31 January, 2010

Tengku Razaleigh cipta sejarah lagi

Peristiwa Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Sultan Muhammad IV anjuran GEGAR pada 28 Januari 2010 lepas sekali lagi menyaksikan rentak politik Kelantan melonjak dan panas. Ia berlaku ekoran penampilan Tengku Razaleigh (Ku Li) dikhalayak hadirin yang menjangkau puluhan ribu (lebih 40 ribu) orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kaum dan partisan. Sekaligus mengesahkan martabat isu tuntutan hak wang royalti minyak daripada Petronas oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah isu penting untuk seluruh rakyat Kelantan yang sudah mengerunkan pemimpin BN.

Dua malam sebelum itu (26 Januari), Datuk Mustapa Mohamad, selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengatur langkah pre-ampt dengan mengadakan taklimat wang ehsan di Hotel Renaissance Kota Bharu. dalam taklimatnya, dirumuskan bahawa penyaluran wang ehsan adalah betul dan berteraskan prinsip Kerajaan Pusat sedia membantu rakyat Kelantan. Namun, kehadiran yang terhad sekadar memenuhi ballroom tidak cukup bertenaga untuk spinning prinsip yang tidak tepat dengan selera rakyat Kelantan.

Meskipun media pengampu sedia memasukkan siaran taklimat itu dalam berita waktu perdana, tetapi kehadiran Datuk Ibrahim Ali yang menyerang habis-habisan peribadi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan telah memberi impak songsang kepada rasionaliti majlis taklimat itu. Hakikatnya, batang tubuh Ibrahim Ali telah memperbodohkan kesarjanaan Mustapa dan kedoktorat Datuk Awang Adek. Maka, wajar sekali sindiran Datuk Husam Musa kepada soalan wartawan semasa sidang media selepas mesyuarat EXCO (27 Januari). Menurut Husam, "ingatkan Mustapa dan Awang Adek itu pandai, kononnya Ibrahim Ali lebih pandai, kerana dok pakai 'buah' Ibrahim."
Nyata sekali, pre-ampt Umno Kelantan boleh diketepikan begitu sahaja oleh khalayak Kelantan. Lantaran kehadiran Ku Li adalah jawapan objektif yang bernilai positivisme, tak perlu dipertikaikan kebenarannya. Ia diperkukuhkan lagi oleh latar belakang penganjurnya bukan PAS mahupun Kerajaan Negeri, tetapi GEGAR sebuah NGO yang menghimpunkan pimpinan masyarakat yang bersetuju secara kohesif memperjuangkan tuntutan hak royalti minyak rakyat Kelantan.

Sebenarnya, kehadiran Ku Li pada malam itu telah mencipta lembaran sejarah baru kepada rakyat Kelantan. Ia suatu sejarah kerana buat julung kali menjelang 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan telah menyaksikan pentas aspirasi rakyat Kelantan digumandangkan dengan suara lunak pemimpin Umno bersikap songsang dengan pendirian partinya sendiri. Pendirian itu adalah berkenaan dengan isu hak tuntutan wang royalti minyak yang menyebelahi rakyat dan misi Kerajaan Negeri dipimpin PAS.
Turut tercipta sejarah, kehadiran Ku Li pada malam itu juga memberitahu kepada khalayak rakyat Kelantan, bahawa beliau bukan keseorangan di dalam menyatakan objektiviti perjuangan rakyat, malah bersama NGO serta di belakangnya sedia berdiri penyokong Umno dan pemimpin Umno. Kerana pada malam itu, kelihatan Tamrin Ghafar (Umno Melaka) turut mengiringi Ku Li berada di pentas utama.

Segala-galanya cukup membuktikan sikap simpati kepada rakyat Kelantan turut dizahirkan oleh pemimpin Umno yang lain, maka Ku Li tidak keseorangan. Sewajarnya, penyokong Umno sendiri turut merakamkan terima kasih kepada Ku Li kerana menceritakan kebenaran atas isu dan fakta sejarah penubuhan Petronas. Ia telah memberi kefahaman betapa perjanjian Petronas yang memberikan hak untuk Kerajaan Negeri menikmati wang tunai royalti minyak sebanyak lima peratus. Malah, paling penting Ku Li telah menerangkan dengan jelas nilai "political will" yang dikongsi sama kalangan negeri-negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak bersama-sama Kelantan yang merupakan negeri pengeluar minyak.

Ternyata pidato Ku Li yang mengambil masa kira-kira 40 minit itu telah menjawab pembohongan Umno kepada rakyat Kelantan, termasuk penyokong Umno sendiri. Selama ini, mereka telah terpaku dengan pembohongan demi pembohongan dalam semua isu yang melibatkan hubungan antara Pusat dengan Negeri.

Tepat sekali dengan madah Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Universii Malaya selaku pengerusi majlis pada malam itu yang menobatkan Ku Li sebagai pejuang rakyat sebenar sedia mengambil langkah harmoni demi bumi pertiwi Kelantan. Langkah Ku Li itu juga adalah sebenarnya berbeza dengan Mustapa. Lalu memaksa Datuk Seri Mohd Najib sendiri yang terpaksa respon atas penglibatan Ku Li iyang dikatakan bernilai discredit kepada Umno dan Kerajaan BN. Umno dikatakan akan meneliti pidato Ku Li pada malam itu dan mungkin mengambil tindakan disiplin ke atas Ku Li.
Jika demikian keputusan Mohd Najib, maka tunggulah Ku Li pasti akan terus segar di pentas rakyat Kelantan. Suatu catatan sejarah politik baru sekali lagi bakal berulang mengalun rentak dan political mood rakyat Kelantan menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Tindakan politik Ku Li itu secara sah, makin menebalkan lagi persepsi terkini, betapa Umno sebuah parti yang gagal membela kepentingan rakyat. Dan ayat-ayat doa tok guru sedang dimakbulkan Allah.

Sokong Royalti Tolak Ehsan

Sepanjang minggu lepas, Negeri Kelantan tetap sarat dengan perkembangan isu semasa. Antara isu semasa yang berhawa panas dan mendapat liputan meluas media ialah tuntutan royalti minyak lawan bayaran wang ehsan, hubungan antara agama dan pendakwaan SPRM ke atas salah seorang bekas pegawai kanan Kerajaan Negeri. Walau bagaimananpun, dari segi perbincangan umum dan terbuka nampaknya isu royalti minyak masih mendapat ranking tertinggi. Ia berikutan isu itu disentuh dan diulas oleh dua pemain utama – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Namun, permulaan sentuhan yang mula memanaskan hawa adalah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin (25 Januari) yang menafikan hak Kerajaan Negeri di dalam pemberian wang ehsan mahupun royalti minyak. Penafian itu turut menyentuh soal integriti pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan apabila beliau melahirkan kebimbangan wang itu tidak sampai kepada rakyat.

Begitu juga, penafian hak royalti itu turut dinyatakan (sebelum itu, 12 Januari) oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Atas sikap itu, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad (13 Januari) menganggap Mustapa sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu royalti minyak untuk negeri berkenaan. Kenyataan Idris itu mungkin berasaskan kenyataan Mustapa yang menganggap tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang beroperasi sejak 1984 sebagai tidak berasas. Di samping, sebelumnya beliau juga menafikan hak Kerajaan Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan-kawasan bertindih atau dikenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia–Thailand.

Berikutan itu, pihak media telah mendapatkan reaksi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa lawatan di Kolej YIK Kok Lanas. Menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, kenyataan dari pemimpin UMNO (merujuk kepada Dr Awang Adek) adalah membayangkan Kerajaan Negeri Kelantan tidak pandai mentadbir dan dijadikan alasan untuk tidak menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Negeri.

Hakikatnya, menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa pemimpin yang mentadbir negeri hari ini adalah yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu terbukti lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat berbanding Kerajaan Pusat. Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa bersikap telus.

Tuan Guru mengemukakan contoh; beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu (merujuk kepada tadium) dan Perak (jambatan gantung Kuala Dipang) didapati runtuh. Jambatan, masjid dan sebagainya terjadi sampai runtuh adalah akibat tidak pandai mengurus di samping boleh jadi berlakunya amalan rasuah. Contoh khusus, seperti mana perbelanjaan projek sebuah jambatan dibina oleh pihak BN di Kampung Beris Jambu yang panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya. Jika dibandingkan dengan harga jambatan yang dibina oleh Kerajaan PAS di Kelantan di Panchor berdekatan rumah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar, labih pajang dan jauh lebih rendah hanya RM9 juta sahaja.

Sehubungan itu, realiti fakta pentadbiran pincang kerajaan BN dapat dipamerkan dengan beberapa contoh lagi; betapa kes dihadapi kerajaan Kelantan sekarang berhubung dengan keputusan mahkamah dalam kes tuntutan Timbermine berjumlah RM800 juta juga adalah warisan pentadbiran pincang kerajaan BN ketika itu yang tidak pandai mengurus krisis, menyebabkan Negeri Kelantan menanggung beban.

Demikian pula jika diimbau kepada permulaan Kepimpinan Ulamak menerajui pentadbrian negeri pada 1990 dulu, banyak beban tertanggung akibat tidak pandai mengurustadbir atau governance yang lemah kerajaan BN sebelumnya. Antaranya beban hutang dengan kerajaan Pusat mencecah RM760 juta, kemudahan asas yang terabai, ketirisan dalam amalan tender balak, kegagalan pelaburan pembangunan tanah di Lojing dan masalah penerokaan haram tanah dan pembalakan haram secara meluas.

Dalam konteks Kelantan, demikianlah rekod prestasi pentadbiran kerajaan BN. Jika dibuat penelitian kepada rekod pentadbiran BN di negeri-negeri lain pula, boleh jadi lebih banyak kepincangan yang boleh dipaparkan. Misalnya, di Pahang sahaja berlaku beberapa pendedahan berhubung salah urus sumber alam hutan dan tanah tinggi. Antaranya, pendedahan aktiviti pembalakan haram di sekitar Rompin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pernah merekodkan lebih 200 kesalahan perhutanan dalam satu tahun, pernah berlaku saman pihak pembalak kepada kerajaan negeri, dan pencemaran serta penggondolan di Cameron Highland. Belum lagi dinilai dari segi keberkesanan pembangunan pelbagai agensi pelaksana.

Apapun penilaian dan persepsi yang cuba dibina di sebalik perkembangan isu di Kelantan, pihak pemimpin BN dilihat mengutamakan motif politik. Oleh itu, setiap tindakannya adalah cuba untuk memenangi hati rakyat dengan apa cara sekalipun. Maka, dalam kes royalti lawan ehsan, rakyat dijadikan alasan untuk tidak melayani tuntutan Negeri Kelantan. Namun, pihak BN di Kelantan sekarang ini dilihat terdesak untuk menegakkan fakta yang songsang sehingga terpaksa menyeleweng maksud perjanjian antara Petronas dengan Negeri Kelantan yang membenarkan Kerajaan Negeri dibayar wang tunai sejumlah lima peratus daripada hasil minyak.

Rakyat Kelantan sudah cekap membaca nilai wang ehsan yang akan diterima rakyat jika pihak pemimpin BN menguruskan perbelanjaan. Sudah ramai mula bercakap, "jika wang ehsan diberi kepada JPP, hakikatnya orang Umno yang akan dapat”. Malah ada pula yang menterjemahkan, "di sebalik projek akan berlaku agihan wang politik”. Misalnya, peruntukan kepada seorang ahli parlimen BN berjumlah RM1 juta, maka boleh difahami hanya RM500 ribu yang sampai kepada rakyat, RM500 ribu lagi adalah terlekat dalam poket pemimpin Umno. Walaupun pemimpin Umno menafikan, tetapi itulah persepsi awam dan gambar yang terpampang di mata rakyat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, "Umno bertuhankan wang, maka matlamatnya adalah wang.” Mungkin rakyat Kelantan cukup memahami firasat tersirat daripada ungkapan itu.

Justeru itu, secara simboliknya perhimpunan solat hajat (28 Januari) menghimpunkan puluhan ribu rakyat adalah jawapan secara objektif hakikat sokongan rakyat yang menolak tindakan mempolitikkan wang hasil minyak. Dan hasrat rakyat mahukan royalti bukannya ehsan. Maka, tindakan dan usaha serta perjuangan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedang bergerak dilandasan yang betul. Sebaliknya pula, gerakan politik songsang Datuk Seri Mustapa sudah tergelincir daripada kehendak dan aspirasi rakyat.

Semuga Tuhan Yang Esa menutupi hati-hati orang-orang mukmin daripada menerima apa-apa sikap songsang para pemimpin bertaraf duniawi.