13 October, 2009

Bagan Pinang: BN menang berlawanan mood rakyat

Keputusan pilihan raya kecil (PrK) Bagan Pinang (seperti di dalam jadual di bawah) menunjukkan semua daerah mengundi dikuasai Barisan Nasional. Ini kerana kesemua daerah mengundi, termasuk di empat daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India (Ladang Atherton, Pekan Seliau, Ladang Bradwall dan Sua Betong). Trend yang sama berlaku di daerah mengundi majoriti kaum Melayu (Taman Eastern, Kg. Bagan Pinang, Si Rusa dan Telok Kemang).











Dominasi tertinggi pengundi tentera

Walau bagaimanapun, daerah mengundi Taman Eastern dan Si Rusa adalah dua pusat bagi kem tentera yang merupakan pengundi pos. Menurut senarai pemilih yang diwartakan pada 4 September 2009, pengundi tentera berdaftar di Taman Eastern seramai 1,131 (22.75%) dan Si Rusa seramai 3,443 (30.81%). Majoriti pengundi tentera adalah terdiri daripada kaum Melayu (kira-kira 63%) dan selebihnya Bumiputera Sabah dan Sarawak, India dan Cina..

Dari segi penumpuan dan prestasi Barisan Nasional pada keseluruhannya adalah luar biasa iaitu mencapai 75.66%. Namun, prestasi tertinggi adalah di kalangan pengundi tentera (85.42%) diikuti pengundi India antara 70-75% dan pengundi Melayu antara 63-71%. Kedua-dua nilai dominasi Barisan Nasional itu membuktikan kejayaan tindakan hegemoni apparatus Barisan Nasional di dalam memastikan kekalahan PAS di semua pusat mengundi.

Keputusan meragukan

Kalangan pemimpin PAS bersetuju bahawa DUN Bagan Pinang adalah kubu Barisan Nasional. Namun tidak ramai yang menjangkakan Barisan Nasional melalui calonnya Mohd Isa aka menang besar melepasi undi popular 76%. Paling popular dijangkakan sekitar 55% sahaja. Apabila keputusannya mencecah 76% dan PAS sekadar 24% adalah suatu pencapaian yang boleh diragui. Di antara unsur keraguan di sebalik kemenangan besar itu ialah benarkah pengundi Bagan Pinang terlalu tidak kisah dengan isu-isu perkauman yang sedang panas membabitkan UMNO dan integriti kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib seperti perarakan kepala lembu, bantahan pemindahan kuil, kematian Teo Beng Hock dan kematian Kugan?

Malah lebih teruk lagi, benarkah majoriti pengundi Bagan Pinang tidak sensitive langsung dengan persoalan peribadi pemimpin yang bakal dipilih (Mohd Isa) yang sudah dibuktikan bersalah melakukan amalan rasuah politik wang semata-mata ingin menang jawatan Naib Presiden UMNO di dalam pemilihan UMNO 2004 lalu? Apakah majoriti pengundi bertindak menutup mata dan telinga terhadap semua dakwaan kronisme dan salah guna kuasa (seperti menggadai tanah) yang didedahkan oleh pelbagai pihak sepanjang kempen PrK berlangsung? Begitu pula, adakah majoriti mereka tidak kisah langsung dengan prestasi rendah kecekapan Mohd Isa semasa menjadi menteri besar tatkala didedahkan pelbagai projek terbengkalai dan pengabaian projek merata tempat termasuk di DUN Linggi di mana beliau mewakilinya ketika menjadi menteri besar?

Sekiranya benar 76% pengundi Bagan Pinang yang mengundi Mohd Isa itu boleh berkompromi dengan semua persoalan di atas, maka sikap pengundi tersebut jelas sekali berkontradiksi dengan mood rakyat di seluruh negara. Lantaran mood rakyat amnya begitu membenci amalan rasuah, menolak pemimpin yang tidak berintegriti, memusuhi tradisi perkauman, mengutuk penghinaan terhadap unsur keagamaan (seperti menyepak kepala lembu), tidak berkompromi dengan salah laku dan salah guna kuasa.

Kajian yang dilakukan pelbagai pihak, ternyata menolak Mohd Isa selaku calon yang layak dipilih atas sifat peribadinya yang dilihat tidak bersih, tiada integriti dan naïf untuk ditabalkan sebagai pemimpin yang boleh membela rakyat. Melainkan kajian oleh pihak tertentu daripada kalangan UMNO dan apparatus Barisan Nasional sahaja yang menyimpulkan Mohd Isa seorang yang berjasa dan popular. Namun, kajian yang mengutip pandangan awam oleh sekumpulan penyelidik universiti tempatan (dirahsiakan identitinya) menjelaskan mood pengundi tempatan telah bersikap menolak Mohd Isa sebagai calon yang layak dipilih.

Penemuan kajian tersebut adalah selari dengan tinjauan pihak akhbar online MyStar dan Malaysian Insider antara 1 Oktober sehingga menjelang pengundian didapati kira-kira 64% adalah tidak berpihak kepada Mohd Isa. Ia membuktikan mood pembaca (rakyat bukan pengundi) melihat Mohd Isa tidak layak dipilih.

Apapun, amat malang sekali 76% pengundi Bagan Pinang bersikap melihat jasa (cerita lama) Mohd Isa semasa menjadi mentri besar itu lebih diutamakan. Sebalik mereka tidak sensitive dan bersikap tidak perlu diutamakan terhadap usaha menolak amalan rasuah politik wang dan pelbagai nilai tidak bersih (cerita baru) seperti yang disabitkan ke atas Mohd Isa.

Mudah-mudahan rakyat seluruh negara tidak turut bersetuju dengan sikap 76% pengundi Bagan Pinang yang bersifat anti-tesis dalam menghayati falsafah pemilihan pemimpin berintegriti!

1 comment:

Jalaluddin said...

Tuan, apakah pihak JPP sebelum menrangka strategi p/raya Bagan Pinang, mengambil kira faktor ADAT PERPATIH? Orang N9 pantang dicabar adat tuan.