16 May, 2013

PRU13 dicemari sindiket jual undi pos?



Aslani M,        16 Mei 2013 
http://bm.harakahdaily.net


KOTA BHARU: Dakwaannya cukup serius, ada agen yang mengumpul kertas undi pos. Bagi setiap kertas undi pos ada tawaran sehingga RM300. Pemilik kertas undi diberi RM200 dan agen pula bolot RM100.

Bayangkan kalau agen mampu mengumpul 10 kertas undi pos, dengan mudah dia akan mendapat RM1,000.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendakwa, jentera pilihan raya PAS mengesan ada sindiket yang cuba menjual kertas undi pos.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan


“Pengundi pos yang ditemui petugas PAS mendedahkan ada pihak menawarkan sejumlah bayaran sebelum kertas undi yang diterima dipangkah,” katanya di sini.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sepanjang proses pengundian, sehingga pembangkang mengambil ketetapan menolak keputusan pilihan raya umum ke-13.

Ketika proses pengundian pos bermula baru-baru ini Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham) Pemuda PAS Kelantan menerima aduan petugas pilihan raya kalangan guru yang mengundi pos dipaksa mengundi di hadapan pegawai pejabat pelajaran daerah (PPD).

Pengerusinya, Mohd Abd Rashid Yah berkata, pengadu mendakwa ketua jabatan mereka mengarahkan supaya kertas undi pos dipangkah di hadapan PPD.

“Malah ada juga pengadu memberitahu ketua jabatan terbabit mengarahkan kertas undi pos milik mereka diserahkan kepada bos untuk dipungut, sedangkan ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Difahamkan sindiket menjual undi pos berlaku di beberapa tempat termasuk Bachok, Machang dan Tumpat dengan didalangi pihak tertentu.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaaan negeri berkata, sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tidak ada makna bagi sebuah demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

 “Perkara ini adalah serius dan ia boleh menggugatkan sistem demokrasi yang diwarisi sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.
Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pilihan Raya Kelantan

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat beberapa kes menjual beli kertas undi pos bagi memenangkan satu-satu pihak.

Oleh itu beliau berharap pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut kerana dibimbangi ia akan merosakkan sistem demokrasi yang dipertahan sejak merdeka.

Pada PRU13 lalu seramai 240,000 petugas SPR layak untuk mengundi secara pos.

Manakala berdasar maklumat rasmi SPR, daftar pemilih yang diwarta untuk PRU13 mempunyai sebanyak 13,268,002 pemilih berdaftar.

Dan daripada jumlah itu pengundi biasa sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos (146,742) dan pengundi awal (235,826).

No comments: