26 May, 2020

COVID-19: Malaysia graf kembali mendongak

Perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia Tempoh PKPB 4-26 Mei 2020

Selama 23 hari pelaksanaan PKPB di Malaysia, tiga minggu pertama ia menunjukkan perkembangan baik dan normal. Rekod kes baharu yang menggembirakan dan menimbulkan situasi yang menyakinkan untuk Negara kita bebas daripada Wabak COVID-19.  Hal menyakinkan dilihat pada rekod terrendah kes baharu pada 12 Mei sebanyak 16 kes dan 16 Mei pula 17 kes. Demikian pula menjelang Hari Raya AidilFitri (23 Mei) sebanyak 48 kes baharu, iaitu kekal dengan dua angka.

Namun selepas hari raya, data kes baharu telah melonjak kepada tiga angka dengan jumlah kes pada 25 Mei sebanyak 172 kes dan hari ini (26 Mei) sebanyak 187 kes. Rekod semalam dan hari ini, ternyata penyumbang terbesar kes baharu adalah daripada kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang terletak di tiga pusat (Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil). Kesan pertambahan kes baharu ini, dalam masa seminggu (20-26 Mei) menyebabkan jumlah keseluruhan kes mendongak dari 7,009 kepada 7,604 kes, iaitu bertambah hampir 600 kes baharu. Jumlah ini bertambah agak mendadak hanya dalam dua hari ini sahaja (25-26 Mei) yang berjumlah 359 kes baharu. Puncanya adalah daripada kluster DTI. Oleh itu, keputusan dan tindakan pihak berkuasa membuat serbuan, tangkapan dan menempatkan pendatang asing dan pendatang asing anpa izin (PATI) adalah sesuatu yang tepat. Ia membolehkan langkah pencegahan bagi memutuskan rantaian Wabak COVID-19 dengan lebih teratur. 

Pengalaman daripada pihak berkuasa Singapura sebagai negara yang menaggung high density pekerja warga asing, di sana telah diambil tindakan khusus, iaitu mulai awal April lagi menempatkan secara berasingan di penginapan sementara yang melibatkan pekerja sihat dan yang dikuarantin di asrama. termasuk di penginapan terapung di luar pesisir pantai, di kem tentera yang kosong dan blok HDB yang kosong seperti di Tanjong Pagar dan Jurong.

Malaysia telah mengambil pengalaman di Singapura bagi menangani penularan Wabak COVID-19 di Negara kita. Ekoran daripada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata usaha itu dilakukan selepas melihat peningkatan kes COVID-19 di Singapura yang dikaitkan penularan di asrama pekerja asing. Dilaporkan penularan kes COVID-19 di asrama pekerja itu menyumbang lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di Singapura. 

Selanjutnya, Malaysia turut bekerjasama dengan The UN Refugee Agency (UNCR) bagi membantu pelaksanaan penempatan warga asing kalangan Rohingya dari Pasar Borong Selayang. Selain itu, tapak-tapak pembinaan yang ramai pekerja asing turut dilaksanakan PKPB bagi mempastikan pengawalan Wabak COVID-19. 

Graf Mendongak Kes Baharu


Berdasarkan pola penularan Wabak COVID-19 bagi kes baharu, sebelum 24 Mei bersifat turun-naik dengan mod (mode) dua angka. Namun mulai 25 Mei ia berubah kepada mod tiga angka. Perubahan pola turun-naik kepada mendongak telah menyebabkan fokus KKM dan MKN untuk mempastikan DTI dilaksanakan langkah-langkah pengawalan, pencegahan dan pemulihan.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan hari ini (26 Mei) cukup menyakinkan untuk kita memandang ke hadapan, bahawa kita mampu untuk keluar dan bebas daripada situasi Wabak COVID-19 yang menggerunkan ini. Ins sya Allah.

Usaha khusus kalangan pekerja asing, iaitu seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telah disaring COVID-19 oleh majikan masing-masing; Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2; Proses pembersihan dan nyah kuman di tapak pembinaan serta rumah kongsi berikut sudah mula dilaksanakan. Begitu pula, Pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) giat menjalankan pemeriksaan tapak-tapak pembinaan bagi memastikan Prosedur Standard Operasi (SOP) dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Sehubungan itu, apa yang penting ialah mengatasi punca utama penularan kes COVID-19 di kalangan pekerja bukan warganegara bagi kluster-kluster tapak pembinaan adalah mengatasi penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial (social distancing) antara satu sama lain di tempat penginapan; dan mempastikan amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan.

Dalam pada itu, pihak majikan bagi pekerja asing dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja. Di antaranya adalah majikan bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan, memastikan amalan-amalan kebersihan diamalkan di tempat kerja, mementingkan langkah-langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan pekerja. dan sebaliknya.

Peranan Warga Tempatan

Meskipun dalam sehari dua ini pihak Kerajaan kita memfokuskan kepada menangani Wabak COVID-19 kalangan warga asing, kita warga tempatan tetap bertanggungjawab untuk bekerjasama bagi meningkatkan langkah pengawalan, pencegahan dan mengelakkan daripada risiko penularan. 
Oleh itu, bersama-sama kita mengamalkan norma baharu - sentiasa membersih diri, mengamal penjarakan sosial, sentiasa berurusan dengan pelitupan muka dan hidung serta tidak keluar rumah melainkan ada urusan penting. Selain itu, amalkan juga pemakanan yang sihat dengan mengutamakan pemakanan yang mampu meningkatkan imunisasi daripada jangkitan penyakit.

Kita mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan jalan penyelesaian  di dalam usaha mengekang bagi memutuskan rantaian Wabak COVID-19. Ins sya Allah.
     Wassalam.

No comments: