10 October, 2009

Bagan Pinang: Analisis BN Isa menang

Pada penghujung kempen pilihan raya kecil ini, banyak pihak mula mengira-gira pihak mana akan menang dan berapa majoriti bakal diperolehi oleh parti yang mungkin menang. Saya turut menerima sms yang kononnya dari maklumat 'sulit' BN, yang mencatatkan sehingga semalam BN mendahului PAS dengan persentij yang selesa - 56:44. Jika persentij itu mungkin tepat, maka analisis yang dapat dibuat berdasarkan jangkaan SPR jumlah keluar mengundi 80% (10,931) ialah BN memperolehi kira-kira 6,121 undi dan PAS 4,810. Oleh itu, majoriti BN ialah 1,312. Maka, PAS sekadar menanh moral kerana berjaya mengurangkan sebanyak 1,000 nilai majoriti BN (BN meraih majoriti 2,333 pada pilihan raya umum 2008).

Bagi saya, maklumat 'sulit' BN itu adalah kontradik dengan analisis awal seorang penganalisis tempatan dari salah sebuah universiti tempatan terkenal yang meletakkan angka kemenangan BN mencecah majoriti lebih daripada 3,000 undi. Sekiranya kita menggunakan anggaran 80% keluar mengundi, maka angka penganalisis politik itu dapat diunjurkan - BN akan mendapat 7,931 dan PAS 4,931 undi. Mungkin logik analisis itu berdasarkan kekuatan BN untuk melonjak undi atas dua faktor besar: faktor Isa yang popular dan dominasi pengundi tentera. Sedangkan PAS tidak ada faktor besar ini.

Jika dilihat kepada keputusan pilihan raya umum 2008 - BN mendapat 6,430 (3,080 disumbang oleh undi pos) dan PAS 4,097 (1,189 disumbangkan oleh undi pos, majoriti BN pula 2,333. Sementara ruang pilihan raya kecil ini, sudah pasti BN akan memberi tumpuan lebih kepada pengundi tentera, maka munasabahnya PAS bakal mencapai undi yang merosot. Mungkin PAS mampu mencapai sekitar 500 undi sahaja undi pos.

Begitu pula, dapat dianggarkan, kesan kempen PAS yang mengutarakan imej integriti yang tercalar kerana rasuah politik wang terhadap Mohd Isa, maka kempen PAS akan mendapat peningkatan sokongan pengundi atas pagar dan kumpulan yang menentang Mohd Isa sahaja. Anggaran kesan kempen imej integriti Mohd Isa itu akan menyumbang tambahan undi sekitar 1,500 undi, maka logiknya PAS akan mampu meraih sekitar 4,900 undi dan BN akan mendapat 7,900.

Secara mudah, simulasi penganalisis politik berkenaan adalah PAS akan merosot undi daripada pengundi tentera, tetapi berjaya meraih sokongan pengundi atas pagar dengan andaian semua pengundi bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong PAS ekoran isu perarakan kepala lembu dan isu kematian Kugan (menyentuh sentimen pengundi India) dan kematian T.B.Hock (Cina). Sementara BN, akan kekal menang dengan majoriti selesa 3,000 undi atas kekuatan faktor ketokohan (populariti Mohd Isa) dan keupayaan mendominasi pengundi tentera.

Namun, kedua-dua analisis dan simulasi tersebut (boleh berubah jika PAS berupaya menterjemahkan misi kempen imej integriti calon secara merosakkan populariti calon BN yang boleh mendapat menarik perhatian pengundi atas pagar, pengundi muda dan bukan Melayu mahupun pengundi wanita.

Senario tersebut boleh berubah apabila pengundi menetapkan pusat tumpuan (dorongan) mengundi ialah kepada faktor calon, kerana calon PAS seorang lebih berintegriti, tiada rekod rasuah politik seperti mana calon BN. Namun, semuanya tetap bergantung kepada ketentuan Tuhan Yang Esa - akan membuka ruang kemenangan kepada pihak mana dan memandu hati nurani pengundi sama ada bersimpati kepada Mohd Isa ataupun Zulkefly.

No comments: