09 April, 2020

Wabak COVID-19: Malaysia No.34 Di Dunia

Sumber hari ini, 9 April 2020 (https://www.worldometers.info/coronavirus/) perkembangan Wabak COVID-19 di dunia, kekal tempat tertinggi kes positif ialah Amerika Syarikat (153,6205), diikuti oleh lima negara yang sama iaitu Sepanyol (152,446), Italy (139,422), Germany (113,296), Peranchis (112,950) dan China (81,863). Data berikut menunjukkan pola penularan di dunia (8-9 April 2020).
Amerika Syarikat mengalami masing-masing pertambahan kes positif (+89,222), pulih (+31,492) dan dirawat (+50,933). Namun perkembangan yang berbeza di China yang menunjukkan jumlah kes positif bertambah hanya 63 kes, pulih 91 dan kes yang dirawat berkurang sebanyak 30 kes. Ini menunjukkan penularan yang berjaya mengekang berbanding negara-negara lain. Hal ini ada kaitannya dengan pengalaman China dalam Wabak COVID-19 bermula di Wuhan adalah yang terawal dan sudah tentu pendekatan pengawalan dan teknologi perubatan adalah terkehadapan.

Sementara bagi negara-negara Islam yang utama di dunia, masih 12 buah yang dilihat agak besar dan kekal bertambah kes positif kecuali Iran yang menurun. Munasabahnya Iran sebagai negara awal menular Wabak COVID-19 yang telah melakukan kawalan bagi mengekang secara lebih agresif. Kelihatan jumlah kes yag dirawat pun turut menurun, tetapi masih mengekalkan Iran sebagai negara Islam tertinggi dan menduduki tangga ke-7 selepas China di dalam senarai Wabak COVID-19 dunia.

Dalam perkembangan yang lebih menarik ialah Malaysia berbanding Pakistan. Kedudukan data penularan Wabak COVID-19 hari ini (9 April) di antara Malaysia berbanding Pakistan didapati Pakistan (semalam tangga 30) melonjak tinggi ke tangga 31 (senarai dunia), sementara Malaysia (semalam tangga 31) telah jatuh ke tangga 34. Ini bermakna jumlah kes positif di Pakistan lebih besar iaitu 4,457 kes, berbanding Malaysia sebanyak 4,228 kes.

Justeru itu, sumber Wisma Putera yang bimbang dengan kes positif semakin bertambah di kedua-dua negara, maka suatu persefahaman bersama Malaysia-Pakistan telah dicapai demi mengekang Wabak COVID-19 berlaku dalam kalangan warga negara masing-masing.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia hari ini (Berita Harian, 9 April) dilaporkan mengarahkan semua rakyatnya di negara ini memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber suruhanjaya itu berkata, ia termasuk mematuhi segala arahan dan perincian PKP seperti penjarakkan sosial, penjagaan aspek kebersihan dan duduk di rumah.

Katanya, sebahagian besar komuniti Pakistan di Kuala Lumpur menghuni bangunan Plaza City One di Jalan Masjid India dan pihaknya sentiasa berhubung dengan mereka dari semasa ke semasa.

Di atas kerjasama itu juga, Malaysia dan Pakistan telah bersetuju untuk membawa balik warga negara yang terkandas seberapa segera yang boleh.

Wisma Putra mendapat persetujuan itu menerusi percakapan langsung telefon di antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawat dari Pakistan, Makhdoom Shah Mahmood Qureshi semalam (8 April).

Sehubungan itu, Wisma Putra menjelaskan Kerajaan Pakistan telah diminta memberi bantuan sebaiknya bagi memudahkan usaha membawa balik dan memudahkan penerbangan balik menggunakan Pakistan International Airlines (PIA) ke Kuala Lumpur yang dijangka tiba pada 11 April nanti.

Bagi pihak Malaysia secara khususnya telah mengambil sikap mesra dan bersungguh-sungguh untuk memmastikan Wabak COVID-19 dapat dikawal dan diputuskan rantaian penularannya. Kenyataan Kerajaan Malaysia hari ini, di antaranya turut menyedia kemudahan perubatan kepada 416 orang warga asing dari pelbagai negara yang terlibat dengan Wabak COVID-19 dan sedia bekerjasama dengan badan UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) bagi memastikan mereka turut mengambil perhatian kepada warga negara asing (pelarian) yang berada di Malaysia.

Dalam perkembangan yang berlaku sekarang, ternyata Kerajaan Malaysia telah membuat langkah-langkah pengawal Wabak COVID-19 dan khidmat saf hadapan (frontliners) yang terbaik. Laporan Kerajaan juga menyebutkan kira-kira 11,500 kes COVID-19 sehari telah dirujuk ke makmal pengesanan. Ternyata ia menggambarkan suatu keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sepatutnya diberi pujian.

Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan pasukan perubatan dan kesemua frontliners yang gigih menguruskan langkah pengekangan Wabak COVID-19 yang kini sudah memasuki hari ke-23 tempoh PKP. 
Wassalam.


No comments: