28 April, 2020

COVID-19: Malaysia Genap PKPt3 - Kelok Menurun Active Cases

Alhamdulillah, hari ini inisiatif mengekang dan memutus rantaian Wabak COVID-19 di Malaysia telah genap tempoh PKPt3 (14-28 April 2020) dan besok bermula PKPt4 (29-12 Mei 2020). Ia bermula dengan situasi agak mengembirakan dengan kes aktif (jumlah yang sedang dirawat) semakin menurun. Seperti digambarkan melalui kelok linear di atas, mengikut rekod kes aktif yang maksimum berlaku dalam tempoh PKPt2, iaitu pada 5 April sebanyak 2,596 dan 7 April 2,579 kes. Sementara ketika memasuki PKPt3 pada 14 April jumlah kes aktif sebanyak 2,427 kes.

Sepanjang tempoh PKPt3, setiap hari mencatatkan penurunan jumlah kes aktif, iaitu bermula 2,427 kes (14 April) diikuti 2,041 kes (21 April) dan pada hari ini penamat PKPt3 berjumlah 1,719 (28 April). Berdasarkan perkembangan inisiatif dan komitmen tinggi pelbagai Kementerian menjayakan PKP serta pasukan perubatan yang berkesan, maka diyakini sepanjang tempoh PKPt4 jumlah kes aktif/pesakit dirawat akan berkurang

Sekiranya pola penurunan adalah konsisten (dalam seratus kes yang pulih sehari) maka jumlah kes aktif pada pertengahan PKPt4 adalah sekitar 1,000 kes. Apapun ia masih tertakluk kepada sejauhmana keberkesanan inisatif perawatan awal, keutuhan kerjasama semua pihak dalam mengekang dan memutuskan rantaian Wabak COVID-19 serta tidak berlaku lagi kes positif di dalam tempoh seminggu ini di pusat-pusat kuarantin.
Rekod jumlah keseluruhan kes positif (secara kumulatif) di Malaysia adalah seperti mana diulas di dalam posting sebelum ini berhubung dengan kronologi penularan Wabak COVID-19, iaitu bermula dengan kes pertama dikesan pada 25 Januari disahkan terdapat tiga kes. Ketiga-tiganya adalah warga negara China yang memasuki Malaysia melalui Singapura (rujuk posting blog ini, 19 April 2020). Kemudian mulai meningkat pada 15-27 Februari dengan bertahan sebanyak 22 kes kumulatif bagi keseluruhan kes

Seterusnya pada 28 Februari mulai berlaku petambahan kes kepada 25 kes dan meningkat melepasi angka seratus pada 9 Mac,  iaitu 117 kes (pada 8 Mac berjumlah 99 kes). Ketika pihak Kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPt1 (18 Mac), terdapat 790 kes dan pada sehari sebelumnya (17 Mac) ialah 673 kes. Ia dikuti dengan pertambahan mendadak kes dengan rekod tertinggi mencecah seribu ialah pada 20 Mac (1,030 kes). 


Kemudian pada hari akhir PKPt1 (31 Mac) jumlahnya 2,766 kes dan ketika berakhir PKPt2 (14 April) jumlahnya bertambah kepada 4,987 kes. Melihat kepada kelok linear semakin melonjak itulah maka PKPt3 (15-28 April) dilaksanakan dan kemudian bermula esok 29 April dilaksanakan pula PKPt4 (29 April-12 Mei) dengan rekod pada hari ini (28 April) sebanyak 5,851 kes. 

Dijangkakan perkembangan kumulatif keseluruhan kes ini masih tertakluk kepada kemungkinan bertambah atau tidak kes baharu. Apapun pola kes baharu setakat ini berkemungkinan semakin menurun berdasarkan rekod semalam 40 kes dan hari ini 31 kes baharu yang dilaporkan. 


Satu perkembangan menarik juga bagi Wabak COVID-19 di Malaysia ialah jumlah kematian yang berlaku dengan kelok mendongak bermula 17 Mac dengan dua kes (sebelum itu kosong kes). Selepas itu, setiap hari berlaku kes menyebabkan kumulatif kematian berganda pada 25 Mac, sebanyak 20 kes dan mencecah 50 kes pada 2 April dan pada 28 April mencatatkan kumulatif kematian sebanyak 100 orang. Ini bermakna dalam tempoh 17 Mac sehingga 28 April (43 hari) berlaku kematian purata sebanyak 2.33 dalam sehari. Dari jumlah kematian ini, sebenarnya mewakili 1.71% daripada 5,851 kes (keseluruhan kes). Kita doakan kepada mereka yang Muslim, semoga kematiannya diganjari keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT sebagai mati syahid jua.

Demikian ulasan perkembangan beberapa kelok menurun dan menuju mendatar bagi kes-kes penularan Wabak COVID-19 di Melaysia bersempena PKPt4 bermula esok.

Berikutnya dilampirkan data-data perkembangan penularan Wabak COVID-19 dalam Negara bagi tempoh dua minggu atau sepanjang PKPt3.

Bersama-samalah kita meningkat doa dan munajat pada Ramadhan penuh berkat ini, semoga Allah SWT mengangkat dan membebaskan Negara dari Wabak COVID-19 ini. Ins sya Allah.
Wassalam.


No comments: