03 May, 2020

COVID-19: Malaysia - Kes Baharu dan Pulih Meningkat

Perkembangan Wabak COVID-19, khusus di Malaysia  menunjukkan pola meningkat dalam tempoh tiga hari PKPt4 (1-3 Mei 2020). Paling penting dilihat ialah meningkatnya kes baharu.
 Pola meningkat turut dilihat bagi pesakit yang dirawatpulih/discaj dalam tempoh  15 April hingga hari ini (3 Mei).

Namun bagi kes yang sedang dirawat, polanya menurun daripada 15 April sehingga 28 April. Kemudian mulai 29 April, polanya mulai mendatar sehinggalah meningkat semula pada hari ini (3 Mei).
Data berikut menunjukkan pola penularan Wabak COVID-19 di Malaysia bagi kes baharu, keseluruhan kes, jumlah sedang dirawat, pesakit yang dirawatpulih dan kes kematian sepanjang tempoh PKPt3 (15-28 April) dan lima hari pertama PKPt4 (29 April - 3Mei). 
Dalam ulasan semalam, blog ini menggambarkan perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia mulai menunjukkan kelok mendatar. Ia merujuk kepada kelok kumulatif pesakit yang sedang dirawat. Sedangkan bagi kelok kes baharu masih bersifat berombak (waving) dan kes dirawatpulih pula agak mendongak sedikit tanpa menunjukkan kelok mendatar. 

Bagi kes baharu pertambahan berlaku mulai 1 Mei sebanyak 69 kes, diikuti 105 kes pada 2 Mei dan 122 kes pada hari ini (3 Mei). Kesannya, keseluruhan kes telah bertambah daripada 1 Mei sebanyak 6.071 kes kepada 6,298 kes pada 3 Mei. Kumulatif dalam tiga hari awal Mei ini ialah sebanyak 296 kes baharu dan kumulatif ini jauh lebih besar berbanding tiga hari terakhir PKPt3 (26-28 April), iaitu berjumlah 109 kes baharu sahaja. 

Begitu pula, bagi kumulatif pesakit yang dirawatpulih/discaj dalam tempoh 1-3 Mei berjumlah 242 pesakit. Sementara kumulatif yang lebih besar pada tiga hari terakhir PKPt3 (26-28 April), iaitu berjumlah 273 pesakit. 

Justeru prestasi pengawalan (merujuk kepada kes baharu) dan perawatan (merujuk kepada pesakit dirawatpulih), maka dapat dikatakan prestasi yang tidak setara. Ia kerana meningkatnya kes baharu agak besar dan pesakit dirawat pulih lebih kecil.

Prestasi pengawalan bagi mengelak bertambah kes baharu amat bergantung kepada displin orang ramai untuk mengelakkan berlaku jangkitan atau penularan baharu. Paling utama, dapat mengelak daripada terlibat dengan aktiviti yang mengundang kontak sosial berskala besar dan pendekatan pecegahan dapat ditingkatkan melalui kuarantin, pengasingan dan saringan awal kluster tertentu, terutamanya kluster yang sebelum ini menjadi penyumbang jangkitan kepada generasi baharu. 

Begitu pula, langkah saringan dan pengawalan serta penjagaan ke atas kluster yang terdedah jangkitan Wabak COVID-19, seperti pusat penjagaan warga emas atau rumah-rumah orang tua serta madrasah pusat pengajian. Di samping, mengambil langkah proaktif mengesan lokasi tertentu yang masih di dalam zon merah seperti perumahan flat atau taman serta pasar. Langkah menutup operasi di pusat awam sebaik sahaja ada kes baharu di situ merupakan pendekatan terbaik untuk mengekang penularan. 

Tidak dilupakan, bagi zon hijau seharusnya kontak sosial dan pergerakan orang ramai hendaklah terus kekal dengan disiplin kepatuhan kepada norma-norma baharu seperti amalan jarak sosial, elak keluar rumah tanpa ada urusan penting, amalan membasuh tangan, sentiasa bersih diri dan selalu memakai topeng muka ketika berurusan. 

Sementara premis yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai (khidmat pelanggan), termasuk kedai makan dan kedai runcit/pasar mini hendaklah menjalani sanitasi, menyedia pemeriksaan suhu badan terhadap pelanggan, mempraktikkan penjarakan, mewajibkan memakai topeng muka, menyedia pencuci tangan dan menghadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa. 

Bersesuaian dengan keputusan Kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi dan urusan kepejabatan melalui PKP Bersyarat, maka SOP bagi setiap aktiviti itu hendaklah dipastikan (menguatkuasakan) secara maksimum dan penuh ketegasan. Pihak berkuasa dan pemantau hendaklah benar-benar fungsional demi memastikan kebenaran operasi tidak menyumbang kepada kemungkinan bertambahnya penularan Wabak COVID-19. Kita tidak ingin, kesan PKP Bersyarat dalam tempoh PKPt4 ini menyebabkan kelok kes COVID-19 mendongak semula.

Apa yang utama, nilai kepatuhan dan kesediaan masyarakat mempraktikkan norma-norma baharu dengan penuh disiplin adalah cara terbaik bagi mengekang dan memutuskan rantaian Wabak COVID-19. Sebagaimana dilaporkan, upaya Negara Taiwan telah berjaya mengekang Wabak COVID-19 dengan amalan disiplin yang tinggi dan tidak mengenakan langkah PKP (tiada sekatan pergerakan). 

Bersama-samalah kita mematuhi PKP Bersyarat yang bermula esok (4 Mei) dengan mematuhi sebaiknya SOP setiap aktiviti. Tekad kita ialah memastikan penularan Wabak COVID-19 gelombang ketiga dapat dikawal.

Justeru prinsip kita menjaga kita dan tidak ketinggalan sentiasa berdoa  ke hadrat Allah SWT agar kta semua dikurniakan kehidupan yang bebas dari sebarang wabak. Ins sya Allah.
Wassalam.












No comments: