25 September, 2008

KAD RAYA... SALAM RAYA... e-mail raya

Sekarang dah era maya
Internet media komunikasi global

Musim raya ini -kad raya dah kurang popular

E-mail-sms-mobilephone dah jadi perantara

Sungguhpun ia tidak sama

Namun itulah anjakan budaya

Salam raya mesti diteruskan jua

Semua umat Islam pasti beraya

Setiap Syawal terus bergembira.

Semuga Tuhan yang Esa tetap memberkati jua

Asalkan kita insan sentiasa bersyukur dan mengingati-Nya.

24 September, 2008

SUDAH MENGAKU... 'memang gagal'

Menurut sumber dari mereka yang tidak pro-16 September, hari kelmarin (23 September) Presiden PAS telah diberitahu bahawa usaha untuk mendapatkan sejumlah ahli parlimen BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat 'memang gagal'. Namun, Presiden PAS tetap menyatakan betapa usaha mendapat penyertaan ahli parlimen BN itu dan pembentukan kerajaan baru (mengambil alih daripada BN) oleh Pakatan Rakyat mestilah berpihak kepada Islam. Tetapi sekiranya tidak berpihak kepada Islam, maka PAS akan bertindak untuk 'tidak bersama'!!

Sesungguhnya, segala-gala takdir itu adalah di dalam pengetahuan Tuhan yang Esa. Mungkin malang, atau mungkin berjaya... tetapi samar!!

23 September, 2008

POLITIK NEGARA MAKIN KALUT? (4)

TG RAZALEIGH VS PAK LAH

Kekalutan politik negara sudah merebak masuk rumah tangga UMNO. Muhyiddin dengan ragam yang sinis telah menyindir Pak Lah atas isu peralihan kuasa 2010 sebagai terlalu lama. Zaid telah berundur dari kabinet Pak Lah kerana gagal untuk masuk gelanggang ketua Bahagian di Kota Bharu. Mahathir pula diundang pulang ke pangkuan UMNO oleh Muhyiddin. Paling menarik lagi Pak Lah ke Kelantan hadir majlis iftar di YKK Melor, dan tanpa kehadiran Tengku Razaleigh!!


Ketidak hadiran Tengku Razaleigh jelas menampakkan sikapnya yang siap bersedia untuk menentang Pak Lah dalam pemilihan Disember nanti. Maka Tengku Razaleigh telah berterus terang untuk bertanding jawatan Presiden UMNO. Realitinya, Tengku Razaleigh telah menzahirkan keyakinannya "akan mencapai sokongan 30 peratus" (58 daripada 192 bahagian) untuk pencalonan ke jawatan itu. Demikian dilaporkan oleh pihak media.

Asas keyakinan beliau itu mungkin berdasarkan tiga faktor besar:
1) Prestasi teruk kepimpinan Pak Lah selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri dalam pilihan raya umum Mac 2008 lalu yang menyebabkan BN kehilangan kuasa dua pertiga di parlimen.
2) Beliau telah mendapat regu dari dalam UMNO sendiri, apabila Muhyiddin Yasin mengambil sikap kontradiksi terhadap pelan peralihan kuasa dalam UMNO yang dianggap selari dengan pendiriannya.
3) Beliau juga mendapat sokongan moral daripada Dr. Mahathir bekas Perdana Menteri yang pernah beliau tentang dalam pemilihan presiden UMNO tahun 1987 (hanya tewas 43 undi).

Selain daripada itu, beliau turut mendapat rakan sembang apabila beberapa tokoh veteran UMNO menunjukkan sikap kompromi terhadap beliau. Di antaranya Sabbaruddin Chik dan Sanusi Junid. Jika Mukhriz Mahathir layak ke pertandingan Ketua Pemuda, mungkin ia turut menyokong beliau. Itu tidak pelik lagi kerana, Mukhriz perlu pilih siapa bakal Presiden UMNO yang boleh memudahkan laluan ke jawatan Ketua Pemuda bagi menyingkir Khairy.

Namun, Tengku Razaleigh masih perlu menampilkan ketokohannya, misalnya dengan mengemukakan idea bernas bagi menyelesaikan kegawatan ekonomi sekarang dan meningkatkan integriti kerajaan dan parti yang dilihat begitu humble selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Apapun, semua sudah tidak dianggap pelik lagi jika Tuhan yang Esa sudah menentukan takdirnya UMNO akan berlawan lagi. Mungkin perlawanan 2008 ini akan lebih hebat dari 1987. Ia akan berlaku dan politik negara pasti kalut sehingga Disember 2008.

22 September, 2008

POLITIK NEGARA MAKIN KALUT? (3)

Pak Lah dah lantik Najib Menteri Kewangan,
Pak Lah ambil alih Menteri Pertahanan,
Pak Lah mula bersedia menuju 2010,
Pak Lah akan serah Perdana Menteri kepada Najib.

Najib pula ambil sikap terima aje,
Najib ikut-ikut apa Pak Lah atur,
Najib membayang dia mampu laksanakan,
Najib melihat itu mungkin peluang baik.


Anwar pula terus memburu takhta kerajaan,
Anwar telah tersasul "political engagement",
Anwar kini sudah ditinggalkan 16 September,
Anwar mula cari hal baru bersama Pakatan Rakyat.



Nik Aziz bertelagah dengan Mustapha Ali,
Nik Aziz bersetuju dengan Anwar,
Nik Aziz bersungguh untuk lihat BN ditamatkan,
Nik Aziz ternganga Mustapha Ali senyum sinis.

16 September petanda Anwar tersasar tarikh,
16 September bikin PAS menjadi kalut,
16 September hanyalah taktik Anwar,
16 September menghilang keyakinan individu tertentu.

Pakatan Rakyat parti menunggu,
BN dah 51 tahun bertakhta,
Pakatan Rakyat adalah hegemoni rakyat,
BN adalah bebal dengan derita rakyat.

Rakyat terus terdera jika BN terus bertakhta!!
Rakyat akan terbela... cubalah takhtakan Pakatan Rakyat!!

Apa-apapun kekalutan... semuanya belum tentu.
Apa-apapun, Tuhan yang Maha Esa menentukan, maka rakyat diajak terus bertawakal.

21 September, 2008

Tadarus al-Quran kerajaan PAS Kelantan

Tahun ini sudah 16 siri tadarus al-Quran dalam bulan Ramadhan diadakan oleh kerajaan negeri PAS Kelantan. Ia melengkapi/kesinambungan pendekatan yang dibuat sejak mula memerintah tahun 1990. Sasaran tadarus sebenar ialah kepada kakitangan awam dan berkanun kerajaan negeri dan kepimpinan parti serta pelbagai lapisan rakyat (ahli kariah masjid/surau/madrasah). Namun hakikatnya hanya segelintir berlaku/diadakan itu melibatkan kakitangan awam. Peringkat kerajaan ia biasa diadakan di peringkat jajahan (daerah) sahaja, dan amat jarang diadakan di peringkat jabatan/antara jabatan.
Format tadarus biasanya dimulakan dengan bacaan beramai-ramai ayat al-Quran dari surah yang terpilih, kemudian dikuti dengan bacaan makna dan tafsir oleh seorang bertaraf ustaz.
Berdasarkan pemerhatian dibuat sejak awal (1990-an) hingga sekarang, didapati pelaksana sebenar adalah organisasi parti yang diuruskan melalui pejabat ADUN/penyelia DUN yang boleh disifatkan berjaya. Itupun, kerana adanya peruntukan kewangan untuk majlis berbuka puasa (iftar) bersama ahli kariah tempatan yang diperuntukkan melalui projek bina insan.
Sementara penglibatan sebenar ilmuan (ustaz-ustaz) di dalam memakmurkan tadarus adalah terlalu kecil. Kita boleh dipuji ialah penglibatan ustaz-ustaz yang berelaun daripada lantikan di Unit Dakwah Halaqat. Mungkin kalau tidak diberi elaun, mereka pun tidak aktif.
Paling malang, ada ADUN/Penyelia DUN yang menganjurkan tadarus itu hanya 'ambil nama ada' sahaja. Sementara, ustaz-ustaz yang makan gaji dengan kerajaan negeri (khususnya di Yayasan Islam Kelantan) tidak ketahuan; kelibatpun tidak ada untuk berkongsi ilmu di dalam majlis tadarus. Apa nak jadi pada ustaz-ustaz... sampai kedekut ilmu begitu sekali. Sedangkan ahli kariah tempatan amat kepinginkan 'ilmu tadarus'. Maka berlakulah tadarus yang tidak sempurna... yang sempurna hanya majlis iftar, bila mana kehadiran ke tadarus majoriti adalah pada waktu untuk berbuka puasa sahaja.
Jika dinilai, daripada tiada langsung baik ada... hasil tadarus untuk menambahkan iman dan taqwa sepanjang Ramadhan amatlah sedikit sumbangannya.
Sesungguhnya, Tuhan yang Maha Esa,lebih bijaksana menilai. Apa nak diluah-rasa, melainkan kita berdoa semuga pengalaman berbelas-belas kali (tahun) menganjurkan tadarus itu dapat dilakukan tindakan sewajarnya oleh kerajaan negeri melalui Exco bertanggungjawab (Pembangunan Islam) ; memperbaiki mutu pelaksanaanya agar dipertingkatkan dari segi penglibatan dan kesannya kepada masyarakat.