16 April, 2015

Berkongsi hasrat Kanun Jenayah Syariah di Kelantan

Penemuan satu kajian oleh Pusat Analisis Dasar dan Pembangunan Strategik Kelantan (CPASD) mengenai penerimaan rakyat terhadap peralihan teraju kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan pasca pilihan raya umum 2013 lalu amat menarik untuk diambil perhatian. Kajian membabitkan 645 responden di lokasi Dun Chempaka, Kelantan pada 1-15 Mac 2015 (menjelang pilihan raya kecil di Dun Chempaka berikutan kembalinya ke rahmatullah bekas Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memfokuskan kepada persepsi rakyat berhubung isu kesinambungan kepimpinan Menteri Besar daripada Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz kepada Ustaz Haji Ahmad Yakob.

Penemuan tersebut telah menjawab dari segi pengabsahan (legitimation) kepimpinan Tok Guru dan peralihan kepimpinan Menteri Besar Kelantan. Hasilnya, 95.3% adalah mengabsahkan bahawa Tok Guru telah meninggalkan suatu legasi yang diterima baik oleh semua orang. Selari dengannya, mendapati 91.9% pula mengabsahkan bahawa Ustaz Ahmad sebagai tokoh yang mampu melaksanakan kesinambungan Kepimpinan Ulamak yang diasaskan oleh Tok Guru.

Kemudian kajian yang sama turut meneliti aspek pentadbiran Islam Negeri Kelantan berhubung dua persoalan besar, iaitu penerusan dasar pentadbiran Membangun Bersama Islam dan pengiktirafan terhadap PAS sebagai parti yang mentadbir Kelantan.

Justeru hasil kajian itu menunjukkan pertamanya, didapati 94.3% bersetuju agar dasar Membangun Bersama Islam sebagai tonggak pentadbiran Negeri Kelantan diteruskan oleh kepimpinan Ustaz Ahmad. Keduanya pula, 94.7% bersetuju bahawa kejayaan dasar-dasar pentadbiran Islam di Kelantan semasa kepimpinan Tok Guru dan disambung pula oleh Ustaz Ahmad adalah sebagai bukti kejayaan PAS yang mentadbir negeri.

Kaitan dengan KJS

Meskipun kajian CPASD tersebut tidak menyentuh secara langsung isu-isu pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan, namun manifestasi kajian itu sedikit sebanyak membayangkan nilai positif rakyat yang boleh dikaitkan dengan pengiktirafan kepada semua aspek pelaksanaan sistem petadbiran yang mesra syariah di Negeri Kelantan.

Ini bermaksud, sekiranya kajian ini turut mengajukan persoalan “usaha Kerajaan Negeri Kelantan ke arah memartabat perundangan jenayah syariah” maka boleh dianggapkan bahawa pola bersetujunya dijangkakan melepasi tahap 85%. Ini berdasarkan petunjuk persetujuan atas dua persoalan, iaitu persoalan,  “sungguhpun PAS telah lama memerintah Kelantan (selama 24 tahun), secara umumnya ia telah berjaya” (yang bersetuju 89.9%); dan persoalan, “kejayaan PAS memerintah Kelantan kerana PAS menjadikan Islam sebagai dasar pentadbirannya” (yang bersetuju 94.7%). Hakikatnya dua persoalan ini adalah dianggap ukuran penerimaan kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri Kelantan di dalam memartabatkan syariah dalam pelbagai aspek pentadbiran termasuklah, perundangan jenayah syariah.

Oleh itu, munasabahnya kajian tersebut dapat dikaitkan dengan satu lagi kajian sebelumnya berhubung dengan usaha Keajaan Negeri Kelantan ke arah merealitikan KJS. Kajian tersebut dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik (PKS) pada 25 hingga 31 Mei 2014 adalah berpandukan pendekatan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada 9,654 penerima.Tumpuannya kepada inisatif ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah pasca Tok Guru Nik Abdul Aziz oleh Menteri Besar baru, Ustaz Dato Ahmad Yakob.

Dalam kajian PKS itu, pertamanya didapati 97.94% adalah bersetuju di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneruskan pelaksanaan KJS menuju realiti, dan keduanya didapati 85.84% adalah bersetuju di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri menjalin bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan proses pelaksanaan KJS.

Justeru nilai bagi kedua-dua kajian tersebut amat signifiken dalam membaca mandat dan hasrat rakyat terhadap pelaksanaan dasar-dasar pentadbiran Islam di Negeri Kelantan. Lebih-lebih lagi, dalam konteks semasa berkaitan dengan usaha pelaksanaan KJS selepas diluluskan oleh Dewan Negeri pada 19 Mac lalu dan ura-ura “privat member bill” di Parlimen oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merangkap Presiden PAS.

Berkongsi hasrat syariah

Sehubungan itu, di dalam perkembangan mutakhir ini berhubung pemartabatan perundangan syariah (sharia law) di serata dunia, didapati telah banyak negara umat Islam yang kembali kepada dasar Islam sebenar. Terbaru Negara Brunei mula menguatkuasakan KJS pada Januari 2014 dan sebelum Brunei, sekurang-kurang lima negara telah meletakkan syariah adalah sumber penting undang-undang negara Islam, antaranya Arab Saudi, Sudan, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar. Lihat Peta berikut.

 Apapun banyak negara umat Islam, termasuk Malaysia pemakaian undang-undang syariah hanya merujuk kepada undang-undang diri  (personal law) berkaitan hal ehwal kekeluargaan – perkahwinan, perceraian, keganasan rumah tangga, sokongan kanak-kanak, undang-undang keluarga, harta pusaka dan hal-hal lain. Maka didapati unsur-unsur undang jenayah syariah jika adapun adalah diamalkan dengan kadar yang berbeza-beza menurut sistem keadilan jenayah tradisi atau undang-undang konvesional masing-masing.

Realitinya hampir tiada negara yang menggunakan sepenuhnya undang-undang syariah. Walaupun begitu Arab Saudi adalah negara yang paling dekat kepada syariah sepenuhnya, namun ia ada kekecualian (tidak terpakai) kepada kelas atasan atau keluarga diraja, Sementara ada negara yang mengamal sistem Persekutuan turut membenarnya negeri naungannya secara autonomi bagi menjalankan perundangan syariah termasuk berkaitan hukuman jenayah. Antaranya Nigeria yang membenarnya 12 daripada 36 negerinya mengamalkan undang-undang jenayah termasuk hudud. Begitu juga di Indonesia, mmbenarkan Acheh sejak tahun 2001, dan pada 2009 diperkenalkan pula hukuman sebat dan rejam kepada kesalahan zina. Tunggu lagi, Malaysia bakal membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang termasuk hudud dan qisos. Itu pun tertakluk kepada usaha melepasi halangan perlembagaan dan psikologi “political will’ para pemimpin di peringkat Pusat.

Apapun perbincangan berkaitan usaha pelaksanaan perundangan Islam, undang-undang jenayah syariah adalah memerlukan pertimbangan khusus. Ini penting memandangkan kesedaran dan hasrat kebanyakan umat Islam memang sedia berkongsi hasrat atas kesedaran memperkasakan amalan syariah di dalam semua segi kehidupan.

Berpandukan beberapa contoh hasil kajian yang dibuat di peringkat antarabangsa pun membuktikan hasrat berkongsi hasrat syariah ini agak besar. Misalnya kajian World Public Opinion yang dsokong oleh START Consortium, University Maryland (pada Disember 2006 hingga Februari 2007) mendapati nilai bersetuju yang baik ke arah melaksanakan undang-undang syariah sepenuh – di Pakistan 79%, Morocco 76%, Mesir 74% dan Indonesia 53%. Lihat Jadual berikut.

Demikian pula kajian Pew Poll (disiarkan pada 2 Disember 2010) menepati majoriti umat Islam yang rasa selesa (favor) untuk menukar undang-udang jenayah sedia ada kepada syariah yang berasaskan hukuman rejam kepada penzina, potong tangan terhadap pencuri dan bunuh untuk murtad. Begitu pula, kajian tersebut juga mendapati penerimaan terhadap hukuman keras menurut undang jenayah syariah sedia diterima baik di beberapa negara. Meskipun kadar penerimaan itu berbeza-beza, namun ia cukup mengisyaratkan hasrat kepada mengamalkan perundangan Islam. Lihat Jadual berikut.


Penerimaan itu bila diunjurkan ikut negara adalah tertinggi di Pakistan, iaitu bersetuju dengan hukuman rejam kepada penzina, 82%, potong tangan kerana mencuri 82% dan bunuh mereka yang murtad 76%. Trend yang sama di Mesir, yang bersetuju dengan rejam 82%, potong tangan 77% dan bunuh 84%. Namun agak rendah kadarnya di Indonesia, iaitu rejam 42%, potong tangan 36% dan bunuh 30%. Apa pun penerimaan agak sederhana, di Nigeria, iaitu rejam 56%, potong tangan 65% dan bunuh 51%. Secara umumnya, boleh dikatakan kadar penerimaan untuk mengamalkan undang-undang jenayah syariah adalah dipersetujui oleh majoriti umat Islam di kebanyakan negara.


Rumusannya, apa yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan hari ini adalah menepati hasrat dunia umat Islam di peringkat global. Lebih terkhusus lagi apabila majoriti rakyat Kelantan yang telah memberi mandat dan menyatakan hasrat bagi pelaksanaan KJS sejak 1990 lagi. Kini sinar harapan semakin bersinar, semoga dipermudahkan Allah jua.