03 March, 2011

Kempen hangat dua PRK – faktor calon penentu kemenangan

Pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Dun Kerdau pada 6 Mac nanti sudah melalui suasana kempen hangat. Kehangatannya cukup terasa apabila isu calon mula diperdebatkan oleh pihak yang bertanding, pengundi dan penganalisis politik. Lantaran faktor calon sudah mendapat penarafan utama di dalam menilai peluang dan harapan menang parti bertanding. Turut menghangatkan lagi, apabila perjalanan kempen calon menjadi sentuhan media massa yang dikaitkan pula dengan ulasan pimpinan masing-masing parti yang bertanding.

Berbeza dengan pilihan raya umum, faktor calon bukanlah penentu yang kuat mempengaruhi kemenangan. Sedangkan dalam PRK, isu calon sering dikaitkan dengan motivational factor kepada pengundi, lebih-lebih lagi kepada pengundi atas pagar yang berupaya mencorakkan pola sokongan terapung sehingga mempopularkan seseorang calon mencapai kemenangan.

Calon popular

Pengalaman PAS dalam dua pilihan raya kecil terakhir di Kelantan, iaitu di Manek Urai dan Galas, calonnya dilihat bersaing rapat dengan calon Umno. Calon PAS menang di Manek Urai kerana popularitinya lebih tinggi di kalangan pengundi atas pagar. Berbeza di Galas, calon PAS ketinggalan berbanding calon Umno. Calon PAS di Menak Urai mendapat sokongan pengundi atas pagar mencecah 18 peratus daripada 30 peratus. Sementara di Galas, PAS hanya mampu meraih 5 peratus daripada 20 peratus pengundi atas pagar.

Dalam konteks Dun Merlimau, persaingan calon tertumpu kepada kohort umur yang berbeza selain daripada latar belakang parti dan pendekatan kempen calon. Dari segi umur, calon PAS, Haji Yuhaizad 38 tahun, enam tahun lebih muda berbanding calon Umno, Roslan 44 tahun. Yuhaizad adalah pimpinan muda bertaraf kanan dalam parti selaku timbalan yang dipertua kawasan. Sementara Roslan sudah melepasi usia muda dan hanya ahli jawatankuasa biasa bahagian. Justeru, calon PAS mempunyai potensi tinggi memenangi hati pengundi muda yang berjumlah 3,926 (36.76 peratus).

Apa pun dari segi pendekataan kempen, kedua-duanya memakai pendekatan yang seimbang. Namun kelebihan kempen calon Umno kerana kuat disokong oleh jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan, media perdana, jentera Kemas dan bahagian perisikan khas. Sedangkan kempen calon PAS seratus peratus dijayakan oleh jentera parti-parti Pakatan Rakyat.

Sementara di Dun Kerdau, calon PAS dan Umno nampaknya agak seimbang dari segi umur. Calon PAS, Hassanuddin 43 tahun dan calon Umno, Syed Ibrahim 44 tahun yang sudah terkeluar daripada kohort umur muda. Sementara dari segi kedudukan jawatan parti, calon PAS mempunyai kelebihan selaku ketua penerangan PAS negeri, sedangkan calon Umno adalah bertaraf pimpinan bahagian berjawatan naib ketua bahagian, namun lebih popular kerana berjawatan di Pejabat Menteri Besar Pahang.

Kempen calon

Apa pun dari segi pendekatan kempen calon di Kerdau, kedua-duanya bukan popular di kalangan pengundi muda yang berjumlah 3,491 (38.79 peratus). Justeru persaingan sebenar adalah kalangan pengundi atas pagar yang berjumlah kira-kira 1,600 orang. Berdasarkan sejarah PRK, jumlah pengundi atas pagar sering menjadi sasaran kempen. Maka keupayaan calon yang bertanding boleh merapati seramai mungkin pengundi atas pagar akan memastikan kemenangan. Dalam konteks ini, kempen calon Umno lebih berpotensi menang kerana prasarananya yang lengkap dan bersifat supportive ekoran penggunaan jentera kerajaan secara sepadu.

Dari situ, perjalanan kempen calon sudah berlaku di atas padang yang tidak sama rata (unlevel playing field), kerana jentera kempen calon PAS tidak disokong oleh sebarang jentera kerajaan. Realitinya, calon PAS dilihat menghadapi serba kekurangan dari segi menguasai pemikiran pengundi atas pagar. Tambahan pula latar sosiopolitik pengundi sering kali dipolakan oleh pengaruh media perdana, terutamanya televisyen dan surat khabar.

Walau pun demikian, berdasar kekuatan calon masing-masing, PAS dan Umno di Merlimau dan Kerdau masih bergantung kepada sejauh mana calon masing-masing dapat menguasai pengundi muda. Ini disebabkan sikap pengundi muda agak terbuka dan bermaklumat serta berkepentingan.

Pengundi muda

Pada pilihan raya umum 2008, di Dun Merlimau PAS mempunyai sokongan teras pengundi sekitar 36 peratus, tetapi calon PAS seorang yang lebih muda sudah tentu peluangnya lebih cerah berbanding calon Umno. Terutama di daerah mengundi campuran kaum seperti Pengkalan Samak dan Ayer Merbau, kerana pengundi mudanya lebih terbuka.

Keadaan seakan sama berlaku di Kerdau, pengundi muda di daerah mengundi perkampungan Melayu tradisi dan kawasan campuran kaum dilihat terbuka kepada calon PAS berbanding di kawasan Felda. Pada pilihan raya umum 2008, PAS meraih sekitar 38 peratus di Felda Jengka 23, berbanding 48 peratus di Desa Murni. Namun peluang PAS masih bergantung kepada kredibiliti calonnya yang dikatakan lebih berketrampilan berbanding calon Umno dalam konteks budaya politik pengundi muda.

Rumusannya, faktor calon adalah rangking tertinggi ke arah mencetuskan peluang dan potensi kemenangan kepada PAS-Pakatan Rakyat atau pun Umno-BN di Merlimau dan Kerdau. Jika PAS mengharapkan kemenangan, maka kempen calonnya perlulah merapati dan merayu seramai mungkin pengundi di Merlimau dan Kerdau.

01 March, 2011

PRK Kerdau: Utamakan meraih simpati

Pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Pahang adalah bersekali dengan Merlimau, Melaka. Penamaan calonnya diadakan pada 26 Februari dan pengundian pula 6 Mac 2011. Inilah PRK serentak yang ketiga selepas Bukit Gantang- Bukit Selambau-Batang Air (7 April 2009) dan Galas-Batu Sapi (4 November 2010). Mungkin PRK Merlimau-Kerdau ini merupakan siri PRK terakhir yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi penggal pilihan raya ke12 ini. Selepas ini, tumpuan SPR kepada pilihan raya umum Negeri Sarawak dan nasional.

Sehubungan dengan PRK Kerdau, tradisi persaingan berlaku adalah antara PAS dengan Umno. PAS mewakili Pakatan Rakyat sudah dua kali (PRU 2004 dan 2008) bertembung dengan Umno mewakili Barisan Nasional sejak nama Dun Kerdau ditukar tahun 2003 daripada asalnya Sanggang. Ketika Sanggang dulupun PAS dan Umno juga yang bersaingan. Inilah bezanya Kerdau dengan Merlimau. Di Merlimau pada PRU 1999 PAS yang berdepan dengan dengan Umno, tetapi pada PRU 2004 diserahkan kepada KeADILan. Kemudian PRU 2008 dikembalikan pula kepada PAS dan pada PRK kali ini, PAS juga yang disepakati bertanding menghadapi Umno. Apa pun kedua-dua Dun tersebut kekal dimenangi Umno-BN. Justeru PRK Kerdau-Merlimau kali ini dianggap sebagai persaingan ulangan yang bakal mengesahkan sekali lagi sikap staus-quo pengundi kepada Umno-BN.

Kerdau tetap Kerdau

Walau bagaimanapun, bandingan antara PRK Kerdau dengan Merlimau, Kerdau lebih menarik diulas kerana nilai tradisi politik Malaysia yang bertonggakkan pengundi Melayu berlaku di Kerdau. Lebih-lebih lagi bagi mengukur tahap penerimaan orang Melayu di Pahang yang dikatakan tidak berubah, pekat dengan sikap perjuangan kebangsaan. Maka, Kerdau bakal menyaksikan kepekatan semangat kebangsaan Melayu dan tradisi Kerdau tetap Kerdau. Kepekatan itu adalah keabsahan yang bakal mengiakan nilai-nilai kepimpinan tradisi yang pernah dikaji oleh Syed Husin Ali (1960-an) dan Mohd Salleh Lamry (1980-an) tentang sosiologi politik lokal di perkampungan Kerdau itu.

Meskipun begitu, tugas perjuangan parti politik Islam dipacu oleh PAS tetap bertanggungjawab menghadapi Umno. Misi politik-dakwah PAS tetap diperkasakan, meskipun bersaing dalam kubu Umno. Matlamatnya amat jelas iaitu untuk memastikan sebaran kefahaman kepada kandungan perjuangan Islam bersama Pakatan Rakyat tidak terus disalahertikan. Maka, strategi yang dilihat penting bagi PAS di Kerdau ini ialah menyebar dan memberi kefahaman serta menjelaskan segala kekeliruan agar perjuangan politik Islam tetap bersih, suci dan murni.

Bertolak daripada misi, matlamat dan strategi ini, komitmen penyertaan PAS dalam PRK kali ini seharusnya dibuktikan dengan gerak kerja kempen yang mampu memantapkan calon, kepimpinan dan petugas pilihan raya PAS bersama-sama Pakatan Rakyat menjelang PRU ke-13 nanti.

PRU lepas

Keputusan PRU lepas menyaksikan PAS hanya berjaya meraih sokongan 2,250 (37 peratus) pengundi Kerdau yang keluar mengundi sekitar 80 peratus. Pihak BN pula meraih 4,135 (63 peratus) dengan majoriti 1,615 undi. Pada PRK kali ini, mungkin jumlah keluar mengundi juga sekitar 80 peratus atau sejumlah 7,200 daripada 8,999 pemilih berdaftar. Ini kerana, keputusan PRK Kerdau ini tidak terlalu penting untuk BN Pahang. Ia tidak akan mengubah apa-apa kuasa dominasi dalam Kerajaan Negeri.

Meskipun begitu, berdasarkan pilihan raya lepas, pada 2004 BN mencapai kemenangan lebih selesa dengan majoriti 2,565, tetapi merosot kepada 1,615 undi. Undi BN telah merosot sebanyak 301 dan PAS meningkat 649 undi. Jadual berikut menunjukkan suatu perubahan positif sikap pengundi Kerdau yang merupakan peluang bagi PAS pada PRK kali ini.

Bandingan undi PAS-BN: PRU 2004-2008

Parti/PRU

2004

2008

(+/-)

PAS

1,871

2,520

649

BN

4,436

4,135

-301

MAJORITI BN

2,565

1,615

-950

Peluang PAS

Berdasarkan gambaran tersebut, di sananya terdapat asas keyakinan perubahan sikap pengundi Kerdau di dalam menerima PAS-Pakatan Rakyat. Apa yang penting, gerak kerja kempennya lebih menyentuh kepada strategi menyebar dan memberi kefahaman serta menjelaskan segala kekeliruan agar perjuangan politik Islam (baca calon PAS) tetap bersih, suci dan murni untuk membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa.

Di sebalik strategi ini, tugas utama kempen PAS ialah meraih simpati dan mempengaruhi sikap pengundi Kerdau dari persepsi percayakan kepada Umno sahaja dalam memajukan mereka kepada sikap memilih PAS. Maka tidak salah, malah tidak pun menjejaskan darjah kemajuan di Kerdau dengan hanya memilih PAS. Kerdau tetap maju.

Apa pun, latar belakang sosiekonomi Kerdau yang bergantung kepada asas ekonomi tani dan peneroka rancangan tanah Felda sedikit sebanyak mengikat sikap ‘kebergantungan melampau’ kepada pihak kerajaan. Justeru calon PAS, Hassanudin Salim mestilah sedia tampil dengan lebih merapati golongan pengundi tersebut dan sedia dirasai lebih mesra mengatasi calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Tindakan kempen merapati dan mesra merupakan cara terbaik merungkai kebergantungan melampau pengundi.

Selain itu, pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat hendaklah meletakkan sasaran meraih simpati seramai 1,500 orang pengundi atas pagar sebagai keutamaan. Program kempen kepada pengundi atas pagar seharusnya bersifat mesra dan memujuk agar mereka sedia keluar mengundi untuk membuat perubahan. Di samping memberikan kefahaman kepada isu-isu yang boleh merungkaikan keyakinan mereka kepada Umno-BN. Malah perlu diberitahu hakikat Umno yang sekian lama berkuasa sudah ‘semacam memperkotak-katikkan rakyat’ ekoran penglibatan pemimpin dan kerajaan BN dengan ‘skandal maruah.’ Antaranya pengundi harus diberitahu tentang kes-kes rasuah dan jenayah berprofail tinggi melibatkan individu yang rapat dengan Umno seperti kes pembunuhan Altantuya. Begitu juga tindakan Umno bersekongkol dengan APCO perunding Yahudi yang menjadikan Israel terus menzalimi umat Palestine dan pemerasan agensi Felda ke atas peneroka yang dilakukan berselindung di sebalik projek pembelaan yang tidak seberapa.

Dalam masa yang sama gerak kerja teknikal dan kempen terhadap pengundi PAS perlu dilakukan agar mereka dapat keluar mengundi secara maksimum. Diikuti dengan usaha menarik pengundi luar dibawa balik mengundi dan para perayu undi pula sedia menjawab kesemua fitnah Umno terhadap PAS di dalam pelbagai isu.

Pendekatan sedemikian dilihat bakal membantu kempen calon dari rumah ke rumah agar pengundi memahami tujuan memilih calon PAS, iaitu “memperkasakan suara PAS dalam Dewan Negeri Pahang."

Penting juga dilakukan ialah dapat mendedahkan fakta-fakta perjuangan Umno yang merugi, memundur, menjatuhkan maruah orang Melayu seperti isu tanah simapanan Melayu dan mengurang kuasa politik Melayu seperti tidak sedia menambah bilangan kerusi Dun dan parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu.

Isu kebobrokan Umno itu harus diperbandingkan dengan pengalaman perjuangan PAS dan kejayaan PAS mentadbir Kelantan dan Kedah yang berjaya memartabatkan politik umat Islam dari segi kebajikan, politik dan syariah. Malah kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang harus diperjelaskan bagi menjawab serangan kempen BN di Kerdau.

Bagi mencapai kemenangan di Kerdau, natijahnya semua tindakan strategik tersebut dilihat dapat membantu pasukan kempen PAS mempertahankan kira-kira 2,300 undi teras yang sedia ada, di samping dapat meraih sekitar 1,500 pengundi atas pagar. Justeru PAS boleh mengumpul kira-kira 3,800 dan ia sudah cukup untuk mencapai kemenangan tipis. Semoga Allah membimbing rakyat Kerdau untuk menerima perjuangan Islam.

PRK Merlimau – tiga strategi PAS mencipta kemenangan

Kerusi N.27 Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ahli Exco Negeri Melaka dari Umno-BN pada 20 Januari lepas. Justeru suatu pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan pada 6 Mac nanti, iaitu PRK yang pertama di Melaka yang menjadi titik penting bagi Pakatan Rakyat membaiki kelemahan selepas kekalahan di PRK Tenang. Malah turut penting buat kerajaan BN Melaka selepas diisytiharkan Melaka Maju 2010.

PRK lepas

Setakat ini SPR telah mengendalikan 14 PRK dengan yang pertama pada 26 Ogos 2008 (Parlimen Permatang Pauh) dan terakhir 30 Januari lalu (DUN Tenang). Namun PRK Merlimau ini agak uniknya kerana bersekali dengan Dun Kerdau yang juga kematian Adunnya pada petang 12 Februari 2011. Setakat ini, PRK yang serentak adalah melibatkan Bukit Gantang yang bersekali dengan Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April 2009), dan juga Manek Urai yang bersekali dengan Batu Sapi (4 November 2010). Ini bermakna PRK Merlimau adalah ke-15 dan Kerdau ke-16.

Sehubungan itu, PRK yang diadakan sebahagian besarnya disebabkan kematian wakil rakyatnya. Sebanyak 13 PRK yang melibatkan kematian, iaitu parlimen Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Hulu Selangor, Sibu, Batu Sapi, dan dun Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas, Tenang dan Merlimau serta Kerdau. Sementara itu, terdapat tiga PRK kerana perletakan jawatan wakil rakyatnya, iaitu parlimen Permatang Pauh, dun Penanti dan dun Bukit Selambau.

Merlimau kubu BN

Pada PRU 2008 dan juga beberapa pilihan raya sebelumnya, keputusannya sentiasa berpihak pada BN. Pada tiga pilihan raya terakhir, pengaruh oposisi hanya meraih sokongan 31 peratus (1999), 19 peratus (2004) dan 36 peratus (2004). Rekod sokongan itu mengesahkan BN kuat dan oposisi belum berupaya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas (ke-12) pada 8 Mac 2008, PAS hanya mengulangi capaian undi di bawah 42 peratus di setiap daerah mengundi. Berikut adalah undi PAS setiap daerah mengundi yang dapat digambarkan mengikut pola kaum:

Daerah Mengundi

Undi PAS

Pola kaum

Jumlah

%

01 - AYER MERBAU

266

38.49

Cina – 31%

02 – CHINCHIN

528

35.13

Melayu – 76%

03 - JASIN LALANG

196

40.75

India – 51%

04 - MERLIMAU UTARA

174

42.65

India – 39%

05 - MERLIMAU PASIR

592

37.54

Cina – 24%

06 - PERMATANG SERAI

504

33.07

Melayu – 83%

07 - PENGKALAN SAMAK

562

35.41

Melayu – 65%

08 – POS

5

13.51


Jumlah

2,827

36.21


Berdasarkan undi PAS tersebut, peratusan undi purata mengikut kaum adalah sebanyak 34 peratus daripada orang Melayu, 36.5 peratus Cina dan sebanyak 41.10 peratus India.

Ini bermakna PAS yang memperolehi 2,827 undi (daripada 7,808 undi sah) adalah masing-masingnya disumbangkan oleh 1,752 undi orang Melayu, 617 undi Cina dan 459 undi India. Ini menunjukkan populariti PAS di Merlimau di bawah paras 40 peratus yang masih selamat untuk BN mempertahankan kemenangan di kubu kuatnya.

Analisis pengaruh PAS

Suatu realiti yang perlu diakui PAS ialah pola undi Melayu kepada PAS terendah berbanding dengan Cina dan India. Kenapa? Fakta yang agak realistik dalam konteks PAS di Melaka ini mungkin ada kaitannya dengan dua isu besar yang dijaja oleh pengempen BN kepada pengundi di Merlimau. Pertama PAS dijaja sebagai parti yang sanggup jual Islam demi berbaik dengan DAP, dan keduanya, DAP dijaja sebagai parti yang bersekongkol dengan PAS untuk menubuhkan isu Negara Islam. Isu pertama dijaja oleh Umno kepada orang Melayu dan isu kedua dijaja oleh MCA untuk menimbulkan sentimen benci pengundi Cina kepada Negara Islam sekaligus akan menolak PAS.

Malah pendekatan kempen buruk Umno dan MCA itu turut dilakukan oleh media massa arus perdana. Maka, munasabahnya seperti dikatakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Sinar Harian, 21 Februari 2011), pendekatan media perdana yang tidak memberi tempat kepada PAS menjelaskan perkara sebenar. Di samping pihak kerajaan BN didapati tidak adil menggunakan media berkenaan, malah turut memutarbelitkan fakta sebenar dengan bertujuan memburukkan lagi persepsi orang Melayu terhadap PAS dan pemimpinnya.

Agak berbeza dengan pengundi India yang dilihat lebih tinggi keyakinannya terhadap PAS semasa pilihan raya umum lalu. Mungkin ada hubungannya dengan pengaruh ‘Makkal Shakti’ dan gerakan Hindraf yang bangkit menolak kepimpinan MIC yang gagal membela kaum India di ladang-ladang. Kebetulan di Merlimau, pengundi India adalah rata-rata bekerja di ladang. Justeru apakah momentum penolakan terhadap MIC masih wujud kalangan pengundi India?

Undi status-quo

Jika peratus penerimaan pengundi terhadap PAS bersifat status-quo seperti mana pilihan raya lepas, bermakna peratus pengundi yang bakal mengundi PAS pada PRK kali ini dijangka tidak berubah. Berdasarkan rumusan purata undi PAS mengikut kaum di Dun Merlimau itu, maka PAS tetap akan menerima kekalahan semakin besar berikutan berlaku tambahan 208 undi (dari 10,471 pada PRU 2008 kepada10,679 pada PRK ini). Di samping kemungkinan jumlah keluar mengundi juga akan meningkat daripada 76 kepada 78 peratus.

Pengaruh PAS dikatakan masih pada status-quo kerana di pihak PAS tidak berlaku perkembangan luar biasa yang mencetus sokongan bertambah selama tempoh 2008 sehingga 2011. Malah tiada cawangan baru ditubuhkan dan aktiviti parti pula berlaku secara normal. Justeru PAS di Dun Merlimau dilihat setara dengan Dun Tenang yang juga tiada perkembangan luar biasa sejak 2008 menyebabkan PAS kalah teruk.

Bertolak daripada nilai status-quo itu, mungkin analisis berikutnya (lihat Jadual 1) boleh memberi sedikit gambaran jangkaan undi PAS dan BN dengan andaian keluar mengundinya sekitar 78 peratus.

Jadual 1: Kedudukan status-quo - pengaruh PAS yang tidak berubah sejak 2008-2011

Komposisi kaum

K=78%

PAS

BN

Majoriti

Melayu

64.74%

6,970

5,437

1,878

34.54%

3,559

65.46%

-1,681

Cina

21.26%

2,289

1,785

679

38.02%

1,107

61.98%

-428

India

14.00%

1,507

1,175

490

41.70%

685

58.30%

-195



10,766

8,397

3,047

36.28%

5,351

63.72%

-2,304

Daripada rajah ini, PAS bakal meraih sekitar 3,047 undi dan BN sebanyak 5,351 undi, maka BN akan menang sebanyak 2,304 undi majoriti. Walau pun PAS dikira mendapat tambahan undi, tetapi ia tidak memberi makna kerana BN juga dijangka meneraih tambahan sokongan.

Mengubah status-quo

Apa pun nilai status-quo tersebut, misi PAS dan Pakatan Rakyat perlulah komited ke arah mengubah kepercayaan politik pengundi Dun Merlimau. Berasaskan persekitaran transcendental sosiobudaya dan politiknya Merlimau (Melaka) sama dengan Tenang (Johor), sememangnya pengaruh PAS tidak mencengkam disebabkan keupayaan berwacana di kalangan pengundi Melayu menggunakan laras bahasa perjuangan Islam dilihat amat liat. Justeru di Merlimau simpanan tetap (baca undi teras) BN sama dengan Tenang yang sudah ada 4,000 undi sedangkan PAS masih kosong. Ia cukup membuktikan orang Melayu Johor dan Melaka begitu mantap nasionalisnya, sehinggakan tidak menerima perjuangan Islam dibawa PAS. Mungkin mereka dalam ketagori penyumbang simpanan tetap BN itu tidak reda untuk mencapuradukkan perjuangan nasionalis dengan Islam. Atas alasan ini logiknya mereka menolak PAS dan sebut sahaja nama PAS sudah tentu mereka alergik. Demikian nasibnya generasi sulung yang menerima akidah Islam di tanah air ini. Dalam hal ini, para pejuang Islam harus tabik ‘spring’ kepada rakyat Kelantan kerana mantap dengan PAS dan perjuangan Islam, meskipun kisah pengIslaman mereka tiada dicatit dalam Sejarah Melayu.

Apa pun, sosiobudaya boleh berubah mengikut perkembangan politik semasa. Hosni Mubarak selama 30 tahun di takhta kuasa boleh direntap oleh rakyat, maka apakah pengundi BN terus utuh selama-lamanya? Lihat sahaja, kesan kerjasama politik PAS bersama Pakatan Rakyat yang berjaya mencipta lanskap baru politik tanah air. Ini wajar dilihat dan dibaca serta direnung oleh pengundi Merlimau. Pengundi BN harus mengambil kesedaran untuk mengubah senario status-quo mereka dengan beralih mengundi PAS. Lebih-lebih lagi apabila melihat kepada sokongan pengundi baru (generasi muda) dan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk di Sibu, Sarawak.

Sementara itu, perkembangan semasa melibatkan tadbir urus kerajaan BN yang sudah hilang integritinya berikutan pelbagai kesan yang mendera rakyat, termasuk kenaikan harga barang, korupsi di sebalik projek, akhlak teruk pemimpin BN dan salahguna kuasa secara terang-terangan. Atas fakta ini sewajarnya sikap politik pengundi BN di Merlimau pun boleh berubah dan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Bagi PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di Merlimau kali ini perlu bekerja keras dan agresif bagi memastikan misi perubahan sikap pengundi BN kepada PAS berjaya. Jentera PAS boleh melaksanakan misi ini melalui tiga strategi, iaitu mendedah sebanyak mungkin isu-isu berkaitan integriti pemimpin BN, menyebar sebanyak mungkin berita kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat berbanding kerajaan negeri BN, dan meyakinkan peri penting peranan wakil rakyat PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Menerusi strategi pertama, pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat sepatutnya boleh berkata benar (baca beralaskan fakta) kepada semua pengundi Merlimau bahawa semua pemimpin BN pada hari ini sudah merosot teruk integriti mereka. Termasuklah Ketua Menteri Melaka sendiri yang dilihat banyak melakukan ‘kecurangan’ pentadbiran kerana gagal memakmurkan rakyat di sebalik pengisytiharan Melaka Negeri Maju. Perlu diseret sama dalam isu integriti ini ialah Perdana Menteri sendiri yang masih ‘tidak selesai’ dengan persepsi skandal Altantuya dan ditambah pula dengan karenah penyalahgunaan wang rakyat demi ‘first lady.’ Selain itu, harus dibangkitkan juga kegagalan urus tadbir polis yang melibatkan kematian dalam lokap, kes pembunuhan Sosilawati dan sebagainya. Di samping terus membangkitkan integriti SPRM dalam kes kematian Teoh Beng Hock dan tiada penyiasatan ke atas ‘jerung.’

Demikian pula, strategi kedua boleh dijayakan dengan cara mempamerkan kekuatan Pakatan Rakyat ialah program mesra rakyat yang berjaya dilaksanakan oleh negeri Pekatan Rakyat dan kandungan Buku Jingga yang dibimbangi pihak BN. Justeru program itu harus diberitahu kepada semua pengundi sebagai asas untuk pengundi menyakini bukan BN sahaja yang boleh. Pakatan Rakyat pun boleh mentadbir negara dan negeri dengan cemerlang.

Seterusnya di sebalik strategi ketiga, keupayaan calon PAS harus dipamerkan kepada pengundi menerusi pelbagai pendekatan kempen calon. Misi dan tujuan PAS untuk menghantar wakilnya ke Dewan Undangan Negeri Melaka (Dewan) harus diterangkan secara rasional kepada pengundi. Misalnya peri pentingnya suara dari PAS dan Adun Islam di dalam Dewan bagi mengimbangi kuasa mutlak Adun Umno. Sedangkan pengundi Cina sudah mempunyai suara pengimbang melalui lima Adun DAP, iaitu Goh Leong San (DAP-Kesidang), Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Lim Jak Wong (Bachang) Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir). Mungkin bagi pengundi Melayu, calon PAS di Merlimau nanti wajar dipilih bagi mengimbangi suara Adun Melayu dari Umno. Justeru kempen calon haruslah menampilkan aspek kredibel dan akhlak terbaik untuk menarik sokongan pengundi yang pelbagai kaum. Harus diutamakan ialah kempen bagi meraih sokongan 1,770 pengundi atas pagar dan 400 orang ‘first time voter’ yang menjadi faktor penentu kemenangan PAS.

Semoga PRK Merlimau bakal memberi impak yang signifikan bagi PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus bangkit memikul amanah rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.