Showing posts with label bertambah kes. Show all posts
Showing posts with label bertambah kes. Show all posts

21 June, 2020

COVID-19: 11 hari PKPP - 220 kes baharu 1,171 sembuh

Sepanjang 11 hari tempoh PKPP usaha mengekang Wabak COVID-19 di Negara kita, sudah terkumpul  sebanyak 220 kes baharu dan 1,171 orang dirawatpulih dan discaj daripada wad hospital. Data ini membuktikan kadar penularan yang membawa kepada kes baharu berbanding dengan jumlah pesakit yang sembuh adalah berkadar 0.19 kes baharu bersamaan 1 pesakit dirawatpulih.

Purata hariannya pula adalah sekitar 20 kes baharu dan 106 kes dirawatpulih dalam masa 11 hari. Maka daripada pola perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia ini, menunjukkan masih wujud kebolehjangkitan seharian dan pada masa yang sama keupayaan pasukan perubatan semakin hari dipertingkatkan (buktinya jumkah pesakit dirawatpulih lebih besar berbanding kes baharu).




Perkembangan seharian – 20 Jun

Menurut KKM, terdapat 21 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,556 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 289 kes.

Bagi kes pesakit yang berjaya dirawatpulih pula adalah sebanyak 76 kes dan kumulatifnya kes yang berjaya dirawatpulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,146 kes (prestasinya 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Alhamdulillah, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan dan kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes. Mengikut rekod, selama 11 hari tempoh PKPP ini baru tiga kematian yang dilaporkan iaitu pada 12, 13 dan 14 Jun. Bersama-sama kita mendoakan agar baki pesakit 289  oang yang sedang dirawat dapat dirawatpulih sepenuhnya, ins sya Allah.

Meneliti 21 kes baharu pula, pecahan kesnya adalah dua (2) melibatkan kes import dan 19 kes akibat penularan tempatan. Namun daripada 19 ke penularan tempatan, didapati 12 kes dalam kalangan Warganegara dan tujuh (7) kes dalam kalangan Bukan Warganegara.

Perincian kes dalam kalangan Warganegara, didapati tujuh (7) kes berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 12 kes berlaku di Selangor. Sementara dua (2) kes import adalah yang baru pulang dari Indonesia.

Sementara perkembangan kluster pembawa Wabak COVID-19 pula, terdapat satu (1) lagi kluster terbaharu yang diisytiharkan tamat iaitu Kluster Pesantren dan merupakan kluster keempat yang terbesar. Kluster ini tidak tersebar jangkitanya kepada orang awam kerana kesemuanya dikuarantin sebaik tiba di KLIA.
Ini menjadikan 40 kluster ditamatkan secara keseluruhan.

Mohon kita semua teruskan berdoa dengan hajat Allah angkat dan bebas Negara kita dari penularan Wabak COVID-19 yang telah banyak mendidik kita pelbagai norma-norma baharu.
Wassalam.

02 June, 2020

COVID-19: Global 10 ribu kes hanya 4 jam

Hakikatnya serata dunia sedang merasai penularan Wabak COVID-19 yang kini sedang melanda di 115 buah negara yang merekodkan 1,000 kes ke atas. Agak ketara, serata negara sedang merebak dan rekod Worldometers.info hari ini (2 Jun) mencatakan lebih 10 ribu kes baharu dalam masa tak sampai empat (4) jam.

Grafik di atas menunjukkan rekod Wabak COVID-19 di dunia hari ini pada jam sekitar 10.37 pagi berlaku 6,393,861 kes. Kemudian pada jam sekitar 2.09 petang berlaku kenaikan kes kepada 6,404,833 iaitu bertambah sebanyak 10,952 kes baharu. Kesannya didapati berlaku pertambahan terhadap active cases yang kini melebihi 3 juta pesakit. 

Sementara negara yang paling terkesan Wabak COVID-19 masih kekal Amerika Syarikat dengan jumlah 1.86 juta, diikuti Brazil 529 ribu dan Rusia tempat ketiga dengan jumlah 424 ribu. Amat malang lagi bagi Amerika Syarikat apabila hari ini bukan sahaja berhadapan dengan kegerunan Wabak COVID-19, malah turut berhadapan dengan rusuhan rakyat berikutan berlaku kematian seorang Black American, George Floyd, 46 tahun yang dikaitkan dengan layanan keras pihak polis. 

Apapun kita bersyukur, dengan situasi di Negara kita yang menunjukkan kemajuan positif di dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Hari ini (2 Jun), pesakit yang yang dirawatpulih ialah 66 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dirawatpulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,470 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan berjumlah 20 kes baharu. Pertambahan ini telah meningkatkan keseluruhan kes (kes positif) COVID-19 adalah sebanyak 7,877 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,292 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 5 kes penularan di dalam negara, tiga (3) kes adalah bukan warganegara dan dua (2) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.
Sehingga kini, seramai enam (6) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).    

Kini tinggal seminggu lagi tempoh PKPB akan tamat pada 9 Jun, maka kita meletakkan keyakinan gelagat sosial masyarakat kita akan terus berkomitmen untuk bersama-sama memutuskan rantaian Wabak COVID-19. Oleh itu, kita hendaklah bersama-sama bersikap dengan norma baharu dengan mengutamakan sikap disiplin tinggi terhadap isu-isu kesihatan dan kebersihan.

Bersama kita berdoa, agar Wabak COVID-19 yang menjadi kegerunan kita akan tamat segera, dengan izin Allah jua.
Wassalam.

