Penerusan gagasan rakyat
Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama politik yang dibina melalui ikatan persetujuan atas prinsip perjuangan bersama ke arah mencapai kuasa pemerintahan. Kerjasama ini adalah suatu gagasan rakyat yang prihatin dengan perjuangan politik yang menyanggahi (pengimbal) kepada Barisan Nasional, sang tampuk pemerintahan sejak merdeka lagi. Ia juga suatu gagasan kesinambungan Barisan Alternatif yang diasaskan tahun 1999. Barisan Alternatif telah bertukar kepada Pakatan Rakyat selepas mencapai kejayaan 82 daripada 222 kerusi parlimen dan 198 daripada 505 kerusi DUN. Kelahiran Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan persepsi bahawa gagasan citarasa dan warna-warni politik baru. Ia juga adalah penerusan beberapa gagasan rakyat sebelumnya yang tidak bersetuju dengan amalan pemerintahan Barisan Nasional!
Sesungguhnya kemenangan besar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 lalu adalah suatu prestasi cemerlang dan mengatasi kejayaan pilihan raya umum 1999. Pada tahun 1999, gagasan pembangkang atas nama Barisan Alternatif hanya berjaya meraih 45 (termasuk 3 PBS) daripada 193 kerusi parlimen dan 113 daripada 394 kersui DUN. Namun, kejayaan era Pakatan Rakyat terlebih politis disebabkan kejayaan menafikan kuasa dua pertiga dominasi Barisan Nasional di parlimen, dan berjaya merampas tampuk pemerintahan di negeri Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, di samping mengekal serta meraih kemenangan besar di Kelantan.
Susahnya mengurus kemenangan
Mungkin perkataan “susahnya menjaga kemenangan” boleh disebut juga menggunakan laras bahasa pengurusan iaitu “susahnya mengurus kemenangan.” Sementara ungkapan “susah” pula adalah suatu nilaian atas banyak perkara yang bersifat konflik dan krisis. Sifat konflik dan krisis itu pula adalah suatu paparan yang bersifat fakta dan figur.
Bersifat fakta adalah kerana banyak peristiwa politik berlaku dan terpaksa dihadapi mahupun diselesaikan sepanjang Pakatan Rakyat berada di pentas politik nasional yang sudah berwajah baru – politik baru. Antara nilai politik baru ialah munculnya persetujuan dari segi persepsi politik itu telah merentasi pandangan politik lama, terjemahan dan tindakan politik tidak lagi berteraskan nilai-nilai tradisi perkauman dan berlaku kesedaran yang menggerakkan tingkah laku ke arah pemerkasaan asas-asas kesejagatan dan kebersamaan kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan adat tradisi. Diikuti dengan muncul gerakan sivil yang menyokong parti-parti politik baru di dalam perjuangan mencapai tuntutan hak, keadilan dan ketelusan serta kebebasan.
Bersifat figur pula adalah kerana sifat politik baru tidak lagi berbau retorika, tempelan, pewarnaan, mahupun ungkapan kata-kata semata-mata. Malah kesemua figur Pakatan Rakyat itu hendaklah menyantuni persepsi, memenuhi pengharapan, melayani kehendak dan menyentuhi psikologi semua lapisan rakyat. Justeru itu, pengalaman Pakatan Rakyat yang telah hampir dua tahun melalui pasca pilihan raya umum 2008, ternyata banyak rencah figur politik baru yang sudah dilalui. Paling ketara bagaimana munculnya pelbagai serangan media dan salah gambaran pihak Barisan Nasional sehingga terpapar figur negatif di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Berdepan hegemoni Barisan Nasional
Segala-galanya berpunca daripada angkara Barisan Nasional yang sudah “keberangan” dengan perkembangan dan penerimaan rakyat terhadap nilai-nilai politik baru. Barisan Nasional yang masih menguasai segala-gala kekuatan kerajaan pusat telah bertindak mengukuhkan segala aparatus hegemoni – media, jentera kerajaan dan kewangan negara (media-machinery-money) untuk mencetuskan pelbagai persepsi buruk ke atas maruah dan prestasi kerajaan negeri, pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat. Lantas itu, tindakan Barisan Nasional ialah menggambarkan tiada lagi eloknya persepsi rakyat ke atas maruah dan prestasi Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi apabila ada segelintir rakyat yang menilai fakta dan figur prestasi Pakatan Rakyat itu menggunakan dacing Barisan Nasional.
Mencipta persepsi sebenar Pakatan Rakyat
Pihak Pakatan Rakyat secara amnya tidak wajar membiarkan perjuangan berasaskan denyut nadi dan citarasa serta warna-warni kehidupan rakyat terbiar dan terperangkap dengan “keberangan” Barisan Nasional. Di sinilah tindakan perimbangan hegemoni (counter-hegemony) amat penting dilakukan demi menguruskan kemenangan Pakatan Rakyat di setiap negeri yang dikuasainya. Pakatan Rakyat kini memiliki kuasa di empat negeri (selepas Perak dirampas Barisan Nasional) – Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Dua negeri (Kelantan dan Kedah)sudah mewakili jalur kemelayuan, sementara dua lagi (Selangor dan Pulau Pinang) adalah mewakili jalur campuran rakyat. Ia sudah cukup kukuh untuk mencipta persepsi positif untuk memetakan fikiran rakyat agar terus kukuh menyakini politik baru Pakatan Rakyat. Kekuatan berkerajaan (peringkat negeri) boleh dijadikan pentas menguasai ruang menuju ‘centre-stage’ menguruskan segala fakta dan figur, agar rakyat terus berharmoni dan mesra Pakatan Rakyat.
Di dalam Pakatan Rakyat, sudah memiliki modal yang cukup banyak untuk dijadikan ramuan bagi mencipta persepsi positif kepada Pakatan Rakyat. Antara modal itu ialah saf pimpinannya yang berkarismatik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Kit Siang. Saf itu disokong lagi dengan figur berwibawa di setiap negeri yang menjadi penterjemah fakta politik baru (sekadar beberapa figur): Ustaz Azizan di Kedah, Husam di Kelantan, Khalid Ibrahim di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, di samping Mohd Nizar di Perak, Ustaz Tuan Ibrahim di Pahang dan Wahid Endut di Terengganu.
Uruslah persepsi rakyat dengan baik
Pengalaman politik Malaysia yang lepas banyak mengajar pejuang politik berfikiran terbuka dan rasional. Namun, sesuatu yang lebih hebat kepada seseorang pemimpin itu ialah menggunakan daya fikiran yang terbuka dan rasional di dalam mengadun segala pengalaman (fakta dan figur) menjadi suatu nilai persepsi rakyat yang bercahaya. Maka, di sana rakyat akan menzahirkan mood sokongan berupa gelombang-gelombang yang tidak boleh disekat. Walau bagaimanapun, adunan pemikiran dan rasional itu akan lebih berkesan, cepat menular dan mampu menggerakan jutaan rakyat tatkala berlakunya gandingan utuh di dalam menguruskan persepsi rakyat.
Kita lihat gelombang ISA, betapa seriusnya adunan karismatik dan wibawa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu bersama-sama rakan-rakan pimpinan lain dari DAP, PAS dan KeADILan telah menguruskan kesenggsaraan rakyat yang terkena bahana ISA sehingga berlakunya Gerakan Mansuh ISA (GMI) sebagai NGO yang menjadi simbol perjuangan keadilan di negara ini. Langsung berupaya mencetuskan gelombang penolakan rakyat kepada kezaliman Barisan Nasional yang memerintah.
Demikian pula, gandingan pimpinan seperti Dr. Hatta dan Tian Chua serta Mohamad Sabu telah membawa agenda pendemokrasian sehingga berjaya melonjakkan gelombang BERSIH dan berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat menuntut keadilan perjalanan pilihan raya yang adil dalam negara. Gerakan BERSIH itu sudah menjadi agenda penyatu pentiag rakyat yang berjuang di atas landasan politik demokrasi yang merupakan teras politik rakyat dan pemerintah.
Rumusannya, mencipta persepsi rakyat bukan satu tugas mudah. Ia harus dipikul oleh semua pemimpin, bukan segelintir pemimpin sahaja. Tugas itu hanya layak dilakukan oleh pemimpin yang komited dan memahami citarasa rakyat. Rakyat pula adalah golongan pendesak yang sekadar menerima kesannya. Ini bermakna, sekiranya pemimpin tidak bijak mencipta dan mengurus persepsi rakyat sudah tentu rakyat akan mencipta persepsinya sendiri dan persepsi sendiri rakyat itu janganlah diharap akan sealiran dengan fikiran dan rasional pemimpin. Oleh itu, bagi pemimpin Pakatan Rakyat sewajarnya dapat merangka suatu perancangan persepsi yang mantap dengan memanfaatkan segala modal yang ada sekarang ini (kuasa di empat negeri) – bersatulah di dalam mengolah isu-isu kehendak, pengharapan dan keperluan rakyat. Semuga rakyat terus kekal dan bersedia menggelombangkan sekali lagi medan pilihan raya umum ke-13.