18 March, 2009

NAJIB MENUJU POST NO.1

Banyak suara menentang Datuk Seri Najib jadi orang no.1 dalam UMNO/BN, mahupun dalam kerajaan BN sendiri. Jika suara itu datangnya dari pemimpin pembangkang maka ia suatu perkara biasa. Misalnya sebelum ini Mursyidul Am PAS, Presiden PAS dan Datuk Seri Anwar telah menzahirkan bangkangan kepada Najib menuju post no.1. Kalangan pemimpin bekas orang kuat UMNO pun ada yang bertindak menentangnya. Ini mungkin luar biasa/pelik!!

Sumber Malaysiakini telah merakamkan kenyataan Datuk Zaid Ibrahim (gambar), mantan menteri kabinet pimpinan Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi yang meletak jawatan telah mencadangkan agar Yang Dipertuan Agung tidak melantik Najib selaku PM. Ini suatu petanda, di sebalik gahnya susuk tubuh Najib, ada perkara yang tidak 'jelas' untuknya layak menduduki jawatan PM/post no.1.

Sesungguhnya Tuhan Yang Esa menciptakan manusia dengan naluri yang baik; namun keburukan akan wujud jua dalam diri manusia kerana hasutan syaitan dan gelora nafsu menguasai diri. Justeru itu, bukan semua manusia mampu menutup kelemahan dan keburukan diri sehinggalah ada kuasa lain yang boleh membongkarkan keburukan itu. Dengan kehendak Tuhan Yang Esa, manusia sesama manusia ada daya kasyaf untuk memahami nilai baik buruk seseorang!!

17 March, 2009

Bukit Gantang: PR/BN perlu kempen strategik-3


Malaysiakini
pada 21 Feb. melaporkan sumber dari UMNO Bahagian Bukit Gantang tiga calon yang dikemukakan: Kamalulail Sulaiman; 47, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 44, (naib ketua) dan Ismail Saffian, 47 (ketua penerangan).

Kemudian laporan Malaysian Insider: Najib memilih Ismail atas criteria tokoh itu sebagai ahli perniagaan, bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang yang pernah tewas kepada Rosli Husin dalam perebutan pemilihan ketua bahagian sebelum ini. Rekod ini agak merisaukan dalaman UMNO Bukit Gantang!!

Lalu muncullah golongan yang tak berpuas hati. Antara individu yang awal menentangnya adalah pimpinan UMNO tempatan yang dikenali sebagai 'orang Pak Lah'. Beliau ialah Razak Baba seorang aktivis tempatan yang mendakwa dirinya rapat dengan Pak Lah. Sikap beliau memprotes itu ialah dengan cara menawar diri untuk bertanding atas tiket PAS. Pendirian beliau telah disampaikan kepada Naib Presiden PAS pada 16 Mac lalu, menerusi perjumpaan peribadi dan telah menyerahkan surat yang menyatakan hasratnya itu.

Inilah sikap pelik sesetengah orang UMNO, bila dia tak setuju dengan keputusan parti, dia akan protes sampai sanggup duduk sebelah parti lawan hatta sanggup jadi calon untuk lawan pilihan Najib selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Mungkin perkara ini tak berlaku dalam PAS.

Walau bagaimanapun PAS dijangka tak terima tawaran Razak Baba itu. Kerana PAS dikatakan telah siap untuk menurunkan pimpinan kanannya bertanding. Maka tak berbangkitlah PAS nak ambil orang UMNO bertanding mewakili PAS.

Catatan hujung:
Sesuatu yang pelik tapi benar, itulah sifat ketentuan Tuhan Yang Esa. Nampaknya jalur retak UMNO dah jelas bila calon yang dipilih dari kem yang tidak dipersetujui. Retak dah menunggu belah. Akan berulanglah cerita PrK Kuala Terengganu, isu calon juga yang mengalahkan BN. Tidak peliklah, BN akan kalah lagi di Bukit Gantang!!

16 March, 2009

Bukit Gantang: PR/BN perlu kempen strategik-2

Kempen berstrategik

Berdasarkan maklumat demografi pemilih parlimen Bukit Gantang, beberapa maklumat siginifiken yang perlu diambil tindakan bagi parti-parti yang bertanding.Antara yang utama ialah menjalan kempen berstrategik dengan memberi perhatian lebih kepada jumlah pengundi muda yang mewakili 34.12 % daripada keseluruhan kohot pengundi. Maka, kumpulan pengundi muda itu merupakan kohot pengundi strategik yang berada di medan kempen. Oleh itu, pengundi muda sama ada yang lelaki mahupun wanita merupakan kumpulan fokus pertama untuk mencipta kemenangan.

Demikian pula, kumpulan terbesar pengundi ialah pengundi dewasa yang berjumlah 25,189 orang. Jumlah ini pula, petanda yang ada menunjukkan kira-kira 60 % adalah kumpulan pengundi Melayu yang semestinya bertaraf signifiken dan penentu kepada kemenangan. Taraf ini perlu dimantapkan dengan tindakan kempen bersifat mengukuhkan sokongan pengundi teras. Namun, latar belakang pengundi dewasa yang kebanyakannya berada dan aktif dalam kawasan pilihan raya akan memudahkan tindakan kempen. Tetapi ia perlu dilakukan secara berstrategik.

Keadaan yang berbeza bagi pengundi muda yang sebahagian besar berada di luar kawasan kerana faktor pekerjaan. Maka tindakan kempen kepada pengundi muda perlu disokong oleh tahap penggunaan teknologi informasi untuk memastikan komitmen balik mengundi.

Walau apapun, demografi pengundi tetap menuntut perhatian lebih kepada kedudukan komposisi kaum yang agak besar jumlah pengundi bukan Melayu. Ini bermaksud tindakan kempen harus mengambil kira latar belakang geopolitik kumpulan pengundi tersebut. Pengaruh bandar yang agak sederhana berbanding luar bandar dan aktiviti ekonomi yang majoritinya bersifat tradisi (nelayan, pekebun dan buruh ladang serta peniaga). Oleh itu, darjah penaungan dan kebergantungan agak tinggi. Psikopolitik ini akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjalankan tindakan kempen secara manipulatif dan menggunakan segala kekuatan kerajaan selaku parti pemerintah.

Dalam konteks tersebut, maklumat demografi pengundi umumnya hanyalah sebagai panduan bagi membina strategi kempen yang mendatar. Tindakan kempen yang berstrategik atau bertindan-lapis tetap bergantung kepada isu-isu yang membina mood pengundi itu sendiri. Dalam aspek ini, Pakatan Rakyat (PR) memiliki kekuatan dan hubungan yang intim dengan mood pengundi ekoran daripada perkembangan politik semasa di Perak. Namun ia tetap bergantung kepada keupayaan masing-masing parti menggerakkan jentera kempen masing-masing mendekati, menguasai dan menawan pengundi Bukit Gantang.


Catatan akhir:

Sesungguhnya Tuhan Yang Esa menyediakan pahala kepada hamba-Nya yang menjayakan amal kebaikan dan mencegah keburukan. Oleh itu, setiap petugas parti yang bertanding hendaklah melaksanakan tugas kempen dengan penuh keikhlasan. Namun ke arah mana pengundi Bukit Gantang hendak dikempen. Ia harus dilihat kepada senario politik di Perak masa kini. Sekiranya BN berjaya memenangi PrK tersebut, bermakna pengundi mengesahkan usaha “membeli” tiga ADUN PR bagi membolehkan BN mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada PR. Persoalannya pula, adakah usaha “membeli” ADUN PR akan dikira pahala di sisi Tuhan Yang Esa, dan segala usaha untuk mengekalkan mandat rakyat yang menjayakan pembentukan kerajaan PR di Perak itu akan juga mendapat pahala? Perenggan akhir ini adalah titik tolak renungan bagi menilai politik yang dibawa BN mahupun PR adalah suci dari pengaruh kebendaan-keduniaan.