10 April, 2020

COVID-19: Malaysia Menuju PKP Tahap 3

Hari ini Jumaat, 10 April tinggal empat hari lagi akan tamat PKP Tahap 2, Perdana Menteri telah mengumumkan perlanjutan tempoh PKP. Ia bakal memasuki PKP Tahap 3 bermula 15-28 April 2020 - tambah 14 hari lagi. Ia menjadikan tempoh PKP dalam tiga tahap bermula 18-31 Mac; 1-14 April; dan 15-28 April. Keputusan dibuat berdasarkan pandangan/nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia juga melihat kepada perkembangan kes positif Wabak COVID-19 semakin meningkat, meskipun keupayaan rawatan yang meningkat dan potensinya menurun.




Analisis kes menunjukkan 42.11% atau 1,830 orang telah pulih daripada keseluruhan kes positif/aktif (4,346). Ini suatu perkembangan baik daripada segi keupayaan perawatan. Keupayaan ini adalah 74.82% daripada jumlah yang dirawat (2,446 kes). Tambah lagi kes kematian agak stabil pada jumlah kurang lima orang atau kurang daripada 1.61% daripada keseluruhan kes positif. Perkembangan ini hampir selari dengan data-data di peringkat global (purata kesemua negara).



Di peringkat global jumlah kes positif/aktif ialah 1,619.94 dan daripada jumlah ini, 22.59%  atau 365.900 kes telah pulih. Ini bermakna prestasi Malaysia adalah lebih baik, iaitu dari segi peratusan kes (42.11%) yang pulih daripada kes positif 4,346 orang. 

Walaupun begitu kemungkinan kes penularan Wabak COVID-19 telah dijangka akan melebihi 5,000 berdasarkan sudah lebih 10,000 kes sehari yang dirujuk ke bahagian makmal untuk pengesanan. Dilaporkan keputusan kes negatif sudah melebihi 60,000, apa yang dibimbangi adalah dilaporkan wabaknya sudah mengenai generasi kelima daripada beberapa kluster pembawa. 

Satu lagi rekod agak baik Malaysia di dalam menangani penularan Wabak COVID-19 ini ialah kes kematian kumulatif yang rendah (2.86%) daripada jumlah kes yang dirawat. Berbanding dengan sesetengah negara di dunia atau bandingan dengan peringkat gobal (8.39% daripada kes positif/aktif), Malaysia jauh lebih rendah kadar kematian. Misalnya peratusan kes kematian di Belgium 16.70% dan Indonesia 10.47% daripada kes yang dirawat. Cuma di Pakistan sehingga kini jumlah kematian hanya 1.73% daripada jumlah kes yang dirawat. 

Dalam hal ini, penghargaan tinggi harus diberikan kepada pasukan perubatan dan frontliners lain yang cukup tinggi komitmen untuk memulihkan pesakit. Sekaligus ia memungkin rantaian Wabak COVID-19 dapat diputuskan dalam jangka masa yang awal. 

Namun cabaran yang ada, berlakunya beberapa lokasi yang terpaksa dikenakan kuat kuasa PKPD akibat daripada penularan pada kadar yang tinggi di 21 kawasan. Sekiranya usaha bersungguh-sungguh dapat diambil dan kerjasama semua pihak dapat dicapai, kita yakin zon-zon merah (termasuk lokasi PKPD) boleh bertukar hijau. Namun ia memerlukan tempoh 14 hari, bermakna akan ada lokasi PKPD atau zon merah akan menjadi zon hijau dalam tempoh PKP Tahap 3 nanti. Di atas rasional ini, adalah benar langkah Kerajaan bersama-sama dengan KKM memanjangkan lagi tempoh PKP kepada Tahap 3.

Bersama-sama kita berdoa agar kita dapat memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan PKP sehingga Negara dapat bebas daripada Wabak COVID-19 ini. Ins sya Allah.

Wallahu'alam.

  

No comments: