Showing posts with label PRU-13. Show all posts
Showing posts with label PRU-13. Show all posts

08 June, 2013

PAS Kelantan fail 3 petisyen PRU13

Harakahdaily.net melaporkan sepertimana di bawah.



PAS Kelantan fail 3 petisyen PRU13

Anis Nazri, 06 Jun 2013





KOTA BHARU: PAS Kelantan dijangka memfailkan petisyen pilihan raya bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam masa terdekat.
Tiga kawasan itu adalah Dun N25 Kok Lanas, N29 Selising dan N37 Air Lanas.

Perkara itu disahkan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Wan Nik Wan Yussof kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Wan Nik, tiga petisyen itu difailkan berasaskan kepada beberapa penemuan wujud salahlaku ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Ianya termasuk berlakunya dakwaan membeli undi oleh BN, selain wujud unsur ugutan terhadap pengundi dan cara berkempen calon BN yang menggunakan pendekatan fitnah terhadap kepimpinan dan calon PAS.

"Secara asasnya, dakwaan-dakwaan itu wujud di ketiga-tiga Dun tersebut. Ada berlaku ugutan terhadap pengundi dari kalangan mereka yang menerima bantuan agensi kerajaan pusat supaya mengundi BN dan perinciannya berserta bukti-bukti akan dikemukakan kemudian," jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Wan Nik, petisyen itu akan dikemukakan kepada panel peguam untuk dimuktamadkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, kerusi Kok Lanas dimenangi oleh BN dengan hanya majoriti 169 undi menewaskan PAS.


Calon BN Datuk Md Alwi Che Ahmad mendapat 10,040 undi manakala calon PAS Nik Mahadi Nik Mahmood memperoleh 9,871.

Bagi kerusi Selising pula, calon BN Zulkefle Ali hanya menang dengan majoriti 107 undi terhadap calon PAS Saipul Bahrin Mohamad.

Zulkefle memperoleh 7,662 undi manakala Saipul Bahrin mendapat 7,555 dan seorang lagi calon bebas Ibrahim Ismail hilang deposit dengan mendapat hanya 120 undi.

Di Dun Air Lanas pula, menyaksikan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menang dengan hanya majoriti 46 undi terhadap calon PAS Abdullah Ya'akub.

Mustapa mendapat 6,605 undi manakala Abdullah mendapat 6,558 undi.

---------------------------------------------------------------------------------------
 
Pada saya petisyen adalah saluran bagi menzahirkan ketidakpuasanhati semata-amata kepada keputusan PRU13 lalu. Namun peluang adalah tipis. Berdasarkan petisyen yang lepas-lepas, hakim hanya membuat keputusan atas pertimbangan untuk elak keputusan berpihak kepada pempetisyen atau berlaku pilihan raya semula demi kos. Maksudnya sedaya upaya keputusan itu bertujuan mengelakkan kerajaan berbelanja besar sekali lagi. Sementara jika ada sekalipun kes yang menunjukkan kepincangan proses pilihan raya itu, hakim akan memutuskan bilangan kes itu masih tidak mengubah majoriti asal bagi membolehkan keputusan berubah dan berpihak kepada pempetisyen. Oleh kerana itu, pihak pempetisyen hanyalah suatu pendekatan "mood exercise" untuk petugas  dan pimpinan parti yang kecewa atas proses pilihan raya yang gagal diurus secara baik oleh SPR sahaja. Ia bukan proses keadilan sebenar! 
Maaf tulis.

26 May, 2013

Petisyen PRU-13 - BN Kelantan rancang kemuka 1 parlimen, 3 Dun



BN Kelantan kemuka petisyen
NORHASRAM MOHAMAD
26 Mei 2013
BN Kelantan kemuka petisyen
Mustapa bersalaman dengan pimpinan Pemuda Umno Bahagian sejurus tiba di Majlis Kesyukuran PDM Alur Geliung di Kampung Bendang petang kelmarin.
 
PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengemukakan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang membabitkan satu kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keutamaan diberikan bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dun Jelawat yang mana kedua-duanya BN mengalami kekalahan dengan majoriti kecil dengan jumlah undi rosak terlalu tinggi.

Katanya, kawasan lain yang difikirkan perlu kepada petisyen ialah satu kerusi Dun di Pasir Puteh dan satu lagi di Kuala Krai.

“Peguam yang kami lantik sedang meneliti keperluan ini selaras dengan peluang yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi tempoh 21 hari untuk membuat bantahan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran kemenangan BN DUN Selising anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Alur Geliung di di Kampung Bendang, Selising dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh yang juga Adun Semerak, Zawawi Othman; Adun Selising, Zulkifli Ali, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mohd Rujhan Salleh dan Ketua Penerangan Umno Bahagian, Tuan Mustaffa Tuan Mat dan Penasihat PDM Alur Geliung, Datuk Shukri Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, calon Parlimen Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin hanya tewas 201 undi kepada calon Pas, Ahmad Marzuk Shaary manakala jumlah undi rosak adalah 946 undi.

Katanya, keputusan Dun Jelawat yang diwakili calon BN, Datuk Dr. Ilias Hussin pula tewas sebanyak 102 undi kepada calon Pas, Abdul Aziz Kadir manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 349 undi.

Beberapa faktor lain katanya, turut diperincikan di peringkat akan umbi bagi melihat kemunasabahan untuk mengemukakan petisyen bagi kawasan terbabit.

Mustapa berkata, BN akan terus mengekalkan perjuangan gelombang merah dan misi menukar kepimpinan kerajaan Kelantan dan siri pelancaran Gelombang Merah II akan dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 bagi membolehkan BN merampas tampuk pemerintahan di Kelantan.

Beliau berkata, ini berikutan gelombang merah pertama terbukti berjaya membangkitkan semangat rakyat Kelantan untuk berubah apabila berjaya menambah dari dua kepada lima Parlimen, manakala Dun pula dari enam kepada 12 pada PRU-13 lalu.
- SINAR HARIAN ONLINE.

-------------------------------------------------------------------------

Jika benar yang dikatakan pengerusi BN Kelantan itu, maka kemungkinan BN akan petisyenkan keputusan pilihan raya umum untuk Parlimen Bachok dan Dun Jelawat. Diikuti di Pasir Puteh, Dun Gaal dan di Kuala Krai, Dun Guchil.








Asas yang mungkin dijadikan sandaran bagi BN untuk petisyenkan keputusan itu ialah kerana tewas terlalu tipis di Bachok (-201), Jelawat (-102), Gaal (-302) dan Guchil (-492).

Petisyen PRU-13 - PAS Kelantan boleh kemuka 5 Dun

PAS jangka fail 20 petisyen PRU13

26 Mei 2013
Mustafa Ali
Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS
KUALA LUMPUR - Pas dijangka memfailkan 20 petisyen dan bantahan berhubung keputusan PRU13 pada 5 Mei lepas.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata petisyen dan bantahan itu melibatkan beberapa kawasan Parlimen seperti Kuala Selangor di Selangor dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Perak, Terengganu dan negeri lain.

"Jawatankuasa khas yang kita tubuhkan sebelum ini telah meneliti maklumat-maklumat yang membawa kepada petisyen dan bantahan itu. Setakat hasil perbincangan kita, itulah (20 petisyen) yang akan kita hantar tidak lama lagi. Mungkin akan meningkat atau menurun (jumlah bantahan). Ini akan dimuktamadkan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dilaporkan sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan 27 petisyen melibatkan kawasan Parlimen dan Dun manakala DAP masih mempertimbang sama ada akan memfail petisyen.

Pada 22 Mei lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU13 dan berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai tarikh pewartaan itu.

Petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.

Pada pilihan raya lepas, BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala Pas (21), PKR (30) dan DAP (38). - Bernama

------------------------------------------------------------------------------------------

Walau pun PAS Pusat tidak menyebut kemungkinan kerusi boleh dibuat petisyen (untuk Kelantan) kerana tidak berpuas hari dengan keputusan PRU-13 lalu, namun bagi PAS Kelantan boleh mempertimbangkan lima Dun yang kalah kurang daripada majorirti BN 1,000 undi.

Dun-dun tersebut ialah Kok Lanas, Selising, Semerak, Air Lanas dan Dabong.

Berikut dinyatakan keputusan bagi Dun berkenaan.









Daripada lima Dun tersebut, tiga Dun (Selising, Semerak dan Air Lanas) adalah mewakili PAS daripada penyandang. Sementara dua Dun (Kok Lanas dan Dabong) adalah calon baru. Di antara isu besar yang boleh dijadikan bukti petsiyen adalah pembelian undi oleh calon Barisan Nasional yang didakwa berleluasa. Di samping kecuaian SPR dalam menguruskan proses pilihan raya terutama yang melibatkan penggunan dakwat kekal yang tidak kekal dan keraguan di sebalik catatan Borang 14 serta jumlah kertas undi rosak yang lebih besar berbanding maajoriti kalah. Misalnya di Kok Lanas, kalah 169, undi rosak 198; Selising kalah 47, undi rosk 236, dan Air Lanas kalah 47, rosak 166. Jika ada bukti undi rosak adalah sebenarnya tidak rosak berkemungkinan, keputusan pilihan raya akan berpihak kepada PAS.

16 May, 2013

PRU13 dicemari sindiket jual undi pos?



Aslani M,        16 Mei 2013 
http://bm.harakahdaily.net


KOTA BHARU: Dakwaannya cukup serius, ada agen yang mengumpul kertas undi pos. Bagi setiap kertas undi pos ada tawaran sehingga RM300. Pemilik kertas undi diberi RM200 dan agen pula bolot RM100.

Bayangkan kalau agen mampu mengumpul 10 kertas undi pos, dengan mudah dia akan mendapat RM1,000.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendakwa, jentera pilihan raya PAS mengesan ada sindiket yang cuba menjual kertas undi pos.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan


“Pengundi pos yang ditemui petugas PAS mendedahkan ada pihak menawarkan sejumlah bayaran sebelum kertas undi yang diterima dipangkah,” katanya di sini.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sepanjang proses pengundian, sehingga pembangkang mengambil ketetapan menolak keputusan pilihan raya umum ke-13.

Ketika proses pengundian pos bermula baru-baru ini Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham) Pemuda PAS Kelantan menerima aduan petugas pilihan raya kalangan guru yang mengundi pos dipaksa mengundi di hadapan pegawai pejabat pelajaran daerah (PPD).

Pengerusinya, Mohd Abd Rashid Yah berkata, pengadu mendakwa ketua jabatan mereka mengarahkan supaya kertas undi pos dipangkah di hadapan PPD.

“Malah ada juga pengadu memberitahu ketua jabatan terbabit mengarahkan kertas undi pos milik mereka diserahkan kepada bos untuk dipungut, sedangkan ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Difahamkan sindiket menjual undi pos berlaku di beberapa tempat termasuk Bachok, Machang dan Tumpat dengan didalangi pihak tertentu.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaaan negeri berkata, sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tidak ada makna bagi sebuah demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

 “Perkara ini adalah serius dan ia boleh menggugatkan sistem demokrasi yang diwarisi sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.
Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pilihan Raya Kelantan

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat beberapa kes menjual beli kertas undi pos bagi memenangkan satu-satu pihak.

Oleh itu beliau berharap pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut kerana dibimbangi ia akan merosakkan sistem demokrasi yang dipertahan sejak merdeka.

Pada PRU13 lalu seramai 240,000 petugas SPR layak untuk mengundi secara pos.

Manakala berdasar maklumat rasmi SPR, daftar pemilih yang diwarta untuk PRU13 mempunyai sebanyak 13,268,002 pemilih berdaftar.

Dan daripada jumlah itu pengundi biasa sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos (146,742) dan pengundi awal (235,826).

06 May, 2013

BN menang tipis kuasai Pusat

Poll by MSN Malaysia found that:

Apakah benar mood ini kalangan rakyat. Kalau benar, apakah Najib dapat bertahan lama. Ataukah akan menerima nasib sepertimana Paak Lah?

Cubalah renung sejenak.

PRU-13: PAS Kekal mentadbir Kelantan

Alhamdulillah, ini kalilah Kelantan kekal lagi diterajui PAS. Meskipun misi PRU-13 bertemakan "Kekal Kelantan Ubah Putrajaya" dipopularkan dengan harapan PAS bersama KeADILan menang mutlak di Kelantan, sekaligus menguasai kerajaan Pusat di Putrajaya.

Namun Kita yang merancang, Allah jua yang menentukan. PAS kekal di Kelantan tetapitidak berupaya menguasaio Putrajaya. Hatta tokoh PAS dari Kelantan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam telah tewas besar (lebih 5,550 undi) di tangan penyandang dari BN, Tengku Adnan.

Demikian pula, walaupun kekal Kelantan, prestasi kerusi parlimen yang ditandingi rakan PR, parti KeADILan (PKR) telah tewas (Ketereh, Machang, Tanah Merah). Sementara PAS pula masih gagal menawan Gua Musang dan Jeli.

Kenapa terjadi demikian? Tidak lain ialah kerana para pengundi setempat masih belum sepenuhnya berpuashati dengan sumbangan wakil rakyat sebelum ini dan program kerajaan negeri di kawasan mereka.

Secara ringkasnya, keputusan pengundiannya ialah di peringkat DUN, PAS 32, PKR 1 dan BN 12. Sementara di peringkat PARLIMEN PAS 9, PKR 0 dan BN 5.

...bersambung.

05 May, 2013

Fikir-fikirlah sekali lagi sebelum mengundi


Jika belum mengundi: Kenali siapa Calon Umno.

KOTA BHARU: Beberapa jam sebelum membuang undi rakyat Kelantan perlu membuat perhitungan terakhir. Silap pilih pemimpin bukan sahaja badan rosak, sebaliknya negara juga punah.

Bagi pengundi Islam wajib mereka memilih pemimpin mempertahankan agama. Ustaz Abdul Halim Abdul Ghani dari Pondok Pasir Tumbuh mempertegaskan wajib memilih pemimpin yang mampu mendaulatkan agama.

Bagaimanapun bagi pengundi yang masih keliru, kenalilah terlebih dahulu latar belakang pemimpin yang berkenan di hati. Jika tidak mereka juga bakal menerima padahnya nanti.

Apa yang penting sebahagian mereka (pemimpin Umno) adalah individu yang dipilih oleh Presiden Umno sebagai calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini adalah mereka yang telah mempunyai rekod tertentu. Ia sudah bercanggah dengan apa yang dilaungkan kepada rakyat, kerana ada yang terlibat dengan rasuah, kroni, salah guna jawatan (kuasa) dan paling penting diberi perhatian ialah ada yang telah mempunyai rekod menderhaka kepada institusi istana Kelantan.

Jeli

Rakyat Jeli tahu siapa yang bermati-matian mengatakan Kelantan tidak layak mendapat royalti. Alasan tiga batu nautika, sedangkan wang ehsan pula diagih kepada JPP.

Lagi pun Sultan Muhammad V pada pembukaan persidangan Dun tahun lepas bertitah supaya gas dan minyak didaratkan di Kelantan.

Bagaimanapun malangnya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula menafikan hak Kelantan ke atas royalti.

Tidakkah penafian itu boleh dianggap satu penderhakaan terhadap Sultan Kelantan.
Malah pada titah yang sama Tuanku mahu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dinaik taraf, pelabuhan dan lebuh raya dibina, malangnya pemimpin Umno mempersendakannya.

Akhirnya kerajaan negeri terpaksa membina sendiri lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu dan Stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Rakyat Jeli tertanya-tanya mengapakan jalan raya dari Kampung Berdang ke Sungai Rual hanya terhenti di puncak sebuah bukit.

Sedangkan jalan raya hampir 5 km itu difahamkan membabitkan kos RM125 juta, di mana pada fasa pertama dilulus pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebanyak RM55 juta.

Kemudian sebanyak RM70 juta lagi diluluskan pada zaman Datuk Seri Najib Razak.
Menurut penganalisis ekonomi, jalan tersebut dan sebuah jambatan yang dibina kalau diukur mengikut kemunasabahan sebenarnya tidak sampai RM60 juta.
“Jadi ke mana RM65 juta lagi wang peruntukan tersebut. Ini yang rakyat Jeli mahu tahu daripada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan,” kata seorang penduduk.

Selain itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa kroni Umno mendapat keuntungan berbilion ringgit daripada AP eksport sawit yang diberi MITI di bawah Mustapa kepada individu tertentu.

Rakyat Jeli juga masih menunggu Jawatankuasa Khas membincangkan mengenai royalti yang tidak bersidang sehingga sekarang, biar pun tempohnya melebihi enam bulan ditetapkan sebelum ini.

Inilah wajah calon BN di parlimen Jeli yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Kelantan.

Bachok

Calon Umno di Bachok juga seorang yang boleh dianggap menderhaka dalam isu royalti minyak. Beliau seperti juga Mustapa amat lantang menentang hak royalti untuk rakyat Kelantan. Pernah seketika beliau menolak menerima memorandum tuntutan royalti kumpulan 'R" secara mentah-mentah dan berdalih pula bahawa Kelantan tiada hak. Hanya wang ehsan sahaja yang berhak untuk rakyat Kelantan. Ia suatu pembohongan dan penafian langsung atas titah tuanku.

Rakyat Bachok pula masih tertanya-tanya siasatan SPRM mengenai duit yang dikatakan sebanyak RM80,000 dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Cek CIMB yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 dikatakan dimasuk ke dalam akaunnya ketika memegang jawatan Pengerusi Skim Jejak Jaya Bumiputera pada 2011.

Mampukah Awang menjadi pemimpin yang baik untuk rakyat Bachok dengan salahlaku itu. Rakyat Malaysia juga pernah dikejutkan dengan lesen judi bola sepak diluluskan Kementerian Kewangan, yang ada hubung kait dengan kuasa yang ada pada Awang Adek.

Rakyat Bachok juga menanyakan mengapa ada pemimpin Umno boleh memiliki banglow di bawah harga pasaran di Tropika.

Malang sungguh bagi rakyat Bachok apabila ada seorang yang dianggap tegar cerut hendak dinobatkan sebagai pemimpin.

Fikir-fkirlah rakyat Bachok, supaya pemimpin yang pernah menaburkan janji pada 2004 memperbodohkan rakyat Bachok sekali lagi.

Kota Bharu

Jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri, namun lagaknya seperti seorang menteri. Gambarnya terpampang di dalam kawasan sekolah di Kota Bharu.

Rakyat di Kota Bharu patut tahu, seorang Setiausaha Politik menggunakan peruntukan Jabatan Perdana Menteri bagi menaja kegiatan politiknya. 

Mungkinkah Yayasan Orang Kota Bharu (OKB) ada kaitan dengan peruntukan itu sebagai pentas bagi menghalalkan kegiatan Dato’ Fatmi Che Salleh menggunakan dana kerajaan.

Bekas Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim juga ada sejarahnya dengan Fatmi. Ketika beliau digantung atas kesalahan politik wang, jawatan ketua bahagian dirampas Fatmi.

Ketika pemilihan pada 2008, mana-mana cawangan Umno yang mencalonkan Zaid difahamkan ditekan.

Apakah rakyat di Kota Bharu mahu memilih pemimpin sebegini mewakili mereka di parlimen nanti.

Tanah Merah

Penduduk di Ladang Kerla, Tanah Merah masih ingat lagi seorang pemimpin mempamerkan duit sehingga lebih RM1.2 juta di hadapan mereka.

Pemimpin yang sama juga pernah digegerkan menang sebagai Ketua Umno Bahagian Tanah Merah kerana menggunakan bukan ahli Umno sebagai pengundi ketika pemilihan di peringkat bahagian pada 2008.

Malah cawangannya sendiri dikatakan tidak sah. Pada pemilihan 2008, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno bahagian Tanah Merah setelah mendapat pencalonan 92 daripada 108 cawangan.

Sedangkan bekas setiausaha Umno Bahagian, Amran Abdul Rahman mendakwa cawangan Ikmal sendiri tidak sah pendaftarannya.

Ekoran keberanian Amran menegur menyebabkan dia digugur keahliannya dalam Umno setelah membawa isu tersebut ke mahkamah.

Sebelum itu Amran mengemukakan saman pemula ke atas Ikmal Hisham di Mahkamah Tinggi Kota Baharu kerana menganggap kemenangannya meragukan.

Ketereh

Masih ramai rakyat mengingati majlis pertabalan Tengku Ibrahim Petra pada 29 April 1993 di padang sebuah sekolah di Ketereh.

Laungan Daulat Tuanku Tengku Ibrahim bergema apabila diteriakkan kira-kira 4,000 orang yang hadir.

Apakah ini bukan sebuah penderhakaan terhadap Sultan Kelantan. Mungkinkah dengan kapasiti sebagai seorang menteri dengan dibantu pembantunya, Datuk Alwi Che Ahmad boleh menghalalkan semua perbuatan itu.

Rakyat di Ketereh juga tidak lupa pemimpin mana yang dikaitkan dengan wang program rakyat termiskin (PPRT), ia hilang begitu sahaja.

Projek ternakan ikan koi di Bukit Sireh dan sebuah lagi projek atas nama PPRT di Terengganu mencatat kerugian kira-kira RM40 juta, namun yang menjadi mangsa ialah pegawai kerajaan kanan pula.

Bagi kakitangan Kada, mereka boleh melihat sendiri kenderaan milik agensi itu digunakan sewenang-wenangnya bagi mengangkut pemain The Red Warriors.
Apakah rakyat Ketereh mahu pemimpin seperti itu mewakili mereka di parlimen.

Gua Musang

Malang sungguh bagi rakyat Gua Musang apabila ada pemimpin mereka enggan mengiktirafkan Sultan yang sah di sisi perlembagaan.

Rakyat Gua Musang masih ingat kenyataan itu dikeluarkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada akhir 2009 beliau meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan.

Beliau dikatakan mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.
Sultan Muhammad V dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2008 selepas ayahanda baginda menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2009 kerana Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2008.

Pasir Mas

Che Johan Chepa adalah seorang yang telah menjual maruah parti kerana gagal mengemukakan borang pencalonan untuk BN di parlimen Pasir Mas. Sedangkan dia masuk ke bilik penamaan calon bersama ketua bahagian dan dua calon dun lagi.

Tindakan Che Johan sebagai merosakkan imej dan maruah serta integriti kepimpinan Umno demi memberi laluan kepada Ibrahim Ali bertanding dengan calon PAS, Ustaz Nik Muhammad Abduh.

Sementara Ibrahim Ali adalah presiden pertubuhan Perkasa pelampau Melayu yang bertanding atas tiket bebas. Beliau pernah ada rekod menderhaka dengan istana Kelantan dalaam isu memfitnah kononnya pihak sultan terlibat dalam urusan politik semasa pilihan raya umum 1990. Pernah dipecat dari Umno untuk tempoh seumur hidup kerana menentang Pak Lah dan Mustapa Momamed.

Sekarang dia direstui oleh Umno Pasir Mas sebagai calon bebas yang mewakili BN apabila calon sebenar BN menjual diri dengan tidak mengemukakan pencalonan. Ia suatu kesalahaan besar di sisi disiplin Umno tetapi tiada tindakan ke ataas Che Johan yang sudah tidak bermaruah.

Apa yang berlaku di Pasir Mas ini adalah simbolisme ketidakupayaan Mustapa, Hanafi dan paling jelas kegagalan itu tertanggung sama atas bahu Najib selaku presiden Umno.

Rumusan daripada pendedahan latar individu (kesemua) di atas adalah memberi titik renungan kepada pengundi dan mereka yang cintakan Umno. Natijahnya, Umno yang mewakili BN di Kelantan hari ini bukanlah pilihan terbaik untuk menerajui mandat rakyat Kelantan dalam PRU13 ini. Mereka semua sudah korup dan mengamalkan politik korup.

Fikir-fikirlah sekali lagi sebelum mengundi.