08 May, 2020

COVID-19: Thailand terbaik mengawal penularan

Perkembangan hari ini, (Khamis, 7 Mei 2020) Thailand mencatat tiga (3) kes baharu COVID-19 dan tidak ada kes kematian. Ia berlaku dalam situasi pihak berkuasa Thailand masih mengekal langkah mengekang antaranya amalan jarak sosial di tempat awam, termasuk di Stesen BTS Bangkok.
Tiga kes baharu itu adalah kesemuanya warga Thailand yang menjadikan jumlah keseluruhan kes 2,992, dan apabila tiada kematian tambahan ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal adalah 55 orang.
Hampir separuh daripada keseluruhan kes Wabak COVID-19 di Thailand adalah berlaku di sekitar Bangkok. Sementara di Selatan Thailand kurang daripada 700 kes. Maka dapat dikatakan pola penularan Wabak COVID-19 di Thailand adalah di zon paling aktif, Kota Bangkok.
Analisis daripada pola penularan di Thailand ini boleh merujuk kepada kelok-kelok keseluruhan kes yang dicatatkan semenjak kes pertama pada 13 Januari, seperti diumumkan pihak Kementerian Kesihatan Awam, diikuti kes kedua pada 17 Januari. Kedua-duanya adalah pembawaan daripada Wuhan, China yang datang ke Thailand melalui penerbangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok.

Pada 15 Februari, Thailand mencatatkan 34 kes, meningkat sebulan selepas itu kepada 82 kss (14 Mac), meningkat 114 kes (15 Mac), mencapai 1,045 kes (26 Mac). Seterusnya pada 4 April meningkat kepada 2,067 kes dan terkini (7 Mei) sebanyak 2,992 kes
Berdasarkan pola ini, ternyata pertambahan kes Wabak COVID-19 di Thailand agak perlahan berbanding negara jiran yang lain, termasuk Malaysia yang mencatatkan pertambahan dalam tempoh yang sama (15 Mac) 22 kes sahaja
Namun pola mendadak disaksikan di Malaysia pada 14 Mac sebanyak 428 kes dan sebulan kemudian bertambah kepada angka ribuan, iaitu 4,987 kes pada 14 April dan terkini (7 Mei) berjumlah 6,467 keseluruhan kes. 
Demikian pula perkembangan kelok kes aktif (sedang dirawat) bagi Thailand dilihat bermula pada 15 Februari seramai 20 orang, bertambah kepada 78 orang sebulan selepas itu (15 Mac) dan meningkat ke poin maksimum seramai 1,451 pada 8 April. Kemudian menjunam sehingga jumlah terkini tinggal lagi 187 orang yang sedang dirawat. 
Analisis daripada pola ini menunjukkan prestasi dirawatpulih berbanding keseluruhan kes (2,992 kes) adalah 92.28% (2,761 kes dirawatpulih).  
Demikian pula, secara bandingan di antara kes baharu (new cases) dengan kes yang dirawatpulih (new recoveries) secara harian, kita boleh perhatikan bermula 15 Februari, hanya 34 keseluruhan kes dan pada 17 Februari bertambah satu kes baharu, tanpa ada kes dirawatpulih. Kes dirawatpulih pertama berlaku pada 22 Februari. Berikutnya pada 12 Mac berlaku 11 kes baharu dan satu dirawatpulih, diikuti pada 15 Mac, 32 kes baharu dan kosong dirawatpulih. 
Pada 22 Mac 188 kes baharu dan tiada dirawatpulih, tetapi pada 29 Mac berlaku pertambahan harian kes baharu tertinggi, iaitu sebanyak 143 kes, sementara yang dirawatpulih seramai 132 orang. 
Namun pada 1 April berlaku kes baharu sebanyak 120 kes diikuti dengan jumlah dirawatpulih yang lebih tinggi iaitu seramai 163 orang. Kemudian pada 22 April terdapat 15 kes baharu, tetapi berlaku jumlah dirawatpulih tertinggi seramai 244 orang. Tiga hari selepas itu, kes baharu dilaorkan seramai 53 kes, tetapi jumlah dirawatpulih 57 orang. Mulai dari tarikh ini, jumlah kes baharu semakin menurun sehingga terkini (7 Mei) hanya 3 kes baharu dan 11 yang dirawatpulih. Justeru daripada 2,761 orang kumulatif kes dirawatpulih, bandingan dengan kumulatif keseluruhan kes sebanyak 2,992, atau dengan kadar satu kes baharu, seramai 0.923 orang berjaya dirawatpulih. 
Prestasi di Thailand ini adalah lebih baik dibandingkan dengan Malaysia, iaitu seramai 4,776 orang dirawatpulih daripada 6,467 keseluruhan kes atau 73.85% (kadarnya satu kes baharu, seramai 0.739 orang dirawatpulih). Ini menjadikan Thailand terbaik dari segi keupayaan merawtpulih pesakit COVID-19 dirantau Asia Tenggara malah di dunia selepas China dan Taiwan. 
Apapun, kita bersyukur kerana prestasi Malaysia sebagai negara kedua berjaya dari segi inisiatif merawatpulih di rantau Asia Tenggara. Justeru, kita sebagai warga Malaysia hendaklah sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dengan terus bersyukur dan beristighfar serta membanyakkan sedekah/menyumbang bagi mendapat kelebihan pahala Ramadhan. Semoga berkat syukur, istighfar dan sedekah itu akan dipermudahkan Allah SWT membebaskan kita semua warga Malaysia daripada kegerunan Wabak COVID-19 ini. Ins sya Allah. 
Wassalam.

No comments: