09 March, 2016

Politik Matang dan Sejahtera Kelantan: Kesejahteraan rakyat bertunjangkan syarak di Kelantan

Pembudayaan politik matang dan sejahtera bermaksud suatu pembinaan budaya atau amalan yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat bermatlamatkan keredaan Allah, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Berasaskan pembudayaan ini, ia dilihat serasi dengan PAS dan latar belakang masyarakat Malaysia yang bersifat kepelbagaian dengan cara hidup mengutamakan lemah-lembut dan sopan-santun sesuai dengan teras sejarah kebudayaan berteraskan Islam dan Melayu serta perjuangan kemerdekaan negara yang mengutamakan perundingan dan permuafakatan. Selayaknya, PAS mengorak langkah ke arah pemerkasaan parti demi pembudayaan politik matang dan sejahtera.

Foto kenangan:
Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz
menyampaikan kuliah Jumaat
di Medan Ilmu Kota Bharu.
Ustaz Dato' Menteri Besar Kelantan
menyampaikan kuliah Jumaat
di Medan Ilmu Kota Bharu.
 Prinsip bertunjangkan syarak

Salah satu prinsip pembudayaan politik matang dan sejahtera ialah bertunjangkan prinsip syarak di dalam menguruskan apa-apa dasar dan pelaksanaan gerakan parti mahupun pentadbiran. Ini selari dengan tuntutan Perlembagaan PAS yang mengutamakan sistem Islam di dalam gerakannya.

Sebagaimana dimaklum tujuan PAS ialah (Fasal 5) memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah, mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sementara usaha PAS bagi menguruskan perjuangan Islam  bertapak kukuh di dalam negara ini ialah (Fasal 6) menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan, dan memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Model politik matang PAS di Kelantan

Bertolak daripada tuntutan perjuangan tersebut, maka PAS yang telah 25 tahun mentadbir Kelantan telah mempamerkan suatu model politik matang dan sejahtera berprinsipkan mesra syariah (bertunjangkan syarak). Malahan sedang menuju ke tahap keutuhan sistem pentadbiran yang memenuhi indeks syariah sebagaimana tuntutan al-Quran.
Mengambil satu sudut pembangunan, Kerajaan Negeri Kelantan telah merasmikan pembudayaan prinsip syarak bersandarkan kepada visi dan misi dasarnya yang Islamik iaitu Membangun Bersama Islam (diperkasakan sekarang sebagai Merakyatkan Membangun Bersama Islam mencapai Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan).

Dalam mengisi dasar tersebut, banyak tanggungjawab yang telah dilakukan ke arah mempastikan persoalan pentadbiran dan pelaksanaan pembangunan yang dirancang dan diurustadbir hendaklah memenuhi kehendak syarak, sebagaimana firman Allah SWT (Surah An-Nur ayat 55) bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.’’
Bertolak daripada prinsip tersebut seawal pentadbiran PAS tahun 1990 lagi langkah pengurusan kewangan yang mesra syariah dibuat dengan membebaskan akaun kerajaan negeri dari riba, pembukaan pajak gadai Islam (ar-Rahn) dan dasar jimat cermat serta bersederhana dalam berbelanja. Turut ditubuhkan Tabung Amanah Serambi Mekah bagi menggalak rakyat menyumbang untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Di samping menyediakan kemudahan pinjaman tanpa riba kepada Adun dan penjawat awam.
Kemudian dilaksanakan pengharaman premis judi, pengawalan persembahan hiburan yang berunsur syirik, penguatkuasaan pakaian menutup aurat, melarang memperaga wanita (terdedah aurat) sebagai bahan iklan dan penyusunan kedai gunting unisex serta penyusunan jualan arak mengikut kadar penduduk bukan Islam.
Diikuti dengan pelaksanaan pendidikan Islam menerusi Dakwah Halaqat, amalan memula mesyuarat dengan bacaan al-Fatihah dan menutupnya dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Ia disusuli dengan amalan kepimpinan yang bersederhana dan berkebajikan yang tidak sewenang-wenang menggunakan harta dan kemudahan kerajaan.
Disusuli pula penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2005 yang melibatkan hukuman hudud, qisas dan takzir untuk kesalahan jenayah kepada orang Islam. Sekarang pula, ke arah pelaksanaan misi perbandaran Islam di semua pihak berkuasa tempatan.
Ia turut diperkasakan pentadbiran dalam pembangunan ekonomi berteras prinsip Islam yang mengutamakan ketelusan menerusi amalan tender terbuka. Pelaksanaan perbandaran Islamik dan pengimarahan cara hidup berteraskan amal ibadat, budaya ilmu serta kesejahteraan Islam telah dilaksanakan program pembangunan komuniti Desa Taqwa dan Medan Ilmu serat Qariah/Madinah Ramadhan
Amalan ta’awun
Begitu pula, seawalnya lagi PAS di Kelantan telah melaksanakan amalan pembangunan berkonsepkan kerjasama atau gotong royong melibatkan masyarakat setempat. Konsep tersebut ialah amalan ta’awun dalam menyiapkan sesuatu projek kesejahteraan rakyat. Ia merupakan amalan berasaskan ta’awanu (bertolong-tolongan) yang disyariatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran (Surah Al-Maidah ayat 2) bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Amalan ta’awun lebih popular kalangan masyarakat Kelantan sebagai gotong royong, iaitu suatu proses sosial yang mengutamakan kerjasama dalam menjayakan sesuatu matlamat bersama. Ia juga suatu amalan yang digalakkan di dalam berjemaah mahupun berorganisasi yang memupuk persaudaraan Islam, kesatuan fikrah dan amal. Kesan daripada amalan ta’awun itu telah dapat menjimatkan kos projek dan menjalin hubungan setiakawan dan kehidupan berteraskan permuafakatan. Hal ini sedang diperkasakan apabila secara rasminya portfolio Kesejahteraan Rakyat dilaksanakan mulai 2013. Natijahnya adalah kesejahteraan hidup di dalam sesuatu komuniti setempat. Inilah yang diimpikan oleh sebuah gerakan Islam tatkala berkuasa.
Parti menguasai kerajaan
Sesungguhnya, model politik matang dan sejahtera yang dipamerkan menggambarkan PAS melakukan tatkala berkuasa, sekaligus menjayakan prinsip parti menguasai kerajaan. Agenda parti diterapkan dalam pelaksanaan perancangan dan urustadbir kerajaan yang bertunjangkan prinsip syarak.
Prinsip parti menguasai kerajaan merupakan amalan standard bagi kepimpinan kerajaan yang dipilih oleh parti untuk menguruskan kuasa (dari Allah melalui kerajaan untuk rakyat mencapai keredaan-Nya) di peringkat kerajaan demi kepentingan parti dan rakyat yang memilih pemimpin yang berkuasa (kepimpinan ulama’).
Dalam amalan demokrasi, sebuah kerajaan dibentuk hasil kepercayaan dan mandat majoriti rakyat kepada sesebuah parti. Parti yang terpilih membentuk kerajaan di Malaysia ialah yang memenuhi keperluan sistem “first past the post” (pihak yang dikira menang meskipun dengan satu undi).
Oleh sebab itu, pembudayaan politik matang dan sejahtera di Kelantan sentiasa melalui proses penambahbaikan kerana setiap penggal pilihan raya, rakyat akan menilai di atas pencapaiannya. Ukuran pencapaian utama adalah sejauh mana pelaksanaannya memenuhi indeks syariah yang membawa impak memuaskan dari segi kesejahteraan hidup rakyat sesuai dengan perkembangan semasa.

Dengan kata lain, pengalaman PAS di Kelantan di dalam memartabatkan model politik matang dan sejahtera ini merupakan kesinambungan daripada pembinaan nilai-nilai madani dalam masyarakat dan negara. Ia berpaksikan usaha pengukuhan hubungan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan yang bertunjangkan syarak. Hal ini sedang diuruskan oleh kepimpinan ulama’ PAS Kelantan sekarang ini yang perlu dikongsi bersama-sama demi memacu pembinaan tamadun baru yang membawa penyelesaian berasaskan sistem politik dan sosial Islam.