26 May, 2013

Petisyen PRU-13 - BN Kelantan rancang kemuka 1 parlimen, 3 Dun



BN Kelantan kemuka petisyen
NORHASRAM MOHAMAD
26 Mei 2013
BN Kelantan kemuka petisyen
Mustapa bersalaman dengan pimpinan Pemuda Umno Bahagian sejurus tiba di Majlis Kesyukuran PDM Alur Geliung di Kampung Bendang petang kelmarin.
 
PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengemukakan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang membabitkan satu kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keutamaan diberikan bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dun Jelawat yang mana kedua-duanya BN mengalami kekalahan dengan majoriti kecil dengan jumlah undi rosak terlalu tinggi.

Katanya, kawasan lain yang difikirkan perlu kepada petisyen ialah satu kerusi Dun di Pasir Puteh dan satu lagi di Kuala Krai.

“Peguam yang kami lantik sedang meneliti keperluan ini selaras dengan peluang yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi tempoh 21 hari untuk membuat bantahan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran kemenangan BN DUN Selising anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Alur Geliung di di Kampung Bendang, Selising dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh yang juga Adun Semerak, Zawawi Othman; Adun Selising, Zulkifli Ali, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mohd Rujhan Salleh dan Ketua Penerangan Umno Bahagian, Tuan Mustaffa Tuan Mat dan Penasihat PDM Alur Geliung, Datuk Shukri Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, calon Parlimen Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin hanya tewas 201 undi kepada calon Pas, Ahmad Marzuk Shaary manakala jumlah undi rosak adalah 946 undi.

Katanya, keputusan Dun Jelawat yang diwakili calon BN, Datuk Dr. Ilias Hussin pula tewas sebanyak 102 undi kepada calon Pas, Abdul Aziz Kadir manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 349 undi.

Beberapa faktor lain katanya, turut diperincikan di peringkat akan umbi bagi melihat kemunasabahan untuk mengemukakan petisyen bagi kawasan terbabit.

Mustapa berkata, BN akan terus mengekalkan perjuangan gelombang merah dan misi menukar kepimpinan kerajaan Kelantan dan siri pelancaran Gelombang Merah II akan dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 bagi membolehkan BN merampas tampuk pemerintahan di Kelantan.

Beliau berkata, ini berikutan gelombang merah pertama terbukti berjaya membangkitkan semangat rakyat Kelantan untuk berubah apabila berjaya menambah dari dua kepada lima Parlimen, manakala Dun pula dari enam kepada 12 pada PRU-13 lalu.
- SINAR HARIAN ONLINE.

-------------------------------------------------------------------------

Jika benar yang dikatakan pengerusi BN Kelantan itu, maka kemungkinan BN akan petisyenkan keputusan pilihan raya umum untuk Parlimen Bachok dan Dun Jelawat. Diikuti di Pasir Puteh, Dun Gaal dan di Kuala Krai, Dun Guchil.








Asas yang mungkin dijadikan sandaran bagi BN untuk petisyenkan keputusan itu ialah kerana tewas terlalu tipis di Bachok (-201), Jelawat (-102), Gaal (-302) dan Guchil (-492).

No comments: