24 April, 2017

PAS~DAP: Hubungan terbuka dan tegang

Oleh:
Dr Wan Nik Wan Yussof,
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.


Democratic Action Party (DAP) atau sebutan Bahasa Melayu ialah Parti Tindakan Demokratik, iaitu sebuah parti pelbagai kaum, sekular dan sosialisme demokratik. Ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966. Konsep perjuangannya ialah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia (Malaysian Malaysia) dengan berlandaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi serta berasaskan demokrasi berparlimen. Bentuk sosialisme yang menjadi pilihan DAP ini adalah sosialisme sederhana yang bersifat anti-komunis dan anti-kapitalis serta kuat mempertahankan kekuasaan negara sekular. Justeru peranan DAP dalam politik Malaysia adalah signifikan dan berpengaruh yang termasuk sebagai tiga parti oposisi sebaris dengan PKR dan PAS yang pernah bersama di dalam Barisan Alternatif (1999-2001), Gabungan Bersih (2006-2008) dan bersama-sama membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Kini Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil permuafakatan tiga parti (PKR, DAP dan PAS) sudah tinggal semangatnya sahaja. Ia kerana DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS dan begitu juga PAS. Realitinya kedua-duanya telah tidak lagi sealiran ekoran masing-masing sudah memutuskan hubungan. Namun semangat Pakatan Rakyat masih berlaku dalam bentuk hubungan terpusat dengan PKR sahaja, iaitu antara PAS dengan PKR dan DAP dengan PKR. Hubungan terpusat kepada PKR tetap penting bagi PAS di Selangor dan bagi DAP di Pulau Pinang demi mengekalkan kuasa dalam kerajaan negeri.
Sehubungan itu, penulisan ini tidak berhajat untuk mengulas tentang hubungan antara parti selepas keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Jauah sama sekali untuk mengulas hubungan PAS dengan PKR yang terasa hawanya cukup panas kebelakangan ini. Sebaliknya, tumpuan penulisan ini hanyalah untuk mendedahkan fakta kronologi dan nostalgia hubungan kerjasama perjuangan politik sudut oposisi antara PAS dengan DAP yang bersifat terbuka dan tegang.

Sentimen terbuka dan tegang
Sejarah hubungan lampau dan terkini PAS-DAP boleh disifatkan sebagai berlaku berdasarkan keadaan politik dan isu. Di dalam sesetengah keadaan ia berlaku sentimen hubungan terbuka dan dalam keadaan yang lainnya pula berlaku secara tegang. Hubungan terbuka boleh berlaku secara terang demi memenuhi nilai-nilai politik bersifat simbiosis. Contoh hubungan terbuka ialah semasa kerjasama Barisan Alternatif (1999) di atas kebersamaan (PAS-DAP-KeADILan) untuk menuntut keadilan dan menentang kezaliman yang dibayangi oleh peristiwa pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu pula, atas nama Gabungan Bersih (menghadapi pilihan raya 2008) bagi menuntut pilihan raya yang telus, adil dan bersih. Diikuti dengan berlaku permuafakatan atas nilai-nilai hak dan kebebasan demokrasi lalu ditubuhkan Pakatan Rakyat (2008) sehingga pilihan raya 2013.

Sementara hubungan tegang pula merujuk kepada sentimen hubungan PAS-DAP dalam konteks percaturan pengaruh bagi membuktikan ketulusan prinsip perjuangan masing-masing demi mengukuhkan keyakinan ahli dan penyokong. Misalnya, pernah PAS mahupun DAP bersepakat untuk menentang Barisan Nasional di dalam pilihan raya atas dasar untuk memecah undi agar sentimen pengundi (atas prinsip agama dan kaum) bagi mengalahkan Barisan Nasional. Demikian pula, di atas prinsip pengukuhan sokongan terhadap dasar perjuangan parti, PAS akan membuktikan ketegasan di atas isu-isu berkaitan Islam sebagai dasar perjuangan (contohnya matlamat negara Islam). Begitu pula bagi DAP akan tetap bertegas untuk membuli matlamat negara Islam atas semata-mata membuktikan ketegasan matlamat perjuangan negara sekular demi menarik sokongan kelompok tegar yang anti-negara Islam.
Di atas nilai sentimen politik dan prinsip perjuangan sedemikian, maka tidaklah pelik untuk memahami tujuan tersirat masing-masing parti sanggup melakukan hubungan tegang. Dalam konteks ini, pendirian PAS begitu kental mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan menstatuskan pendekatan siasah syariyyah beralaskan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah-Hudud, meskipun ia ditentang keras oleh DAP. Lantas di atas isu ini maka berlakulah hubungan tegang antara PAS dengan DAP. 

Sebaliknya pula, pihak DAP menyambut sifat hubungan tegang itu dengan menyerang dan membuli prinsip PAS secara berterusan bagi meraih keyakinan ahli dan penyokong yang inginkan DAP kekal di atas prinsip negara sekular. Maka sentimen pengundi akan berpihak kepada masing-masing parti yang mereka persetujui. Lazimnya, PAS akan diyakini kalangan mereka yang bersetuju atas prinsip Islam (di zon majoriti Melayu) dan DAP dapat kekal popular (di zon bandar majoriti Cina) dalam kalangan pengundi pro-sekular demokrat.

Kronologi putus hubungan
Sebagimana dinyatakan pada awalnya, hubungan (baca, kerjasama) PAS dengan DAP mempunyai nilai politik yang bersifat timbal-balas. Pada 22 September 2001, DAP terpaksa keluar Barisan Alternatif kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam. Sebelum itu DAP telah mengemukakan lima formula bagi mengelak perpecahan Barisan Alternatif, namun PAS terpaksa menolak formula itu kerana didapati bercanggah dengan perjuangan Islam. Tinggallah PAS kekal bekerjasama dengan KeADILan sehingga pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemerosotan kerusi PAS dan KeADILan kerana Umno melakukan pembaikkan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Penggantinya Abdullah Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 – 3 April 2009) yang dkenali sebagai Pak Lah seorang ‘bersih’ yang sebelumnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sejarah kerjasama kali kedua termaktub semula menjelang pilihan raya 8 Mac 2008, apabila PAS, PKR (dulunya KeADILan) dan DAP boleh bersama dan hasilnya mencapai kemenangan yang hampir menumbangkan Barisan Nasional. Ia membawa penubuhan Pakatan Rakyat selepas itu yang memperjuangkan prinsip bersama di atas persetujuan bersama. Ia dirumuskan sebagai prinsip bersetuju dan untuk tidak bersetuju (agree to disagree), iaitu bersetuju memperjuangkan isu-isu yang dikongsi sama, tetapi tidak bersama dalam isu-isu dasar masing-masing parti. Medan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat adalah forum yang mengesahkan asas bersetuju untuk tidak bersetuju itu.

Walaupun begitu, perjalanan politik Pakatan Rakyat agak berliku-liku yang memaksa masing-masing parti cuba menggerakkan agenda parti sendiri tanpa keabsahan atau tanpa pesetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Hal yang menjadi rujukan antaranya melibatkan DAP melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu pada 9 Mei 2012 Dewan Negeri Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang (Enakmen) Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai) tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Apapun enakmen tersebut terbatal apabila pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan memutuskannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga, satu lagi hal yang dirujuk ialah pada 27 Januari 2014, Adun PKR bagi DUN Kajang bertindak meletak jawatan bagi menjayakan matlamat “Langkah Kajang” (Kajang Move) iaitu untuk menggantikan Menteri Besar Selangor. Suatu ‘move’ yang menggugurkan Abdul Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Anwar kemudian Wan Azizah, tetapi yang jadinya ialah Azmin Ali. Suatu ‘move’ yang juga tanpa keputusan Majlis Pakatan Rakyat. Maka, di celah-celah polemik isu “Kajang Move” dan menukar Menteri Besar itu, berlaku pada awalnya PAS tidak bersetuju. Kemudian PAS mengambil jalan yang bersetuju sebagai menghormati syarat-syarat pihak berkuasa Istana yang mahukan menyenaraikan lebih daripada dua nama calon menteri besar. Lalu mencetuskan tanggapan negatif di sisi PKR dan DAP yang mengendurkan permuafakatan sehingga memaksa pelan tanpa persetujuan itu diterima dengan penuh kegusaran. Malangnya segala-gala kegusaran dihadapkan kepada Presiden PAS tanpa belas kasih, termasuklah sikap DAP turut mencetuskan persepsi buruk kepada PAS. Hal ini turut merencatkan usaha PAS untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.
Sehubungan itu, berlakunya hubungan tegang PAS-DAP apabila beberapa kali penjelasan PAS untuk mendapat persetujuan bersama berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sentiasa ditentang oleh DAP. Menyebabkan muncul persepsi awam termasuk dalam kepimpinan PAS sendiri yang menganggap matlamat pelaksanaan itu sebagai faktor pemecah-belah Pakatan Rakyat. Malah tidak kurang pula muncul tohmahan kononnya Presiden PAS dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan tertipu dengan mainan politik (baca, tipu muslihat) Umno dari dalam.
Namun kesungguhan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu tetap diteruskan, meskipun berberapa kali siri penjelasan dibuat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk di Ibu Pejabat DAP dan di Pejabat Agung PAS. Kali terakhir taklimat ialah pada 12 Mac 2015 di Bangunan Parlimen. Natijahnya DAP paling lantang menentang, malah melihat hasrat dan usaha PAS sebagai permainan ke arah Unity Government (UG). Lantas Presiden PAS dilabelkan sebagai penerus agenda UG dan pembawa suara Umno.
Meskipun begitu, demi melunaskan komitmen perjuangan dan mandat rakyat Kelantan atas prinsip menghormati demokrasi dan ruang perundangan yang ada, maka Presiden pada 18 Mac 2015 telah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membawa usul rang undang-undang persendirian (private member bill) bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) berkaitan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah ke arah memenuhi kehendak syariah. Ia disusuli dengan persidangan Dewan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015.
Apa yang dilakukan oleh PAS itu menyebabkan DAP bertindak lebih tegang dan mengambil sikap memutuskan hubungan secara taktikal sebelum ditafsirkan sebagai memutuskan hubungan secara rasmi. Ia bermula pada 23 Mac 2015, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, malah melabelkan Presiden PAS seorang yang tidak jujur dan tidak bermaruah. Bukan sekadar itu, di dalam kenyataan media yang sama (23 Mac), Setiausaha Agung DAP turut menyindir supaya menumbangkan Presiden PAS di dalam pemilihan PAS.

Tindakan DAP itu sedemikian turut dilakukan melalui pemimpin kanannya pada 23 Mac 2015 apabila ayah kepada Setiausaha Agung DAP pula menulis provokasi di dalam blognya, membayangkan PAS bakal kalah kerana ingin melaksana hudud di Kelantan dan turut menuduh Presiden PAS melakukan kerosakan kerana berusaha membawa usul persendirian mengenai undang-undang jenayah syariah (meminda Akta 355) ke parlimen.
Provokasi atas sentimen tegang tersebut telah diteruskan apabila pada 27 Mac 2015, DAP Sarawak telah mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat. Kemudian disusuli pula ucapan yang penuh provokasi oleh Lim Kit Siang, ayah kepada Setiausaha Agung DAP pada 30 Mac 2015 di hadapan pimpinan DAP Wilayah Persekutuan. Malahan ucapan itu turut meramalkan PAS bakal kalah di Johor, Perak, Melaka dan juga di Pahang dan Kedah serta tidak mustahil akan kalah juga di Kelantan atas alasan kerana PAS meneruskan usaha pelaksanaan hudud. Sementara di Sabah pula, pada hari yang sama (30 Mac 2015), pihak DAP turut mengumumkan putus hubungan dengan PAS Sabah. Nampak jelas ia suatu tindakan terancang pihak DAP.
Kenyataan Lim Guan Eng.

Kesemuanya boleh dianggap sebagai gerakan provokasi untuk melabelkan PAS yang merencanakan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat atas sentimen DAP yang tegar menggunakan pendekatan hubungan tegang untuk meraih sentimen penyokong. Menurut Setiausaha Agung PAS ketika itu (berhubung tindakan memutus hubungan), “ia suatu strategi DAP untuk popular menjelang pilihan raya Negeri Sarawak yang akan berlaku tidak lama lagi.”

Usul putus hubungan
Walaupun demikian, DAP tidak berhenti di situ, beberapa riak politik yang diatur membayangkan sememangnya DAP inginkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Ini terserlah tatkala pada 25 Mei 2015, DAP mengeluarkan kenyataan lagi dengan menuduh Presiden PAS mahu wujudkan UG bersama UMNO. Meskipun kenyataan formula UG (bekerjasama dengan Umno atau Kerajaan Barisan Nasional) itu turut disebut kemudiannya oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP sendiri.

Justeru kenyataan menjelang Muktamar PAS itu telah diterjemahkan oleh sebahagian perwakilan sebagai ‘campur tangan DAP’ untuk menyokong beberapa pimpinan yang bertanding jawatan tertinggi PAS Pusat (pada Muktamar ke-61). Kesan daripada gaya DAP itu menyebabkan kesemua tokoh PAS yang berkenaan tidak terpilih dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 4-6 Jun 2015. Sehinggalah, provokasi dan asakan tegang DAP itu menyebabkan Muktamar PAS ke-61 telah menerima tanpa bahas usul ‘mencadangkan kepada Majlis Syura dan PAS Pusat supaya memutuskan hubungan dengan DAP. Akhirnya usul itu dipersetujui Majlis Syura pada 11 Julai 2015, mengesahkan usul putus hubungan dengan DAP dan diangkat kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk dilaksanakan.

Kesan putus hubungan
Berpandukan kronologi hubungan PAS-DAP tersebut, hakikatnya PAS menerima kesan yang parah. Sebelum Muktamar PAS Ke-61 telah muncul gerakan NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dan pasca muktamar itu telah muncul pula kumpulan serpihan “Gerakan Harapan Baru (GHB)” yang dianggotai oleh kepimpinan yang tewas dalam pemilihan. Sehinggalah kini gerakan tersebut bertukar menjadi Parti Amanah Negara (PAN@Amanah).
Apapun PAS sewajarnya mengatur langkah berstrategi menghadapi gerakan pemimpin yang tidak terpilih dalam Muktamar PAS ke-61 itu. Ia merupakan cabaran besar bagi PAS dalam persiapan menghadapi PRU ke-14. Semoga bahtera PAS mampu belayar mendepani cabaran keseterusnya.