09 September, 2010

Salam Idulfitri: hayati takbir-seruan perpaduan

Alhamdulillah, atas rahmat, keberkatan, nikmat dan kekuatan serta rezeki Allah SWT kurniakan kepada hambaNya, maka tahun 1431 ini dan pada Syawal 1 haribulan jatuh hari Jumaat kita menyambut Idulfitri yang mulia dan penuh rasa ukhuwah-persaudaraan Muslimin dan perpaduan dalam bermasyarakat.

Perpaduan di bawah payung ketenangan berkat rezeki Allah sudah termaklum. Sebagaimana petikan daripada "Salam Idulfitri" Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Ni Abdul Aziz in Nik Mat antara lain dipetik:

"Firman Allah SWT:

Bermaksud:

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)."

Takbir seruan perpaduan

Pengajaran daripada sambutan Idulfitri setiap tahun adalah terlalu banyak. Antaranya ialah seruan takbir itu mengandungi makna penyatuan, perpaduan dan wehdah pemikiran, keyakinan dan keakraban silaturahim.

Cuba hayati maknanya seperti berikut:

Apa yang utama, Salam Idulfitri mengandungi makna membesar Tuhan Yang Satu lagi Maha Besar, tiada Tuhan lain lagi yang lebih besar. Ia merupakan laungan ikrar hamba-Nya akan menolak segala bentuk penyembahan seperti sesama manusia, makhluk lain, benda buatan sebagai tuhan dan apa-apa keyakinan yang mengatasi nilai ketuhanan atau setaraf, serupa atau pun lebih besar/berkuasa dari Allah.

Justeru takbir raya merupakan pembebasan manusia terhadap segala unsur ketuhanan yang sekaligus menerima kalimah ketuhanan yang satu (mentauhidkan Allah). Maka atas maksud ini, seruan selanjutnya adalah perpaduan umat manusia mestilah berpandukan ajaran dari Allah, iaitu Islam sebagai cara hidup.

Atas prinsip ini, setiap umat manusia mestilah bertegas dan tiada ruang untuk berkompromi dengan prinsip ketuhanan dan ajaran yang menjadi ikutan umat kafir dan sekutunya (ahzab).

Sehubungan itu, seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berikutnya harus menjadi asas ke arah pembinaan perpaduan umat yang kukuh. Menurut Tuan Guru lagi, "besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat nonmuslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai. "

Semoga hari raya idulfitri tahun ini (1431H) bakal menganjakkan taraf iman dan taqwa kita demi membina umat yang beragama. Berpadu kita semua menolak sebarang bentuk ketuhanan yang bercanggah dengan seruan takbir.

Selamat hari raya idulfitri , maaf zahir dan batin- minal aidil walfaizin.