29 December, 2009

AGENDA PAKATAN RAKYAT - MENGHARMONIKAN DEMOKRASI

Ucapan Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor turut menyentuh realiti demokrasi di Malaysia serta cabaran yang dihadapi Pakatan Rakyat. Petikan ucapannya seperti berikut: “Demokrasi bukan hanya hari mengundi, ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang disenaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihan raya yang adil.

Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat, dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak. Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihan raya, sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihan raya menjadikan padang lapangan pilihan raya itu tidak sama rata.”

Sehubungan itu, wajar dan logiknya persetujuan Dasar Pakatan Rakyat dalam konvensyen tersebut berusaha dan berjuang ke arah Demokrasi Telus dan Tulen. Maka, dengan itu Pakatan Rakyat mempertegaskan semula tuntutan demokrasi agar diwujudkan “sistem pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil” seperti berikut:

“Kewibawaan sistem pilihan raya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkait dengan pilihan raya.”

Sehubungan itu, amatlah baik sekiranya para pejuang demokrasi yang berteraskan prinsip keadilan Islam dan keharmonian agama menyokong usaha Pakatan Rakyat ke arah menjayakan gagasan tersebut. Antara tawaran Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat pemulihan demokrasi itu yang dapat dirumuskan seperti mana berikut:

1) Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran automatik.

2) Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan:

a. membersihkan senarai nama pengundi,

b. memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri,

c. memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi, dan

d. menggunakan dakwat kekal.

3) Memastikan:

a. media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama,

b. tempoh kempen yang munasabah, dan

c. pengendalian serta perjalanan pilihan raya yang bersih dan bebas.

4) Menentukan persempadana bahagian pilihan raya dibuat dengan mencerminkan prinsip ‘Satu Rakyat Satu Undi’ demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

5) Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihan raya umum.

6) Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menhukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

Namun, perjuangan menegakkan keadilan sebenar melalui demokrasi hanyalah wasilah yang sesuai untuk masa kini. Justeru itu, Pakatan Rakyat seharusnya mempamerkan integriti yang tuntas demi meraih keyakinan rakyat. Ia bukan sekadar mengisytiharkan pelan kesungguhan semata-mata. Apa yang utama ialah komitmen tinggi para pemimpin Pakatan Rakyat melakukan yang terbaik (tanpa keraguan jua) di dalam membuktikan kepimpinan yang mantap, bersatu dan berakhlak tinggi serta mengutamakan kehendak dan aspirasi rakyat pelbagai kaum. Maka, aspirasi nada politik dan suhu kepimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menyejukkan mata memandang dan meringankan bebanan rakyat. Ia bermakna isu-isu kebersamaaan, mengutamakan nilai-nilai murni di sebalik kontrak sosial dan mengelakkan daripada sentimen kepuakan jumud harus dielak sama sekali. Utamakan isu-isu (yang dibicarakan para pemimpin) yang kesannya menyatukan komitmen rakyat, kemurnian hubungan sosial dan menyuburkan perekonomian rakyat, dan tonjolkan nilai-nilai perkongsian dan permuafakatan warganegara (consociationalism of citizenship). Natijahnya, kesemua aspirasi tersebut hendaknya berupaya mencuit pilihan rakyat untuk menolak gagasan Barisan Nasional yang kebelakangan ini diohat gagal mentadbir Negara.

Semuga Tuhan Yang Esa merestui aspirasi murni Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerjasama ‘rakyat’ mencapai cita-cita patriotisme politik berteraskan konsensus Perlembagaan Persekutuan bagi memartabat agama dan memaju Negara serta mensejahterakan rakyat.


No comments: