29 May, 2020

COVID-19: Kluster Baharu Warga Bangladesh

Pada hari ini (29 Mei) Jumaat yang mulia, kita didedahkan dengan penularan mendongak kes baharu Wabak COVID-19. Semalam, kes baharu dilaporkan hanya 10 kes, iaitu yang terendah dalam tempoh sebulan yang lalu. Hari ini pula, sebanyak 103 kes baharu yang dilaporkan yang mengikut kategori penularannya, 96 kes daripada penularan tempatan dan tujuh (7) kes daripada kes import. 
Daripada 96 kes penularan tempatan adalah 12 kes sahaja kalangan warganegara dan 84 kes pula adalah kalangan bukan warganegara.  

Infografik di atas memperincikan taburan 103 kes baharu kepada tiga kategori, pertama 84 kes daripada bukan warganegara (Selangor 20, WP Kuala Lumpur 5, Negeri Sembilan 57, Johor 1 dan Sabah 1), kedua 12 kes daripada warganegara (Selangor 2, WP Kuala Lumpur 2, Johor 2, Sabah dan Pahang 1), dan ketiga, tujuh (7) kes import dikesan di WP Kuala Lumpur 4 kes dan di Selangor 3 kes. 

Mengikut KKM, daripada pertambahan kes baharu tersebut telah berlaku satu kluster yang melibatkan pekerja bukan warganegara Malaysia di sebuah syarikat pembersihan yang menyumbang sebanyak 24 daripada 103 kes positif COVID-19. Kesemua mereka adalah terdiri daripada warganegara Bangladesh.

Latar belakang kluster baharu ini adalah muncul daripada sebuah syarikat pembersihan yang mempunyai 150 pekerja kalangan warga asing (Bangladesh). Pihak syarikat telah membuat saringan COVID-19 ke atas pekerjanya di sebuah klinik swasta dan keputusannya 24 kes didapati positif COVID-19. Daripada 24 kes ini, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Empat (4) kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.   

Kesan daripada pertambahan kes baharu yang mendongak hari ini, didapati graf garisan pola penularan Wabak COVID-19 di Negara kita memuncak kembali. 


Berdasarkan pola kes baharu Wabak COVID-19 semenjak tempoh PKPB (4-29 Mei), garisan hijau menunjukkan pola menurun (11/12 Mei, 15/16 Mei,22/23 Mei,26/27/28 Mei). Sementara gaisan merah adalah mewakili pola mendongak - pola mendongak paling ketara ialah 24/25 Mei dan 28/29 Mei yang jumlahnya melebihi 100 kes. Kesemua pola mendongak disumbangkan oleh kategori bukan warganegara.   

Data perkembangan penularan pada hari ini, Malaysia menyaksikan 66 kes yang dirawatpulih. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dirawatpulih adalah sebanyak 6,235 kes (80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Sementara berikutan pertambahan sebanyak 103 kes baharu , ia menjadikan kumulatif keseluruahn kes Wabak COVID-19 berjumlah 7,732 kes dan jumlah kes aktif (sedang dirawat) dengan kebolehjangkitan COVID-19 bertambah kepada 1,382 kes

Demikian pula, daripada 1,382 yang dirawat, seramai lapan (8) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Begitu pula, alhamdulillah tiada kes kematian dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 115 kes (1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Kita bersyukur daripada sejumlah kes baharu hari ini, didapati sejumlah kecil  (12 kes) sahaja berlaku dalam kalangan warga tempatan. Justeru itu kita mengharapkan kalangan warga tempatan terus patuh dan berdisiplin mengikuti SOP di bawah kuatkuasa PKPB. Selain itu, kita dikehendaki mengikuti amalan hidup dengan norma baharu (new   norms) mengikut prinsip 3S dan 3W.


Semoga umat yang beriman di Malaysia terus mendapat keredhaan Allah SWT. Doa kita bersama agar berkat keredhaan dari-Nya, maka kita umat Islam sentiasa di dalam kesejahteraan dan Wabak COVID-19 diangkat oleh Allah jua.

WalLahu'alam.

No comments: