Fakta kekosongan kerusi
Kerusi DUN Bukit Selambau yang terletak dalam kawasan Parlimen Merbok, kosong ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya V Arumugam pada Isnin, 9 Februari lalu.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, mendapat 13,225 undi, mengalahkan calon BN daripada MIC S Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.
Beliau kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri sebelum meletak kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu yang memaksa meninggalkan PKR dan menyertai BN.
UMNO gagal tuntut kerusi
Dua hari selepas kekosongan kerusi itu, pada 11 Februari UMNO Bahagian Merbok menuntut agar calon daripada Umno dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau kerana jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.
Ketuanya Datuk Tajul Urus Md Zain dilaporkan berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh Umno sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal. Tetapi tuntutan UMNO itu gagal berikutan keputusan pimpinan tertinggi BN mengekalkan pemberian kerusi kepada MIC. Ia diumumkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 14 Mac lalu dengan menamakan S. Ganesan. 49, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah sebagai calon bagi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau.
Komposisi kaum
Dalam pilihanraya umum lalu, DUN tersebut mempunyai 34,977 pengundi, iaitu 17,607 (50.34%) pengundi Melayu, 9,688 (27.70%) pengundi India, 7,386 (21.12%) pengundi Cina dan 296 pengundi keturunan lain.
Sementara, daftar pemilih yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) jumlah pemilih bagi pilihan raya kecil nanti ialah 35,140 dengan Melayu 17,667 (50.28%), Cina 7,516 (21.39%) dan India 9,956 (28.33%).
Secara bandingan jumlah pengundi Bukit Selambau dari pilihan raya umum Mac 2008 dengan pilihan raya kecil adalah seperti berikut (Rajah).
Peluang PR
Dalam isu calon, tiada perebutan antara PAS, KeADILan mahupun DAP. PAS tidak menuntut untuk bertanding begitu juga DAP. Atas nama PR mereka setuju KeADILan menamakan calonnya tanpa mengira kaum. Dato’ Seri Ustaz Azizan selaku Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah turut hadir dalam majlis merasmikan calon PR. S Manikumar seorang ahli perniaga telah diisytiharkan sebagai calon KeADILan di Bukit Selambau adalah bakat muda yang diharapkan untuk memimpin rakyat.
Meskipun ada bantahan atas pencalonan tersebut kononnya Manikumar bukan pimpinan parti, datu Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum KeADILan yakin, ia bukan penghalang bagi PR menang. Malah ia mampu untuk menyaingi calon BN.
Senario pilihan raya 2008
Berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008, nampak jelas ada segelintir pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi dan tidak bersedia mengundi calon daripada kalangan India. Pengundi berkenaan mungkin ahli tegar UMNO yang memprotes. Berdasarkan kenyataan Tajul Urus, Ketua Bahagian UMNO Merbok yang minta kerusi DUN ini diberikan kepada UMNO, boleh jadi pilihan raya kecil ini nanti akan menyaksikan trend pengundi Melayu yang sama.
Misalnya dalam pilihan raya umum lalu, trend pengundian bagi pengundi Melayu seperti Kuala Sin, didapati jumlah undi rosaknya agak besar: jumlah pengundi yang keluar 656, didapati 57 undi (8.69%) adalah rosak. Begitu juga di daerah mengundi Taman Ria Jaya, 164 undi (4.42%) adalah rosak. Jumlah rosak ini, dikatakan berpunca daripada undi protes kalangan pengundi Melayu yang bersikap perkauman. Dan dalam pilihan raya kecil ini, suara protes itu, sebenarnya telah diluahkan oleh UMNO Bahagian Merbok!!
Scenario di atas, sudah tentu akan membuka peluang kemenangan sekali lagi kepada PR sekiranya bantahan kecil sesama KeADILan dapat diredakan dalam kempen pilihan raya kecil Bukit Selambau nanti. Menurut sumber dalaman PR, pihak Menteri Besar Kedah telah menjanji kepada pengundi-pengundi Bukit Selambau, calon PR yang menang nanti akan dilantik sebagai ahli exco kerajaan negeri yang masih belum diisikan berikutan perletakan Arumugan. Justeru itu, janji tersebut adalah ‘tuah’ bagi pengundi Bukit Selambau yang pastinya memerlukan perhatian dan pembangunan. Segala-gala akan terjawab pada 7 April nanti.
Catatan hujung:
Sesungguhnya Tuhan Yang Esa menciptakan manusia pelbagai kaum adalah sebagai tanda kebesaran-Nya. Sebagai makhluk ciptaan tuhan, rukun kenal-mengenal adalah suatu tanggungjawab demi keharmonian hidup. Maka pilihan raya kecil adalah suatu seni politik ‘perwakilan’ yang membuka ruang semua pihak terlibat dalam membuat keputusan demi keharmonian, kemakmuran dan kemajuan bersama. Oleh itu, apa bangsa sekalipun perlu bertanggungjawab atas kepentingan semua kaum yang diwakilinya.
No comments:
Post a Comment