Mengiringi poin pilihan raya umum, semestinya pemilihan saf kepimpinan baru untuk penggal menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Ini berikutan ahun ini, pihak parti terpaksa memperbaharui semula urusan kepimpinan parti kerana ia adalah kehendak perlembagaan parti.
Sesuai dengan kehendak perlembagaan jugalah, maka semua peringkat organisasi parti (cawangan, kawasan, dewan peringkat kawasan dan negeri) telah melakukan muhasabah dan pengukuhan kepimpinan masing-masing. Justeru tugas pemilihan kepimpinan PAS di semua peringkat itu telah selesai. Tinggal lagi, akan berlaku pemilihan kepimpinan dewan peringkat pusat dan peringkat tertinggi, PAS Pusat.
Kepimpinan mesra parti
Apabila meletakkan titik fokus popular ialah pilihan raya umum sebagai wajah yang diharapkan dipilih menduduki saf kepimpinan PAS di peringkat Pusat, sudah tentu sifat kepemimpinan itu ada pada setiap individu pemimpin PAS. Terutama di kalangan pemimpin yang sudah menyatakan persetujuian menawar diri untuk dipilih oleh lebih daripada 1,000 perwakilan muktamar nanti.
Apa pun, di sebalik penampilan lebih daripada 60 nama yang sudah bersifat kepemimpinan tersebut. Di sebaliknya perlu ada satu saringan dan pertimbangan pihak perwakilian agar individu yang bakal dipilih hendaklah mereka yang sebenarnya bertaraf kepimpinan mesra parti.
Taraf kepimpinan mesra parti harus menjadi keutamaan kerana ia dikira lebih sesuai dengan misi titik fokus pilihan raya. Justeru kepimpinan mesra parti dilihat dapat membawa dasar dan persetujuan parti merapati dan meraih sokongan rakyat ke arah mencapai kemenangan pilihan raya.
Maka, apabila menghalusi misi tersebut sifat kepemimpinan yang relevan ialah individu pimpinan yang benar-benar menguasai dasar parti dan prinsip pilihan raya, memahami selera dan cita rasa semua lapisan rakyat dan sanggup serta berupaya menterjemahkan antara kehendak parti dengan cabaran politik pilihan raya bersama Pakatan Rakyat.
Rangkuman sifat yang relevan inilah, ia memerlukan pandangan tuntas (rasional) para perwakilan. Pandangan tuntas itu seharusnya berpandukan kaedah saringan dan pertimbangan mana satu pemimpin yang sebenarnya membawa gaya pimpinan yang berkesan agar pada dirinya terjelma sifat seorang pemimpin ‘al-amin.’
Pemimpin al-amin
Rujukan mutlak dan sempurna atas sifat pemimpin al-amin ialah apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda seorang yang bersifat Sidik(selalu benar), Amanah (dipercayai), Fatanah (bijaksana) dan Tablig (berani menyampaikan). Justeru itu Nabi Muhammad SAW telah berjaya mengubah sistem masyarakat jahiliah menjadi masyarakat yang sejahtera berdasarkan ajaran Islam yang maha suci.
Meskipun demikian, sifat al-amin pada Nabi SAW adalah mendapat pengiktirafan lebih awal sebelum baginda diangkat oleh Allah sebagai nabi dan rasul. Sebagai mana kisah masyhur, tatkala baginda terpilih menjadi hakim dalam menyelesaikan pertelingkahan pelbagai puak di Mekah dalam meletakkan batu hajarul aswad pada Kaabah. Sifat al-amin Nabi itu terserlah apabila baginda meletakkan batu itu di atas selembar kain lalu disuruh ketua bagi semua puak yang bertelingkah itu memegang setiap tepi kain, lalu diangkat bersama-sama batu itu dan diletakkan pada Kaabah.
Di sebalik tindakan Nabi SAW yang al-amin (diterima baik) itu, terserlah sifat pimpinan yang sidik, amanah, fatanah dan tablig. Maka dalam konteks kepimpinan mesra parti, kandungan al-amin itu haruslah dijadikan panduan untuk diikuti dan diamalkan. Oleh itu, setiap pemimpin PAS sewajarnya tidak kekok, sebaliknya sentiasa segar dengan imej al-amin.
Pimpinan pilihan raya
Melengkapi sifat kepimpinan mesra parti ialah seseorang pimpinan PAS yang dipilih seharusnya layak memenuhi kehendak pimpinan pilihan raya. Ia bermaksud, selain ia seorang yang layak dipilih sebagai calon pilihan raya, semestinya juga mempunyai kredibiliti membawa dasar parti ke tengah gelanggang masyarakat dan kerajaan. Kemudian ia hendaklah mempunyai jiwa pengorbanan tinggi bagi meraih kemenangan dan sedia menjaga kemenangan sekiranya menang serta sentiasa segar sekiranya berdepan dengan keadaan belum mencapai kemenangan. Apa yang utama, kepimpinannya sentiasa menyerlahkan nilai-nilai kebaikan, kebajikan dan ketakwaan berterusan demi keutuhan perjuangan parti.
Sedikit daripada pengalaman para pimpinan PAS di Kelantan adalah antara sedutan perjalanan kepimpinan yang harus dilihat. Tatkala menempah kekalahan teruk 1978, mereka mewmbina dan mengolah kesepaduan. Berkatnya sumbangan kawan-kawan seperjuangan, mereka bangkit dan mencapai kemenangan 1990. Begitu pula, ketika berhadapan dengan kegetiran kuasa akibat menang tipis 2004, berapa ramai mereka yang bertaraf pimpinan pilihan raya terus gah mempertahan prinsip, meskipun diasak dengan pelbagai sogokan pihak Umno. Berkat daripadanya, mereka terus menang dan berupaya mempertahan kuasa pada pilihan raya umum 2008. Ia pastinya kejayaan PAS di Kelantan itu boleh dijadikan kaedah saringan dan pertimbangan untuk semua perwakilan membina dan mengolah masa depan PAS agar terus segar memnuhi harapan umat.
Semoga Muktamar PAS ke-57 bakal merenjis titisan emas yang bakal menaikkan lagi sumbangan dan memenuhi harapan mengharungi arus kebangkitan rakyat. Maka, pilihan raya umum ke-13 terus bermaya dan mampu dipacu oleh saf pimpinan baru PAS selepas muktamar nanti.