi
  7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 651 undi
Namun, kedudukan pencalonan adalah berbeza. Susunan populariti pencalonan adalah sepertimana berikut:
  1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 159 pencalonan
  2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam – 119 pencalonan
  3. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib – 88 pencalonan
  4. Dato’ Mustapa Mohamed – 66 pencalonan
  5. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – 37 pencalonan
  6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 35 pencalonan
  7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 25 pencalonan
Namun kemenangan itu sekejap sahaja kerana pada 25 Jun 2005 beliau dijatuhkan hukuman gantung dan hilang haknya sebagai Naib Presiden selama 6 tahun. Laporan Utusan Malaysia (26 Jun 2005) berikut adalah menyatakan tentang hukuman tersebut.

Kenyataan akhbar sebelum ini (pada 24 Jun 2005) mengesahkan Mohd Isa dipanggil membuat penjelasan berhubung dakwaan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin UMNO. Maka, keputusan penggantungan Mohd Isa dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam di Menara Datuk Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Ahmad Rithauddeen adalah tepat. Surat penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, kelmarin (24 Jun 2005).

Badan Pencegah Rasuah pembela Mohd Isa

Walaupun, Mohd Isa telah disabit bersalah sebagai perasuah oieh Lembagan Disiplin UMNO, namun BPR tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap Mohd Isa. Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Meskipun, akta berkenaan memperuntukkan bahawa "Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh-

(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;

(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau

(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu."


Adakah rakyat boleh menerima hakikat ini?


Calon kitar semula

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak tanggapan pembangkang bahawa beliau adalah calon 'kitar semula' tetapi sebaliknya berkata, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Persoalannya, rekod peribadi Mohd Isa adalah tidak cemerlang. Kini dianggap cemerlang pula bila dicalon di Bagan Pinang. Rekod perkhidmatan beliau (Menteri Besar sejak April 1982–Mac 2004; Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004–2005; Jun 2005 dilucut jawatan kerana rasuah) adalah dinamakan kitar semula (recycle) apabila diberi peluang bertanding semula selepas dihukum kerana rasuah.

15 isu mendera rakyat

Apakah kemenangan Mohd Isa nanti akan menyelesaikan masalah rakyat di Bagan Pinang, ataupun setidak-tidaknya dapat mengubati penderitaan rakyat akibat salah urus kerajaan Barisan Nasional. Antara isu tersebut ialah:
1. KENAIKAN HARGA PETROL
2. KOS HIDUP RAKYAT YANG TINGGI
3. KRISIS POLITIK DIPERAK
4. SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA BERPOLITIK
5. BN/UMNO MEMPERALAT MAHKAMAH
6. KES RASUAH MCA MELIBATKAN PORT KLANG FREE ZONE
7. POLIS GAGAL BERKECUALI
8. MEMILIH MOHD ISA SAMAD MEWAKILI IMEJ PERASUAH POLITIK WANG
9. MEDIA ARUS PERDANA BERAT SEBELAH
10. KONSPIRASI KES LIWAT ANWAR IBRAHIM
11. TERUS MENGEKAL AKTA ZALIM MOHD ISA
12. BN YANG TUNGGANG-LANGGAN – MCA, MIC & PPP BERPECAH
13. SISTEM PILIHAN RAYA YANG DIRAGUI KETELUSANNYA
14. SEMANGAT PERKAUMAN YANG ANTI PERPADUAN
15. SLOGAN SATU MALAYSIA (1Malaysia) MENGGADAI HAK ANTARA KAUM

Pengundi pos

Jika ingin menang, perlu pandang berat untuk menarik undi pos. Apa yang berlaku sejak beberapa pilihan raya kecil lepas ialah angin perubahan sedang berlaku di kalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, yakin PAS mempunyai peluang yang cerah di Bagan Pinang.

Tersebar pula cerita-cerita di belakang tabir bahawa sebahagian pegawai tentera sudah kecewa dengan Zahid Hamidi selaku menteri yang gagal melayani secara terbaik kehendak pasukan tentera. Begitu pula, status kemewahan hidup keluarga tentera yang masih dalam kedhaifan. Di samping janji retorik Najib yang ingin menjadikan Port Dikcson sebagai Bandar Tentera tidak lebih daripada omongan pancing undi. Kerana mereka tahu, yang bakal menikmati untung di sebalik projek itu adalah kroni dan bukannya warga tentera atau polis. Apakah jaminan Mohd Isa kedudukan tentera atau polis selaku pengundi pos akan terbela dengan seadil-adilanya?

Mohd Isa umpama dinosur



Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa menjadi presiden parti, mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan seperti seekor dinosur – yang sudah tidak relevan dengan perubahan semasa. Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi. Mengungkapkan maksud yang sama, Najib pula mempopularkan perkataan Melayu glokal agar pemimpin Melayu terus maju ke hadapan. Maka, keputusan mengangkat Tan Sri Mohd Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan Umno parti yang tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Pencalonan Tan Sri Mohd Isa, mencetuskan persepsi betapa Umno/BN telah undur ke belakang dan memastikan imej Umno/BN bakal terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah yang tidak relevan dengan perubahan masa kini.

Pengundi penegak keadilan


Jika demikian, rakyat adalah penegak keadilan di DUN Bagan Pinang perlu membuat keputusan terhadap Mohd Isa atas kesalahan lima tahun lampau. Oleh itu, hari mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti adalah sidang mahkamah yang semua pengundi merupakan hakim-hakim politik yang bertanggungjawab memikul amanah menegakkan suara rakyat. Harapnya, pengundi Bagan Pinang akan menjadi penegak keadilan hakiki untuk menerima mahupun menolak pemimpin yang sudah tidak bersih kerana amalan rasuah politik wang.


Sama-sama menjulang demokrasi


Pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang adalah menuntut 13,644 orang pengundi Melayu, Cina dan India serta anggota tentera dan polis yang berkuasa melalui satu undi masing-masing bertindak menjulang demokrasi.

Demokrasi yang boleh difahami juga sebagai pemutus keadilan yang seadil-adilnya hendaklah merestui hanya pemimpin yang bersih di mata rakyat. Pengundi Bagan Pinang haruslah berhati mulia, bersih, ikhlas dan tulus hati serta bermoral tinggi. Sebelum mengundi haruslah mengingati amanah Tuhan Yang Esa, memikul tugas khalifah untuk melantik wakil rakyat yang tiada rekod dosa-dosa di sisi tuhan, rakyat dan negara serta tanah air. Maka ruang demokrasi Bagan Pinang sedia terbentang peluang menegakkan tiang-tiang menjulang demokrasi keadilan yang hanya serasi dengan penerajunya (calon yang akan dipilih) ialah seorang tokoh yang bersih tanpa dosa-dosa.