15 April, 2011

Pilihan Raya Sarawak: antara jangkaan dan realti

Bagi pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis sejak dari awal proses pilihan raya negeri Sarawak sudah mengumumkan mengenai wujudnya Kerusi Panas. Ia dimaksudkan kepada kedudukan kerusi-kerusi yang berkaitan rapat dengan potensi persaingan sengit dan ketegangan isu kempen dimainkan antara parti-parti atau calon bertanding. Di samping kawasan itu juga ditandai warna merah yang menjelaskan keadaan lebih kritikal yang berkemungkinan besar pihak Barisan Nasional bakal kalah ditangan Pakatan Rakyat.

Jangkaan sebelum realiti

Menurut Malaysiakini (14 April 11) yang memetik sumber Umno berkata ada 28 kerusi panas yang melibatkan 19 kerusi dianggap bakal dimenangi Pakatan Rakyat. Sementara sembilan Dun lagi bakal menjadi medan perebutan yang belum pasti.

Sejumlah 19 kerusi panas itu, 15 kerusi adalah ditandingi SUPP, iaitu lima di Kuching, tiga di Sibu, tiga di Miri, dua di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu. Sementara empat kerusi lagi ialah masing-masingnya tiga PBB dan satu SPDP. Jika ini berlaku bermakna, Pakatan Rakyat akan dapat memenangi setidak-tidaknya 19 hingga 28 Dun dan sekaligus memungkinkan upaya Pakatan Rakyat menafikan kuasa mutlak dua pertiga.

Sekiranya matlamat untuk menafikan kuasa dua pertiga, iaitu memenangi 24 kerusi, rasanya Pakatan Rakyat tidak mempunyai halangan besar. Ini kerana kesemua kerusi itu terletak di kawasan majoriti Cina dan Iban, kecuali tiga Dun ditandingi PBB merupakan Dun Melayu/Melanau (Seribas, Beting Maro dan Lingga). Di Dun Panas itu juga berlakunya putaran ligat isu penolakan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari kuasa ketua menteri. Ia seperti mana dijelmakan oleh laras bahasa kempen DAP yang mengingatkan pengundi bahawa “vote SUPP = vote Taib” sehingga memaksa pihak Barisan Nasional memutar isu tersebut menggunakan pendekatan reverse psi-war dengan mengajak pengundi Cina mengundi Barisan Nasional demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, kemakmuran dan kesederhanaan.

Apa pun semua laras bahasa kempen pihak Barisan Nasional sudah dilihat kaku dan tidak bermaya berikutan banyak isu-isu yang terdedah sudah membongkarkan kekayaan Abdul Taib, anak-anak, menantu dan kroninya menerusi pelbagai projek ekonomi dan kewangan.

Menurut Bridget Welsh (Malaysiakini 12 April 2011) isu-isu berkaitan Abdul Taib itu telah perlekatkan dengan kekangan ekonomi semasa, peningkatan perbelanjaan sara hidup, gaji yang murah diikuti dengan pembolotan kekayaan oleh elit politik kroni Barisan Nasional dan elit politik dari Semenanjung Malaysia yang seida mengaut hak rakyat Sarawak. Ia bakal mencetus suatu gelombang kebangkitan rakyat Sarawak seumpama dengan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.

Analisis jangkaan

Hal ini ada benarnya berasaskan kepada kajian persepsi oleh Zentrum Future dan maklumat Malaysiakini daripada ‘dalaman Umno’ yang menyimpulkan pihak Barisan Nasional Sarawak tidak lagi kalah lapan Dun, sebaliknya akan hilang kuasa dua pertiga.

Jadual berikut adalah ringkasan kedudukan jangkaan keputusan oleh dua entiti tersebut.

Jadual 1: Kajian persepsi semasa - Zentrum Future Studies

Parti

Bil. Kerusi

% kerusi

PR

31

43.66

SNAP

15

21.13

Bebas

4

5.63

Jumlah PR

50

70.42

BN

21

29.58

Jumlah

71


Berdasarkan jadual 1, Pakatan Rakyat dijangka berjaya meraih 31 kerusi dan parti oposisi lain, iaitu SNAP 12 kerusi dan Bebas 4. Ini bermakna Barisan Nasional bakal jatuh dari tampuk kuasa dengan hanya meraih 21 Dun. Maka dijangka tamatlah riwayat Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama. Justeru jangkaan Zentrum Future sudah tidak popular lagi buat Abdul Taib dan rakan sepasukannya.

Hal yang hampir sama ditunjukkan oleh Malaysiakini daripada maklumat ‘dalaman Umno’ (seperti mana dipetik Malaysiakini, 14 April 11) ) yang menilai prestasi kempen di Dun Sarawak. Jadual 2 berikut menunjukkan Barisan Nasional masih utuh di tampuk kuasa, meskipun masih kekal sebagai pihak berkuasa negeri.

Jadual 2: Sumber dalaman Umno - Malaysiakini

Parti

Bil. Kerusi

% kerusi

BN

43

60.56

DAP

18

25.35

KeADILan

9

12.68

PAS

1

1.41

SNAP

0

0.00

PCM

0

0.00

Jumlah PR

28

39.44

Jumlah

71


Berpandukan jadual 2, kesemua parti Pakatan Rakyat dikatakan akan mencapai kemenangan di kerusi panas seperti yang dijelas di awal tadi. Namun, menurut sumber Umno (yang dipercayai bersumberkan maklumat perisikan yang sah), kemungkinan agak realistik, meskipun di sana masih muncul keghairahan kalangan pengundi Iban untuk berubah bersama-sama Pakatan Rakyat. Hal yang sama dijangkakan oleh salah seorang pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (dalam Hornbill Unleassed 3 April 2011) yang meletakkan 29 kerusi persaingan sengit dan boleh dimenangi Pakatan Rakyat.

Apakah ini suatu realiti atau hanya sekadar jangkaan permainan analisis angka para pengkaji? Justeru itu, perkembangan kempen sehingga hari terakhir (15 April) di setiap 71 Dun boleh menjadi asas untuk menjangkakan kemenangan besar atau kecil . Ataukah ia bakal menyaksikan peralihan kuasa?

Perkembangan terakhir

Faktor Abdul Taib yang sudah berusia 74 tahun dan sudah berkuasa selama 30 tahun sebagai ketua menteri masih gagal diganti, ia sudah cukup menjadi simbol kontroversi di sebalik dominasi PBB mengetuai dominasi politik Sarawak.

Berdasarkan pandangan pengkaji politik, James Chin dari Monash University Malaysia, pihak Pakatan Rakyat dijangka memenangi sekitar 20 kerusi atas faktor pengundi yang tidak suka kepada Abdul Taib sahaja (belum diambil kira faktor lain). Asas tidak suka itu mungkin berkait rapat dengan angkara tuduhan rasuah berskala besar, amalan kroni dan penyuburan sekutu politik nepotisme.

Sebaliknyha, hal tersebut turut menyuburkan sambutan rakyat kepada Pakatan Rakyat, meskipun pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan sasaran kempen buli atas fitnah video seks dan liwat serta perpecahan dalaman parti KeADILan. Sekali-kali ia tidak menghalang sambutan luar biasa berlaku dalam kempen di Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu. Ia telah merekodkan poin hangat yang memungkinkan kesemua kerusi bandar dan sub-bandar akan menolak Barisan Nasional.

Jika itu benar, maka SUPP bakal terjelepak longlai seperti parti Gerakan, sementara PBB, SPDP dan PRS sedang tertekan dengan asakan isu pemilikan tanah adat dan kaitannya dengan penguasaan tanah tersebut oleh syarikat yang ada hubungannya dengan pemimpin politik parti-parti tersebut.

Atas faktor tersebut, nampaknya kesedaran muncul mendadak kalangan pengundi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta suku bumiputra lain. Jika benar, gelombang rakyat Sarawak menolak Barisan Nasional pasti berlaku, maka gelombang pengundi di pedalaman itu memungkinkan Baru Bian boleh menang selesa di Ba’kelalan, diikuti dengan persaingan sengit di semua Dun pengundi Iban melebihi 3,000 orang. Apa pun hanya malam 16 April bakal menentukan semua jangkaan menjadi realiti untuk Sarawak, kemudian pilihan raya umum nasional ke-13.

13 April, 2011

SERUAN YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT UNTUK PENGUNDI SARAWAK

Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan turut berkesempatan mengutuskan Seruan kepada semua Pengundi Sarawak yang bakal mengundi pada 16 April nanti.

Seruan itu adalah satu pengharapan atas sentimen “berubah ke arah Sarawak Baru, undilah calon Pakatan Rakyat” yang merupakan menifestasi daripada lawatan mesra Tuan Guru ketika menyertai kempen Pakatan Rakyat di Sarawak pada 10-12 April lepas.

Berikut merupakan Seruan yang dimaksudkan.

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera.

Menemui sekalian pengundi Sarawak budiman. Semoga kita semua berada dalam rahmat Tuhan dan bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi pilihan raya ke-10 Negeri Sarawak.

Sesungguhnya Tuhan telah memberi ingatan kepada kita semua:

Maksudnya: “Pada hari manusia akan keluar berselerak untuk diperlihatkan kepada mereka setiap amalan mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (surah Al-Zalzalah, ayat 6-8).

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (surah Az-Zariyat ayat 56)

Justeru mematuhi ingatan Allah ini, kita hendaklah melakukan sesuatu itu dengan niat beribadat, kerana ibadat itu akan mendapat pahala. Pahala pula adalah bekalan untuk kita hidup aman-sejahtera selepas kita mati (berada di akhirat) nanti.

Begitu pula kita kena hendaklah percaya, apabila mengundi itu diniatkan sebagai ibadat, maka ia sama juga dengan sembahyang. Apa yang kita dapat dari sembahyang adalah pahala. Maka mengundi itu juga kita akan dapat pahala. Pahala adalah umpama duit yang yang boleh berjual-beli ketika di alam akhirat (hidup selepas mati).

Apa yang penting, kita hendaklah mengundi calon dan parti yang membawa kebaikan dan membela nasib kita untuk hidup aman-sejahtera.

Sesungguhnya calon Pakatan Rakyat, sama ada dari PAS, DAP dan KeADILan adalah terdiri daripada mereka yang layak untuk dipilih. Ini kerana semua mereka memiliki kesungguhan dan sedia membela nasib dan hak kita semua.

Yakinlah, mengundi seorang calon yang layak, pastinya akan dapat berkhidmat dengan baik kepada kita semua. Ia adalah satu amal ibadat yang mulia, dan pasti mendapat restu Tuhan ke arah mencapai hidup yang aman-sejahtera.

Oleh itu, saya berharap agar kita semua dapat melakukan perubahan ke arah membina Sarawak Baru yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat.
Terima kasih dan tahniah kerana mengundi calon Pakatan Rakyat––PAS, DAP dan KeADILan.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
Al-Mursyidul Am PAS

9 Jamadil Awal 1432H/12 April 2011M.

Semoga pengundi Sarawak dapat mengambil sikap politik serupa pengundi Kelantan yang sudah melakukan perubahan––menolak BN/Umno sejak 21 tahun lalu. Justeru Kelantan terus Membangun Bersama Islam tanpa khilaf lagi.

Pilihan Raya Sarawak - 13 Dun panas, sengit

Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 kali ini sedang menyaksikan 13 Dun panas yang boleh disifatkan panas, persaingan sengit dan sedang merimaskan calon-calon bertanding. Ia diikuti dengan pula dengan enam Dun kelabu bagi Barisan Nasional Sarawak pimpinan Abdul Taib Mahmud. Berikut adalah jadual yang menerangkan secara ringkas fakta tersebut.

Berpandukan jadual di sebelah (klikkan untuk saiz besar), 10 Dun adalah dimenangi BN pada pilihan raya 2006, hanya tiga Dun (N.09 Padungan, N.28 Engkilili dan N.43 Ngemah) pihak BN kalah.


Apa pun berdasarkan perkembangan semasa dan mood kebersamaan pengundi (khususnya kalangan Dayak dan Cina) menyahut kempen “Jom Ubah” pihak Pakatan Rakyat, maka dijangkakan 13 Dun panas tersebut bakal dimenangi Pakatan Rakyat atau parti oposisi BN.


Di antara parti-parti Pakatan Rakyat tersebut, KeADILan dijangka memperolehi lima Dun, DAP bakal memenangi empat Dun dan PAS pula dua Dun.


Sementara parti-parti oposisi lain adalah dijangka SNAP mengekalkan kemenangan di Engkilili dan PCM pula akan menawan Dun Ngemah yang dulunya dimenangi calon PCM atas tiket Bebas.


Sekiranya benar, jangkaan 13 Dun ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan parti oposisi. Kemudian, kemungkinan besar DAP dapat mengekalkan dominasi di enam Dun (N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.40 Meradong, N.45 Bukit Assek dan N.59 Kidurong) yang dimenangi 2006, maka Pakatan Rakyat bersama SNAP dan PCM akan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 71 Dun. Ia belum cukup untuk meranapkan keegoan parti BN yang ditunjangi PBB dan SUPP.


Justeru, bagi meranapkan dominasi dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi 25 Dun. Ia memerlukan enam Dun lagi. Antara Dun yang dilihat berpotensi ialah mana-mana Dun kelabu bagi parti SUPP, SPDP dan PRS. Dun tersebut ialah N.25 Balairingin (PRS), N.39 Repok (SUPP), N.41 Pakan (SPDP), N.47 Bawang Assan (SUPP), N.64 Pujut (SUPP) dan N.65 Senadin (SUPP).


Apakah matlamat meranap dominasi dua pertiga Barisan Nasional akan berjaya?


Berdasarkan mood dan kesedaran politik semasa (sentimen pengundi Cina menolak BN bermula di Sibu dan kebangkitan Orang Ulu, Iban dan Bidayuh), maka bukan setakat meranap dominasi dua pertiga, lebih dari itu ialah berkemungkinan BN akan terpenggal tampuk kuasa Kerajaan Negeri!

11 April, 2011

Jaga imej dan akhlak orang Kelantan

Kesempatan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan selama dua hari di Kuching, Sarawak turut diadakan perjumpaan dan majlis minum petang bersama Anak Kelantan pada hari ini (11.4.11) bertempat di Hotel Grand Continental.

Semasa ucapan pada majlis tersebut, Tuan Guru menyentuh hakikat fitrah manusia dan "kelebihan orang Kelantan" tatkala bertemu di luar Kelantan.

Antara kelebihan itu ialah fitrah orang Kelantan begitu ramah mesra bila berjumpa dan paling mesra lagi apabila bercakap loghat Kelantan. Begitu juga kelebihan orang Kelantan ialah minat 'mengaji' hinggakan bertemu dengan orang Kelantan di Mekah, Amerika, England, Australia dan lain-lain lagi.

Lalu diseru kepada orang Kelantan, walau pun ke mana sahaja 'kita' pergi hendaklah jaga imej dan diminta kekalkan imej itu. Imej yang dimaksudkan itu ialah minat mengaji, terutama mengaji agama.

Dalam pada itu, Tuan Guru turut menyentuh beberapa kehebatan orang Kelantan dari segi menolak perjuangan nasionalis dan menerima perjuangan Islam, suka berbuat kebajikan dan mencari pahala. Atas dasar ini, Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru tetap melaksanakan pentadbiran berteraskan Islam (berprinsipkan ubudiyah, mas'uliyah dan itqan).

Kesemuanya, gambaran dan kelebihan orang Kelantan itu adalah tanda ada bukti keyakinan orang Kelantan kepada kehidupan beragama.