29 April, 2020

COVID-19: Neg Sembilan antara Negeri yang mendadak hari pertama PKPt4

Perkembangan hari ini Wabak COVID-19 di Malaysia agak menarik dilihat dari segi pola penurunan kes di setiap Negeri. Pola menurun kes-kes baharu di kebanyakan Negeri boleh dilihat dalam tempoh tiga hari terakhir tempoh PKPt3 (27-28 April) dan menjelang hari pertama PKPt4 pada hari ini (29 April). 

Di Selangor sebagai negeri tertinggi keseluruhan kes, pada 27 April terdapat 4 kes baharu, menaik kepada 5 kes pada 28 April dan menurun kepada 1 kes pada hari ini. Begitu pula di Wilayah Persekutuan daripada 30 kepada 14 dan hari ini 8 kes baharu. Perak pun menurun daripada sebelum ini satu kes dan hari ini tiada kes baharu. Lain-lain Negeri semuanya tiada kes baharu dilaporkan, melainkan Sarawak ada 6 kes, Sabah dua kes dan Pahang 5 kes dan paling berbeza ialah di Negeri Sembilan berlaku kenaikan jumlah kes baharu secara mendadak daripada 27 April dan 28 April masing-masing satu kes, tetapi pada hari ini dilaporkan 72 kes baharu. Sebelum ini, Negeri Sembilan terdapat kawasan zon merah di Rembau adalah antara penyumbang kepada kes baharu Wabak COVID-19. 

Walau bagaimanapun, laporan KKM hari ini menyebutkan 72 kes baharu itu merupakan kes import ekoran kepulangan pelajar Malaysia dari Indonesia. Sebelum ini posting blog ini (21 April) telah menyatakan bahawa antara faktor penularan Wabak COVID-19 di Malaysia adalah disumbangkan menerusi kemasukan pelajar dan pelancong Malaysia yang balik dari Indonesia. Faktor tersebut sekali lagi terjadi pada hari ini.


Keupayaan mengesan punca 72 kes baharu itu merupakan langkah efektif hasil daripada tindakan mewajibkan semua warga negara yang balik dari luar negeri menjalani 14 hari kuarantin. Kalau dilihat kepada laporan kluster kes baharu ini ia dikatakan berpunca dari kluster pesantren Indonesia.

Ini mengiyakan betapa sebahagian besar kes positif Wabak COVID-19 di Malaysia adalah daripada kluster import. Sebagaimana dibincangkan sebelum ini, pengesanan kes pertama pada 25 Januari merupakan pelancong daripada China (lihat posting 28 April). Demikian pula, kes positif COVID-19 di Sarawak pada awal-awalnya, pembawa merupakan warga negara yang balik daripada Italy, termasuklah juga kluster Kejuruteraan di Kuantan adalah warga negara yang dikatakan berjangkit ketika balik dari Bali, Indonesia. 

Justeru itu, Negara kita sebenarnya belum tentu akan menghadapi situasi selesa selagi negera-negara jiran kita masih bergelumang dengan pertambahan kes-kes baharu Wabak COVID-19. 

Sekadar rekod dan ingatan, laporan https://www.worldometers.info/coronavirus/ pada hari ini (Malaysia memasuki PKPt4), negara jiran kita Singapura sedang menanggung 15,641 kes dengan menerima 690 kes baharu, Indonesia sedang menanggung  9,771 kes dengan menerima 260 kes baharu dan tidak ketinggalan juga Filipina yang menanggung 8,211 kes dengan menerima 254 kes baharu. Hal inilah meletakkan ketidakselesaan kita, malah menggerunkan situasi kehidupan, maka seluruh warga negara seharusnya kekal patuh kepada kuatkuasa PKPt4 ini demi mengekang dan memutuskan rantaian Wabak COVID-19.
Kemudian melihat kepada perkembangan hari pertama PKPt4 cegah Wabak COVID-19, jumlah kes baharu telah meningkat dari semalam hanya 31 kes kepada 94 kes. Ia turut menyebabkan pertambahan keseluruhan kes kepada 5,945 dan pertambahan kes yang sedang dirawat kepada 1,758 orang. Hari ini, kali pertama dalam tempoh 14 hari lepas (tempoh PKPt3) berlaku pertambahan jumlah kes yang sedang dirawat sebanyak 39 kes. Ini berikutan kemasukan kes baharu lebih besar (+94) berbanding jumlah yang dirawatpulih hari ini seramai 55 orang. Sedangkan pada hari-hari sebelumnya, jumlah yang dirawatpulih lebih ramai berbanding kemasukan kes baharu. Walau apapun, jumlah kumulatif pesakit yang berjaya dirawatpulih bertambah dari semalam 4,032 kepada hari ini 4,087 orang (+55).  Berikut digambarkan secara kelok linear bagi perkembangan kes baharu dan jumlah pesakit yang pulih.
Gambaran kelok linear di atas menunjukkan perkembangan dari 15-29 April bagi kes baharu yang  agak tidak stabil dan kes yang dirawatpulih adalah masih konsisten dengan kelok mendongak yang agak setara. Situasi ini menatijahkan bahawa Negara kita masih dalam tahap kewaspadaan tinggi. Sudah tentu (dengan kekuasaan Allah SWT) pada penghujung tempoh PKPt4 nanti, jumlah kumulatif Wabak COVID-19 dijangka meningkat melebihi 7,000 kes dan ketika itu jumlah pesakit yang dirawatpulih mungkin mencecah 6,000 orang. Ia bemakna kira-kira seribu pesakit dijangka sedang dirawat dan beberapa negeri berubah menjadi zon hijau.  

Dalam hal itu, kita seharusnya tidak lupa untuk terus berdoa ke hadrat Allah SWT agar situasi yang tidak diingini diangkat oleh-Nya dan Malaysia kembali dalam keadaan penuh kesejahteran. Ins sya Allah.

Wassalam.




No comments: