08 September, 2009

PrK BAGAN PINANG: SPR KENA BUAT PERUBAHAN!

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Isnin depan dan mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada hari yang sama. Demikian menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof seperti dilapor Bernama. Kita harap pihak SPR akan turut membincangkan secara serius isu-isu yang menyokong kepada berlakunya suatu perubahan ke arah penjalanan pilihan raya yang bersih, adil dan telus. Sehubungan itu, SPR dicadangkan melaksanakan beberapa pembaikian dalam beberapa perkara. Di antara yang terpenting ialah persoalan senarai daftar pemilih dan hak-hak yang setara untuk pengundi, calon dan parti bertanding.

Dari segi senarai daftar pemilih, SPR hendaklah:
1. memastikan senarai daftar pemilih yang akan digunakan adalah bersih daripada sebarang nama pengundi hantu,
2. dapat membuang nama pengundi yang telah mati,
3. membuat pengesahan dengan Pejabat Pendaftaran Negara kemungkinan nama pengundi yang diragui identitinya, dan
4. paling penting mengemas kini senarai pengundi pos (membuang nama-nama mereka yang tidak berkhidmat, tetapi masih wujud) di setiap pusat pengundi pos berdaftar, dan
5. memberi ruang untuk semua kakitangan SPR yang bertugas (sekiranya mereka pengundi) dapat mengundi sebagai pengundi biasa tidak pengundi pos.

Sementara dari segi hak-hak yang setara untuk pengundi, calon dan parti bertanding pula, pihak SPR sepatutnya menyemak balik peraturan penjalanan pilihan raya yang menyusahkan pengundi, calon dan parti bertanding. Misalnya:
1. tidak menetapkan hari mengundi pada hari bekerja yang menyebabkan pengundi kesuntukan masa atau memerlukan cuti khas,
2. tidak membenarkan polis campur tangan dalam perarakan pada hari penamaan calon kerana banyak insiden yang berlaku melibatkan campurtangan polis,
3. tidak memilih tempat penamaan calon di luar kawasan pilihan raya kerana menyusahkan banyak pihak yang tidak berkenaan,
4. tidak membebankan calon dan parti bertanding dengan permit-permit berkempen kerana memberi ruang kepada polis dan pihak berkuasa tempatan mengenakan pelbagai peraturan tambahan,
5. tidak membenarkan parti kerajaan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen kerana memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja,
6. tidak membenarkan pemimpin kerajaan turun berkempen atas jawatan kerajaan kerana memungkinkan salah guna kuasa dan untuk mengelak pemimpin parti berjanji menggunakan nama kerajaan,
7. tidak membenarkan penggunaan media rasmi kerajaan seperti radio dan televisyen sebagai saluran berkempen kerana ia alat propaganda kerajaan bukannya parti,
8. tidak membenarkan mana-mana surat khabar milik kerajaan berkempen, melainkan surat khabar milik parti politik,
9. tidak membenarkan pihak polis membuka markaz di dalam bahagian pilihan raya kerana boleh mendatangkan kesesakan dan kerisauan kepada sesetengah pengundi,
10. tidak menghadkan proses semakan pengundi pada hari mengundi hanya pada barung SPR sebaliknya membenarkan parti-parti membuka barung bagi memberi kemudahan kepada pengundi yang tidak berkesempatan menyemak lebih awal,
11. tidak memilih pusat mengundi yang mengganggu lalu lintas seperti premis di tepi jalan utama,
12. tidak menghadkan jumlah bilik mengundi (saluran) kepada 700 pengundi bagi satu saluran, sebaliknya membuka lebih banyak bilik mengundi, misalnya 300 pengundi untuk satu saluran mengundi demi menpercepatkan lagi proses pengundian,
13. tidak menghalang petugas parti membantu dan membawa pengundi pada hari mengundi dengan membiarkan polis membuat sekatan jalan pada hari mengundi,
14. tidak menghadkan kenderaan pihak parti untuk mengangkut pengundi terus ke pusat mengundi.
15. tidak menyusahkan pengundi uzur untuk hadir mengundi kerana tidak cukup kerusi roda/petugas pengiring,

Sekiranya pihak SPR dapat mengambil kira isu-isu tersebut di atas dan membuat penambahbaikan, maka nilai demokrasi dalam pilihan raya akan lebih hidup berbanding apa yang diamalkan sebelum ini. Mudah-mudahan pilihan raya kecil kesembilan yang bakal berlaku di Bagan Pinang, Teluk Kemang nanti bakal menyaksikan suatu ‘reformasi’ penjalanan pilihan raya yang bersih, adil dan telus. Semuga Tuhan Yang Esa mengurniakan keamanan dan kesejahteraan di atas segala pembaikian yang berlaku di dalam sistem politik negara kita.

07 September, 2009

AL-QURAN PERLEMBAGAAN SELURUH UMMAH

Al-Quran adalah obor kehidupan manusia beriman. Selari dengan ulang tahun Nuzul al-Quran pada setiap 17 Ramadhan 1430 ini, maka sama-sama umat Islam mengira-ngira untuk kembali menghayati dan mendaulatkan wahyu Tuhan Yang Esa (mana yang belum diamalkan) terangkum dalam kitab suci.

Sesungguhnya, al-Quran dustur/perlembagaan hidup. Rujukan perundangan mutlak yang bersifat lengkap melengkapi.

Semuga kita semua bersama-sama bertekad untuk memperjuangkan al-Quran sebagai rujukan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.