09 May, 2016

Pilihan raya Negeri Sarawak 2016: Perjuangan Islam pasti menang

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah pun selesai pada Sabtu, 7 Mei 2016 yang lalu. Dari segi rekodnya, pilihan raya yang lalu merupakan kali ke-11 bagi Negeri Sarawak selepas merdeka. Ia diadakan berikutan pembubaran Dewan Negeri Sarawak pada 11 April, diikuti dengan 25 April penamaan calon, 3 Mei pengundian awal dan 7 Mei hari mengundi umum.

Pada pilihan raya lalu itu, PAS yang membawa misi perjuangan siasah Islam telah meningkatkan penglibatannya dengan bertanding 11 kerusi. Pada PRN 2011 PAS hanya bertanding di lima kerusi, iaitu Beting Maro, Muara Tuang, Sebuyau, Sadong Jaya dan Tanjung Datu.

Namun kali ini, penyertaan PAS lebih menarik dengan memberi tumpuan kepda 11 Dun termasuk di kawasan pengundi Iban dan Cina.

Pertembungan pembangkang

Walaupun begitu, PAS terpaksa berdepan dengan calon-calon parti pembangkang yang lain di semua kerusi. Di kawasan Melayu-Melanau PAS berdepan dengan sebuah parti baru, iaitu Parti Amanah Negara (PAN@Amanah). Di kerusi pengundi Iban berdepan dengan PKR dan DAP dan begitu juga di kerusi pengundi Cina berdepan dengan DAP. Ini suatau gambaran perpecahan kerjasama pembangkang dalam berdepan dengan kekuatan BN berpandukan faktor persempadanan baru bahagian pilihan raya dan ketua menteri baru.

Oleh itu, Dun-dun yang menyaksikan pertembungan PAS dan PAN ialah di lima kerusi iaitu N07 Samariang mempertemukan Yusof Assidiqqi Bin Ahmad Sharkawi (PAS) dan Nani Binti Sahari (PAN), N16 Muara Tuang, Abang Abdul Halil Abang Naili (PAN) dan Zulkipli Ramzi (PAS), N24 Sadong Jaya, Othman Mustapha @ Mos (PAN) dan Asan Singkro (PAS), N27 Sebuyau, Wan Abdillah Wan Ahmad (PAS) dan Andrew Anak Jain (PAN) dan N29 Beting Maro, Hamidah Mokhtar (PAS) dan Andri Zulkarnaen Hamden (PAN). Keputusannya kedua-dua parti ini gagal dan BN menerusi calon PBB berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.

Sementara pertembungan di antara DAP dan PAS berlaku di dua Dun  iaitu di N70 Samalaju di antara Baba Anak Emperan (DAP) dan Zharudin Bin Narudin (PAS) dan N74 Pujut, Ting Tiong Choon (DAP) dan Jofri Bin Jaraiee (PAS). Bagi kedua-duanya calon PAS telah hilang wang deposit calon, dan DAP pula berjaya di Pujut dan tewas di Samalaju.

Demikian pula, PAS turut bertembung dengan PKR di tiga Dun iaitu N60 Kakus di antara Joshua Anak Jabing (PKR) dan Clement Bayang (PAS), N67 Jepak, Abdul Jalil Bujang (PKR) dan Kiprawi Bin Aman (PAS) dan N72 Lambir, Mohdak Bin Ismail (PKR) dan Mohammad Arifiriazul Paijo (PAS). Keputusan bagi ketiga-tiga Dun ini menyaksikan kesemuanya berpihak kepada BN. Lebih malang lagi PAS telah hilang wang deposit bagi ketiga-tiga Dun ini. 

Hanya satu Dun sahaja, iaitu N04 Pantai Damai PAS tidak bertembung dengan mana-mana parti pembangkang hanya dengan BN berikutan calon PKR ditolak kerana hilang kelayakan. 

Secara keseluruhannya, penyertaan PAS pada kali ini lebih memberangsangkan dari segi jumlah kerusi, namun keputusannya tujuh Dun calonnya gagal meraih satu perlapan undi daripada jumlah undi yang diperolehi oleh kesemua calon menyebakan mereka hilang wang deposit RM5,000 seorang (kesemuanya berjumlah RM35,000). 

Sebaliknya PAS tewas tanpa hilang wang pertaruhan di Dun-dun yang agak biasa PAS bertanding iaitu di Beting Maro, Sebuyau dan Samariang, kecuali Dun Pantai Damai kali pertama PAS bertanding. Sementara bagi Dun Muara Tuang PAS telah kekurangan 0.5 peratus sahaja menyebabkan hilang wang deposit.

Semoga PAS terus bangkit tanpa undur, meskipun cabarannya agak besar bagi mengembangkan siasah Islam di Bumi Kenyalang pada masa hadapan.

Berikut disertakan keputusan PRN Sarawak bagi Dun-dun yang ditandingi oleh PAS.












Berikutnya adalah peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia berhubung bayaran deposit calon dan had perolehan undi yang menyebabkan hilang wang deposit calon.

WalLahu'alam.