30 April, 2010

BN sebenarnya guna masjid untuk tujuan politik


Tindakan Utusan Malaysia (30 April 2010) yang menyiarkan rencana bertajuk Nik Aziz, Sultan Selangor dan... " kelolaan Lukman adalah berniat jahat terhadap individu tertentu, khususnya Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Realitinya, titah Sultan Selangor dibuat dalam kenyataan umum kepada semua pihak. Sedangkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz cukup menghormati dan tiada pun program kempen di Hulu Selangor yang menggunakan pentas masjid. Melainkan berita yang tersebar adalah telah dipandu oleh pemimpin Umno yang bimbang dengan kemungkinan kalah di kawasan pengundi Melayu.

Apa yang jelas, BN yang gunakan masjid untuk tujuan politik (lihat gambar). Sebaliknya, tiada satupun program Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang diatur melibatkan ceramah di masjid seperti yang dihebohkan. Berikut adalah program dua hari (23 & 24 April) Tuan Guru Datuk Nik Aziz di Hulu Selangor.

23 April 2010:

4.35 petang - berlepas dari Airport Kota Bharu

5.30 petang - tiba di KLIA Sepang

8.10 malam - sidang media bersama calon & pimpinan Pakatan Rakyat

8.30 malam - ceramah di Asam Kumbang, KKB

9.30 malam – ceramah di Rasa.

11.30 malam - kembali rehat di rumah Kelantan Kuala Lumpur.

24 April 2010:

8.00 pagi - bertolak ke Felda Sungai Tengi

9.30 pagi - tiba di Program Himpunan Warga Felda Kebangsaan ke-2, Sungai Tengi

11.30 pagi – bertolak ke Kg Koskan bertemu masyarakat India.

1.15 petang – solat zohor & jamak takdim di Suaru An-Nadwah

2.30 petang – bertemu pengundi di Kalumpang bersama

5.00 petang –perjumpaan pengundi di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali.

6.00 petang – balik ke tempat rehat & solat jama’ maghrib & isya’

9.45 malam –ceramah umum KeADILan di Mini Stadium KKB.

12.00 malam – pulang ke Kuala Lumpur

25 April

8.00 pagi bertolak ke KLIA Sepang balik ke Kota Bharu.

Harapnya semua yang keliru dengan isu hubungan titah Sultan Selangor yang dikaitkan dengan kononnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz engkar titah itu mendapat gambaran sebenar. Jangan mudah terpengaruh dengan mainan media perdana milik Barisan Nasional.


Semoga Tuhan yang Esa menunjuki kebenaran kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

28 April, 2010

Sinar Harian-media pembuli

Banyak pihak berpandangan peranan media, khususnya surat khabar adalah penyampai maklumat dan pencetus kesedaran rakyat. Peranan itu amat popular zaman berzaman.


Namun, peranan media akan dipertikaikan apabila terlibat dengan penyebaran maklumat yang berat sebelah atau tidak adil dalam laporannya. Perkara ini akan berlaku tatkala media berkenaan mula dipengaruhi agenda tersembunyi (the hidden agenda) oleh pihak tertentu. Lebih teruk lagi apabila media berkenaan telah dipengaruhi matlamat perniagaan dan putaran isu sensasi yang memacu circulation dan volume cetakan.


Atas nilai sedemikian, akhbar Sinar Harian sebagai sebuah akhbar lokal nampaknya sedia dipengaruhi oleh nilai-nilai berat sebelah atau tidak adil itu. Rujukan khusus kepada kenyataan ini adalah laporannya di muka depan pada 27 dan 28 April (kelmarin dan hari ini) menyentuh integriti Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Peranan Sinar Harian nampaknya sudah bersifat manipulatif, provokatif dan representatif kepada pengaruh politik, iaitu musuh politik kerajaan Negeri --Umno. Di samping secara sedar akhbar itu telah cuba berperanan untuk mempengaruhi kesedaran rakyat ke arah memunculkan persepsi serong kepada seorang menteri besar bertaraf ulamak bergelar 'tok guru.'


Apa jadahnya pihak pengurusan media tersebut, berapa peningkatan volume jualan dan sejauh mana ia membawa impak negatif terhadap integriti menteri besar Kelantan tidaklah menjadi soal. Apa yang penting, cara penampilan paparan muka depan itu (lihat gambar) sudah pasti akan dipuji Umno dan semua orang Umno akan tertarik membeli dan membacanya. Mungkin kajian rambang boleh dibuat di kios-kios akhbar atau pembeli akhbar sendiri bagi membuktikannya.


Apapun, bagi saya peranan akhbar harus dipadukan dengan moral. Sewajarnya pemain dan pengamal media dan kapitalisnya harus melihat prinsip kebenaran dan keadilan. Prinsip ini boleh dijayakan sekiranya melihat secara tawaduk nilai mengutamakan moral di dalam proses maklumat (moral first in information). Sebenarnya prinsip ini hanya ada kepada pemain, pengamal dan kapitalis media yang beragama sahaja.


Jika begitu, mungkin Sinar Harian adalah mewakili kelompok media yang tidak termasuk di dalam lingkungan tersebut. Selayaknya, Sinar Harian mendapat title 'media pembuli.'


Semoga Tuhan yang Esa memberi petunjuk dan hidayah ke atas mereka yang bersifat pembuli dan masukkan iman dan takwa di lubuk hati mereka.

25 April, 2010

Hulu Selangor- Pakatan Rakyat boleh menang besar!

Sumber Zentrum dan Malaysianinsider telah memerhati dan merumuskan perjalanan pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kedua-duanya bersetuju Pakatan Rakyat boleh menang agak selesa.

Berbanding semalam (24 April), ramai pihak berpendapat pengaruh masing-masing parti dan populariti calon amat sederhana dan berkemungkinan menang/kalah tipis.

Berikut adalah rajah analisis ringkas kemungkinan keputusan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Berpandukan jadual, keputusan itu dirumuskan berdasarkan jumlah keluar mengundi meningkat dari 75 kepada 80 peratus (kenyataan SPR) dan aktiviti kempen akhir kedua-dua parti bertanding telah membawa kepada perubahan sikap pengundi.

Sumber itu juga membayangkan maksud kedudukan darjah sokongan kepada KeADILan meningkat, iaitu orang Melayu 49 peratus, Cina 78 peratus, India 38 peratus dan orang Asli 25 peratus.

KeADILan mungkin mencapai kemenangan dengan majoriti 3,970. Sementara KeADILan dijangka memperolehi 27,493 undi dan BN mencapai 23,523 undi. Ia satu kemenangan kepada Pakatan Rakyat menerusi calon KeADILan, Datuk Zaid Ibrahim.

Namun, semua ini merupakan rumusan statistik berpandukan pemerhatian dan penemuan pihak Zentrum dan Malaysianinsider. Keputusan sebenar masih berada dalam milik Tuhan yang Esa. Tinggal lagi keputusan yang pasti akan diumumkan selepas jam 6 petang.

Tuan Guru Nik Aziz - menangkis fitnah Utusan Malaysia

KENYATAAN RASMI
PEJABAT MENTERI BESAR KELANTAN

Bismillahirahmanirrahim.

1. Sukacita saya merujuk kepada 'head-line' muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, 24 April 2010 yang memakai tajuk besar "Pembangkang Ingkari Sultan” yang turut memutar-belitkan fakta kononnya dipetik kenyataan Mursyidul Am Pas selaku Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

2. Petikan yang disertakan di bawah tajuk demikian jelas sekali berniat serong dan jahat serta bertujuan untuk mencemarkan imej Menteri Besar Kelantan dengan melaga-lagakan kenyataan beliau dengan titah KDYMM Sultan Selangor.

3. Sukacita saya menjelaskan punca kekeliruan dan salah petik itu adalah ekoran daripada kenyataan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan di Kuala Kubu Bharu hanyalah memberikan respon kepada pertanyaan wartawan berkenaan isu ucapan yang berunsurkan politik di dalam masjid dan surau.

4. Sehubungan itu, YAB Tuan Guru berulang kali seperti mana sebelumnya sentiasa menegaskan bahawa hakikat Islam itu adalah merangkumi semua aspek hidup manusia, tidak boleh dipisah-pisahkan. Sebagaimana amal ibadah ditetapkan peraturannya di dalam Islam, begitulah juga Islam mempunyai aturan hidup di dalam ekonomi, kekeluargaan dan juga tidak ketinggalan aturan politik. Oleh itu, apabila bercakap Islam di dalam masjid/surau, tidak boleh tidak kena menyentuh sama soal politik. Ini kerana urusan politik dan pemerintahan di sisi Islam adalah urusan agama seperti juga urusan muamalat, munakahat, keadilan, ekonomi dan sosial serta perundangan.

5. YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar tidak bermaksud untuk mengingkari sebarang larangan pihak berkuasa negeri, termasuk KDYMM Sultan Selangor.

6. Apa yang cuba dijelaskan ialah kefahaman Islam sebenar yang tidak boleh dipisah-pisahkan antara urusan agama dengan urusan politik atau siasah. Kerana di dalam Islam turut mengandungi ajaran politik Islam. Oleh itu, soal politik tidak boleh dipisahkan daripada diajar di dalam Islam. Masjid adalah pusat pengajian agama, dan dalam pengajian agama termasuk sama kitab-kitab politik Islam seperti "Min Fiqh al-Daulah Fi al-lslam" karangan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Sudah pasti pengajarannya menyentuh soal-soal kepimpinan, peranan institusi masjid, perundangan dan pentadbiran kerajaan. Semuanya tidak salah disebut dan diajar di dalam masjid.

7. Sebenarnya, YAB Tuan Guru Dato’ sentiasa berpegang dengan prinsip Islam sebenar bahawa politik kepartian tidak boleh disebut di dalam masjid bagi mengelakkan sebarang perpecahan dan suasana yang tidak harmoni. Namun, apabila memisahkan institusi masjid daripada sebarang program ilmu untuk mengajar politik Islam adalah satu tindakan berasaskan fahaman sekular warisan penjajah.

8. Kenyataan YAB Tuan Guru Dato’ kelmarin adalah sama sekali tidak berkaitan dengan larangan KDYMM Sultan Selangor supaya masjid dan surau tidak digunakan untuk berkempen seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia itu. Saya kesal dengan laporan pemberitaan tersebut dan berharap pihak akhbar berkenaan tidak menjadikan ruang pilihan raya kecil ini sebagai ruang adu-domba bagi kepentingan pihak tertentu.

Sekian, wassalam.


Dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 24 April 2010