22 July, 2010

Pilihan raya Sarawak - peluang PR?

Premis asal dan agak matang dalam menilai politik Sarawak sekarang ialah “Sarawak tetap kubu kuat Barisan Nasional (BN).” Maka tugas menumbangkan BN dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti dijangka berdepan laluan sukar dan mencabar. Sesungguhnya, tugas menumbang BN itu terletak di tangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua pertiga daripadanya berada di luar bandar. Mana-mana parti atau pakatan politik menguasai majoriti DUN atau setidak-tidaknya 36 kerusi selayaknya parti itu membentuk kerajaan negeri. Namun hasil pilihan raya negeri 2006, didapati BN memenangi 62 kerusi DUN dan parti-parti pembangkang hanya sembilan DUN. Semua kerusi dimenangi pembangkang adalah berada di sekitar bandar. Ia bermakna pengaruh BN amat tegar di kalangan 50 peratus daripada 2.5 juta penduduk yang tinggal di luar bandar.

Demografi politik perkauman

Demografi politik Sarawak adalah terdiri daripada 28 suku kaum; Iban 33 peratus, Cina 26 peratus, Melayu 21 peratus, Melanau tujuh peratus, Orang Ulu lapan peratus, dan Bidayuh lima peratus. Pengundi luar bandar adalah terdiri daripada suku Bumiputera (Iban, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh). Sementara pengundi bandar merupakan campuran, dengan majoritinya orang Cina. Ia bermakna, pengundi Cina lebih berpihak kepada pembangkang, khsusnya DAP. Disebabkan demikian, BN agak kuat di kawasan bandar yang majoriti pengundi Melayu.

Justeru landskap politik Sarawak kini masih dibayangi dengan gambaran penaungan dan keutuhan perkauman yang kuat. Jika landskap ini belum berubah untuk tempoh pilihan raya akan datang, maka BN kekal selamat untuk terus memerintah Sarawak. Namun, landskap politik pasca pilihan raya kecil Sibu ada petunjuk khusus untuk membuat bacaan politik di bumi yang kuat asas perkauman ini. Tatkala keputusan di Sibu pada 16 Mei lalu telah membuktikan DAP mendapat sokongan baru 2,942 undi. Jika asas ini dianalisis seacara mudah, maka kesemua DUN yang BN menangi dengan majoriti kurang 2,500 undi adalah tidak selamat. Apa pun itu bergantung kepada kestabilan mood pengundi Cina dan faktor-faktor politik seamasa.

Jangkaan pilihan raya

Namun, kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak nanti dijangka akan berlaku dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Jika tempoh itu memberi implikasi besar kepada perubahan mood pengundi untuk kembali kepada normal, ia akan menyebelahi BN. Sekiranya mood itu berkekalan dan mengalami bauran (diffusion) kalangan pengundi Bumiputera, seperti mana arus penolakan terhadap BN di negeri-negeri lain, khususnya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ia pasti menggugat peluang BN mencapai majoriti selesa di Sarawak.

Nilai-nilai perubahan itu akan berlaku di Sarawak jika demografi politik mengalami transisi sosiopolitik seperti pengundi luar bandar ramai celik maklumat, penduduk di luar bandar memprotes tahap kemajuan yang mereka alami sekarang, disokong pula dengan ramainya pengundi muda mendaftar sebagai pemilih, tinggi kadar kematangan berpolitik apabila keinginan naungan mulai longgar dan tinggi pendedahan kepada maklumat melalui media alternatif. Di samping, kesan gerakan politik PR yang menjadi fenomena semasa pilihan raya kecil Sibu mula terbaur ke kawasan luar bandar. Realiti ini cukup menghantui pemikiran politik pemimpin BN Sarawak. Lebih-lebih lagi berlaku perkembangan terbaru pihak PR di Sarawak menunjukkan pihak DAP, PAS dan KeADILan serta SNAP sudah mula mengukuhkan gerakan politik masing-masing. Misalnya pihak PAS telah sedia tampil di Sibu, Miri dan Bandar Raya Kuching. Kesemua kawasan ini amat berpotensi bagi PR untuk menang apabila mengambil kira petunjuk pasca Sibu dan langkah-langkah penubuhan cawangan baru serta persefahaman kukuh PR mula mendapat sambutan hangat kalangan pengundi tempatan.

Walau bagaimanapun, pihak PR seharusnya dapat memperkasakan lagi beberapa pendekatan persefahamana pakatan bagi menghadapi pilihan raya nanti. Antaranya yang paling berpengaruh di dalam membina keyakinan pengundi ialah formula pembahagian kerusi yang mengutamakan keupayaan menyumbang kepada nilai kemenangan. Mungkin di antara formula itu ialah mempersetujui kerusi-kerusi di kawasan bandar untuk semua parti dalam PR. Maksudnya semua empat parti dalam PR diberi hak untuk bertanding di Miri, Sibu, Bandar Kuching, Bintulu dan Mukah. Jika formula ini dipakai, PAS setidak-tidaknya boleh bertanding satu kerusi di semua DUN di bandar-bandar tersebut. Selain itu, tumpuan untuk bertanding di beberapa DUN di luar bandar yang dominan pengundi Melayu.

Pilihan raya 2006

Pada pilihan raya negeri 2006, daripada 71 kerusi dipertandingkan. Undi popular diraihnya BN telah merosot sebanyak 8.3 peratus (71.2 peratus pada 2001 kepada 62.9 peratus pada 2006). Rekod pencapaian BN menunjukkan PBB amat utuh apabila memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandinginya. Demikian juga SPDP memenangi kesemua lapan kerusi. Manakala SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi dan PRS kecundang di satu daripada sembilan kerusi.

Sementara pihak pembangkang pula menguasai sembilan kerusi melalui DAP yang memenangi enam kerusi, manakala KeADILan, Bebas dan SNAP masing-masing menang satu kerusi. Apa pun perkembangan dalam pembangkang selepas itu didapati wakil SNAP yang mengalahkan SUPP di DUN Engkilili telah menjadi Bebas tidak lama selepas memenangi kerusi itu. Begitu juga wakil Bebas, Gabriel Adit Demong yang bertanding di DUN Ngemah telah menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada Disember 2009.

Peluang tambahan kerusi PAS

Perubahan kedudukan parti tidak berlaku kalangan wakil rakyat DAP dan KeADILan. Ini menunjukkan semangat PR amat kukuh di Sarawak. Tinggal lagi, PAS sendiri yang hanya bertanding satu kerusi di DUN Beting Maro wajar menagih simpati rakan dalam PR untuk mendapatkan tambahan kerusi di kawasan bandar. Harapannya, kepimpinan PAS Sarawak wajar melakukan kesepakatan mesra, terutama dengan DAP yang dominan di kawasan bandar. Peluang tambahan itu wajar bagi PAS disebabkan realitinya PAS berupaya untuk mewujudkan petugas parti di semua kawasan bandar, di samping bersedia membantu calon-calon DAP dan KeADILan di tempat-tempat PAS bertanding.

Pilihan raya yang dijangka Mac atau April tahun depan dijangka menyaksikan dua pertembungan politik permuafakatan: BN dan PR. Pihak BN sebagai pihak hegemoni dianggotai PBB, SUPP, SPDP dan PRS, dan PR sebagai pakatan pembangkang setakat ini gandingan DAP, KeADILan SNAP dan PAS. Sementara PCM belum pasti menyertai mana-mana permuafakatan, di samping terdapat satu lagi parti, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang baru mendaftar.

Kemunculan parti baru

Walau bagaimanapun, ketika pakatan pembangkang bersatu hati untuk mengemukakan calon di semua kawasan dalam perlawanan satu lawan satu dengan BN, PERSB dan PCM selaku parti baru muncul dengan impian masing-masing. PERSB mempamerkan hasrat untuk bertanding di semua kawasan. Ia meletakkan PERSB sebagai pihak ketiga di dalam persaingan pilihan raya Sarawak.

Manakala PCM hanya akan meletakkan calon di 10 hingga 15 kawasan, sekali gus membayangkan PCM sebagai parti baru yang bakal bergabung sama ada dengan BN atau PR. Berdasarkan latar belakang PCM Sarawak asalnya diketuai seorang wakil Bebas, kemungkinan besar beliau akan bersendirian yang akan bertanding di kawasan popular bagi calon-calonnya.

Menilai dari segi peluang mencapai kemenangan, nyata sekali BN masih berkeyakinan besar dan selesa mempertahankan dominasi dan menguasai majoriti dua pertiga. Meskipun berlaku hambatan keyakinan berikutan mood pengundi pasca pilihan raya kecil Sibu, permasalahan pengundi Cina belum cukup menggugat nilai majoriti dua pertiga tersebut. Kerusi yang pengaruh pengundi Cina agak tinggi hanya sekitar 15 kerusi. Jika BN kehilangan semua kerusi itu, masih ada lagi 56 kerusi. Nilai majoriti dua pertiga ialah 47 kerusi, maka keselesaan bagi BN cukup mantap ke arah kelangsungan hegemoni BN di Sarawak.

Impak pasca Sibu

Meskipun begitu, impak pasca pilihan raya kecil Sibu itu mungkin boleh menggugah keyakinan tersebut sekiranya pihak PR mampu mempamerkan persetujuan mantap dari segi isu calon, pembahagian kerusi, kerjasama petugas parti dan manifesto parti. Misi PR di Sarawak adalah untuk memastikan tidak berlaku peluang BN berkuasa dengan dua pertiga. Sebagaimana kenyataan Haji Mohamad Sabu ketika di Miri (20 Julai lalu), pilihan raya Sarawak merupakan peluang bagi rakyat bertindak sebagai kuasa check and balance untuk menafikan kuasa dua pertiga BN. Bagi mencapai misi ini, BN tidak akan tergugat, cuma mungkin terjejas moralnya seperti mana dihadapi di peringkat Pusat sekarang yang agak sulit menguruskan kuasa di parlimen tatkala memerlukan sokongan dua pertiga. Manakala bagi PR pula, ia cukup berat untuk dicapai kerana jumlah kerusi yang harus dimenangi ialah sebanyak 25 kerusi dan BN pula memenangi 46 kerusi. Apa pun sekiranya berkehendak, maka seribu daya harus diusahakan.

Sejauh mana keupayaan pihak PR untuk meraih tambahan kerusi akan terjawab sekiranya persiapan yang ada tinggal kira-kira enam bulan sahaja lagi. Ia satu tempoh yang singkat bagi PR untuk menjayakan sekurang-kurang lima persiapan asas: ketetapan kerusi bertanding bagi masing-masing parti, memilih bakal calon yang teruji, mengurus penyokong agar mendaftar sebagai pemilih, melatih pasukan dan petugas pilihan raya dan tidak kurang penting adalah persediaan kewangan pilihan raya yang secukupnya.

Peranan parti baru

Tidak harus juga diketepikan peranan dua parti baru (PCM dan PERSB) dalam merancakkan pilihan raya Sarawak akan datang. Ada pihak yang meramalkan PCM akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat ekoran sikap Gabriel Adit Demong yang dianggap tokoh lompat parti kerana pernah keluar daripada KeADILan menjadi Bebas. Justeru itu, kerusi yang dimenangi atas tiket Bebas hanya dengan majoriti kecil pada pilihan raya 2006 dijangka menghadapi lalui sukar untuk mempertahan kemenangannya. Melainkan jika berlaku persefahaman semula dengan PR atau BN melalui straight fight menghadapi lawan. Apa pun, tidak mungkin bagi BN bekerjasama dengan PCM sebagai parti yang belum dilihat berjasa kepada rakyat.

Demikian pula dengan PERSB yang diasaskan sekumpulan ahli perniagaan dan golongan professional muda. Berbekalkan komitmen untuk mengubah nasib penduduk luar bandar dijangka terlalu sukar untuk bertapak dan merubah status penaungan pengundi di luar bandar oleh BN. Ia akan menghadapi lalun sama dengan PCM kerana sebagai parti baru, sukar baginya untuk bertapak dalam waktu singkat. Amat sesuai bagi PERSB adalah bergabung di bawah PR dan boleh menerima prinsip pembahagian kerusi yang seimbang menghadapi BN.

Misi PR membawa arus perubahan

Persoalan yang berputar kalangan penganalisis politik kini adalah sejauh mana komitmen PR yang membawa misi arus perubahan dalam senario politik Sarawak; mampukah PR menawan kerusi-kerusi panas yang dimenangi BN sekian lama? Apa pun di sana sudah ada petunjuk, iaitu sikap penolakan pengundi Cina terhadap BN cukup jelas kepada SUPP, di samping sudah berlaku penerimaan baik dan harapan tinggi pengundi kepada misi arus perubahan yang sudah berjaya digerakkan semasa pilihan raya kecil Sibu. Penerimaan dan harapan pengundi itu masih segar dan komitmen pemimpin PR sudah terserlah. Tinggal lagi, bagi memenuhi peluang itu adalah pengisian program mendepani pengundi dan connecting pihak kepimpinan PR dengan pengundi harus diatur secara tuntas.

Sungguh pun begitu, BN negeri Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib Mahmod cukup sedar dengan perkembangan mutakhir ini dan sedang merungkai segala permasalahan yang tertangguh selama ini kerana janji ditaburkan dalam pilihan raya lalu masih belum terlangsai. Soalannya, apakah rakyat sekian lama terbuai dengan janji akan terus terlena dan pemimpin BN terus gebu dengan keempukan kuasa anugerah rakyat? Hanya rakyat selaku pengundi bakal memberi jawapannya dalam pilihan raya nanti. Semoga Tuhan yang Esa sedia memberkati perjuangan suci umat-Nya di bumi Kenyalang. Amiin.

Sempena lawatan kerja ke Kuching, Sarawak 20-22 Julai 2010.

Oleh:

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

19 July, 2010

Apakah PAS atau mufti yang retorik?

Seorang Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Islam Agama Islam (Jasa) telah diserang demam akibat jangkitan virus“teori retorik” semasa berwacana di Kota Bharu dua minggu lepas (10 Julai). Panel itu ialah Lokman Nor Adam bekas pemuda KeADILan yang menyertai Umno yang kini mendapat ‘bahagian’ dengan menduduki kerusi panel pemikir Jasa.

Dr. Mujahid dan Dr. Mohd Asri yang juga ahli wacana anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu didapati tidak dapat mengawal Lokman daripada serangan virus retorik itu. Mungkin juga, Affandi Yusof rakan sekapal Lokman turut membiarkannya agar diserang virus itu. Kandungan virus retorik itu adalah sarat dengan rupa kebencian terhadap misi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini.

Kenyataan Lokman di dalam wacana tersebut ketika mengomel perjuangan PAS sudah dilihat terluah dengan kepanasan suhunya melonjak. Luahan sinisnya tentang pencapaian PAS sekarang mungkin berpunca daripada kejayaan PAS mentadbir Kelantan berpendomankan Islam. Atau mungkin juga kerana terkedunya akibat wacana anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu membincangkan khusus mengenai isu keMelayuan yang menjadi darah daging perjuangannya. Betapa keterbukaan kerajaan Negeri dalam melihat persoalan bangsa yang menjunjung ketinggian beragama telah membuka ruang pihak pemimpin Umno (meskipun pemimpin kerdil) untuk membidas pencapaian kerajaan Negeri Kelantan.

Kelantan hub ilmu

Apa pun, ahli exco terbabit, Dr. Mohamed Fadhli Datuk Hassan merupakan mantan pensyarah UIAM suka melihat Kelantan sebagai hub ilmu yang terkenal sedikit masa lagi. Setakat ini sudah enam kali wacana serupa diadakan di Kota Bharu. Mungkin pihak Urusetia Penerangan di bawah bimbingan Haji Abdul Rahman Yunus bakal menerbitkan dokumen rasmi siri wacana tersebut. Ia bakal memlengkapkan lagi sifat ‘Serambi Mekah’ di bawah kepimpinan ulama terkenal Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Teori retorik disanggah

Teori retorik biasanya dipakai di dalam kajian sastera bagi melihat asas-asas genre atau jalan penulisan yang bersifat sastera dan komunikasi. Di sebalik teori ini juga terkandung nilai-nilai retorik krtikan mengenai kuasa, dominasi dan ideologi. Ia menyentuh soal politik dan pemerintahan, namun ia masih tertumpu kepada nilai-nilai falsafah yang berasal dari idea Plato. Di dalam penggunaan moden retorik difahami sebagai seni berbahasa bagi komunikasi berkesan dan berlaku dalam lima asas, iaitu penemuan atau pencarian sesuatu, tatacara, gaya, ingatan dan penyampaian. Justeru retorik selalu disesuaikan dengan pendekatan politik demokrasi yang mengutamakan prinsip kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan politik. Namun, retorik tidak terlepas dari nilai-nilai ‘mengada-adakan’ sesuatu yang belum pasti dan pura-pura, tetapi dibahas secara logik, etos dan bersandarkan fakta yang mungkin direka-reka.

Sesungguhnya umat Islam tidak harus terperangkap dengan momokan teori retorik yang dilontarkan pada malam wacana tersebut. Asasnya kerana ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengambil pendekatan retorik berhubung sikap dan keyakinan serta tindakan mengenai perintah agama. Di sisi Islam, manusia diciptakan Allah atas tujuan menjadi khalifah di bumi bagi memastikan kehidupannya berpandukan konsep pengabdian (ubudiah) kepada-Nya. Justeru dalam soal bernegara umat Islam tidak boleh bertindak secara retorik. Ajaran Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan contoh teragung untuk diikuti dan dilaksanakan oleh umatnya, iaitu “bernegara secara beragama.” Oleh itu, manusia sebagai khalifah Allah tidak diizinkan untuk menyakini berasaskan retorik yang bersumberkan sekularisme (menepikan ikatan agama). Ini kerana sebagai khalifah Allah, maka Allah memberi tugas bernegara secara beragama –melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Justeru itu dalam urusan bernegara, PAS sentiasa berpegang kepada prinsip bernegara mengikut apa yang disunahkan oleh Nabi Muhammad yang meletakkan dasar-dasar pentadbiran Islam sebagai teras utama.

Oleh kerana itu, umat Islam tidak boleh beretorik di dalam hal-hal keagamaan. Misalnya, perintah sembahyang (solat) lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berhaji ke Tanah Suci Mekah dan berzakat bagi yang sampai had rezekinya adalah tidak boleh ditunaikan secara retorik. Mungkin pendukung sekular sahaja yang tergamak mengatakan ibadat sembahyang, pergi haji atau tunai zakat sebagai amalan retorik.

Hakikatnya semua amal ibadat di dalam Islam, termasuk pekerjaan rutin tidak boleh dianggapkan retorik. Pada asasnya semua amal ibadat adalah perintah Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Sehubungan itu, di sebalik amal ibadat adanya nilai pahala, syurga, keikhlasan dan paling penting bukti pengabdian kepada al-Khaliq.

UMNO sebenar parti retorik

Tidak wajar sama sekali menuduh PAS sebagai parti retorik dalam soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Paling tidak wajar juga apabila menuduh PAS menjanjikan dasar-dasar pentadbiran Islam sebagai retorik. Sedangkan dunia telah tahu, malah sebahagian ahli Umno juga tahu, dan mungkin juga Panel Pemikir Jasa semua tahu (tetapi buat-buat tidak tahu), betapa dasar Islam yang dipakai dalam Umno ibarat gelombang ombak di lautan yang berbuak bergulung bila ada ribut, tetapi hanyut dan terdampar bila lautan kembali tenang. Misalnya, Umno era Mahatirisme terkenal dengan dasar Islamisasi, kemudian bertukar kepada Islam Hadhari ketika era Pak Lah dan bertukar lagi menjadi ‘Islam satu Malaysia’ pada era Najib. Selepas ini Islam jenis apa pula?

Kemudian, bagi rakyat Kelantan mereka tidak akan lupa, sejarah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Hudud yang diluluskan tahun 1993. Namun, Perdana Menteri ketika itu mempersoalkan hukum hudud itu dan tidak menerimanya, meskipun telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Malah Kerajaan Negeri Kelantan turut menerima surat daripada Perdana Menteri yang melarang penguatkuasaan hudud di Kelantan. Apakah tindakan sedemikian tidak retorik?

Oleh itu, kalau ada suara-suara sebelah Umno yang melalak (jangan sampai peringkat menyalak) dalam menyeru PAS bersatu melaksanakan dasar Islam, maka katakan, “Umno pembohong.” Lihat sahaja Umno era Najib, mana satu dasar Islam untuk kita banggakan? Sebaliknya, apa yang dilaksanakan tidak lebih daripada mengharu-biru keadaan, sehingga berlakunya pertelagahan sesama mufti dan tidak sependapat dalam pelbagai isu. Muncul pula tali barut yang tuduh menuduh dengan ungkapan sesat, wahabi dan syiah. Paling teruk terdedah akhlak segelintir rakyat yang mempamerkan petunjuk prestasi utama yang buruk seperti peningkatan kes jenayah seksual, jenayah along, jenayah ragut, jenayah buang anak dan amalan rasuah.

Umno – buang Melayu terima Islam

Mengenai pemakaian dasar Islam dalam perjuangan parti, PAS amat komited memperjuangkan Islam. Dasar perjuangan Islam adalah kesinambungan daripada perjuangan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan 1948, tetapi diharamkan penjajah Inggeris beberap bulan selepas itu. Pengharaman itu dipercayai disebabkan desakan pemimpin Umno yang menganggapkan Hizbul Muslimin yang dianggotai alim-ulamak sebagai ancaman kepada Umno serupa dengan komunis. Kemudian pemimpinnya ditangkap dan saki baki pemimpin Hizbul Muslimin telah bergabung semula menubuhkan PAS tahun 1951.

Umno pula sebuah parti Melayu yang diwujudkan atas sentimen marahkan penjajah Inggeris yang memperkenalkan Malayan Union. Malayan Union difahami sebagai mencabar hak kerakyatan dan kedudukan raja-raja Melayu. Atas asas ini, amat jauh sekali untuk mengatakan tujuan Umno ditubuhkan untuk menjayakan dasar Islam. Oleh itu, berlakunya golongan ulama yang meninggalkan Umno disebabkan mereka tidak mahu bersubhat dengan isu judi loteri yang dilaksanakan kerajaan Umno. Justeru tiada asas untuk mendakwa Umno sebagai pejuang Islam. Jika ada yang mengatakan Umno berjuang Islam, maka ia adalah retorik.

Demi Islam, PAS-Umno bergabung?

Berpandukan kontradiksi antara PAS dan Umno tersebut, sudah tentu dasar perjuangan kedua-duanya tidak mudah dikompromikan. Apa pun, sekiranya wujud political will, mungkin sampai ketikanya Umno menukar dasarnya kepada dasar Islam. Apabila bertukar kepada dasar Islam, ia akan serupa dengan PAS. Lantas PAS boleh bergabung dengan Umno, sebagaimana bergabungnya Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat (singkatan KeADILan). Maka dalam soal politik PAS-Umno, sekiranya PAS bergabung dengan Umno, mungkin nama yang sesuai ialah Parti Islam Bersatu Malaysia singkatan BERSATU). Soalnya, inginkah pemimpin Umno menukar dasarnya lalu memakai dasar Islam semata-mata untuk bersatu dengan PAS?

Apa pun, sekiranya BERSATU itu menjadi realiti, suatu pemilihan kepimpinan yang baru perlu dibuat. Ketika itu, pemimpin yang layak mengetuai sebuah parti Islam semestinya mereka yang faham dengan perjuangan dan pergerakan Islam. Maka, tidak semestinya semua pemimpin Umno hari ini akan dipilih. Ini dilemma sesetengah pemimpin Umno yang memang tidak ingin terlepas jawatan. Sudah tentu mereka ini tidak bersetuju. Maka akan ada yang kecewa dan bertindak melawan sebarang usaha menukar dasar parti untuk bersatu dengan PAS.

Jika demikian sikap sesetengah pemimpin, mungkinkah Umno boleh membuang retoriknya selama ini? Namun, demi bersatu atas nama Islam sewajarnya Umno membuang retorik perjuangan kebangsaannya.

‘Ikhtiar’ Umno menolak Islam

Realiti Umno sekarang adalah menolak Islam dengan penuh sedar. Ia dilakukan dengan penuh ‘ikhtiar’. Umno memakai dasar kebangsaan adalah dilakukan dengan penuh sedar, iaitu mengutamakan kebangsaan daripada Islam. Berbeza dengan DAP yang tidak memakai Islam, ia tidak dianggap suatu ‘ikhtiar’ kerana DAP tidak mewakili kelompok parti yang ahlinya beragama Islam. Sebaliknya DAP menjayakan perjuangan yang tidak berteraskan mana-mana agama disebabkan terbawa-bawa dengan prinsip politik sekular yang diadu domba oleh Barat, terpengaruh dengan aliran sekular Umno dan pelbagai kecaman pihak musuh Islam.

Retorikkah berjuang Islam?

Apabila umat Islam tidak mahu memperjuangkan Islam, maka perjuangan umat Islam boleh dianggap kosong. Sementara Islam sendiri selaku fikrah dan wadah kehidupan dunia akhirat boleh mengisi kekosongan itu. Apabila Umno tidak bersedia untuk menerima dasar Islam, sebenarnya Umno akan terus membiarkan ahlinya berada di dalam kekosongan. Di sinilah hujah tepat untuk Umno menerima Islam sebagai wadah perjuangan demi memastikan umat Islam tidak terperangkap dengan sebarang perjuangan yang kosong.

Sebaliknya PAS yang sejak awal menerima Islam telah menghubungkan kehidupan ahlinya dengan panduan Islam. Hanya Islam sebagai landasan perjuangan politik yang boleh mengisi kehidupan ahlinya mencapai keredaan Allah SWT. Ini kerana komitmen PAS apabila berkuasa ialah melaksanakan prinsip Islam di dalam urusan kerajaan dan rakyatnya. Justeru apa yang PAS perjuangkan telah mengambil kira maslahah umat dan syariat, sekaligus menurut apa yang disunahkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Maka, amatlah dangkal sekiranya ada pihak yang berstatus ulama atau mufti yang mencadangkan perpaduan orang Melayu berwadahkan bangsa bukannya agama. Sepatutnya, cadangan itu hendaklah di atas prinsip perpaduan berwadahkan Islam. Amat tidak masuk akal apabila seorang bertaraf mufti (Berita Harian, 18 Julai 2010) menusuk cita-cita sampai terungkap kata-kata “saya tidak pernah berputus asa” mahu menyatukan orang Melayu atas sentimen perjuangan bangsa. Maka, kita boleh anggapkan sikap dan cita-cita ulama atau mufti itu sebagai pemakaian teori retorik yang keterlaluan sehingga lupa jawatan ulama atau mufti itu sebenarnya adalah atas nama Islam bukannya bangsa.

Perjuangan Islam di tempat yang salah?

Bayangan daripada kisah seorang ulama atau mufti di atas, ternyata wujud di dunia ini sikap orang berpengetahuan agama yang hidupnya dengan pakaian agama, tetapi pemikiran dan falsafah akidahnya masih terpaku pada perjuangan kebangsaan Melayu. Sehingga dipetik kata-kata (dalam Berita Harian, 18 Julai 2010), “perpecahan wujud kerana kita meletak keutamaan di tempat salah, jika diletakkan di tempat betul,.. kita boleh berjaya.” Persoalannya di sini, apakah maksud ‘meletak keutamaan di tempat yang salah’?

Sebagai orang beragama, wajar diperjelaskan, apakah meletakkan keutamaan kepada kebangsaan Melayu itu adalah tindakan yang betul? Adakah dengan mengutamakan perjuangan Islam itu adalah tindakan yang salah? Realiti daripada apa yang berlaku, kelihatan amat jelas natijah kenyataan mufti tersebut adalah mendahulukan sentimen keMelayuan berbanding keIslaman.

Semoga Allah SWT mengampuni segala kesilapan hamba-Nya yang serba kekurangan dari segi iman dan takwa. Hanya kemuliaan iman dan takwa kepada Allah akan memuliakan manusia dan bangsanya. Ingatlah, manusia dan bangsa itu dianggap umat yang berjaya di sisi Allah dan Rasul-Nya apabila berjuang tidak di atas dasar bangsanya, tetapi berjuang atas dasar fisabilillah. Bukan fisabilillah jika berjuang atas sentimen perpaduan bangsanya sedangkan Islam di kesampingkan, maruah Islam terus dihina dan penghayatan Islam terlalu minimum, hatta pemimpin dan isteri-isterinya tidak menjaga kesempurnaan maruah dan aurat peribadinya. Insaflah dan kembalilah dengan menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan sebenar. Sesungguhnya perjuangan PAS menjadikan matlamat pelaksanaan cara hidup Islam dalam diri, masyarakat dan negara bukanlah retorik. Maka katakan, perjuangan Islam itu adalah satu tanggungjawab bagi seluruh umat Islam.