26 May, 2020

COVID-19: Malaysia graf kembali mendongak

Perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia Tempoh PKPB 4-26 Mei 2020

Selama 23 hari pelaksanaan PKPB di Malaysia, tiga minggu pertama ia menunjukkan perkembangan baik dan normal. Rekod kes baharu yang menggembirakan dan menimbulkan situasi yang menyakinkan untuk Negara kita bebas daripada Wabak COVID-19.  Hal menyakinkan dilihat pada rekod terrendah kes baharu pada 12 Mei sebanyak 16 kes dan 16 Mei pula 17 kes. Demikian pula menjelang Hari Raya AidilFitri (23 Mei) sebanyak 48 kes baharu, iaitu kekal dengan dua angka.

Namun selepas hari raya, data kes baharu telah melonjak kepada tiga angka dengan jumlah kes pada 25 Mei sebanyak 172 kes dan hari ini (26 Mei) sebanyak 187 kes. Rekod semalam dan hari ini, ternyata penyumbang terbesar kes baharu adalah daripada kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang terletak di tiga pusat (Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil). Kesan pertambahan kes baharu ini, dalam masa seminggu (20-26 Mei) menyebabkan jumlah keseluruhan kes mendongak dari 7,009 kepada 7,604 kes, iaitu bertambah hampir 600 kes baharu. Jumlah ini bertambah agak mendadak hanya dalam dua hari ini sahaja (25-26 Mei) yang berjumlah 359 kes baharu. Puncanya adalah daripada kluster DTI. Oleh itu, keputusan dan tindakan pihak berkuasa membuat serbuan, tangkapan dan menempatkan pendatang asing dan pendatang asing anpa izin (PATI) adalah sesuatu yang tepat. Ia membolehkan langkah pencegahan bagi memutuskan rantaian Wabak COVID-19 dengan lebih teratur. 

Pengalaman daripada pihak berkuasa Singapura sebagai negara yang menaggung high density pekerja warga asing, di sana telah diambil tindakan khusus, iaitu mulai awal April lagi menempatkan secara berasingan di penginapan sementara yang melibatkan pekerja sihat dan yang dikuarantin di asrama. termasuk di penginapan terapung di luar pesisir pantai, di kem tentera yang kosong dan blok HDB yang kosong seperti di Tanjong Pagar dan Jurong.

Malaysia telah mengambil pengalaman di Singapura bagi menangani penularan Wabak COVID-19 di Negara kita. Ekoran daripada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata usaha itu dilakukan selepas melihat peningkatan kes COVID-19 di Singapura yang dikaitkan penularan di asrama pekerja asing. Dilaporkan penularan kes COVID-19 di asrama pekerja itu menyumbang lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di Singapura. 

Selanjutnya, Malaysia turut bekerjasama dengan The UN Refugee Agency (UNCR) bagi membantu pelaksanaan penempatan warga asing kalangan Rohingya dari Pasar Borong Selayang. Selain itu, tapak-tapak pembinaan yang ramai pekerja asing turut dilaksanakan PKPB bagi mempastikan pengawalan Wabak COVID-19. 

Graf Mendongak Kes Baharu


Berdasarkan pola penularan Wabak COVID-19 bagi kes baharu, sebelum 24 Mei bersifat turun-naik dengan mod (mode) dua angka. Namun mulai 25 Mei ia berubah kepada mod tiga angka. Perubahan pola turun-naik kepada mendongak telah menyebabkan fokus KKM dan MKN untuk mempastikan DTI dilaksanakan langkah-langkah pengawalan, pencegahan dan pemulihan.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan hari ini (26 Mei) cukup menyakinkan untuk kita memandang ke hadapan, bahawa kita mampu untuk keluar dan bebas daripada situasi Wabak COVID-19 yang menggerunkan ini. Ins sya Allah.

Usaha khusus kalangan pekerja asing, iaitu seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telah disaring COVID-19 oleh majikan masing-masing; Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2; Proses pembersihan dan nyah kuman di tapak pembinaan serta rumah kongsi berikut sudah mula dilaksanakan. Begitu pula, Pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) giat menjalankan pemeriksaan tapak-tapak pembinaan bagi memastikan Prosedur Standard Operasi (SOP) dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Sehubungan itu, apa yang penting ialah mengatasi punca utama penularan kes COVID-19 di kalangan pekerja bukan warganegara bagi kluster-kluster tapak pembinaan adalah mengatasi penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial (social distancing) antara satu sama lain di tempat penginapan; dan mempastikan amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan.

Dalam pada itu, pihak majikan bagi pekerja asing dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja. Di antaranya adalah majikan bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan, memastikan amalan-amalan kebersihan diamalkan di tempat kerja, mementingkan langkah-langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan pekerja. dan sebaliknya.

Peranan Warga Tempatan

Meskipun dalam sehari dua ini pihak Kerajaan kita memfokuskan kepada menangani Wabak COVID-19 kalangan warga asing, kita warga tempatan tetap bertanggungjawab untuk bekerjasama bagi meningkatkan langkah pengawalan, pencegahan dan mengelakkan daripada risiko penularan. 
Oleh itu, bersama-sama kita mengamalkan norma baharu - sentiasa membersih diri, mengamal penjarakan sosial, sentiasa berurusan dengan pelitupan muka dan hidung serta tidak keluar rumah melainkan ada urusan penting. Selain itu, amalkan juga pemakanan yang sihat dengan mengutamakan pemakanan yang mampu meningkatkan imunisasi daripada jangkitan penyakit.

Kita mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan jalan penyelesaian  di dalam usaha mengekang bagi memutuskan rantaian Wabak COVID-19. Ins sya Allah.
     Wassalam.