Pada mesyuarat penerangan, 5 November 2009 (Khamis) lalu bersama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki saya telah mencadangkan supaya isu royalti minyak itu diperjuangkan oleh gerakan rakyat. Gerakan itu hendaklah dilonjakkan dengan kesedaran rakyat berbekalkan semangat kecintaan tinggi untuk mempertahankan hak watan (negeri tempat lahir dan dibesarkan). Demi menganjak maruah semua warga negeri Kelantan; yang saya sifatkan sebagai kesedaran membina semangat "hubbul-Watan." Lalu, paltform sesuai bagi tujuan tersebut adalah mewujudkan sebuah NGO yang dipimpin oleh mana-mana "pemuda" yang berjiwa kental, bersemangat waja dan komited untuk mengarus perdanakan 'isu tuntutan wang royalti minyak Kelantan' ke puncak jaya.
Semalam pula, (21 November) Dato' Husam telah mencetuskan melalui siaran Astro Awani, betapa perlunya tuntutan royalti minyak itu diperjuangkan oleh NGO yang melibatkan kepentingan bersama negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak - negeri yang mengeluarkan minyak di negara ini. Bagi catatan rekod, Husam telah diberi amanat oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar untuk mengambil tanggungjawab 'memperjuangkan' tuntutan wang royalti itu. Maka, cetusan awal dalam isu ini telah dibangkitkan oleh Husam semasa pilihan raya kecil Manek Urai (Julai 2009) lalu. Ketika itu juga respon pemimpin kerajaan Pusat, kata mereka, isu royalti minyak tidak lebih daripada "isu pilihan raya" semata. Namun, apa yang jelas apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib mengumumkan di parlimen pada 4 November lalu, royalti akan disalur kepada Kelantan dalam bentuk wang ehsan, secepatnya pemimpin UMNO Kelantan mengalu-alukan.
Maknanya, perjuangan kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS sudah berjaya satu langkah membuktikan kelayakan ke atas wang minyak. Tinggal lagi, bagaimana untuk "mengajar" kerajaan Pusat agar mematuhi Perjanjian Minyak antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan 1975. Di sinilah ruang yang saya katakan perlunya gerakan rakyat atas paltform NGO menggerakkan semangat hubbul-Watan - menuntut hak "lunaskan wang royalti".
Semuga Tuhan Yang Esa, membuka pintu hati dan deria rasa pemimpin kerajaan Pusat agar melihat kepentingan rakyat dan negeri Kelantan dengan seadil-adilnya (fair and fairness).
No comments:
Post a Comment