03 April, 2020

COVID-19: Graf Menaik Positif dan Pulih

Perkembangan seminggu bermula catatan 28 Mac sehingga hari ini, 3 April 2020 semacam tiada tanda yang menunjukkan Wabak COVID-19 di Malaysia akan reda dalam masa seminggu lagi. Ini dapat disaksikan menerusi data-data penularan berikut.



Sumber data ini, bermula 28 Mac, jumlah yang kes Positif ialah 2,320 orang dan sehingga 3 April berjumlah 3,333 orang. Ia bermakna berlaku kenaikan sebanyak 1,013 kes yang positif atau pengidap COVID-19. 



Bagi kes yang Pulih (discaj) pula, pada tarikh dan tempoh sama, daripada 320 kepada 827 orang pesakit atau 507 pesakit yang telah sihat dan bebas COVID-19. 


Sementara bagi kes kematian juga meningkat daripada 28 Mac seramai 27 orang kepada 53 orang. Ia bermakna pesakit yang dirawat (kebanyakan di dalam ICU) telah kembali kerahmatulLah telah bertambah 26 kes kematian. 

Menurut sidang media Ketua Pengarah Kesihatan pada siang tadi, kebanyakan yang meninggal (mati) adalah yang berumur 50 tahun ke atas dan sebahagian mengalami sejarah sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.


Punca kes-kes Positif bertambah setiap hari ada hubungannya dengan beberapa kes baru yang dirujuk, di antaranya sejumlah mereka yang dikuarantin di seluruh negara bertambah setiap hari. Misalnya pada hari ini berlaku di Besut kes baru yang dikuarantin. Ini bermakna masih berlaku penularan Wabak COVID-19 di dalam masyarakat ekoran daripada beberapa isu ketidakpatuhan orang ramai terhadap langkah-langkah pencegahan, termasuklah keputusan Kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berapa ramai orang awam yang tidak setia duduk di rumah. Ini dibuktikan daripada jumlah rekod perlanggaran PKP seluruh negara semakin meningkatyang agak ramai setiap hari. 

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tangkapan dan penahanan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turun kepada 524 orang atau 6.8 peratus berbanding kelmarin iaitu sebanyak 562 orang. Jumlah tersebut menunjukkan petanda baik rakyat terhadap pelaksanaan PKP oleh kerajaan. Selain itu, sehari sebelumnya 483 individu dituduh di mahkamah, menahan 524 individu kerana langgar PKP yang membawa kepada 451 orang direman dan 73 telah dijamin. 

Begitu pula, berapa ramai mereka yang keluar rumah tanpa memakai topeng penutup muka, tanpa pencuci tangan dan tidak memakai sarung tangan. Hal ini memaksa Kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas, termasuk menangkap dan mendakwa di mahkamah. Selain itu, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengumumkan bagi Tahap 2 PKP, iaitu masa yang lebih pendek untuk berurusan untuk orang awam, pasar raya dan pasar basah dan stesen minyak dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam. 

Apapun langkah Kerajaan patut dipuji yang tidak jemu-jemu menyiarkan peringatan dan kempen kesedaran menerusi Pasukan Penerangan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan dan Saluran TV. Malah inisiatif membekal peralatan rawatan dan pencegahan turut mendapat sokongan syarikat dan korporat yang turut menyumbang kewangan serta peralatan pencegahan. Sehingga kini, sebanyak RM19.52 juta sudah terkumpul. 

Semoga semangat keprihatinan dan kesedaran dalam kalangan warga negara Malaysia akan bertambah baik menjelang hari ke-18 esoknya. Bersama kita berdoa dan bermunajat bagi memohon pertolongan Allah agar membebaskan Negara dari Wabak COVID-19 ini. Ins sya Allah.



WalLahu'alam.

No comments: