15 April, 2020

PKP Tahap 3 COVID-19: Bermula Angka 5K

Kenyataan media menteri pada hari ke-14 PKP Tahap 2 telah menggambarkan hakikat masih banyak kenderaan di jalan raya. Sudah tentu ia berlaku kerana sejumlah ramai yang tidak mematuhi arahan PKP, meskipun kekuatan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan serta SOP berkaitan telah dikuatkuasakan oleh PDRM, ATM bersama dengan RELA dan JPJ. Kesannya, ternyata permulaan kepada arahan PKP Tahap 3 telah menyebabkan kes COVID-19 di Negara kita mencecah 5,072 orang. Suatu angka yang telah dijangka meskipun ramai kita yang tidak ingin kepada pertambahannya.



Ia kemudiannya diikuti pula pengumuman, bahawa sesiapa yang didapati melanggar PKP dikenakan kompaun RM1,000. Tidak padan dengan itu, pada hari pertama PKP Tahap 3, pelanggar arahan (engkar PKP) akan direman dan didakwa di mahkamah serta boleh dipenjarakan. Ia suatu langkah yang lebih tegas dan sepadan dengan kesungguhan Kerajaan untuk mengawal Wabak COVID-19. Ia juga seharusnya diterima dengan penuh sedar dan bersungguh-sungguh ahli masyarakat atau orang awam. Biarlah ia sepadan dengan nilaian RM250 billion + RM10 billion (tambahan) yang diperuntukkan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) semasa Wabak COVID-19 sedang menular.












Data-data di atas menunjukkan perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 10-15 April 2020, iaitu jumlah kes baharu, keseluruhan kes yang positif, jumlah sedang dirawat dan kes kematian. Ia melibatkan transisi di antara PKP Tahap 2 yang tamat pada 14 April dan permulaan PKP Tahap 3, iaitu pada 15 April sehingga 28 April. 

Sebagaimana dinyatakan PKP Tahap 3 adalah bermula dengan rekod kes dalam Negara mencecah 5K (5,072) berikutan berlaku pertambahan 85 kes baharu. Ini menunjukkan tambahan kes baharu telah menurun lebih separuh berbanding semalam (170 kes). Kesan penurunan juga turut berlaku bagi kes yang sedang dirawat, iaitu daripada 2,427 (14 April) kepada 2,342 (-85) adalah petanda jumlah pesakit COVID-19 mulai menurun. 

Agak mengembirakan pula ialah jumlah pesakit yang dirawat  telah discaj daripada hospital, iaitu pada hari ini (15 April) seramai 169 orang telah pulih dan menjadikan kumulatif pesakit COVID-19 yang pulih sebanyak 2,647 orang atau kira-kira 52.19% daripada keseluruhan kes (5,072) hari ini. Tahniah dan terima kasih kepada warga perubatan KKM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah.     

Wabak COVID-19 Global

Perkembangan hari ini menunjukkan kumulatif kes positif seluruh dunia telah mencecah lebih 2 juta orang. Rekod rasminya seperti mana hari semalam, Amerika Syarikat (614,643 kes) masih mendahului dengan angka terbesar bersama-sama dengan enam negara lain. Data berikut menunjukkan tujuh negara yang masih menular dengan situasi menggerunkan.













Perkembangan terbaharu, Britain (UK) sudah mendahului China dengan jumlah 98,476 kes, tanpa ada rekod pesakit yang pulih, meskipun Perdana Menteri, Boris Johnson telah discaj daripada rawatan jangkitan COVID-19. Namun sesuatu yang harus dipelajari daripada prestasi China yang telah (mulanya dikesan di pertengahan Disember 2019 di bandaraya WuhanHubei China) bergelumang dengan Wabak COVID-19, tetapi kini penularannya sedang reda. China merekodkan 82,295 kes dengan 77,816 kes telah pulih (94.56%) dan jumlah kes positifnya yang kecil (1,137) dengan pola yang menurun.

Petanda Baik Malaysia 

Berdasarkan beberapa nilai kesungguhan Kerajaan kita seperti yang diumum hari ini, adalah diyakini ia bakal memberi petanda baik dalam tempoh PKP Tahap 3 ini. Paling utama ialah kesedaran awam tentang aturan mengekang Wabak COVID-19 sudah meningkat, terutama dari segi pemakaian topeng muka, amalan menjarakkan diri, penggunaan pembersihan tangan dan tidak berlaku perhimpunan awam demi mengawal penularan.

Ia ditambah lagi dengan ketegasan keputusan MKN dari aspek kuat kuasa pergerakan orang ramai untuk memastikan lebih ramai yang mematuhi PKP. Tindakan kompaun telah ditingkatkan kepada saman atau reman dan pendakwaan serta pemenjaraan adalah dijangka dapat mengurangkan pergerakan orang ramai keluar rumah. Justeru kempen duduk di rumah demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 akan dicapai. 

Bagi pihak KKM pula, meningkatkan prasarana pengawalan penularan seperti penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) yang selamat kalangan frontliners dan peralatan perawatan pesakit serta pengesanan awal simpton seseorang pesakit merupakan petanda keyakinan ke arah yang lebih baik. 

Semoga Allah SWT mempermudahkan inisiatif semua pihak di dalam memastikan penularan Wabak COVID-19 ini dapat dihentikan. Tempoh PKP Tahap 3 inilah pembuktian kekuatan dan keupayaan kita semua, ins sya Allah.



Wassalam.

No comments: