GENERASI YANG MENANG – GENERASI IMPIAN
Sebenarnya umat Islam yang sejati semestinya mengimpikan kemunculan generasi yang menang dan menang di dalam setiap segi kehidupan di dunia dan di akhirat. Impian ini mungkin bersifat ‘ideal type’, namun generasi yang sedemikian pernah muncul dalam era kegemilangan Islam yang berlaku di serata pelusuk dunia. Ia pernah berlaku sezaman dengan Rasulullah SAW dan antaranya lagi berlaku ketika umat Islam di bawah pimpinan Sallehuddin Al-Ayubi dan kemudian disusuli pimpinan Muhammad Al-Fateh.
Hakikatnya, generasi yang menang dan menang ini sentiasa muncul di dalam sejarah umat Islam di serata dunia yang boleh dikongsikan sehingga ke hari ini. Hal ini dialami sama oleh umat Islam di Malaysia, sedia berkongsi ikhtiar ke arah memunculkan generasi yang diimpikan oleh kita semua. Di sananya memerlukan ikhtiar yang berterusan menerusi peranan kerajaan (penguasa yang beriman), pertubuhan (gerakan Islam) dan institusi pendidikan Rabbani (golongan yang sedar) yang dipimpin oleh alim ulamak mujadid. Justeru itu, di serata tempat dalam negara ini munculnya pusat-pusat pembangunan insan yang bakal dan sedang mewarisi sifat generasi menang dan menang di sisi Islam.
Ikhtiar tarbiyah
Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi menyifatkan generasi yang menang dan menang ini sebagai generasi impian. Di sisi gerakan Islam yang aktif seperti mana kebanyakannya ada di Malaysia didapati amat aktif di dalam ikhtiar tarbiyah bertujuan melahirkan individu atau komuniti bertaraf generasi yang menang dan menang. Sepenuh harapan diberikan agar gerakan Islam itu mampu melahir dan membesarkan generasi impian itu. Ketika itu, ia menjadi saksi di atas pengorbanan ilmu, tenaga dan harta serta jiwa kita para penggerak ikhtiar tarbiyah Islami. Apa yang penting, pastikan berlakunya kesatuan dalam kalangan institusi dan alim ulamak pewaris sunah para Nabi agar ikhtiar tarbiyah mampu melahirkan generasi impian yang benar-benar melalui proses tarbiyah berkonsepkan Rabbaniyyin─memenuhi kesempurnaan masa kini dan hadapan─di dunia dan di akhirat.
Kesatuan tersebut hendaklah dibayangi oleh satu matlamat yang sama, iaitu bermaksud ikhtiar secara berterusan berlandaskan sifat-sifat pejuang Rabbani mengutamakan kegemilangan yang menyiumbang kepada pembinaan cara hidup Islam sejati. Berlakunya nilai-nilai gerakan dan kesatuan yang bersifat kelebihan dan kehebatan di dalam banyak segi kehidupan serta mendapat pengiktirafan majoriti umat. Meskipun sebahagiannya bersikap kontradiksi, iaitu untuk memalingkan hala tuju dan misi gerakan bertujuan menggagalkan matlamat gerakan ikhtiar tarbiyah tersebut.
Sehubungan itu, peringatan Allah mengenai ikhtiar oleh pihak kontrakdik (fahaman bertentangan dan menyesatkan dari landasan Islami; S. At-Taubah ayat 32; Surah As-Saf. ayat 8) hendaklah dijadikan panduan dan ingatan penting. Walau apapun cabaran mendatang, keutamaan bagi aktivitis gerakan ikhtiar tarbiyah Islami adalah bermatlamat untuk memunculkan generasi menang dan menang serta meramaikan mereka agar terus cekal dalam menyuburkan pengamal nilai-nilai kehidupan Rabbani.
Cabaran semasa
Gerakan Islam masa kini sedang berhadapan dengan cabaran besar berikutan ledakan nilai-nilai pembaharuan global yang berkembang pesat tanpa tapisan dan saringan keagamaan yang jitu. Ia mengundang generasi semasa dan masa hadapan bergelut dengan pembauran budaya yang acap kali bertembung dengan kemurnian cara hidup Islam. Berikutan kemajauan tenologi komputer, robotik dan kecanggihan perindustrian serta kejuruteraan siber, malah ditambah lagi dengan penciptaan teknologi yang menggantikan kepakaran manusia berasaskan ‘artificial intelligence’. Sekaligus memungkinkan generasi yang diimpikan turut terpengaruh dari segi cara dan nilai berfikir mengikut arus yang berkembang. Hal ini merupakan suatu cabaran yang mungkin merencatkan ikhtiar tarbiyah sekiranya tidak diserapi secara cermat.
Sehubungan itu, falsafah dan prinsip pembinaan generasi yang menang dan menang dari perspektif nilai hidup Rabbani perlu dimurnikan di dalam setiap segi gerakan ikhtiar tarbiyah. Paling penting, hendaklah berlaku orientasi semula aspek kemasyarakatan yang berpandukan matlamat dan sistem Al-Quran dan As-Sunnah serta pandangan alim ulamak. Dalam konteks pembinaan generasi impian (bersifat menang dan menang), pihak gerakan ikhtiar tarbiyah hendaklah mengambil jalan proaktif dan progresif di dalam menerapkan ciri-ciri kemasyarakatan masa hadapan yang kini berkonsepkan nilai-nilai masyarakat super pintar (the values of super-smart society).
Nilai-nilai masyarakat tersebut adalah dipacu oleh sifat manusia dan masyarakat yang berteknologi mampan menerusi transformasi digital. Ia sudah tentu mempengaruhi nilai-nilai kehidupan masa kini dan hadapan di dalam kesemuanya urusan kemasyarakatan ─khidmat kesihatan (healthcare), pergerakan (mobility), kemudahan asas (infrastructure), teknologi kewangan (FinTech) and perkhidmatan awam (public services). Justeru di sebalik kemajuan nilai-nilai ini, sudah tentu ia sekali lagi memerlukan orientasi baru aspek dasar teknologi dan kesediaan generasi baharu dalam penggunaan robot, internet of things (IoT) dan artificial intelligence (AI) serta big data. Dalam hal ini, sifat gerakan ikhtiar tarbiyah ke arah generasi impian semestinya bersikap responsif agar masyarakat tidak tergelincir pendirian hidup berpandukan tauhid.
Bagi menguasai nilai-nilai kemayarakatan super pintar itu (perkembangan dunia berteknologi) tersebut, maka menjadi tanggungjawab gerakan Islam yang berkonsepkan ikhtiar tarbiyah mestilah mengutamakan perancangan bagi melahirkan lebih ramai para da’i, pemikir, fuqaha’dan ilmuwan yang Islami. Oleh itu, ia memerlukan persiapan pendidikan Rabbani yang sempurna. Jalannya adalah semua gerakan ikhtiar tarbiyah mestilah menjayakan proses pembelajaran yang saling melengkapi di antara ilmu rohani, jasmani, intelektual, akhlak, sosial, ekonomi dan politik serta teknologi. Suatu proses ke arah melahirkan generasi yang berupaya mengibarkan bendera kejayaan ketika umat Islam memerlukan kepimpinan generasi yang diimpikan. Maka di atas keperluan ini, amat serius untuk gerakan Islam yang melaksanakan ikhtiar tarbiyah perlu berada di dalam gelanggang kekuasaan politik pentadbiran. Di sana ada kemungkinan ruang dan peluang bagi melaksana dan menjayakan agenda besar, iaitu melahirkan generasi impian umat Islam yang mampu menang dan menang. Sudah tentu, inilah tuntutan bersifat fardhu kifayah yang seharus diambil perhatian. Sementara bagi pemimpin gerakan Islam yang kini sudah bertaraf penguasa dalam kalangan umat Islam adalah menjadi tanggungjawab besar untuk merealisasikan generasi impian ini.
Wallahu’alam.
Wan Nik Wan Yussof.
15 Zulhijjah 1442/25 Julai 2021.