14 April, 2014

PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN PILIHAN RAYA: PAKATAN RAKYAT PERLU RESPONSIF TERHADAP TAKTIK SPR

Pada April ini, menurut sumbernya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan membincangkan tatacara mengkaji semula syor-syor menyempadankan [menyempadani] bahagian pilihan raya parlimen dan negeri. Tatacara itu adalah sesuai dengan peruntukan dalam Jadual Ketiga Belas yang bersumberkan kuasa Fasal 2 dan fasal-fasal berurutan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.  Hal ini menjadi tugas rutin SPR setiap lapan tahun (daripada tempoh kajian semula sebelum ini) dan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun daripada mula kajian semula dibuat.

Apa yang penting difahami, perbincangan syor-syor sudah agak terlewat memandangkan tarikh-tarikh proses tatacara kajian semula menyempadani yang terakhir pada tahun 2003. Berdasarkan tempoh proses tersebut, SPR telah memulakan kerja awal (menyiarkan pameran notis awal melalui warta) pada 8 Ogos 2002; siasatan tempatan 1 Oktober  hingga 2 Disember 2002; kemudian pameran kedua pada 16 Januari – 15 Februari 2003; tempoh rayuan pula pada 2 hingga 6 Februari 2003 dan siap proses menerima rayuan itu pada 10 Mac 2003.

Kajian semula 2003

Oleh itu, tempoh genap lapan tahun selepas siap proses bagi kajian semula tahun 2003 ialah pada pada 10 Mac 2003 hingga 10 Mac 2011. Ini bermakna pihak SPR sudah pun melakukan tugas-tugas kajian ini sebelum pilihan raya umum 2013 lagi dan sepatutnya tempoh 10 tahun sebagaimana kehendak  Maka penulisan ini bertujuan meneliti beberapa cadangan asas untuk pihak PAS dan rakan Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab mempersiapkan beberapa aspek asas dan prinsip serta teknikal yang harus dilaksanakan bagi meneliti beberapa syor SPR yang akan dipamerkan untuk mendapat representasi (kerajaan negeri atau kerajaan tempatan dan orang ramai) sebegaimana tatacara mengikut Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Pengalaman lalu (tahun 2003) pihak Barisan Nasional telah bersekongkol dengan SPR bagi memantapkan sokongan rakyat melalui kajian semula ini. Misalnya di negeri dominan Barisan Nasional, Johor diperuntukkan tambahan 6 kerusi Parlimen baru dan Sabah 5 kerusi, sementara negeri-negeri lain diberi 1 atau 2 kerusi Parlimen tambahan. Sedangkan di negeri-negeri undi Barisan Nasional merosot (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), tidak ditambah sebarang kerusi Parlimen. Bahkan di Kedah, menyempadani semula bahagian tanpa tambahan kerusi, sehingga mewujudkan ketidakseimbangan jumlah pengundi yang amat ketara, terutama kawasan luar bandar dan Barisan Nasional kekal dominan. 

Pakatan hendaklah sepakat

Memandangkan status demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia belum lagi berada pada kedudukan terbaik, termasuklah ada beberapa kelemahan dalam urusan persempadanan bahagian pilihan raya sebelum ini, maka amat wajar syor-syor kajian semula kali ini diambil perhatian. Pakatan Rakyat sewajarnya sepakat bagi menghakiskan ruang hegemoni Barisan Nasional yang selama ini mengekang ruang kepada parti pesaing demi untuk terus kekal menguasai tampuk pemerintahan. 

Sesuai dengan latar belakang rakyat dan pengundi sekarang yang lebih matang (a matured and informed citizens and voters), maka sudah tentu ia memerlukan ruang demokrasi (termasuk urusan sempadan bahagian pilihan raya) yang progresif. Dalam konteks ini, perkembangan di negara maju seperti di Barat, mereka sedang menikmati satu sistem pelayanan perkhidmatan awam yang baik dari pihak kerajaan. Satu daripada saluran pelayanan itu hendaklah ‘kadar perwakilan’ di dalam satu-satu bahagian pilihan raya hendaklah kompeten dan efektif. Justeru ia penting untuk menyempadani bahagian pilihan raya itu dengan keluasan, kriteria pembangunan dan jumlah pemilih yang seimbang dengan upaya khidmat seorang wakil rakyat di bahagian berkenaan. Maknanya ia seimbang sebagaimana formula yang disyorkan oleh SPR sendiri (lihat Jadual berikut).

Apa pun persoalan ‘kadar perwakilan’ ini adalah terletak pada SPR yang akan berurusan dengan Perdana Menteri, sejauh mana hujahnya dapat memastikan sikap pendemokrasian (untuk melaksana ‘kadar perwakilan’) dipersetujui oleh Perdana Menteri sendiri. Oleh sebab itu, ruang kajian semula dan syor-syornya nanti hendaklah dipastikan berlaku penambahbaikan daripada apa yang berlaku pada tahun 2003 dan sebelumnya. Sebagaimana gesaan Pengerusi SPR (ketika itu), Tan Sri Haji Ab. Rashid Ab. Rahman (dalam ucaptama Majlis Pelancaran Akademi Pilihan Raya Malaysia, 8 Januari 2007), “Ke arah penambahbaikan sistem dan perjalanan pilihan raya Malaysia adalah perlunya dan pentingnya badan pengurusan pilihan raya seperti SPR senantiasa mendapat kepercayaan awam, tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak, segala urusannya harus dilihat sebagai senantiasa adil dan tidak berpihak dan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dapat menjalankan urusan dan aktiviti secara bebas.”

Tambah Ab. Rashid lagi, “Isu-isu berkaitan sistem pilihan raya amat perlu dilakukan penambahbaikan selepas negara mengharungi 50 tahun proses demokrasi beriringan dengan proses pembangunan yang pesat, bagi tujuan memenuhi kehendak awam yang menginginkan amalan-amalan demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia dibangunkan, memperdalamkan dan diperteguhkan sesuai dengan tuntutan semasa.”

Sehubungan itu, atas rasa tanggungjawab pihak Pakatan Rakyat, sesuai dengan perkembangan dan tuntutan persempadanan bahagian pilihan raya mencapai ‘kadar perwakilan’ yang standard (seperti kriteria syor SPR sendiri), maka tulisan ini berpendirian bahawa telah sampai masanya Malaysia yang dijenamakan sebagai kerajaan ‘wasatiyah’ pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil kira amalan demokrasi yang juga bersifat ‘wasatiyah’ demi menyuburkan proses patriotisme dalam pilihan raya akan datang.

Tanggungjawab jamai’i

Bagi pemimpin dan warga kerja PAS, kita hendaklah bersama-sama mengambil tanggungjawab ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW (hadis riwayat Muslim), maksudnya: Ribat (menjaga perbatasan wilayah Islam dari serangan musuh-musuh Islam) sehari semalam lebih baik dari pada puasa sunat dan solat sunat sebulan penuh, dan jika seorang murabit mati ketika sedang melakukan ribat, maka amal perbuatannya itu akan terus berpahala, dan ia diberikan rezekinya di syurga kelak, serta tidak ditanya di dalam kubur (oleh malaikat Munkar dan Nakir)”. Hal ini penting untuk keterlibatan secara jamai’i untuk memberi respons atas isu dan syor yang relevan demi mengutuhkan ruang untuk menguasai dan “counter hegemony” terhadap Barisan Nasional, khususnya di sempadan Melayu-Islam.

Antara isu dan syor relevan yang perlu dijadikan asas respons ialah dalam enam perkara pokok, iaitu: Pertama, meneliti objektif persempadanan untuk memastikan semua warganegara yang layak diberi peluang dan kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi secara sistematik dan teratur bagi pilihan raya yang bebas, adil dan demokratik; keduanya sempadan itu mengambil kira fakta kaedah muka bumi, perkembangan ekonomi dan penduduk; ketiganya kemungkinan ditambah bilangan kerusi berasaskan keadaan geografi dan topografi kawasan berkenaan, tahap pembangunan, demografi dan kepadatan penduduk, kemudahan asas yang perlu seperti jalan raya dan alat komunikasi yang lain, pelbagai prinsip yang perlu diikuti seperti mana tatacara dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan; keempatnya aspek kemampuan Kerajaan Negeri (khususnya dari segi kemungkinan tambahan kerusi Negeri) untuk menampung kos yang terlibat ekoran penambahan kerusi negeri; kelimanya penentuan bilangan pemilih di antara kawasan yang maju dan kawasan yang belum maju atau di antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar dan memastikan SPR mematuhi kriteria faktor kewajaran ‘weightage’ iaitu, bilangan pemilih bagi kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar atau bandar raya; keenamnya keadaan masyarakat di kawasan dalam bahagian pilihan raya berkenaan seperti isu perkauman yang berbilang kaum (homogenous) dan keadaan masyarakat berbilang kaum yang terpaksa dijelmakan dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang diwujudkan (sama ada mewujudkan kerusi ‘campuran’ atau ‘majoriti’ sesuatu kaum.

Apa pun, segala-gala asas respons yang diberi masih tertakluk kepada kuasa SPR sendiri untuk mengurus secara adil dan telus tanpa keraguan. Pengalaman lampau, isu dan syor persempadanan ini  sering kali menyebelahi hegemoni Barisan Nasional dalam mengekal kuasa. SPR didapati bertindak menurut pendekatan gerrymandering dan pihak parti pesaingnya sentiasa menerima kesan buruknya. Lihat sahaja pada pilihan raya umum 2004, PAS tewas dan gagal mempertahan kerajaannya ekoran daripada persempadanan yang tidak menambah sebarang kerusi. Apa yang dilakukan hanyalah menyempadani semula secara melonggokkan semula penyokong Barisan Nasional dari daerah mengundi tertentu untuk menjamin kemenangan. Pendekatan hampir berjaya Barisan Nasional merampas Kelantan dan sebahagian besar PAS dan KeAdilan tewas di kerusi parlimen. Semoga kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya kali ini dipandang serius dan diambil tanggungjawab oleh semua pihak demi mengutuhkan legitimasi 52 peratus rakyat yang telah pun mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.