09 July, 2011

BERSIH 2.0: KASAR & pangan, Presiden aku pun ditangkap!

Memang polis Malaysia sudah melampau. Sama dengan menterinya dan PMnya. Apa jadah. Orang berjuang nak bersihkan kekotoran pilihan raya pun sudah diangkat bertaraf musuh negara. Malah habis Bandaraya K. Lumpur dilumpuhkan ekonomi dengan roadblock dan kepungan polis.

Apa pun, tahniah pihak pimpinan dan penyokong BERSIH 2.0 "kita semua dah berjaya". Sebagaimana kata-kata A. Samad Said (foto - baju kuning): Belum pernah melihat semua kaum di Malaysia bangkit menyokong atas satu sebab (Bersih 2.0).

Meskipun begitu, aku sedih dan memang marah dengan perilaku polis yang menangkap presiden parti aku!!!

Justeru aku maklumkan kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS yang sedang mengakhiri ibadat umrahnya di Kota Suci Makkah al-Mukarramah.

Lalu melalui Setiausaha Akbarnya, Sdr Ustaz Mohd Fadhli Shaari telah diutuskan 'surat karomah' yang bakal mengubah lanskap politik negara pada pilihan raya umum 13 nanti. InsyaAllah Pakatan Rakyat bertambah kukuh dan meningkat sokongan rakyat.

Berikut adalah surat karomah Tuan Guru Nik Abdul Aziz:

Kenyataan BERSIH 2.0 – Reaksi berikutan penangkapan Presiden PAS

Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya-allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0 pada hari ini.

Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang.

Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno. Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun?

Bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti. Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa.

Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman yang dilakukan pada hari ini. Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. Umno pasti akan jatuh tersemban juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!

Allah hu Akbar!!!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Dicatat pada : 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan)

7 Syaaban 1432/9 Julai 2011.

06 July, 2011

BERSIH 2.0 - SPR & Polis anti Bersih?



Gambar atas:BENARKAH INI BAHAN BUKTI YANG DISENGAJA DIREKA?


Apa sudah jadi dengan pasukan polis Malaysia. Nampaknya, sejak isu Bersih 2.0 semakin menghampiri 9 Julai, polis dilihat semakin terdesak. Semacam polis tidak lagi pasukan keselamatan awam, sebaliknya dilihat semacam pegawal keselamatan kepada penguasa Umno-BN. Mungkin dakwaan ini tidak benar. Namun apa yang berlaku, pendekatan dan tindakan polis yang melaksanakan ‘preventive action’ sudah dilihat sealiran dengan hasrat pemimpin Umno yang takut dan mahukan perhimpunan Bersih 2.0 dibatalkan.

Tidak rasional

Justeru tindakan polis sudah senada dengan ucapan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan (Free Malaysia Today, 14 Jun 2011) yang menghasut semua NGO atau pihak tertentu membuat laporan polis untuk menghalang Bersih 2.0. Kesannya, polis bertindak atas agenda ketua penerangan Umno. Akibatnya banyak tangkapan dan provokasi polis termasuk tindakan yang tidak rasional atas fakta ‘baju kuning’ yang dipakai.

Atas asas ini, Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail (Harakahdaily, 3 Julai 2011) berkata, sepatutnya peluang diberikan kepada Bersih supaya rakyat dapat menilai kebenaran yang sebenarnya.

Hujah ketua penerangan PAS itu adalah berdasarkan pelbagai tindakan tidak rasional pihak yang anti Bersih 2.0 (boleh disifatkan sebagai pro demokrasi tempang/pilihan raya kotor) terus memainkan isu Ambiga, komunis, pengganas, mengharamkan pemakaian baju kuning Bersih, menggunakan platform khutbah Jumaat, menghalang ceramah-ceramah Pakatan Rakyat; sedangkan satu peluang pun tidak diberikan oleh kerajaan untuk Bersih dan Pakatan Rakyat menjawabnya.

Paling teruk ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebuah institusi pengurusan agama telah diterompahkan oleh penguasa Umno-BN menjadi mimbar Khutbah Jumaat (1 Julai 2011) sebagai pentas dan khatibnya dipaksa menjadi tukang syarah memfitnah Bersih 2.0. Maka, mimbar telah menjadi perantara pembohongan popular di ibu negara.
Justeru PAS Wilayah Persekutuan telah membantah. Maka khutbah Jumaat itu sudah jelas berbohong apabila menyebut ‘Bersih akan mengadakan huru hara, merosakkan harta benda awam dan akan mencederakan pihak polis’––jelas satu fitnah menggunakan platform agama di khalayak ahli jemaah.

Sewajarnya, majoriti warga Kuala Lumpur dapat bangkit menolak gaya pengurusan agama JAWI yang sudah menyebar fitnah di mimbar suci.

KKDN mengharam Bersih 2.0

Melengkapkan lagi kenyataan ketua penerangan Umno dan memberi ‘sijil halal’ kepada pihak polis melakukan tindakan kotor adalah pendirian Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Malaysiakini, 2 Julai 2011) yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram––tidak sah dan menyalahi Seksyen 5, Akta Pertubuhan dan bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

Namun, seorang daripada peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran (Free Malaysia Today, 1 Julai 2011) dalam kenyataan medianya mempersoalkan bagaimana sebuah pergerakan perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni untuk menuntut pilihan raya yang adil boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Maka harus dipersoalkan, apakah perhimpunan aman hasil gabungan lebih 60 NGO (yang sudah sah pendaftarannya) masih berstatus haram.

Justeru, menurut pandangan Surendran, menteri KKDN itu telah menyalahgunakan kuasanya kerana mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Pesilat pun anti Bersih 2.0

Ketua Menteri Melaka selaku Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah mengeluarkan suatau kenyataan berbau anti demokrasi kerana mengutuk dan memfitnah Bersih 2.0. Beliau dilihat bersikap tidak adil kerana sewenang-wenangnya menghukum seseorang dengan bias.

Dalam akhbar (Utusan Malaysia, 2 Julai 2011) Ambiga telah dituduh oleh Ali Rustam sebagai bertanggungjawab atas kesalahan akan berlaku huru hara jika perhimpunan Bersih 2.0 diteruskan. Sekali lagi, pendekatan menghukum sebelum pembuktian telah dilakukan oleh pemimpin Umno (sama juga dengan kes Datuk T yang menuduh Anwar sebagai individu dalam video fitnah). Seharusnya, Ali Rustam selaku pengerusi gabungan pesilat bersikap sabar dan bijaksana, bukannya mengapi-api persatuan pesilat.

Apa pun, kenyataan Ali Rustam itu sudah di luar konteks, kerana tujuan perhimpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan aman, tidak membawa senjata dan sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Realitinya, Bersih 2.0 bukan mahu menentang kerajaan seperti yang dikatakan Ali Rustam tetapi bertujuan menuntut hak rakyat melalui 8 tuntutan bagi pilihan raya yang lebih baik pada masa akan datang. Sekaligus akan meningkatkan lagi status demokrasi menghampiri status demokrasi tulen. Apa pasal pula, Bersih 2.0 katakan haram, sedangkan misi sebenar ialah pemulihan demokrasi dan pembersihan pengurusan pilihan raya yang dikotori oleh agenda politik penguasa Umno-BN.

Tangkapan

Kemuncak kepada tindakan polis ialah menangkap sesiapa sahaja bersabit Bersih 2.0, mahu pun individu yang memakai dan menyeru kepada menyertai perhimpunan Bersih 2.0. Penangkapan tujuh orang yang sedang minum di Restoran Sempelang, Kota Kinabalu melibatkan dua pemuda PAS. Membuktikan polis sedang tertekan dalam arus kebangkitan rakyat di Sabah. Ia sudah melengkapkan gerakan polis anti Bersih 2.0 yang sebelumnya menangkap pimpinan PSM, iaitu 31 orang di tol Sungai Dua, Pulau Pinang dan 28 orang di Tangkak, Johor. Meskipun tangkapan itu dikaitakan dengan fahaman komunis, tetapi semua orang tahu ia berlaku dalam era kempen Bersih 2.0. Kemudian 6 orang pimpinan PSM itu ditahan semula selepas tempoh reman tamat.
Minggu lepas tangkapan awal seramai 39 orang di Johor, 14 orang di Alor Star dan tiga orang di Batu Gajah, Perak. Sebelum itu, dibuat tangkapan pimpinan muda KeADILan dilakukan polis di Shah Alam. Maknanya tidak kurang 100 tangkapan di seluruh negara telah dilakukan polis semata-mata menjayakan agenda pemimpin Umno-BN yang anti Bersih 2.0

Terbaru Ahli parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa, pemimpin Pemuda DAP Johor Tan Hong Ping dan empat yang lain ditahan dan dibawa ke balai polis Taman Pelangi, Kuala Lumpur, dalam satu lagi episod tindakan polis terhadap sebarang aktiviti 'BERSIH'. Walaupun Er menafikan kehadiran mereka di pasar Taman Pelangi tiada kena mengena dengan perhimpunan Berssih 2.0. Misi mereka memakai baju kuning adalah kempen kebersihan 'gotong-royong' dengan tema "Negara Bersih, Rakyat bertuah." Apa yang nyata, pihak polis sudah polis terlalu sensitif. Tema kami adalah Negara Bersih, Rakyat Bertuah, tetapi mereka tidak mahu menerima penjelasan pihak pemimpin DAP.

Terbaru lagi, melibatkan tangkapan dan tahanan reman penjual baju logo Bersih 2.0 di Kelantan. Ia melengkapkan tindakan sebagaiman sikap pemimpin Umno yang Machivellian yang tidak mahu menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut sistem demokrasi saksama dan pilihan raya yang adil untuk rakyat dan parti politik negara ini.

Sebelum ini, pihak polis telah menyerbu pejabat sakretariat Berish 2.0 dan telah merampas peralatan termasuk baju T kuning Bersih 2.0. Adakah, strategi preventive action ke atas perhimpunan dilakukan polis sah dalam bacaan perundangan?

Apa yang terserlah, ia suatu provokasi semata-mata untuk memastikan perhimpunan Bersih 2.0 lumpuh sebelum berhimpun. Apakah baju T kuning yang dirampas akan dilupuskan atau polis akan pulangkan balik selepas 9 Julai? Tidak mungkin!

Bersih 2.0 diteruskan

Jelas sekarang polis sedang menjayakan misi pemimpin Umno-BN, sehinggakan polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam sudah menunjukkan tindakan negatif.

Tambahan pula tindakan menutup rundingan dengan penganjur Bersih 2.0 sudah diambil oleh polis. Justeru Timbalan Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu menganggap tindakan polis menutup pintu rundingan sudah membuktikan polis tidak memahami tuntutan Bersih 2.0 yang didukung oleh pencinta demokrasi dan keamanan.

Justeru penegasan Haji Mohammad, PAS tetap akan sertai Bersih, demi menuntut keadilan dalam pilihan raya dan bukannya untuk menggugat kestabilan negara. Himpunan Berish 2.0 masih diteruskan. Harapanya 9 Julai nanti bakal mencetus sejarah dan harapan baru demokrasi negara Malaysia. Selepas rombongan Bersih 2.0 menghayati titah yang di-Pertuan Agong, mereka berjumpa Tuanku dan setuju program berarak diganti dengan berhimpun di stadium. Jelas Bersih tetap dengan prinsip memperbaiki demokrasi!

Sekiranya polis kekal meneruskan agenda tangkap-menangkap, maka amat malang sekali, kerana polis sudah bertaraf sama dengan penguasa Umno-BN. Natijahnya, masyarakat dunia telah melihat peliknya kuasa polis, orang yang mempertahankan demokrasi ditangkap dan ditahan. Sementara pihak yang meneruskan ketempangan, kekaburan dan kekelaman domokrasi dibenteng dan dipertahankan. Apakah, polis bukan lagi mesra, cepat dan betul? Percayalah, Berish 2.0 adalah titik cerah demokrasi tulen bagi Malaysia.

Terkenang BERSIH 1.0 - 10 Nov 2007

Ini cerita 2007 - 3 bulan sebelum PRU-12.

Memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Daripada: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
Sabtu November 10, 2007

1.BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

2.Hanya menerusi pilihan raya yang bebas dan adil sahajalah, rakyat Malaysia mampu untuk menentukan nasib mereka sendiri Malaysia dan mengharapkan mereka yang menjawat jawatan-jawatan awam untuk bertindak dengan pertanggungjawaban dan berkesan.
Selagi mana, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir golongan jahat dalam pemerintahan negara, maka selagi itulah harapan untuk mendaulatkan undang-undang, melindungi hak asasi manusia, mengadakan urus-tadbir kerajaan yang baik dan menggalakkan pembangunan rakyat yang berterusan/lestari akan terus tertakluk kepada budibicara ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Matlamat utama untuk menukar kerajaan hari ini adalah merupakan kunci 'semak dan imbang' dalam menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah.

3.Adalah amat malang bagi Malaysia kerana walaupun sudah 50 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihan raya yang bebas dan adil. Kesimpulan ini bukan sahaja dipersetujui oleh masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerhati antarabangsa, malah ia juga diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya.
Selepas pilihan raya umum pada bulan Mac 2004 yang dihantui oleh pelbagai penyelewengan dan kontroversi yang jauh lebih serius daripada pilihan raya-pilihan raya sebelumnya, maka, beliau merasakan perlu dan setuju dengan tuntutan awam untuk menjalankan penyiasatan bebas. Namun, amat mengecewakan penyiasatan bebas tersebut akhirnya tidak dijalankan.

4.Proses pengendalian pilihan raya yang tidak telus ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya persoalan terhadap kuasa mutlak badan pemerintah negara ini. Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita.

Ini dapat dilihat pada negara-negara yang telah mengalaminya iaitu Thailand, Filipina dan Taiwan. Oleh yang demikian, BERSIH merasakan adalah perlu bagi semua rakyat Malaysia berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membawa perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihan raya yang mendatang. Justeru, kami mencadangkan agenda perubahan jangka-panjang dan tiga sasaran kerja dengan segera.

5.Dalam masa jangka-panjang yang akan membatasi batas pilihanraya akan datang, BERSIH yakin dan percaya bahawa kelapan-lapan aspek ini perlu dikaji dan diperbaharui secara keseluruhannya:

a.Sistem pilihan raya:

i.Adalah perlu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang tinggi antara undian rakyat dan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, dimana undi sebanyak 64 peratus boleh diterjemahlkan kepada 91 peratus kerusi bagi parti pemerintah.
Ini adalah kerana berteraskan kepada prinsip asas 'First-Past-The-Post' atau 'Yang-Pertama-Melepasi-Tiang' dan juga manipulasi menerusi pembahagian kawasan pilihanraya yang bericirikan 'agihan-timpang' dan 'curang' atau 'tipu-belit'.

ii.Adalah perlu untuk memperkenalkan satu sistem yang menyenaraikan semua perwakilan parti, supaya jumlah minima 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen terjamin.

iii.Adalah perlu untuk memperkenalkan semula pilihan raya tempatan dengan sistem pilihan raya yang lebih adil, termasuk memberikan ruang yang lebih kepada penglibatan wanita dan kelompok terpinggir dalam masyarakat.

b.Pentadbiran pilihan raya:

i.Adalah perlu untuk merubah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang yang ternyata gagal untuk bertindak sebagai sebuah institusi yang bebas dengan bergerak ke arah struktur perwakilan pelbagai parti sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi

ii.Memperuntukkan undang-undang yang berkaitan dengan hak pemerhati-pemerhati antarabangsa dan tempatan

c.Penamaan calon dan parti - bahawa ketimpangan ini mesti diperbetulkan:

i.Kuasa berasaskan budibicara yang diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan menyebabkan keputusan berkaitan pendaftaran dibuat secara sewenang-wenagnya. Ini dapat dilihat dalam kes Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Malaysian Dayak Congress (MDC);

ii.Keputusan berat sebelah dan sewenang-wenang oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akhirnya menggugurkan kelayakan calon-calon pembangkang adalah tidak adil;

iii.Klausa kontroversi yang membenarkan calon menarik diri selepas penamaan yang akhirnya membawa kepada pertuduhan rasuah dan kemenangan tanpa bertanding yang menyangsikan.

iv.Wang deposit pilihan raya yang tertinggi di dunia yang secara langsung menghalang penyertaan warga Malaysia yang kurang sumber kewangannya, termasuk golongan wanita dan beberapa kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

d.Kempen pilihan raya Peruntukan undang-undang bagi perkara-perkara berikut:

i.Menetapkan satu tempoh berkempen wajib yang jauh lebih panjang daripada tempoh 8 hari berkempen dalam pilihanraya lepas yang nyata tidak bermakna langsung;

ii.Memberikan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang sebenar-benarnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia;

iii.Pengawalan secara berkesan dan menyeluruh dalam proses pembiayaan kos untuk berkempen untuk membendung amalan rasuah.

iv.Pertimbangan untuk mengadakan pembiayaan awam bagi kos berkempen kepada parti-parti politik khususnya bagi calon wanita, kumpulan-kumpulan terpinggir dalam masyarakat dan latihan yang mesra gender.

e.Media;

i.Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi Barisan Nasional

ii.Peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta.

iii.Peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.

f.Kerajaan Sementara atau 'Caretaker'

i.Bahawa kerajaan lama adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang polisi atau keputusan berkaitan dengan pembangunan bilamana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

ii.Bahawa menyalahgunakan semua sumber dan instrumen negara bagi tujuan memenangi pilihan raya atau untuk kepentingan parti adalah merupakan kesalahan jenayah.

iii.Bahawa penyediaan dan penyemakan daftar pemilih perlu dibuat secara telus dan tertakluk kepada semakan kehakiman

g.Daftar Pemilih:

i.Bahawa daftar pemilih perlu dikemaskinikan dan tepat, untuk mengelakkan (i) penyingkiran dan pemindahan secara tidak sukarela para pengundi yang sah dan (ii) penyamaran dan pengundian berganda oleh "pengundi hantu."

ii.Bahawa semua rakyat yang layak mengundi perlu secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

h.Undi:

i.Melaksanakan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) untuk menghalang pengundian berganda.

ii.Memansuhkan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi yang berada di luar negara memandangkan pertanggungjawaban dan kerahsiaan amat terancam dalam amalan semasa.

6.Untuk jangka terdekat, BERSIH telah menyeru kepada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid bin Abd. Rahman dan Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor untuk melaksanakan empat pembaharuan yang diperlukan dan boleh dilaksanakan serta-merta:

a) Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan.
(b)Penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.
(c) pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.
(d) akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya.
Malangnya, setakat ini, pihak SPR cuma bersetuju dengan satu permintaan iaitu penggunaan dakwat kekal.

7.Dalam menjalankan kempen kesedaran di seluruh negara, BERSIH telah berhadapan dengan satu tragedi sehingga pihak berkuasa menggunakan senjata dan menembak orang awam dengan peluru hidup.Peristiwa ini berlaku di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu pada 9 September lalu.Bahkan, BERSIH dilontarkan tohmahan sebagai memulakan satu rusuhan.Penyiasatan bebas juga tidak dijalankan oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan.

8.Kami memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar Tuanku akan:

a.Menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya diRaja untuk mengkaji pembaharuan sistem and proses pilihan raya.

b.Menggunakan kuasa Tuanku di bawah Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan, untuk menolak apa jua permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaharuan serta-merta di atas tidak dilaksanakan.

Ditandatangani oleh organisasi-organisasi berikut:

Parti Politik:

1.Parti Keadilan Rakyat (People’s Justice Party) (KeADILan) 2.Democratic Action Party (DAP) 3.Parti Islam SeMalaysia (Malaysian Islamic Party) (PAS) 4.Parti Sosialis Malaysia (Malaysian Socialist Party) (PSM) 5.Sarawak Nation Party (SNAP)

Pertubuhan Bukan Kerajaan:

1.Save Ourselves (SOS Penang) 2.Tamil Foundation 3.Group of Concerned Citizens (GCC) 4.Citizens Health Initiative (CHI) 5.Aliran (reform movement for justice, freedom and solidarity) 6.Writers’ Alliance for Media Independence (WAMI) 7.Jaringan Rakyat Tertindas (Oppressed People’s Network) (JERIT) 8.Pusat Janadaya (EMPOWER) 9.Community Action Network (CAN) 10.Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (Malaysian National Society for Human Rights ) (HAKAM) 11.Malaysian Youth and Students Democratic Movement (DEMA) 12.Malaysian Trades Union Congress (MTUC) 13.Suara Rakyat Malaysia (Voice of the Malaysian People) (SUARAM) 14.Labour Resource Centre (LRC) 15.Pusat Komunikasi Masyarakat (Social Communications Centre) (KOMAS) 16.Civil Rights Committee of the Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH) 17.Persatuan Ulama Malaysia (Malaysian Ulama Association)(PUM) 18.Women’s Development Collective (WDC) 19.ERA Consumer 20.Centre for Independent Journalism (CIJ) 21.Unit Pemikiran Politik, Institut Kajian Dasar (Political Thought Unit, Policy Research Institute) (UPP-IKD) 22.Malaysian Voters’ Union (MALVU) 23.All-Women’s Action Society (AWAM) 24.Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Malaysian Islamic Students’ Coalition) (GAMIS) 25.Research for Social Advancement (REFSA) 26.Solidariti Mahasiswa Malaysia (Malaysian Students’ Solidarity) (SMM) 27.Gerakan Anti Korupsi (GERAK) 28.Citizen Think Tank 29.Police Watch Committee.