10 Zulhijjah 1430 (Jumaat) merupakan sambutan hari raya kurban bagi umat Islam. Di sebaliknya terangkum peristiwa pengorbanan yang bersejarah. Antara kisah pengorbanan teragung ialah Nabi Ibrahim melaksanakan pengorbanan ke atas anaknya Nabi Ismail yang kemudian diganti oleh Allah dengan binatang untuk disembelih. Begitu pula, pada hari kejayaan (kemenangan) umat Islam menjalankan ibadat haji selepas berwukuf.
Menghayati ibadat haji dan pengorbanan Nabi Ibrahim, maka umat Islam disunatkan mengorbankan binatang ternakan untuk disedekahkan kepada fakir miskin, selain dijadikan hadiah kepada rakan-taulan dan berjamu selera bersama sanak-saudara.
Presiden PAS mengutuskan sempena hari raya Idul Adha:
"Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain."
Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia pula merakamkan:
"Marilah kita berdoa agar kesemua jemaah kita dapat mengerjakan ibadah Haji dengan sempurna dan agar amal ibadat mereka diberkati Allah s.w.t. serta dapat pulang ke tanahair dengan selamat."
Ustaz Abu Bakar Husin, Pesuruhjaya PAS Perak dipetik memuat perutusan berikut:
"Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT."
Apa yang penting, umat Islam hari ini harus menjadikan peluang Idul Adha sebagai misi menambahkan rasa diri untuk berkorban kepada agama, bangsa dan meningkatkan kehebatan 'hubbul watan' serta upaya diri berazam untuk menjayakan agenda akhirat dengan limpahan pahala.
Berbekalkan misi tersebut, kita doakan agar Tuhan Yang Esa memanjangkan usia demi bertemu lagi Idul Adha mendatang.
No comments:
Post a Comment