29 December, 2009

AGENDA PAKATAN RAKYAT - MENGHARMONIKAN DEMOKRASI

Ucapan Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor turut menyentuh realiti demokrasi di Malaysia serta cabaran yang dihadapi Pakatan Rakyat. Petikan ucapannya seperti berikut: “Demokrasi bukan hanya hari mengundi, ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang disenaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihan raya yang adil.

Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat, dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak. Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihan raya, sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihan raya menjadikan padang lapangan pilihan raya itu tidak sama rata.”

Sehubungan itu, wajar dan logiknya persetujuan Dasar Pakatan Rakyat dalam konvensyen tersebut berusaha dan berjuang ke arah Demokrasi Telus dan Tulen. Maka, dengan itu Pakatan Rakyat mempertegaskan semula tuntutan demokrasi agar diwujudkan “sistem pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil” seperti berikut:

“Kewibawaan sistem pilihan raya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkait dengan pilihan raya.”

Sehubungan itu, amatlah baik sekiranya para pejuang demokrasi yang berteraskan prinsip keadilan Islam dan keharmonian agama menyokong usaha Pakatan Rakyat ke arah menjayakan gagasan tersebut. Antara tawaran Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat pemulihan demokrasi itu yang dapat dirumuskan seperti mana berikut:

1) Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran automatik.

2) Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan:

a. membersihkan senarai nama pengundi,

b. memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri,

c. memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi, dan

d. menggunakan dakwat kekal.

3) Memastikan:

a. media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama,

b. tempoh kempen yang munasabah, dan

c. pengendalian serta perjalanan pilihan raya yang bersih dan bebas.

4) Menentukan persempadana bahagian pilihan raya dibuat dengan mencerminkan prinsip ‘Satu Rakyat Satu Undi’ demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

5) Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihan raya umum.

6) Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menhukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

Namun, perjuangan menegakkan keadilan sebenar melalui demokrasi hanyalah wasilah yang sesuai untuk masa kini. Justeru itu, Pakatan Rakyat seharusnya mempamerkan integriti yang tuntas demi meraih keyakinan rakyat. Ia bukan sekadar mengisytiharkan pelan kesungguhan semata-mata. Apa yang utama ialah komitmen tinggi para pemimpin Pakatan Rakyat melakukan yang terbaik (tanpa keraguan jua) di dalam membuktikan kepimpinan yang mantap, bersatu dan berakhlak tinggi serta mengutamakan kehendak dan aspirasi rakyat pelbagai kaum. Maka, aspirasi nada politik dan suhu kepimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menyejukkan mata memandang dan meringankan bebanan rakyat. Ia bermakna isu-isu kebersamaaan, mengutamakan nilai-nilai murni di sebalik kontrak sosial dan mengelakkan daripada sentimen kepuakan jumud harus dielak sama sekali. Utamakan isu-isu (yang dibicarakan para pemimpin) yang kesannya menyatukan komitmen rakyat, kemurnian hubungan sosial dan menyuburkan perekonomian rakyat, dan tonjolkan nilai-nilai perkongsian dan permuafakatan warganegara (consociationalism of citizenship). Natijahnya, kesemua aspirasi tersebut hendaknya berupaya mencuit pilihan rakyat untuk menolak gagasan Barisan Nasional yang kebelakangan ini diohat gagal mentadbir Negara.

Semuga Tuhan Yang Esa merestui aspirasi murni Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerjasama ‘rakyat’ mencapai cita-cita patriotisme politik berteraskan konsensus Perlembagaan Persekutuan bagi memartabat agama dan memaju Negara serta mensejahterakan rakyat.


27 December, 2009

MUHARAM 1431H~DISEMBER 2009M

Pada Jumaat, 18 Disember lalu adalah bersamaan 1 Muharam; berlaku hari pertama tahun Hijrah 1431. Sementara 25 Disember lalu pula berlaku sambutan Hari Natal, Xrismas Day, sambutan raya bagi penganut Nasrani/Kristian. Ia bermakna pada penghujung tahun 2009 Masihi adalah menyaksikan sambutan tahun baru bagi umat Islam (Hijrah) dan selepas 31 Disember pula bakal disambut tahun baru 2010 Masihi.

Apa pun sambutan setiap hujung tahun Masihi itu penuh makna bagi masyarakat Malaysia yang berbagai-bagai anutan agama. Rasa perpaduan yang tinggi kalangan rakyat turut memberi perhatian kepada Hari Natal itu, kerana ia telah dijadikan sambutan perayaan nasional. Indahnya masyarakat Islam di Negara ini apabila turut mengiktiraf hari kebesaran agama Kristian yang minoriti (peratus agama : Islam 60.4, Buddha 19.2 , Kristian 9.1, Hindu 6.3, Konfusius dan lain-lain 2.6) sebagai hari kebesaran nasional.

Walaupun begitu, sambutan tahun baru Hijrah, Hari Natal dan tahun baru Masihi 2010 adalah disambut di dalam keadaan Negara berada di dalam keadaan kecamukan isu yang bersifat spkeptik. Ini kerana pelbagai isu berkenaan turut mengundang kecamukan fikiran rakyat, antaranya kegagalan pihak kerajaan menangani isu kesejahteraan rakyat seperti pengangkutan dan kemelesetan ekonomi serta paling terbaru dikejutkan dengan kehilangan enjin jet TUDM bernilai RM50 juta.

Isu kesejahteraan rakyat tetap menjadi isu penting untuk rakyat terus skeptik terhadap kepimpinan Negara yang diterajui Perdana Menteri DS Mohd Najib. Janjinya sebagai perdana menteri untuk mendahulukan rakyat dilihat hanya ungkapan yang gagal direalisasikan. Betapa perkhidmatan awam seperti teksi dan bas selalu menjadi rungutan rakyat. Belum lagi dipersoalkan rentang tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan pengangkutan bagi kanak-kanak sekolah yang sekarang ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak persendirian/ swasta; mutu perkhidmatan LRT/monorail serta komuter yang teruk; bas bandar yang bermutu rendah serta standard jalan raya yang masih banyak belum selamat.

Apapun rungutan rakyat, sebenarnya adalah petunjuk langsung kepada penilaian prestasi kerajaan Barisan Nasional sekarang yang dilihat semakin tidak diyakini rakyat, malah sebahagian pelabur asing turut terkedu untuk datang melabur ekoran beberapa indeks integriti (Malaysia sekarang berada di peringkat CPI 5.0) makin menurun kebelakangan ini, terutama dari segi amalan rasuah (Malaysia menduduki tangga ke 56 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia 2009. Malaysia mencatatkan penurunan dalam indeks persepsi rasuah pada tahun ini dengan hanya memperoleh 4.5 mata berbanding 5.1 mata pada 2008 dan 5.28 pada tahun 1995).

Justeru itu, sempena sambutan tahun baru Hijrah dan bakal tiba 1 Januari 2010, tahun baru Masihi; semuga Tuhan Yang Esa bukakan dada dan hati rakyat Malaysia agar menilai demi masa depan: Selamatkah Negara sekira selamanya dipimpin oleh kepimpinan Barisan Nasional yang sudah lebih 50 tahun mentadbir Negara ini.

18 December, 2009

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431


Selamat menyambut tahun baru Islam, Hijrah 1431. Bermakna sudah 1431 umat Islam telah mencipta kejayaan mencipta tamadun sejagat. Ia bermula selepas peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu alaihiwasallam dari Mekah ke Madinah. Dari usaha perkasa akidah (di Mekah) kepada pembuktian akidah (di Madinah). Justeru itu, kelangsungan pembuktian akidah mesti diteruskan demi menyaksikan Islam terus menjadi cara hidup ummah, dan Islam terus menaungi semua sistem kehidupan (perundangan, pentadbiran, muamalat, diplomatik dan siasah). Apa yang utama, kuatkan azam kalangan umat Islam dalam menghadapi cabaran ke arah meneguhkan perpaduan dan menyingkirkan pemikiran sekular yang menghalang usaha penegakan political will umat Islam.
Semuga sambutan tahun baru Islam 1431 hijrah mendapat petunjuk suci dari Tuhan yang Esa. Sama-sama kita berdoa, semuga umat Islam terus berpadu menghadapi cabaran kehidupan.

12 December, 2009

Kesan Kepimpinan Ulamak di Kelantan

Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulamak Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan pada 10 Disember 2009 lalu diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (Dewan KTC), Kota Bharu. Seminar yang menjadi garis lonjakan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan terus diperkasakan lagi untuk tempoh masa depan.

Seingatan saya, dewan KTC yang baru berusia setahun itu telah acap kali menjadi tempat mencipta sejarah. Antaranya pelancaran kutipan Tabung Serambi Mekah pada Ramadhan 1430 lalu. Sebelum itu, diadakan Seminar Politik dan Pentadbiran anjuran Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan bersama Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan. Sementara esok (12 Disember) pula satu lagi sejarah akan berlaku di situ, Wacana Isu-isu Semasa yang bakal mempertemukan agamawan dan politisian popular, YB Mohd Amar (Exco Kerajaan Negeri Kelantan Darunaim), Dr Mohd Asri (bekas Mufti Perlis Indrakayangan) dan Ustaz Nakhaie (bekas Naib Yang Dipertua PAS Pusat yang menyertai UMNO dan dianugerahkan Yang Dipoertua YADIM) serta Dr Mohd Agus (pengulas politik Uni Kebangsaan Malaysia).

Jelas, Dewan Konvensyen KTC yang tersergam gah (seperti gambar) adalah salah satu imej pembangunan bertaraf lima bintang milik Kerajaan Negeri (melalui anak syarikat SEDC Kelantan - Kelkon) juga adalah simbol idea korporat Kepimpinan Ulamak Tok Guru Nik Aziz.

Semuga Tuhan Yang Esa merahmati segala usaha baik Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan atas jasanya mengukuhkan keyakinan rakyat Kelantan kepada ulamak penjana dan pelaksana warisan anbiya' di era pembaharuan (tajdid) kebangkitan Islam.

11 December, 2009

Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan

Tahniah dan syabas kepada YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat atas berjayanya penganjuran Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulamak Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan. Tahniah juga kepada Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan kerana mengurusetiakan Seminar tersebut.
Semuga terserlah jua Kepimpinan Ulamak untuk masa depan ummah dan rakyat Kelantan khususnya. Sesungguhnya Tuhan Yang Esa bersama mereka yang mendaulatkan ulamak, kerana ulamak warisan ambiya' Amin.

28 November, 2009

Kenangan Idul-Adha 1430H

10 Zulhijjah 1430 (Jumaat) merupakan sambutan hari raya kurban bagi umat Islam. Di sebaliknya terangkum peristiwa pengorbanan yang bersejarah. Antara kisah pengorbanan teragung ialah Nabi Ibrahim melaksanakan pengorbanan ke atas anaknya Nabi Ismail yang kemudian diganti oleh Allah dengan binatang untuk disembelih. Begitu pula, pada hari kejayaan (kemenangan) umat Islam menjalankan ibadat haji selepas berwukuf.

Menghayati ibadat haji dan pengorbanan Nabi Ibrahim, maka umat Islam disunatkan mengorbankan binatang ternakan untuk disedekahkan kepada fakir miskin, selain dijadikan hadiah kepada rakan-taulan dan berjamu selera bersama sanak-saudara.

Presiden PAS mengutuskan sempena hari raya Idul Adha:
"Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain."

Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia pula merakamkan:
"Marilah kita berdoa agar kesemua jemaah kita dapat mengerjakan ibadah Haji dengan sempurna dan agar amal ibadat mereka diberkati Allah s.w.t. serta dapat pulang ke tanahair dengan selamat."

Ustaz Abu Bakar Husin, Pesuruhjaya PAS Perak dipetik memuat perutusan berikut:
"Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT."

Apa yang penting, umat Islam hari ini harus menjadikan peluang Idul Adha sebagai misi menambahkan rasa diri untuk berkorban kepada agama, bangsa dan meningkatkan kehebatan 'hubbul watan' serta upaya diri berazam untuk menjayakan agenda akhirat dengan limpahan pahala.

Berbekalkan misi tersebut, kita doakan agar Tuhan Yang Esa memanjangkan usia demi bertemu lagi Idul Adha mendatang.

22 November, 2009

Royalti Minyak Kelantan: cetuskan semangat "hubbul-Watan"

Pada mesyuarat penerangan, 5 November 2009 (Khamis) lalu bersama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki saya telah mencadangkan supaya isu royalti minyak itu diperjuangkan oleh gerakan rakyat. Gerakan itu hendaklah dilonjakkan dengan kesedaran rakyat berbekalkan semangat kecintaan tinggi untuk mempertahankan hak watan (negeri tempat lahir dan dibesarkan). Demi menganjak maruah semua warga negeri Kelantan; yang saya sifatkan sebagai kesedaran membina semangat "hubbul-Watan." Lalu, paltform sesuai bagi tujuan tersebut adalah mewujudkan sebuah NGO yang dipimpin oleh mana-mana "pemuda" yang berjiwa kental, bersemangat waja dan komited untuk mengarus perdanakan 'isu tuntutan wang royalti minyak Kelantan' ke puncak jaya.

Semalam pula, (21 November) Dato' Husam telah mencetuskan melalui siaran Astro Awani, betapa perlunya tuntutan royalti minyak itu diperjuangkan oleh NGO yang melibatkan kepentingan bersama negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak - negeri yang mengeluarkan minyak di negara ini. Bagi catatan rekod, Husam telah diberi amanat oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar untuk mengambil tanggungjawab 'memperjuangkan' tuntutan wang royalti itu. Maka, cetusan awal dalam isu ini telah dibangkitkan oleh Husam semasa pilihan raya kecil Manek Urai (Julai 2009) lalu. Ketika itu juga respon pemimpin kerajaan Pusat, kata mereka, isu royalti minyak tidak lebih daripada "isu pilihan raya" semata. Namun, apa yang jelas apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib mengumumkan di parlimen pada 4 November lalu, royalti akan disalur kepada Kelantan dalam bentuk wang ehsan, secepatnya pemimpin UMNO Kelantan mengalu-alukan.

Maknanya, perjuangan kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS sudah berjaya satu langkah membuktikan kelayakan ke atas wang minyak. Tinggal lagi, bagaimana untuk "mengajar" kerajaan Pusat agar mematuhi Perjanjian Minyak antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan 1975. Di sinilah ruang yang saya katakan perlunya gerakan rakyat atas paltform NGO menggerakkan semangat hubbul-Watan - menuntut hak "lunaskan wang royalti".

Semuga Tuhan Yang Esa, membuka pintu hati dan deria rasa pemimpin kerajaan Pusat agar melihat kepentingan rakyat dan negeri Kelantan dengan seadil-adilnya (fair and fairness).

05 November, 2009

MERENUNG MASA DEPAN PAKATAN RAKYAT

Penerusan gagasan rakyat

Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama politik yang dibina melalui ikatan persetujuan atas prinsip perjuangan bersama ke arah mencapai kuasa pemerintahan. Kerjasama ini adalah suatu gagasan rakyat yang prihatin dengan perjuangan politik yang menyanggahi (pengimbal) kepada Barisan Nasional, sang tampuk pemerintahan sejak merdeka lagi. Ia juga suatu gagasan kesinambungan Barisan Alternatif yang diasaskan tahun 1999. Barisan Alternatif telah bertukar kepada Pakatan Rakyat selepas mencapai kejayaan 82 daripada 222 kerusi parlimen dan 198 daripada 505 kerusi DUN. Kelahiran Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan persepsi bahawa gagasan citarasa dan warna-warni politik baru. Ia juga adalah penerusan beberapa gagasan rakyat sebelumnya yang tidak bersetuju dengan amalan pemerintahan Barisan Nasional!


Sesungguhnya kemenangan besar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 lalu adalah suatu prestasi cemerlang dan mengatasi kejayaan pilihan raya umum 1999. Pada tahun 1999, gagasan pembangkang atas nama Barisan Alternatif hanya berjaya meraih 45 (termasuk 3 PBS) daripada 193 kerusi parlimen dan 113 daripada 394 kersui DUN. Namun, kejayaan era Pakatan Rakyat terlebih politis disebabkan kejayaan menafikan kuasa dua pertiga dominasi Barisan Nasional di parlimen, dan berjaya merampas tampuk pemerintahan di negeri Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, di samping mengekal serta meraih kemenangan besar di Kelantan.


Susahnya mengurus kemenangan

Mungkin perkataan “susahnya menjaga kemenangan” boleh disebut juga menggunakan laras bahasa pengurusan iaitu “susahnya mengurus kemenangan.” Sementara ungkapan “susah” pula adalah suatu nilaian atas banyak perkara yang bersifat konflik dan krisis. Sifat konflik dan krisis itu pula adalah suatu paparan yang bersifat fakta dan figur.


Bersifat fakta adalah kerana banyak peristiwa politik berlaku dan terpaksa dihadapi mahupun diselesaikan sepanjang Pakatan Rakyat berada di pentas politik nasional yang sudah berwajah baru – politik baru. Antara nilai politik baru ialah munculnya persetujuan dari segi persepsi politik itu telah merentasi pandangan politik lama, terjemahan dan tindakan politik tidak lagi berteraskan nilai-nilai tradisi perkauman dan berlaku kesedaran yang menggerakkan tingkah laku ke arah pemerkasaan asas-asas kesejagatan dan kebersamaan kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan adat tradisi. Diikuti dengan muncul gerakan sivil yang menyokong parti-parti politik baru di dalam perjuangan mencapai tuntutan hak, keadilan dan ketelusan serta kebebasan.


Bersifat figur pula adalah kerana sifat politik baru tidak lagi berbau retorika, tempelan, pewarnaan, mahupun ungkapan kata-kata semata-mata. Malah kesemua figur Pakatan Rakyat itu hendaklah menyantuni persepsi, memenuhi pengharapan, melayani kehendak dan menyentuhi psikologi semua lapisan rakyat. Justeru itu, pengalaman Pakatan Rakyat yang telah hampir dua tahun melalui pasca pilihan raya umum 2008, ternyata banyak rencah figur politik baru yang sudah dilalui. Paling ketara bagaimana munculnya pelbagai serangan media dan salah gambaran pihak Barisan Nasional sehingga terpapar figur negatif di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.


Berdepan hegemoni Barisan Nasional

Segala-galanya berpunca daripada angkara Barisan Nasional yang sudah “keberangan” dengan perkembangan dan penerimaan rakyat terhadap nilai-nilai politik baru. Barisan Nasional yang masih menguasai segala-gala kekuatan kerajaan pusat telah bertindak mengukuhkan segala aparatus hegemoni – media, jentera kerajaan dan kewangan negara (media-machinery-money) untuk mencetuskan pelbagai persepsi buruk ke atas maruah dan prestasi kerajaan negeri, pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat. Lantas itu, tindakan Barisan Nasional ialah menggambarkan tiada lagi eloknya persepsi rakyat ke atas maruah dan prestasi Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi apabila ada segelintir rakyat yang menilai fakta dan figur prestasi Pakatan Rakyat itu menggunakan dacing Barisan Nasional.


Mencipta persepsi sebenar Pakatan Rakyat

Pihak Pakatan Rakyat secara amnya tidak wajar membiarkan perjuangan berasaskan denyut nadi dan citarasa serta warna-warni kehidupan rakyat terbiar dan terperangkap dengan “keberangan” Barisan Nasional. Di sinilah tindakan perimbangan hegemoni (counter-hegemony) amat penting dilakukan demi menguruskan kemenangan Pakatan Rakyat di setiap negeri yang dikuasainya. Pakatan Rakyat kini memiliki kuasa di empat negeri (selepas Perak dirampas Barisan Nasional) – Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Dua negeri (Kelantan dan Kedah)sudah mewakili jalur kemelayuan, sementara dua lagi (Selangor dan Pulau Pinang) adalah mewakili jalur campuran rakyat. Ia sudah cukup kukuh untuk mencipta persepsi positif untuk memetakan fikiran rakyat agar terus kukuh menyakini politik baru Pakatan Rakyat. Kekuatan berkerajaan (peringkat negeri) boleh dijadikan pentas menguasai ruang menuju ‘centre-stage’ menguruskan segala fakta dan figur, agar rakyat terus berharmoni dan mesra Pakatan Rakyat.


Di dalam Pakatan Rakyat, sudah memiliki modal yang cukup banyak untuk dijadikan ramuan bagi mencipta persepsi positif kepada Pakatan Rakyat. Antara modal itu ialah saf pimpinannya yang berkarismatik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Kit Siang. Saf itu disokong lagi dengan figur berwibawa di setiap negeri yang menjadi penterjemah fakta politik baru (sekadar beberapa figur): Ustaz Azizan di Kedah, Husam di Kelantan, Khalid Ibrahim di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, di samping Mohd Nizar di Perak, Ustaz Tuan Ibrahim di Pahang dan Wahid Endut di Terengganu.


Uruslah persepsi rakyat dengan baik

Pengalaman politik Malaysia yang lepas banyak mengajar pejuang politik berfikiran terbuka dan rasional. Namun, sesuatu yang lebih hebat kepada seseorang pemimpin itu ialah menggunakan daya fikiran yang terbuka dan rasional di dalam mengadun segala pengalaman (fakta dan figur) menjadi suatu nilai persepsi rakyat yang bercahaya. Maka, di sana rakyat akan menzahirkan mood sokongan berupa gelombang-gelombang yang tidak boleh disekat. Walau bagaimanapun, adunan pemikiran dan rasional itu akan lebih berkesan, cepat menular dan mampu menggerakan jutaan rakyat tatkala berlakunya gandingan utuh di dalam menguruskan persepsi rakyat.

Kita lihat gelombang ISA, betapa seriusnya adunan karismatik dan wibawa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu bersama-sama rakan-rakan pimpinan lain dari DAP, PAS dan KeADILan telah menguruskan kesenggsaraan rakyat yang terkena bahana ISA sehingga berlakunya Gerakan Mansuh ISA (GMI) sebagai NGO yang menjadi simbol perjuangan keadilan di negara ini. Langsung berupaya mencetuskan gelombang penolakan rakyat kepada kezaliman Barisan Nasional yang memerintah.


Demikian pula, gandingan pimpinan seperti Dr. Hatta dan Tian Chua serta Mohamad Sabu telah membawa agenda pendemokrasian sehingga berjaya melonjakkan gelombang BERSIH dan berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat menuntut keadilan perjalanan pilihan raya yang adil dalam negara. Gerakan BERSIH itu sudah menjadi agenda penyatu pentiag rakyat yang berjuang di atas landasan politik demokrasi yang merupakan teras politik rakyat dan pemerintah.


Rumusannya, mencipta persepsi rakyat bukan satu tugas mudah. Ia harus dipikul oleh semua pemimpin, bukan segelintir pemimpin sahaja. Tugas itu hanya layak dilakukan oleh pemimpin yang komited dan memahami citarasa rakyat. Rakyat pula adalah golongan pendesak yang sekadar menerima kesannya. Ini bermakna, sekiranya pemimpin tidak bijak mencipta dan mengurus persepsi rakyat sudah tentu rakyat akan mencipta persepsinya sendiri dan persepsi sendiri rakyat itu janganlah diharap akan sealiran dengan fikiran dan rasional pemimpin. Oleh itu, bagi pemimpin Pakatan Rakyat sewajarnya dapat merangka suatu perancangan persepsi yang mantap dengan memanfaatkan segala modal yang ada sekarang ini (kuasa di empat negeri) – bersatulah di dalam mengolah isu-isu kehendak, pengharapan dan keperluan rakyat. Semuga rakyat terus kekal dan bersedia menggelombangkan sekali lagi medan pilihan raya umum ke-13.

20 October, 2009

KELANTAN: Ulang tahun ke-19 dasar MBI


Sempena ulang tahun ke-19 Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan menjayakan dasar Membangun Bersama Islam, natijahnya Kelantan terus membangun memenuhi harapan rakyat.


Hari Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak. Sekaligus mengesahkan telah 19 tahun Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan Membangun Bersama Islam yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri. Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat. Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan. Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri – falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran – sekaligus menobatkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.

Justeru itu, sempena mengingati ulang tahun ke-19, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menerajui kepimpinan ulamak mentadbir negeri Kelantan, semua laluan sejarah lepas sewajarnya dijadikan pengalaman, demi menyongsong kejayaan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.


Pengorbanan untuk generasi muda

Laluan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak menjawat Ketua Ulamak PAS Pusat dan kini selaku Mursyidul Am PAS amatlah terukir indah di setiap wajah rakyat Kelantan. Ilmunya adalah cahaya, perwatakannya adalah idola dan sentuhan pentadbirannya adalah keberkatan untuk seluruh rakyat. Justeru itu, ilmu agama yang ada di dadanya sentiasa dicurahkan kepada rakyat Kelantan menerusi kuliah pagi Jumaat, khutbah Jumaat dan ceramah yang segar serta tulisan yang tercetak. Atas kapasiti keilmuan yang dicurahkan dan ratusan ribu rakyat menelaah ilmunya, layaklah rakyat menobatkan menteri besar yang mengemudi kepimpinan ulamak itu adalah seorang ulamak sebenar bergelar “Tuan Guru”. Kerana di sebalik itu, cukup ramai individu ulamak yang kaya ilmu agamanya, tetapi loket di dalam mencurahkan ilmunya untuk diraih oleh rakyat. Justeru itu, tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama menteri besar Kelantan. Sesungguhnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah 19 tahun bergelar “Yang Amat Berhormat Tuan Guru Menteri Besar” yang sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat. Inilah wajah kepimpinan ulamak yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Mudah-mudahan “ilmu tuan guru” bakal membina generasi muda masa kini untuk mencipta kejayaan masa depannya.

Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Daripada ilmu yang ditaburkan, Kelantan sudah menjadi negeri yang seiringan dengan negeri lain dari segi pembangunan fizikal dan rohani. Meskipun, masih ada tohmahan dan cakap-cakap sinis kononnya Kelantan adalah negeri termundur dan ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi, namun kualiti hidup rakyatnya sudah menjawab dengan tepat bahawa kesemua tohmahan itu adalah cakap politik yang berniat memburuk-buruk keupayaan kepimpinan ulamak sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menteri besar.


20 establishment

Justeru itu, kepimpinan ulamak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menobatkan (establishment) 20 nilai pembangunan negeri Kelantan seperti mana berikut:
1. sifat cakna rakyat penuh berkebajikan,
2. bangunan pejabat dan gudang bertambah dan tersergam,
3. prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh,
4. ladang getah dan kelapa sawit luas menghijau,
5. sawah bendang menguning setiap musim,
6. hutan dan lurah sedia ditereskan,
7. kadar kemiskinan menjunam turun,
8. kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasaraya,
9. pertambahan kenderaan bersimpang siur,
10. taman perumahan melebar ke serata negeri,
11. bandar lama dan baru makin berkembang,
12. kehadiran pelancong terus melonjak,
13. pesta, ekspo dan karnival terlaksana setiap tahun,
14. gaji kakitangan awam tidak pernah dikurang,
15. pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah setiap tahun
16. kolej, universiti dan sekolah bestari makin bertambah bilangan
17. kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi
18. perancangan pembangunan sentiasa berlaku
19. punca hasil baru terus diterokai
20. baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas.

Kesemua nilai pembangunan dinyatakan di atas adalah ukuran mutlak bagi mengiktiraf betapa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial sudah berlaku dan tidak terpinggir. Oleh kerana itu, negeri Kelantan sepanjang 19 tahun di bawah kuasa politik PAS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Di atas 20 establishment itu, amatlah tidak adil untuk meletakkan status pembangunan negeri Kelantan sebagai negeri mundur. Maka, sempena ulang tahun ke-19 kepimpinan ulamak mengurus-tadbir kerajaan negeri Kelantan ini, diharapkan bersama-samalah kita dapat membuka mata dan telinga untuk menerima realiti, betapa negeri Kelantan hari ini adalah sebuah negeri yang sudah jauh maju setanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

17 October, 2009

Deepavali: Salam perpaduan

Selamat menyambut Deepavali " Happy Deepavali" bagi penganut agama Hindu.

Cahaya yang terang akan terus bersinar, sebagaimana dengan takdir Tuhan Yang Esa menciptakan nur untuk menerangi sekalian alam.


Salam perpaduan untuk semua kaum di negara tercinta. Kekalkan perpaduan eratkan hubungan sesama warganegara Malaysia.

13 October, 2009

Bagan Pinang: Analisis faktor BN menang


Berdasarkan keputusan bandingan dalam jadual di atas, PAS mengalami jatuhan undi popular sebanyak 14.58% dengan pengurangan undi berjumlah 1,519 undi. Sementara pihak Barisan Nasional pula mengalami lambungan undi popular ke paras 8,013 undi berbanding sebelumnya 6,430. Maka lonjakan undi Barisan Nasional sekitar 1,583.

Kesan jatuhan undi popular PAS tersebut adalah lebih besar sekali ganda dibandingkan dengan PrK Manek Urai. Di Manek Urai, PAS turut merosot undi, tetapi sekadar 6.36% sahaja. Oleh itu, PAS kekal memang tipis di PrK Manek Urai.

Punca utama kemerosotan undi PAS dikaitkan dengan sikap pengundi yang bebal (immune) dengan isu-isu nasional, isu integriti dan rasuah dianggap hal peribadi bukannya hal maruah bangsa dan negara. Selain itu, kempen Barisan Nasional yang lebih banyak mengumpan pengundi menyebabkan pengundi terdesak seperti di ladang-ladang kembali berpaut semula kepada Barisan Nasional. Mereka sanggup melupakan kesemua isu-isu yang menjadi nilai sejagat yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional seperti penghinaan (sepak kepala lembu) dan kezaliman (undang-undang ISA, kematian Kugan dan Teoh Beng Hock).
Namun, bagi pihak pemimpin Barisan Nasional pula mendakwa kejayaan besar di Bagan Pinang itu adalah membuktikan penerimaan pengundi kepada gagasan baru 1Malaysia yang dilancarkan DS Mohd Najib. Selain itu, faktor calon BN TS Mohd Isa juga dikatakan rapat dengan rakyat dan popular kerana telah menjawat MB selama 22 tahun - tarikan utama pengundi peringkat pertengahan dan warga emas serta pelbagai kaum.
Namun, secara skeptikalnya persoalan kemenangan Barisan Nasional yang mencecah 76% undi popular itu berlaku, apakah hanya semata-mata kerana dua faktor itu? Sedangkan senario kempen dan asakan pelbagai apparatus kerajaan Barisan termasuk pihak berkuasa polis dan tentera begitu menekan pihak PAS dan Pakatan Rakyat. Misalnya, peristiwa keganasan pemuda UMNO yang menyerang markaz induk PAS, markaz pemuda PAS dan tindakan meroboh khemah program kempen PAS; begitu juga provokasi dan lontaran batu kepada pekerja PAS, disusuli dengan laporan polis atas peristiwa dan kecederaan yang berlaku yang tiada tindak balas memuaskan pihak polis; menyebabkan pada hari mengundi kekecohan dan keganasan semakin memuncak di pusat mengundi Telok Kemang, Kg. Bagan Pinang dan Taman Eastern. Begitu pula, dalam kes pengundian pos, kononnya proses pengeluaran undi sudah ditutup pada petang 10 Oktober, tetapi masih berlaku tindakan mengeluarkan semula 70 lagi kertas undi oleh SPR kepada pihak pengundi pos melalui seorang pegawai tentera berpangkat kapten. Ini adalah di antara gambaran dan peristiwa yang berlaku sepanjang kempen dan pengundian PrK Bagan Pinang yang telah memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.
Harapan kita, sikap 76% pengundi Bagan Pinang (yang memenangkan Mohd Isa) tidak menjadikan pengundi seluruh negara menjadi bangang untuk menolak Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang!

Bagan Pinang: BN menang berlawanan mood rakyat

Keputusan pilihan raya kecil (PrK) Bagan Pinang (seperti di dalam jadual di bawah) menunjukkan semua daerah mengundi dikuasai Barisan Nasional. Ini kerana kesemua daerah mengundi, termasuk di empat daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India (Ladang Atherton, Pekan Seliau, Ladang Bradwall dan Sua Betong). Trend yang sama berlaku di daerah mengundi majoriti kaum Melayu (Taman Eastern, Kg. Bagan Pinang, Si Rusa dan Telok Kemang).











Dominasi tertinggi pengundi tentera

Walau bagaimanapun, daerah mengundi Taman Eastern dan Si Rusa adalah dua pusat bagi kem tentera yang merupakan pengundi pos. Menurut senarai pemilih yang diwartakan pada 4 September 2009, pengundi tentera berdaftar di Taman Eastern seramai 1,131 (22.75%) dan Si Rusa seramai 3,443 (30.81%). Majoriti pengundi tentera adalah terdiri daripada kaum Melayu (kira-kira 63%) dan selebihnya Bumiputera Sabah dan Sarawak, India dan Cina..

Dari segi penumpuan dan prestasi Barisan Nasional pada keseluruhannya adalah luar biasa iaitu mencapai 75.66%. Namun, prestasi tertinggi adalah di kalangan pengundi tentera (85.42%) diikuti pengundi India antara 70-75% dan pengundi Melayu antara 63-71%. Kedua-dua nilai dominasi Barisan Nasional itu membuktikan kejayaan tindakan hegemoni apparatus Barisan Nasional di dalam memastikan kekalahan PAS di semua pusat mengundi.

Keputusan meragukan

Kalangan pemimpin PAS bersetuju bahawa DUN Bagan Pinang adalah kubu Barisan Nasional. Namun tidak ramai yang menjangkakan Barisan Nasional melalui calonnya Mohd Isa aka menang besar melepasi undi popular 76%. Paling popular dijangkakan sekitar 55% sahaja. Apabila keputusannya mencecah 76% dan PAS sekadar 24% adalah suatu pencapaian yang boleh diragui. Di antara unsur keraguan di sebalik kemenangan besar itu ialah benarkah pengundi Bagan Pinang terlalu tidak kisah dengan isu-isu perkauman yang sedang panas membabitkan UMNO dan integriti kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib seperti perarakan kepala lembu, bantahan pemindahan kuil, kematian Teo Beng Hock dan kematian Kugan?

Malah lebih teruk lagi, benarkah majoriti pengundi Bagan Pinang tidak sensitive langsung dengan persoalan peribadi pemimpin yang bakal dipilih (Mohd Isa) yang sudah dibuktikan bersalah melakukan amalan rasuah politik wang semata-mata ingin menang jawatan Naib Presiden UMNO di dalam pemilihan UMNO 2004 lalu? Apakah majoriti pengundi bertindak menutup mata dan telinga terhadap semua dakwaan kronisme dan salah guna kuasa (seperti menggadai tanah) yang didedahkan oleh pelbagai pihak sepanjang kempen PrK berlangsung? Begitu pula, adakah majoriti mereka tidak kisah langsung dengan prestasi rendah kecekapan Mohd Isa semasa menjadi menteri besar tatkala didedahkan pelbagai projek terbengkalai dan pengabaian projek merata tempat termasuk di DUN Linggi di mana beliau mewakilinya ketika menjadi menteri besar?

Sekiranya benar 76% pengundi Bagan Pinang yang mengundi Mohd Isa itu boleh berkompromi dengan semua persoalan di atas, maka sikap pengundi tersebut jelas sekali berkontradiksi dengan mood rakyat di seluruh negara. Lantaran mood rakyat amnya begitu membenci amalan rasuah, menolak pemimpin yang tidak berintegriti, memusuhi tradisi perkauman, mengutuk penghinaan terhadap unsur keagamaan (seperti menyepak kepala lembu), tidak berkompromi dengan salah laku dan salah guna kuasa.

Kajian yang dilakukan pelbagai pihak, ternyata menolak Mohd Isa selaku calon yang layak dipilih atas sifat peribadinya yang dilihat tidak bersih, tiada integriti dan naïf untuk ditabalkan sebagai pemimpin yang boleh membela rakyat. Melainkan kajian oleh pihak tertentu daripada kalangan UMNO dan apparatus Barisan Nasional sahaja yang menyimpulkan Mohd Isa seorang yang berjasa dan popular. Namun, kajian yang mengutip pandangan awam oleh sekumpulan penyelidik universiti tempatan (dirahsiakan identitinya) menjelaskan mood pengundi tempatan telah bersikap menolak Mohd Isa sebagai calon yang layak dipilih.

Penemuan kajian tersebut adalah selari dengan tinjauan pihak akhbar online MyStar dan Malaysian Insider antara 1 Oktober sehingga menjelang pengundian didapati kira-kira 64% adalah tidak berpihak kepada Mohd Isa. Ia membuktikan mood pembaca (rakyat bukan pengundi) melihat Mohd Isa tidak layak dipilih.

Apapun, amat malang sekali 76% pengundi Bagan Pinang bersikap melihat jasa (cerita lama) Mohd Isa semasa menjadi mentri besar itu lebih diutamakan. Sebalik mereka tidak sensitive dan bersikap tidak perlu diutamakan terhadap usaha menolak amalan rasuah politik wang dan pelbagai nilai tidak bersih (cerita baru) seperti yang disabitkan ke atas Mohd Isa.

Mudah-mudahan rakyat seluruh negara tidak turut bersetuju dengan sikap 76% pengundi Bagan Pinang yang bersifat anti-tesis dalam menghayati falsafah pemilihan pemimpin berintegriti!

10 October, 2009

Bagan Pinang: Mood rakyat menyebelahi PAS

Tinjauan rambang pelbagai pihak mendapati umumnya bersetuju bahawa mood rakyat semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah menyebelahi PAS. Faktor mood sudah cukup mengatakan PAS boleh bertarung dan boleh menang!

Semuga Tuhan Yang Esa menyuntik kesedaran kepada pengundi Bagan Pinang agar bersama-sama dengan mood rakyat di serata Semenanjung yang telah merasmikan pihak Pakatan Rakyat adalah pilihan rakyat di semua pilihan raya kecil.

Berikut adalah analisis daripada beberapa tinjauan atau undian yang mengutip mood rakyat tersebut.

Undian online

Beberapa kutipan pendapat yang dibuat melalui laman sesawang akhbar online tentang senario pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang, sebahagian besar memberi sokongan kepada isu-isu yang menyebelahi PAS/Pakatan Rakyat.

Berpandukan respon pembaca akhbar online yang sebahagian besar mereka adalah penjenguk laman sesawang (mungkin mereka sebahagian professional, blogger atau penggemar internet) dari pelbagai lapisan social pembaca, menyatakan mood mereka (tentang sesuatu isu pilihan raya kecil Bagan Pinang) adalah menyebelahi pihak Pakatan Rakyat.

Di antara isu itu adalah Bagan Pinang adalah DUN kuat pengaruh BN, penilaian terhadap popularity Tan Sri Isa Samad dan hubungan popularity calon BN dengan peluang kemenangan.

Oleh itu, undian para pembaca laman MyStar online dan the Malaysian Insider adalah antara sample yang boleh dibaca. Berikut adalah keputusan undian tersebut.

Undian MyStar online 20 September 2009, atas persoalan: Apakah peluang BN untuk menang di pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang lebih besar kerana ia adalah kubu kuat Umno? Jawapannya yang bersetuju (Ya) = 12.9% dan tidak bersetuju (Tidak) = 87.1%.

Undian MyStar online 1 Oktober 2009, atas persoalan: Adakah pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon beri peluang kemenangan BN di DUN Bagan Pinang? Jawapannya yang menyokong (Ya) = 9.7% dan tidak menyokong (Tidak) = 90.3%.

Kemudian undian MyStar online pada 9 Oktober 2009 atas persoalan yang sama: Adakah pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon beri peluang kemenangan BN di DUN Bagan Pinang? Jawapannya yang menyokong (Ya) = 3.8% dan tidak menyokong (Tidak) = 96.2%.

Melalui laman akhbar online The Malaysian Insider pula, atas isu popularity Tan Sri Isa Samad lagi: Do you think Tan Sri Isa Samad's popularity in Bagan Pinang makes the by-election result a foregone conclusion? Jawapan pembaca laman berkenaan pada 6 Oktober 2009 adalah 63.8% yang memandang popularity Isa tidak menjamin kemenangan BN. Undian pada 7 Oktober pula menunjukkan pandangan atas persoalan yang sama adalah meningkat kepada 64.0%.


Undian SmS

Namun, hasil kajian respon SmS pula mendapati agak berbeza bacaan pandangan individu respondan dibandingan dengan pembaca laman online di atas. Walaupun keputusannya penerimaan respondan SmS ke atas isu ‘memperkenal calon PAS: Zulkefly Mohamad Omar” kepada pengundi (melalui telefon bimbit) didapati agak rendah menyatakan sikap berpihak kepada mana-mana parti – setuju/tidak setuju dengan calon PAS – sebahagian mereka mengambil sikap tidak menyatakan sikap bersetuju dengan calon PAS. Kajian SmS oleh Unit IT pilihah raya kecil Bagan Pinang yang dilakukan antara 1-4 Oktober mendapati serami 223 orang respon SmS itu jelas menyembunyikan sikap mereka melalui jawapan yang bernada berkeciuali/tidak menjelaskan persetujuan sebenar kepada calon PAS yang dipilih bertanding.

Sehubungan dengan nilaian kajian tersebut, ternyata pada permualan tempoh kempen padangan pihak luar (mood pembaca laman online) adalah jelas menolak pencalonan tan Sri Isa sebagai calon yang patut dipilih. Sementara jawapan melalui SmS kalangan pengundi Bagan Pinang sendiri, apabila PAS menamakan Zulkefly dan BN pula Tan Sri Isa, ia telah membuka sikap tidak berpihak kepada 52 peratus respondan. Jika keputusan kajian SmS ini dijadikan bandingan atas sikap keseluruhan pengundi di Bagan Pinang, maka factor calon hanya menjadi nilaian penting kepada 48% pengundi sementara 52% lagi pengundi masih bergantung kepada isu-isu lain (ekonomi, pembangunan, kesejahteraan dan integriti parti) yang bertanding. Maka, atas keputusan itu, sesungguhnya Tuhan Yang Esa pasti memberi petunjuk kebenaran kepada para pengundi bagan Pinang di dalam memilih calon dan parti yang mengikut selera masing-masing. Tunggulah esok hari mengundi, keputusannya dijangka akan membuktikan segala analisis pra-pilihan raya kecil.


Bagan Pinang: Analisis BN Isa menang

Pada penghujung kempen pilihan raya kecil ini, banyak pihak mula mengira-gira pihak mana akan menang dan berapa majoriti bakal diperolehi oleh parti yang mungkin menang. Saya turut menerima sms yang kononnya dari maklumat 'sulit' BN, yang mencatatkan sehingga semalam BN mendahului PAS dengan persentij yang selesa - 56:44. Jika persentij itu mungkin tepat, maka analisis yang dapat dibuat berdasarkan jangkaan SPR jumlah keluar mengundi 80% (10,931) ialah BN memperolehi kira-kira 6,121 undi dan PAS 4,810. Oleh itu, majoriti BN ialah 1,312. Maka, PAS sekadar menanh moral kerana berjaya mengurangkan sebanyak 1,000 nilai majoriti BN (BN meraih majoriti 2,333 pada pilihan raya umum 2008).

Bagi saya, maklumat 'sulit' BN itu adalah kontradik dengan analisis awal seorang penganalisis tempatan dari salah sebuah universiti tempatan terkenal yang meletakkan angka kemenangan BN mencecah majoriti lebih daripada 3,000 undi. Sekiranya kita menggunakan anggaran 80% keluar mengundi, maka angka penganalisis politik itu dapat diunjurkan - BN akan mendapat 7,931 dan PAS 4,931 undi. Mungkin logik analisis itu berdasarkan kekuatan BN untuk melonjak undi atas dua faktor besar: faktor Isa yang popular dan dominasi pengundi tentera. Sedangkan PAS tidak ada faktor besar ini.

Jika dilihat kepada keputusan pilihan raya umum 2008 - BN mendapat 6,430 (3,080 disumbang oleh undi pos) dan PAS 4,097 (1,189 disumbangkan oleh undi pos, majoriti BN pula 2,333. Sementara ruang pilihan raya kecil ini, sudah pasti BN akan memberi tumpuan lebih kepada pengundi tentera, maka munasabahnya PAS bakal mencapai undi yang merosot. Mungkin PAS mampu mencapai sekitar 500 undi sahaja undi pos.

Begitu pula, dapat dianggarkan, kesan kempen PAS yang mengutarakan imej integriti yang tercalar kerana rasuah politik wang terhadap Mohd Isa, maka kempen PAS akan mendapat peningkatan sokongan pengundi atas pagar dan kumpulan yang menentang Mohd Isa sahaja. Anggaran kesan kempen imej integriti Mohd Isa itu akan menyumbang tambahan undi sekitar 1,500 undi, maka logiknya PAS akan mampu meraih sekitar 4,900 undi dan BN akan mendapat 7,900.

Secara mudah, simulasi penganalisis politik berkenaan adalah PAS akan merosot undi daripada pengundi tentera, tetapi berjaya meraih sokongan pengundi atas pagar dengan andaian semua pengundi bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong PAS ekoran isu perarakan kepala lembu dan isu kematian Kugan (menyentuh sentimen pengundi India) dan kematian T.B.Hock (Cina). Sementara BN, akan kekal menang dengan majoriti selesa 3,000 undi atas kekuatan faktor ketokohan (populariti Mohd Isa) dan keupayaan mendominasi pengundi tentera.

Namun, kedua-dua analisis dan simulasi tersebut (boleh berubah jika PAS berupaya menterjemahkan misi kempen imej integriti calon secara merosakkan populariti calon BN yang boleh mendapat menarik perhatian pengundi atas pagar, pengundi muda dan bukan Melayu mahupun pengundi wanita.

Senario tersebut boleh berubah apabila pengundi menetapkan pusat tumpuan (dorongan) mengundi ialah kepada faktor calon, kerana calon PAS seorang lebih berintegriti, tiada rekod rasuah politik seperti mana calon BN. Namun, semuanya tetap bergantung kepada ketentuan Tuhan Yang Esa - akan membuka ruang kemenangan kepada pihak mana dan memandu hati nurani pengundi sama ada bersimpati kepada Mohd Isa ataupun Zulkefly.

05 October, 2009

Bagan Pinang: Persoalan untuk Isa Samad

Isa kena jawab soalan rakyat

Ekoran daripada Barisan Nasional mengemukakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon yang bertanding berdepan dengan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS, maka banyak persoalan dapat dibangkitkan dan memerlukan jawapan. Penjawab utama semestinya Mohd Isa sendiri selaku ‘tuan diri,’ kerana rakyat inginkan jawapan yang pasti. Kepastian itu adalah pemutus untuk rakyat bertindak sama ada mahu mengundi beliau atau menolak beliau. Apa yang pasti, kesemua soalan adalah mencabar nilai-nilai integriti dan imej bersih (putih) atau kotor (hitam) peribadi Mohd Isa selaku calon pilihan raya kecil. Fakta dan persoalan yang dianalisis berikutnya merupakan titik-titik yang harus dilihat oleh pengundi secara khusus.

Ramalan Mahathir, Mohd Isa tidak menang

Dr. Mahathir meramalkan dalam blognya, di Bagan Pinang, saya percaya siapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang. Namun, realitinya imej UMNO sekarang sudah banyak tercemar dengan politik wang semasa pemilihan Majlis Tertinggi. Boleh dikatakan hampir semua yang dipilih terlibat dengan rasuah. Sesungguhnya orang ramai tidak lagi hormati UMNO dan besar kemungkinan mereka tidak akan undi calon UMNO dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Pertikaian pencalonan Mohd Isa Kata Dr. Mahathir, “jangan calonkan Mohd Isa Samad.” Imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Mohd Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

Adakah rakyat sedia menanggung segala dosa Mohd Isa yang sudah melanggari hukum UMNO itu sendiri?

Tengku Razaleigh pun menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. Korup bermakna ‘pengamal rasuah,’ apakah Mohd Isa tidak korup?

Mohd Isa sebenarnya ‘perasuah’

Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun lalu.

Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam pemilihan UMNO yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan. Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO ini benar – benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau seharusnya berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga pernah mendesak agar beliau meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.

Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;

11. Jika- (b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa; 16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan (b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Malangnya UMNO telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan Negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal-soal peribadi UMNO.
Amat jelek rasanya bila Wilayah Persekutuan diwakili oleh seorang Menteri yang jelas mengamalkan rasuah. Baru – baru ini juga, beliau telah kemaruk kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan cuba mengurangkan kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perundangan Kerajaan Tempatan.

Perbuatan beliau ini adalah satu perkara yang amat memalukan UMNO kerana status beliau bukanlah Ketua Cawangan, beliau adalah pemimpin tertinggi Nombor Tiga dalam UMNO. Beliau gagal menunjukan sikap yang baik dan seharusnya beliau keluar dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dikeluarkan dari senarai ahli Kabinet.

Rasuah kerana nak menang

KEPUTUSAN pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 23 September 2004:
  1. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - 1,507 undi
  2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - 1,329 undi.
  3. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,234 undi
  4. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib - 1,177 undi.
  5. Dato’ Mustapa Mohamed - 1,059 undi
  6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 690 undi
  7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 651 undi
Namun, kedudukan pencalonan adalah berbeza. Susunan populariti pencalonan adalah sepertimana berikut:
  1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 159 pencalonan
  2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam – 119 pencalonan
  3. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib – 88 pencalonan
  4. Dato’ Mustapa Mohamed – 66 pencalonan
  5. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – 37 pencalonan
  6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 35 pencalonan
  7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 25 pencalonan
Namun kemenangan itu sekejap sahaja kerana pada 25 Jun 2005 beliau dijatuhkan hukuman gantung dan hilang haknya sebagai Naib Presiden selama 6 tahun. Laporan Utusan Malaysia (26 Jun 2005) berikut adalah menyatakan tentang hukuman tersebut.

Kenyataan akhbar sebelum ini (pada 24 Jun 2005) mengesahkan Mohd Isa dipanggil membuat penjelasan berhubung dakwaan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin UMNO. Maka, keputusan penggantungan Mohd Isa dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam di Menara Datuk Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Ahmad Rithauddeen adalah tepat. Surat penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, kelmarin (24 Jun 2005).

Badan Pencegah Rasuah pembela Mohd Isa

Walaupun, Mohd Isa telah disabit bersalah sebagai perasuah oieh Lembagan Disiplin UMNO, namun BPR tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap Mohd Isa. Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Meskipun, akta berkenaan memperuntukkan bahawa "Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh-

(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;

(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau

(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu."


Adakah rakyat boleh menerima hakikat ini?


Calon kitar semula

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak tanggapan pembangkang bahawa beliau adalah calon 'kitar semula' tetapi sebaliknya berkata, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Persoalannya, rekod peribadi Mohd Isa adalah tidak cemerlang. Kini dianggap cemerlang pula bila dicalon di Bagan Pinang. Rekod perkhidmatan beliau (Menteri Besar sejak April 1982–Mac 2004; Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004–2005; Jun 2005 dilucut jawatan kerana rasuah) adalah dinamakan kitar semula (recycle) apabila diberi peluang bertanding semula selepas dihukum kerana rasuah.

15 isu mendera rakyat

Apakah kemenangan Mohd Isa nanti akan menyelesaikan masalah rakyat di Bagan Pinang, ataupun setidak-tidaknya dapat mengubati penderitaan rakyat akibat salah urus kerajaan Barisan Nasional. Antara isu tersebut ialah:
1. KENAIKAN HARGA PETROL
2. KOS HIDUP RAKYAT YANG TINGGI
3. KRISIS POLITIK DIPERAK
4. SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA BERPOLITIK
5. BN/UMNO MEMPERALAT MAHKAMAH
6. KES RASUAH MCA MELIBATKAN PORT KLANG FREE ZONE
7. POLIS GAGAL BERKECUALI
8. MEMILIH MOHD ISA SAMAD MEWAKILI IMEJ PERASUAH POLITIK WANG
9. MEDIA ARUS PERDANA BERAT SEBELAH
10. KONSPIRASI KES LIWAT ANWAR IBRAHIM
11. TERUS MENGEKAL AKTA ZALIM MOHD ISA
12. BN YANG TUNGGANG-LANGGAN – MCA, MIC & PPP BERPECAH
13. SISTEM PILIHAN RAYA YANG DIRAGUI KETELUSANNYA
14. SEMANGAT PERKAUMAN YANG ANTI PERPADUAN
15. SLOGAN SATU MALAYSIA (1Malaysia) MENGGADAI HAK ANTARA KAUM

Pengundi pos

Jika ingin menang, perlu pandang berat untuk menarik undi pos. Apa yang berlaku sejak beberapa pilihan raya kecil lepas ialah angin perubahan sedang berlaku di kalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, yakin PAS mempunyai peluang yang cerah di Bagan Pinang.

Tersebar pula cerita-cerita di belakang tabir bahawa sebahagian pegawai tentera sudah kecewa dengan Zahid Hamidi selaku menteri yang gagal melayani secara terbaik kehendak pasukan tentera. Begitu pula, status kemewahan hidup keluarga tentera yang masih dalam kedhaifan. Di samping janji retorik Najib yang ingin menjadikan Port Dikcson sebagai Bandar Tentera tidak lebih daripada omongan pancing undi. Kerana mereka tahu, yang bakal menikmati untung di sebalik projek itu adalah kroni dan bukannya warga tentera atau polis. Apakah jaminan Mohd Isa kedudukan tentera atau polis selaku pengundi pos akan terbela dengan seadil-adilanya?

Mohd Isa umpama dinosur



Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa menjadi presiden parti, mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan seperti seekor dinosur – yang sudah tidak relevan dengan perubahan semasa. Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi. Mengungkapkan maksud yang sama, Najib pula mempopularkan perkataan Melayu glokal agar pemimpin Melayu terus maju ke hadapan. Maka, keputusan mengangkat Tan Sri Mohd Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan Umno parti yang tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Pencalonan Tan Sri Mohd Isa, mencetuskan persepsi betapa Umno/BN telah undur ke belakang dan memastikan imej Umno/BN bakal terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah yang tidak relevan dengan perubahan masa kini.

Pengundi penegak keadilan


Jika demikian, rakyat adalah penegak keadilan di DUN Bagan Pinang perlu membuat keputusan terhadap Mohd Isa atas kesalahan lima tahun lampau. Oleh itu, hari mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti adalah sidang mahkamah yang semua pengundi merupakan hakim-hakim politik yang bertanggungjawab memikul amanah menegakkan suara rakyat. Harapnya, pengundi Bagan Pinang akan menjadi penegak keadilan hakiki untuk menerima mahupun menolak pemimpin yang sudah tidak bersih kerana amalan rasuah politik wang.


Sama-sama menjulang demokrasi


Pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang adalah menuntut 13,644 orang pengundi Melayu, Cina dan India serta anggota tentera dan polis yang berkuasa melalui satu undi masing-masing bertindak menjulang demokrasi.

Demokrasi yang boleh difahami juga sebagai pemutus keadilan yang seadil-adilnya hendaklah merestui hanya pemimpin yang bersih di mata rakyat. Pengundi Bagan Pinang haruslah berhati mulia, bersih, ikhlas dan tulus hati serta bermoral tinggi. Sebelum mengundi haruslah mengingati amanah Tuhan Yang Esa, memikul tugas khalifah untuk melantik wakil rakyat yang tiada rekod dosa-dosa di sisi tuhan, rakyat dan negara serta tanah air. Maka ruang demokrasi Bagan Pinang sedia terbentang peluang menegakkan tiang-tiang menjulang demokrasi keadilan yang hanya serasi dengan penerajunya (calon yang akan dipilih) ialah seorang tokoh yang bersih tanpa dosa-dosa.