07 November, 2011

Raya Idul Adha 1432H-Fadhilat Korban

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah”. Para sahabat baginda bertanya: “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”. Ujar baginda: “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” (hadith riwayat al-Bukhari)

Sesuai dengan fadhilat itu, pada tahun ini, Raya Qurban disambut tetap meriah meskipun sederhana.

Saya berkesempatan berkorban hanya satu bahagian dan isteri juga satu bahagian. Pun begitu saya berkhidmat sebagai penyembelih untuk tiga ekor lembu korban. Satu di rumah Adik di Kg Anak Temesu, iaitu sebaik saja selesai solat dan khutbah Idual Adha.

Kemudian bergegas balik untuk menyembelih pula seekor lagi di rumah Abang Ipar di Kg Nipah, dan kemudian langsung menyembelih pula seekor lagi di rumah Kakak Ipar di Kuala Nipah. [Video klik] Sedikit rakaman amatur oleh anakanda saya (W. Nor Hilmi) dipaparkan.

Fadhilat korban binatang ternakan

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan.”(hadith riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi, maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, maka Dia tidak menerima (amalan) melainkan yang baik-baik sahaja.” (hadith riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW seterusnya, bermaksud: “Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga”. Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu.” (hadith riwayat Muslim).

Rasulullah SAW juga bersabda, maksudnya: “Orang yang mengurus (kebajikan) janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjuang di jalan Allah”, Kata Abu Hurairah: “Saya juga menduga baginda bersabda ‘(Mereka yang mengurus kebajikan orang miskin) bagaikan orang yang selalu solat malam tetapi tidak pernah merasa letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka.” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW berikutnya bermaksud: “Sesama umat Islam itu bersaudara. Oleh sebab itu, janganlah menganiaya dan jangan mendiamkannya. Siapa sahaja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikan kepentingannya. Siapa sahaja yang melapangkan satu kesusahan sesama umat Islam, nescaya Allah akan melapangkan satu kesusahan daripada beberapa kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa sahaja yang menutupi keburukan seorang umat Islam, maka Allah akan menutupi keburukannya pada Hari Kiamat.” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW juga bermaksud: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah kamu (iaitu berterusanlah teguh).” (hadith riwayat Muslim)

Meskipun ia (amal kebajikan) yang sedikit. Justeru sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit.” (hadith riwayat al-Baihaqi)

Kelebihan amalan itu dinyatakan Rasulullah SAW menerusi sabda bermaksud: “Sesungguhnya kamu dibantu (Allah) dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu.” (hadith riwayat al-Tirmidzi)

Sesungguhnya, di sebalik segala-gala kebaikan dan kebajikan serta istiqamah itu, hakikatnya kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa bersyukur.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Al-Quran, Surah Ibrahim :7)

Semoga dengan bersyukur Allah Yang Maha Memberi Rezeki pastinya meenambahkan lagi pulangan rezeki di dunia mahu pun di akhirat nanti.

Allahhu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar; Allahu Akbar walilLahilhamd.