14 April, 2020

COVID-19: PKP Tahap 3 Menjanjikan Sinar?

Perkembangan Wabak COVID-13 dari Tahap 2 kepada Tahap 3 membuktikan penularan yang bertambah kes positif dari hari ke hari. Selama 14 hari PKP Tahap 2, telah mencatatkan data tersendiri.
PKP Tahap 2 bermula 1 April dan berakhir hari ini selama 14 hari mempamerkan perkembangan kes-kes baharu bermula 142 kes pada 1 April dan kini 170 kes baharu pada 14 April. Puratanya 2 kes baharu setiap hari.

Sementara bagi keseluruhan kes positif yang terkumpul pada 1 April seramai 2,908 orang dan pada 14 April seramai 4,987 orang. Purata pertambahan ialah 149 orang setiap hari.

Jumlah pesakit yang dirawat pula bermula dengan 2,218 orang pada 1 April dan pada 14 April bertambah kepada 2,427 orang. Purata pertambahan ialah 15 orang pesakit setiap hari.

Bagi kes yang dirawat dan pulih didapati berlaku pertambahan yang agak baik. Pada 1 April kumulatif yang pulih/discaj hanya 645 orang, namun pada 14 April jumlahnya 2,478 orang pesakit telah pulih. Purata jumlah pulih ialah 131 orang pesakit setiap hari.

Perkembangan kes-kes kematian pula, ternyata Malaysia menunjukkan kes kematian antara yang terendah di dunia. Pada 1 April kes kumulatif kematian hanya 45 kematian dan pada 14 April, 82 kematian sahaja. Purata pertambahan setiap hari hanya 3 kematian.

PKP Tahap 3: 

Antara sinar harapan dengan kesamaran di hadapan. 

Melihat kepada perkembangan data Wabak COVID-19 sedunia, ternyata ia mempamerkan sinar yang samar untuk pulih seperti di China dalam tempoh 14 hari ke hadapan.

Hari ini (14 April), dunia mencatatkan 1,955,385 kes. Sementara Amerika Syarikat kekal tertinggi dengan jumlah 591,002 kes atau 30.22 % daripada jumlah sedunia. Jauh lebih rendah bagi Malaysia yang hanya 4,987 kes atau 0.26% sahaja daripada jumlah sedunia.

Namun begitu, perkembangan di Malaysia tidaklah bermakna ia sesuatu yang boleh dipandang ringan. Jika tidak berlaku inisiatif PKP, pengurusan kesihatan dan perawatan yang bersungguh-sungguh, berkemungkinan jumlah kes Wabak COVID-19 di Malaysia, mahupun di mana-mana negara akan berlaku penularan yang mencemaskan.

Justeru langkah Kerajaan kita melanjutkan tempoh PKP kepada Tahap 3 (15-28 April) merupakan langkah tepat. Walaupun ada suara daripada pihak pemimpin bukan Kerajaan begitu kuat mengomen keputusan perlanjutan itu.

Hakikatnya, arahan dan kuat kuasa PKP yang lebih ketat pastinya memberi impak positif dari segi niat mengekang Wabak COVID-19 terus menular.
  
Bersama-samalah kita menyuburkan semangat untuk memutuskan rantaian virus COVID-19 yang tidak mengenal siapa. Sewajarnya sokongan paling padu kita berikan kepada pihak Kerajaan dan frontliners yang bersungguh-sungguh dalam setiap langkah pengawalan Wabak COVID-19 kali ini.

Ayuhlah kita berdoa dan memohon harapan daripada Ilahi agar Malaysia tetap menikmati sinar gemilang dan terbebasnya kita daripada ancaman Wabak COVID-19 ini.


Wallahu'alam.


No comments: