16 May, 2013

PRU13 dicemari sindiket jual undi pos?



Aslani M,        16 Mei 2013 
http://bm.harakahdaily.net


KOTA BHARU: Dakwaannya cukup serius, ada agen yang mengumpul kertas undi pos. Bagi setiap kertas undi pos ada tawaran sehingga RM300. Pemilik kertas undi diberi RM200 dan agen pula bolot RM100.

Bayangkan kalau agen mampu mengumpul 10 kertas undi pos, dengan mudah dia akan mendapat RM1,000.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendakwa, jentera pilihan raya PAS mengesan ada sindiket yang cuba menjual kertas undi pos.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan


“Pengundi pos yang ditemui petugas PAS mendedahkan ada pihak menawarkan sejumlah bayaran sebelum kertas undi yang diterima dipangkah,” katanya di sini.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sepanjang proses pengundian, sehingga pembangkang mengambil ketetapan menolak keputusan pilihan raya umum ke-13.

Ketika proses pengundian pos bermula baru-baru ini Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham) Pemuda PAS Kelantan menerima aduan petugas pilihan raya kalangan guru yang mengundi pos dipaksa mengundi di hadapan pegawai pejabat pelajaran daerah (PPD).

Pengerusinya, Mohd Abd Rashid Yah berkata, pengadu mendakwa ketua jabatan mereka mengarahkan supaya kertas undi pos dipangkah di hadapan PPD.

“Malah ada juga pengadu memberitahu ketua jabatan terbabit mengarahkan kertas undi pos milik mereka diserahkan kepada bos untuk dipungut, sedangkan ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Difahamkan sindiket menjual undi pos berlaku di beberapa tempat termasuk Bachok, Machang dan Tumpat dengan didalangi pihak tertentu.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaaan negeri berkata, sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tidak ada makna bagi sebuah demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

 “Perkara ini adalah serius dan ia boleh menggugatkan sistem demokrasi yang diwarisi sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.
Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pilihan Raya Kelantan

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat beberapa kes menjual beli kertas undi pos bagi memenangkan satu-satu pihak.

Oleh itu beliau berharap pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut kerana dibimbangi ia akan merosakkan sistem demokrasi yang dipertahan sejak merdeka.

Pada PRU13 lalu seramai 240,000 petugas SPR layak untuk mengundi secara pos.

Manakala berdasar maklumat rasmi SPR, daftar pemilih yang diwarta untuk PRU13 mempunyai sebanyak 13,268,002 pemilih berdaftar.

Dan daripada jumlah itu pengundi biasa sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos (146,742) dan pengundi awal (235,826).

15 May, 2013

Panggilan protokol MB Kelantan

Petang semalam telah ada keputusan "panggilan protokol Menteri Besar Kelantan" YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob. Atau singkatnya YAB Ustaz MB Kelantan.

Berikut dicadangkan foto rasmi (sebelum ada yang baru) boleh dipakai untuk semua urusan oleh jabatan, GLC dan pihak berkenaan.
Semoga ALLAH SWT memberkati dan sentiasa memberi petunjuk seluas-luasnya kepada YAB Ustaz MB Kelantan. Agar telaksana dengan jayanya amanah dan tanggungjawab Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan dan sentiasa dilimpahi Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan

13 May, 2013

Bersama Menteri Besar Baru 1434H

  وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Maksudnya: 
"...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (Surah Al-Maidah ayat 2)

Selepas PRU-13 (5 Mei 2013) aku mula bertugas dengan Menteri Besar Kelantan yang baru, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, yang sudah menggalas tugas ADUN Pasir Pekan.  sejak enam penggal yang lalu. Panggilan politik di sisi Ustaz Dato' Haji Ahmad ialah Ustaz Mad.

Dalam PAS,Ustaz Mad ialah sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan dan Yang DiPertua PAS Tumpat.

Pengalaman lalu aku bersamanya, pernah jadi rakan seUsrah Pemuda kerana jarak umur hanya 10 tahun. Sempat bersama dalam Usrah Pemuda PAS Negeri era 1980-an. Ketika itu, Ustaz Mad masih sebagai Guru Agama di salah sebuah sekolah menengah di Rantau Panjang, Kelantan.

Ketokohannnya terserlah ada kaitannya dengan ayahnya, seorang Ulama' dan Tok Guru Pondok di Berangan Tumpat, Tok Guru Haji Kob Berangan. Tok Guru Haji Kob pernah ditangkap ISA ketika Umno mengamuk atas isu berceramah dan mengajar masyarakat memahami 'perbezaan antara Islam dan Kafir'. Ketika itu, guru-guru pondok dan alim-ulama' tidak bersetuju dengan pendekatan bekerjasama politik dengan bukan Islam.

Sifatnya sederhana dan banyak berfikir sebelum bertindak dilihat asas kekuatan pada Ustaz Mad yang mungkin menyebabkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memilihnya sebagai pengganti Menteri Besar. Atas sifat ini jugalah Ustaz Mad adalah seorang yang rapat dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. 

"Aku menjangkakan, beliau juga akan diberi kepercayaan sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan selepas Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz."

Semoga Allah memberkati dan memberi petunjuk yang seluas-luasnya kepada Ustaz Mad dalam melaksanakan amanah kepimpinan demi menjayakan mandat Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan. 

ALLAHU AKBAR.