02 April, 2020

Patuh PKP Cegah COVID-19: Tangkapan Meningkat

Perkembangan Wabak COVID-19 di Malaysia masih di dalam kebimbangan. Ia ekoran laporan kes positif yang semakin meningkat daripada hari semalam berjumlah 2,908 kepada 3,116 hari ini. Harapan kita agar apa yang berlaku di luar negara, khususnya di Eropah tidak berlaku di sini.

Pada bulan lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran akan berlaku kekurangan peralatan perlindungan bagi memerangi wabak global ini. Maka didakwa akan menyebabkan peningkatan harga peralatan itu secara global. Apa pun kepantasan bertindak Kerajaan Malaysia mengimport dari luar bekalan seperti topeng muka, di samping inisitif kreatif pengusaha tempatan menghasil pencuci tangan telah dapat meredakan isu kenaikan harga.

Walaupun begitu, pengalaman dunia menyaksikan kira-kira 3.4 peratus kes COVID-19 berhadapan dengan kematian yang didakwa jauh melebihi kadar kematian selesema bermusim (seperti SARS) yang mampu dibendung. Pengalaman Negera Itali, negara paling teruk di Eropah, melonjak kepada 79 orang pada bulan lepas. Begitu pula, laporan AGENSI sehingga 2 April 2020 di Sepanyol sudah melebihi 10,000 kematian apabila 950 lagi maut dalam tempoh 24 jam lalu. Ia merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi selepas Itali iaitu lebih 10,003 nyawa meskipun Kementerian Kesihatan mendakwa, terdapat trend penurunan.

Sementara perkembangan dalam Malaysia pula, seramai 3,125 individu ditahan di seluruh negara kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebahagiannya didapati bersalah melanggar perintah tersebut manakala selebihnya masih dalam siasatan. Sehingga pihak menteri menyifatkan:
“Angka ini membuktikan bahawa ada lagi individu yang masih berdegil... kalau ramai yang masih degil, kemungkinan wabak ini bertambah besar dan mungkin kaedah lain terpaksa dilakukan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 ini."
Berdasarkan laporan terkini 2 April 2020, tiga angka signifiken untuk melihat pola wabak COVID-19 ialah (1) Jumah kes positif 3,116, (2) Jumlah pesakit pulih 767, dan (3) jumlah kematian 50 kes. 
Secara carta bar, tiga kes ini digambarkan (bermula 28 Mac sehingga 2 April) seperti mana berikut:-



Pola tersebut menunjukkan kes Wabak CONVID-19 di Malaysia adalah menaik dan kita masih tidak berpuas hati, terutama bagi kes positif dan kematian. Sementara pola menaik bagi kes pulih adalah sesuatu yang baik.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam tempoh 28 Mac-2 April, kematian pesakit telah berlaku daripada 27 kepada 50 kes. Ia bermakna dalam masa enam hari berlaku pertambahan bilangan kematian sebanyak  23 kes. 

Berbanding kes positif pula dalam tempoh yang sama telah bertambah daripada 2,320 kepada 3,116, iaitu bertambah sebanyak 796 kes positif. Perbandingan antara kes positif dengan kematian, ia masih kecil iaitu 50 kematian daripada 3,116 kes positif (1.6%). Ia jauh lebih kecil dibandingkan dengan Italy dan Sepanyol. Kita mendoakan agar Malaysia dijauhkan Allah daripada keadaan yang seteruk negara Eropah itu.

Kita bersyukur, dengan kepakaran dan ketabahan saf doktor yang merawat dan berjaya memulihkan seramai 767 pesakit COVID-19. Ia bermakna dalam tempoh enam hari terakhir, telah berjaya memulihkan seramai 447 orang dan rekod teramai ialah pada 1 April seramai 122 orang. Ini suatu bukti, inisiatif perawatan dan keupayaan ubat-ubatan yang cukup menyokong bagi memerangi Wabak COVID-19. Semoga keupayaan ini diizinkan Allah bahawa kita mampu menyekat wabak daripada terus menular.

Apa yang penting ikhtiar dan langkah PKP terus dipertingkatkan dan ia seharusnya mendapat kerjasama yang terbaik daripada semua pihak.


Wassalam.

No comments: