13 October, 2009

Bagan Pinang: Analisis faktor BN menang


Berdasarkan keputusan bandingan dalam jadual di atas, PAS mengalami jatuhan undi popular sebanyak 14.58% dengan pengurangan undi berjumlah 1,519 undi. Sementara pihak Barisan Nasional pula mengalami lambungan undi popular ke paras 8,013 undi berbanding sebelumnya 6,430. Maka lonjakan undi Barisan Nasional sekitar 1,583.

Kesan jatuhan undi popular PAS tersebut adalah lebih besar sekali ganda dibandingkan dengan PrK Manek Urai. Di Manek Urai, PAS turut merosot undi, tetapi sekadar 6.36% sahaja. Oleh itu, PAS kekal memang tipis di PrK Manek Urai.

Punca utama kemerosotan undi PAS dikaitkan dengan sikap pengundi yang bebal (immune) dengan isu-isu nasional, isu integriti dan rasuah dianggap hal peribadi bukannya hal maruah bangsa dan negara. Selain itu, kempen Barisan Nasional yang lebih banyak mengumpan pengundi menyebabkan pengundi terdesak seperti di ladang-ladang kembali berpaut semula kepada Barisan Nasional. Mereka sanggup melupakan kesemua isu-isu yang menjadi nilai sejagat yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional seperti penghinaan (sepak kepala lembu) dan kezaliman (undang-undang ISA, kematian Kugan dan Teoh Beng Hock).
Namun, bagi pihak pemimpin Barisan Nasional pula mendakwa kejayaan besar di Bagan Pinang itu adalah membuktikan penerimaan pengundi kepada gagasan baru 1Malaysia yang dilancarkan DS Mohd Najib. Selain itu, faktor calon BN TS Mohd Isa juga dikatakan rapat dengan rakyat dan popular kerana telah menjawat MB selama 22 tahun - tarikan utama pengundi peringkat pertengahan dan warga emas serta pelbagai kaum.
Namun, secara skeptikalnya persoalan kemenangan Barisan Nasional yang mencecah 76% undi popular itu berlaku, apakah hanya semata-mata kerana dua faktor itu? Sedangkan senario kempen dan asakan pelbagai apparatus kerajaan Barisan termasuk pihak berkuasa polis dan tentera begitu menekan pihak PAS dan Pakatan Rakyat. Misalnya, peristiwa keganasan pemuda UMNO yang menyerang markaz induk PAS, markaz pemuda PAS dan tindakan meroboh khemah program kempen PAS; begitu juga provokasi dan lontaran batu kepada pekerja PAS, disusuli dengan laporan polis atas peristiwa dan kecederaan yang berlaku yang tiada tindak balas memuaskan pihak polis; menyebabkan pada hari mengundi kekecohan dan keganasan semakin memuncak di pusat mengundi Telok Kemang, Kg. Bagan Pinang dan Taman Eastern. Begitu pula, dalam kes pengundian pos, kononnya proses pengeluaran undi sudah ditutup pada petang 10 Oktober, tetapi masih berlaku tindakan mengeluarkan semula 70 lagi kertas undi oleh SPR kepada pihak pengundi pos melalui seorang pegawai tentera berpangkat kapten. Ini adalah di antara gambaran dan peristiwa yang berlaku sepanjang kempen dan pengundian PrK Bagan Pinang yang telah memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.
Harapan kita, sikap 76% pengundi Bagan Pinang (yang memenangkan Mohd Isa) tidak menjadikan pengundi seluruh negara menjadi bangang untuk menolak Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang!

No comments: