31 March, 2020

Wabak COVID-19 - Kes Baharu Bertambah lagi

Berakhir bulan Mac bersempena tamat Fasa I (Tahap 1) PKP (18-31 Mac) dan besoknya bermula Fasa II (Tahap 2), kes baharu wabak COVID-19 daripada 2,626 (30 Mac) kepada 2,766 (31 Mac), bertambah 140 lagi. Ia turut menyaksikan jumlah kumulatif (Positif, Negatif dan Pending) daripada 39,663 (30 Mac) kepada 40,483 (31 Mac), bertambah 820 kes.



Perkembangan dua hari terakhir Mac juga menyaksikan jumlah kematian bertambah 6 orang menjadikan kumulatifnya daripada 37 kepada 43 orang. Walaupun begitu, jumlah yang pulih seramai 58 adalah lebih rendah berbanding sehari sebelumnya 91 orang.

Sementara itu, data keseluruhannya tidak menampakkan pengurangan jumlah kes baharu, maka ramalan Mesyuarat Kabinet minggu lepas bahawa kes wabak ini akan meningkat adalah tepat, maka disambung 14 hari lagi tempoh PKP di seluruh Negara. Keputusan ini diketatkan lagi dengan strategi PKP seperti yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari ini, bahawa bermula esok, 1 April 2020 (Tahap 2) waktu operasi pengangkutan awam dihadkan pada dua waktu, iaitu antara jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi (4 jam) dan 5.00 petang hingga 10.00 malam (5 jam). Begitu pula, kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam (16 jam). Tempoh masa ini (untuk kenderaan persendirian) adalah terpakai sama bagi perkhidmatan kenderaan E-Hailing seperti Grab dan Teksi. Keputusan ini dijangka dapat menghadkan kemungkinan kontak akan lebih terkawal dan dijangka penularan wabak dapat dibendung.

Sehubungan itu, semua lapisan masyarakat boleh mematuhi dan sedia bersama-sama dengan pihak Kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan virus yang sedang menular di paras global. Sebagaimana laporan World Health Organization (WHO) setakat 30 Mac 2020: "Globally - 693,282 confirmed (new cases 58,469); 33 106 deaths (new deaths 3,215)." Di dalam ranking WHO juga, jumlah kes secara global meletakkan Italy (97,689) mengatasi China (82,447) dan diikuti Sepanyol (78,797). Sementara Malaysia di dalam rantau Asia Tenggara adalah tertinggi (2,470) mengatasi Thailand (1,524) dan Indonesia (1,285). 
WHO Report (30 March 2020): Coronavirus disease 2019 (COVID-19) Situation Report – 70
Dalam hal tersebut, langkah serius Kerajaan Malaysia melanjutkan PKP kepada Tahap 2 selama 14 hari lagi adalah suatu usaha yang perlu disokong dan semua pihak perlu memberi kerjasama menjayakan matlamat memutuskan rantaian wabak COVID-19. Justeru kempen #stayathome atau #dudukdirumah hendaklah disambut dengan penuh ketabahan dan kesungguhan bagi memastikan Malaysia selamat.

Teruskan berdoa dan solat hajat bagi mendapat pertolongan Allah SWT agar kita semua terselamat daripada wabak yang tidak mengenal siapa kita. Ins sya Allah, kejayaan terletak di dalam diri kita dengan izin-Nya.


Wallahu'alam.


No comments: