21 October, 2014

Muhasabah dari Pengkalan Kubor

Selepas pilihan raya umum ke-13 (5 Mei 2013), telah berlaku enam pilihan raya kecil (PRK). Bermula Dun Besut (24 Julai 2013), diikuti Dun Sungai Limau (4 November 2013), Dun Kajang (23 Mac 2014),  Dun Balingian (29 Mac 2014), Teluk Intan (31 Mei 2014) dan terakhir baru-baru lalu ialah di Dun Pengkalan Kubor (25 September 2014). Berdasarkan keputusan PRK itu banyak berpihak kepada Barisan Nasional (BN), melainkan di Dun Sungai Limau kekal dimenangi PAS dan Dun Kajang juga kekal dimenangi PKR. Apapun berbeza di parlimen Teluk Intan yang asalnya dimenangi DAP, tetapi keputusannya PRK telah berubah kepada BN.

Demikian pula bagi PRK Pengkalan Kubor Kelantan adalah asalnya dimenangi BN telah kekal kepada BN. Lantaran Dun Pengkalan Kubor adalah kubu BN sejak tiga penggal PRU lalu (2004; 2008 dan 2013). Malah pada PRK yang lalu, berlaku penambahan jumlah majoriti undi untuk BN. Hal ini menuntut satu muhasabah di sebelah PAS parti yang mendominasi Kerajaan Negeri Kelantan.
Berdasarkan keputusan rasmi PRK itu, jumlah kesemua pemilih yang layak ialah 24,039 orang. Didapati 17,555 pemilih (73.04%) yang keluar mengundi dan daripada jumlah ini, BN meraih 9,961, PAS pula meraih 7,326 dan Bebas mendapat 38 undi dengan 230 undi rosak. Maka majoriti berpihak kepada BN sebanyak 2,635 undi. Layaklah calon BN, Mat Razi Mat Ail sebagai Adun telah mengangkat sumpah ketika persidangan bajet Dewan Negeri Kelantan pada 13 Oktober yang lalu.
Sehubungan keputusan PRK Pengkalan Kubor kali ini, sesuatu yang menarik untuk diambil perhatian untuk bermuhasabah, khasnya di sisi Kerajaan Negeri dan pihak parti kerajaan, iaitu dari aspek jumlah keluar mengundi yang merosot. Di dapati secara bandingannya, pada PRU 2013 keluar mengundi ialah 19,021 (78.94%), dan pada PRK lepas seramai 17,555 (73.03%) – merosot sebanyak 1,466 (5.91%).  Kenapa merosot?

Demikian pula, bandingan keputusan pengundian pada PRU 2013 di setiap daerah mengundi menggambarkan prestasi Pakatan Rakyat yang diwakili PKR, sambutannya agak lemah, iaitu sekitar 45.34%. Ketika itu, PKR hanya memang di lima daerah mengundi (Ketil, Tebing, Geting, Telaga Bata dan  Kedai Geting). Sementara pada PRK lalu, giliran PAS pula bertanding, namun sambutannya semakin lemah.  PAS hanya mampu bertahan dan menang di tiga daerah mengundi sahaja (Tebing, Geting dan Kedai Geting). Apakah perubahan (baca merosot) itu disebabkan merosotnya mutu khidmat kepada rakyat, ataukah kerana jentera kerajaan Pusat berwajah BN kuat menghimpit dan bergasak kuat di padang yang tidak sama rata?

Kesan daripadanya kemerosotan keluar mengundi itu, didapati undi popular PAS/PKR turut menurun daripada 8,438 (45.18%) pada pilihan raya umum 2013 kepada 7,326 (42.29%) pada PRK lalu, iaitu merosot sebanyak 2.89%.

Apapun faktor kemerosotan itu, sesuatu yang pasti, antara lainnya adalah kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan hari mengundi (25 September) jatuh pada hari bekerja (Khamis).

Akibatnya lebih daripada 2,000 pengundi Dun Pengkalan Kubor yang bekerja di lokaliti dan yang berada di luar Kelantan gagal keluar/balik menunaikan tanggungjawab mengundi. Ini berlaku berikutan kekangan cuti yang mendesak, baru selesai cuti penggal persekolahan dan bakal menjelang cuti hari raya Haji. Maka sudah tentu ada pengundi yang berhalangan untuk balik mengundi. Justeru munasabahnya sejumlah 1,466 kemerosotan jumlah keluar mengundi. Berasaskan faktor ini, adalah tidak tepat untuk meletakkan senario kemelut dalaman PAS dan isu perlantikan Menteri Besar Selangor dianggap penyumbang utama pengundi tidak berselera untuk balik mengundi. Namun begitu, isu-isu politik di luar kerajaan berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor tetap menjadi penyebab bagi segelintir pengundi yang buat tidak kesah tentang tanggungjawab keluar atau balik mengundi. Logiklah jumlah keluar mengundi telah merosot.

Jauh sama sekali pula untuk mengaitkan kemerosotan itu dengan prestasi kepimpinan baru Kerajaan Negeri pasca Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Malahan, tidak dinafikan mood pengundi turut terpengaruh dengan kempen agresif berumpankan janji dan sogokan serta ugutan atas jenama jentera Kerjaaan Pusat. Kempen yang telah mengubah sikap sebahagian pengundi (yang dulunya menyokong PAS) untuk tidak keluar mengundi. Kesannya BN mampu mempertahan kubunya dalam jumlah kekurangan 213 undi, berbanding PAS yang kekurangan undi sebanyak 1,112 undi.

Hal ini dapat dibaca setelah meneliti jumlah pengundi yang dikatakan menyokong PAS tetapi berada di luar, iaitu seramai 2,653 orang. Namun jumlah yang balik mengundi sebanyak 1,425 (53.71%) sahaja .

Maka sekali lagi ditegaskan, perkara penting yang harus dimuhasabahkan ialah dari segi prestasi balik dan keluar mengundi. Balik mengundi merujuk kepada pengundi yang barada di luar dan keluar mengundi merujuk kepada pengundi yang berada di lokaliti. Berlaku demikian mungkin selain hari mengundi jatuh pada hari bekerja, ia juga berkait dengan pendekatan memotivasi agar pengundi berkenaan balik adalah kurang berkesan. Mungkin juga asas motivasi itu bergantung kepada senario bahawa keputusan PRK (pihak mana yang menang) ia tidak akan mengubah apa-apa. Justeru mood untuk balik tidak membuah asas kukuh kerana ia tidak mencetuskan nilai perubahan pada kuasa politik Negeri dengan kerana Dun Pengkalan Kubor kekal dimenangi oleh BN. Namun begitu, semangat berpilihan raya (untuk mengundi) dikatakan ada kaitan juga dengan senario pentadbiran negeri yang selesa dan tidak ada isu-isu mencabar.

Hakikatnya, jika prestasi undi PAS dijadikan asas sokongan kepada perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri, maka darjah sokongan di Pengkalan Kubor tetap meletakkan statusnya masih popular terutama kalangan penyokong tegar. Inilah yang harus disedari sebagai langkah muhasabah untuk kembali menyusun semula mutu khidmat kerajaan bersama pusat khidmat wakil rakyat. Paling penting untuk diakui ialah untuk memenangi hati majoriti rakyat, ia tidak padan dengan kerana penyokong teras sahaja. Realitinya ia masih memerlukan sokongan pelbagai lapisan rakyat, termasuk komuniti pengundi Siam yang begitu minimum bersama dengan dasar Kerajaan Negeri.

Justeru nilai yang harus diambil kira dalam muhasabah, terutama dalam masa kempen pilihan raya lalu ada segelintir pengundi yang bersikap tidak kisah. Mereka ada yang membuat keputusan berpihak kepada parti pembangkang (mengundi BN). Sedangkan di dalam sebuah negeri yang ditadbir secara Islam, sepatutnya golongan simpati (baca: mereka yantg bersikap tidak kisah) akan berpihak kepada dasar-dasar yang harmoni yang terbukti berlaku di bawah kepimpinan ulama’ di Kelantan hari ini. Mungkin ia tidak berlaku kerana kumpulan simpati itu belum mampu menghayatinya. Ini memerlukan penerangan yang lebih meluas lagi dasar-dasar Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.


Rumusannya, natijah maklumat dan isu-isu kebaikan daripada dasar, program dan aktiviti Kerajaan Negeri seharusnya tidak berlegar di kalangan orang yang sama. Menjadi keutamaan agar jentera penerangan parti dan Kerajaan Negeri mampu mengisi kefahaman dan memenuhi peluang bagi memikat hati kumpulan simpati yang bersikap tidak kisah. Hal seperti ini harus dimuhasabahkan dan diambil tanggungjawab segera dan terkhusus bagi membangkitkan semula nilai dan senario kemenangan di Pengkalan Kubor dan seluruh negeri ini pada PRU akan datang.

22 July, 2014

KERAJAAN KELANTAN ISTIQAMAH MERAIKAN WARGA KELANTAN D'PERANTAUAN SEMPENA AIDIL FITRI 1435


Semoga rahmat Ramadhan 1435 bakal membahagiakan kita semua pada 1 Syawal nanti.

Selamat pulang Warga Kelantan yang istiqamah menyumbang bakti di segenap pelosok negara.

Semoga pertautan kekeluargaan sedia terjalin dengan rasa kecintaan yang tinggi untuk terus berbakti kepada semua kita.

Pulang dengan iringan doa dan rahmat-Nya, Siiru 'ala barakatil-Lah.

* Membangun Bersama Islam *
- Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan -

03 July, 2014

Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (Hudud) – Kajian membuktikan rakyat Kelantan bersikap positif

Semenjak Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (KJS) diluluskan pada 25 November 1993, usaha ke arah realiti tetap berjalan. Perkembangan terbaru ialah kerajaan Negeri Kelantan telah membentuk Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan KJS ini seperti yang diumumkan Menteri Besar ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 7 Oktober 2011.

Selepas pilihan raya umum 2013, inisiatif baru terus diambil, selain meneruskan usaha jawatankuasa teknikal, ia turut dibekalkan bajet sebanyak RM 1 juta untuk persiapan dan prasarana jawatankuasa teknikal. Ia diikuti dengan perkembangan positif ekoran sidang Dewan Negeri Kelantan (4-6 Mac 2014) yang menyaksikan komitmen bersama pihak Kerajaan Negeri dengan pihak Ahli Dewan Negeri (Adun) kalangan Barisan Nasional. Kemudian mendapat respons positif Kerajaan Pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin (MStar Online: 27 April 2014) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (UtusanOnline: 2 Mei 2014).

Sehubungan itu, mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Kelantan ( 14 Mei 2014) berpandangan perlunya satu kajian bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap inisiatif terbaru Kerajaan Negeri berhubung pelaksanaan KJS. Tugas kajian itu dimandatkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan (Pejabat Menteri Besar)bersama-sama Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Sehubungan itu, kajian tersebut telah dijalankan pada 25-31 Mei 2014 lalu. Tujuannya adalah bagi mendapat maklum balas rakyat Kelantan atas inisiatif Kerajaan Negeri pada masa ini berhubung pelaksanaan KJS. Sekaligus ia menjawab tiga permasalahan, iaitu sejauh mana keyakinan rakyat kepada usaha pelaksanaan KJS setelah 20 tahun diluluskan Dewan Negeri Kelantan; apakah tahap kepercayaan terhadap usaha semasa Kerajaan Negeri Kelantan; dan apakah langkah penambahbaikan pendekatan pelaksanaan KJS menuju realiti?

Rakyat paling setuju

Kajian yang dijalankan menggunakan pendekatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada responden yang dipilih daripada 24 Dun (tiga kategori – bandar, pinggir bandar dan pedalaman) yang dibahagikan kepada dua SMS. Pertama untuk 12 Dun dengan SMS-1 berbunyi: “Selepas 20 tahun, sekarang Kanun Jenayah Syariah(Hudud) Kelantan menuju realiti. Setuju/Tidak?” – Pejabat Menteri Besar. Kedua untuk 12 Dun lagi dengan SMS-2 berbunyi: “Untuk pastikan Kanun Jenayah Syariah(Hudud) Kelantan dapat dilaksanakan perlu kerjasama Kerajaan Pusat. Setuju/Tidak?” – Pejabat Menteri Besar.

Bagi 12 Dun pertama ia melibat 77,382 dikirim SMS-1 dan responden yang menjawab ialah seramai 5,395, tetapi yang sah mengikut tujuan kajian hanya 5,284. Penemuanya adalah seperti mana Jadual 1 yang berikut:



Ternyata pola setuju amat tinggi (keseluruhan 97.94%), menunjukkan tahap keyakinannya amat tinggi di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri pasca 20 tahun.

Demikian pula, bagi 12 Dun kedua ia melibat 78,756 dikirim SMS-2 dan responden yang menjawab ialah seramai 4,259, tetapi yang sah mengikut tujuan kajian hanya 3,656. Penemuanya adalah seperti mana Jadual 2 yang berikut:



Ternyata pola setuju agak tinggi (keseluruhan 85.84%), menunjukkan tahap keyakinannya agak tinggi di atas usaha yang diambil Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan proses pelaksanaan yang tertangguh itu.

Petanda positif
Justeru tahap keyakinan dan persetujuan daripada kajian ini (bagi kedua-dua SMS) menunjukkan nilai purata bersetuju ialah 91.89%. Ia suatu petanda positif mewakili sikap dan harapan rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, beberapa perakuan atau cadangan yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan demi KJS (Hudud) ini menuju realiti. Paling utama seperti masa hasrat majoriti rakyat Kelantan ialah inginkan usul meminda Akta 355 dan mana-mana Akta atau Perkara yang berkaitan hendaklah diteruskan.

Demikian juga, usul “private member bill” bagi mendapatkan hak mengikut Perkara 76A untuk membolehkan Kelantan menguatkuasakan KJS di negeri ini. Sehubungan itu, bagi memastikan aspek teknikal dan prasarana pelaksanaan, maka Kerajaan Kelantan hendaklah menambahkan bajet bagi tahun 2015 bagi persiapan pelaksanaan KJS di Kelantan.

Rumusan ringkas hasil kajian ini telah menjawab sedikit sebanyak tohmahan sesetengah pihak yang kononnya pelaksanaan KJS berada di persimpangan dan diragui oleh sebahagian masyarakat. Realitinya, penemuan positif ini bakal menambahkan dorongan untuk Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob terus melangkah ke hadapan merealisasi cita-cita pada 2015 sebagai tahun pelaksanaan (fasa pertama) perundangan jenayah menurut Islam.







27 May, 2014

PRK Bukit Gelugor: DAP menang BN malu

SAYA mengulas dari perspektif Pakatan Rakyat, tapi penulis kolum The Star (27 Mei 14), Joceline Tan nampaknya agak mesra nak perlekehkan DAP. Ini petikan/keratan yang J. Tan ulas:



INI ulasan SAYA:

Selesai pilihan raya kecil Bukit Gelugor pada 25 Mei lalu, keputusannya seperti yang dijangka, DAP menang selesa. Suatu keputusan bersifat demokratik yang menyaksikan sifat tidak berganjak pengundi DAP (baca: Pakatan Rakyat). Sementara kedudukan BN dilihat semakin tertekan berikutan trend pengundian yang menunjukkan tiada petanda protes pengundi di bumi mutiara timur itu kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Paling mendukacitakan ialah kalangan calon yang bersaing menentang calon DAP, mereka kecundang teruk, termasuk calon dari Parti Cinta Malaysia (PCM) yang kononnya mewakili kumpulan pengundi Cina, serta dua calon Bebas yang mewakili Melayu Pulau Pinang.

Empat penjuru tanpa BN

PRK Bukit Gelugor menyaksikan saingan empat penjuru antara calon DAP anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan serta dua calon Bebas, Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

Pihak BN sepatutnya diwakili MCA, tetapi tidak muncul semata-mata untuk fokuskan kepada isu ‘menentang’ cadangan PAS bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud). Sedangkan PAS tidak pun bertanding di situ.

Keputusan PRK itu jelas berpihak kepada DAP. Sementara BN sepatutnya berasa malu kerana tanpa penyertaan mana-mana rakan komponennya, DAP tetap menang bergaya. Pada pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu, DAP melalui calonnya mendiang Karpal Singh memperolehi 55,839 dan Teng Beng Yeam (BN-MCA) meraih 14,061 ketinggalan dengan majoriti berpihak kepada DAP sebanyak 41,778 undi.

Pada PRK kali ini, Ramkarpal Singh (DAP) memperolehi 41, 242 undi dengan majoriti 37,659 mengatasi calon pesaingnya Datuk Huan Cheng Guan (PCM) 3,583, Mohamed Nabi Bux (Bebas) 299, dan Abu Bakar Sidek Mohd Zan (Bebas) 225 undi.

Secara bandingannya, undi DAP merosot daripada 55,839 kepada 41, 242 iaitu sebanyak 14,597 undi dan nilai majoritinya daripada 41,778 kepada 37,659 iaitu merosot sebanyak 4,119 undi.


Apa pun jika bandingan dari segi undi popular, pada PRK kali ini menyaksikan DAP mencapai 89.5 peratus daripada 46,099 yang keluar mengundi. Populariti ini lebih tinggi berbanding PRU lalu, apabila DAP meraih 79.1 peratus daripada 70,554 yang keluar mengundi. Ini membuktikan, tanpa penyertaan BN memang pengundi Cina yang tegar MCA tidak keluar mengundi. Ini kerana kira-kira 14,000 undi diperolehi MCA pada PRU lalu semacam memboikot PRK Bukit Gelugor minggu lalu. Satu sikap tidak demokratik dalam negara yang mengamalkan kaedah pilihan raya bagi memilih pemimpin. Oleh sebab itu, saat setahun selepas pilihan raya atau selepas MCA di bawah kepimpinan baru (sejak Disember 2013 lalu), tiada indikator untuk menilai sejauh mana penerimaan pengundi Pulau Pinang kepada MCA. Sewajarnya dikatakan MCA sebuah parti yang gagal memposisikan peranan dalam arus politik semasa.


SPR pun gagal

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan keluar mengundi hanya 56.04 peratus pengundi kali ini berbanding PRU-13, 86.30 peratus. Sebanyak 46,099 undi berbanding jumlah keseluruhan 82,283 pemilih berdaftar. Jelas sasaran awal untuk memperolehi 75 peratus pengundi pada PRK kali ini gagal. Kegagalan ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika sidang media di Dewan Sri Pinang pada malam keputusan pengundi bagi PRK Bukit Gelugor.


Kenapakah keluar mengundi merosot (dari 86.30 menjunam kepada 56.04 peratus) sebanyak 30.26 peratus?


Sebabnya tidak lain, paling utama kerana MCA tidak menyertai PRK kali ini, sedangkan kerusi BN bagi Bukit Gelugor adalah kuota MCA. Kehadiran calon Bebas tiada yang mewakili atau boleh dianggap sebagai proksi MCA. Penyertaan calon PCM sekadar membuktikan parti itu wujud di Pulau Pinang dan mewakili kira-kira 10 peratus sahaja daripada jumlah yang keluar mengundi.


Dalam keadaan calon Bebas sekadar untuk melepaskan gian untuk menjadi calon pilihan raya semata-mata. Kedua-duanya gagal merancakkan pengundi untuk mengundi. Kedua-duanya telah hilang wang pertaruhan yang masing-masingnya sebanyak RM10,000 dan menjadi pendapatan kepada kerajaan Malaysia.

Bukti PR stabil

Apa pun, punca kemenangan DAP adalah bukti Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang berada dalam stabil dan prestasi DAP yang mentadbir negeri terbukti pula berjaya di hati rakyat. Justeru keputusan PRK ini adalah indikator cemerlang pentadbiran PR di Pulau Pinang. Walau pun ketika kempen berlangsung, ada usaha pihak BN melalui media elektronik dan cetaknya cuba ‘demoralise’ kerajaan Pulau Pinang dengan isu kronisme dan nepotisme. Sementara pihak televisyen pula secara fokus memaparkan protes penduduk atas khidmat kerajaan Negeri. Apa yang jelas, DAP yang menampilkan anak mediang Karpal sebagai ganti tidak pun menjejaskan reputasi kepimpinan Lim Guan Eng di kerusi Ketua Menteri. Undi tetap menyakinkan kepada DAP.


Walau bagaimanapun penurunan jumlah keluar mengundi, sekali lagi adalah bukti SPR gagal di dalam usaha memobilisasikan pengundi keluar atau balik mengundi. Ia ditambah lagi dengan pemilihan hari mengundi pada hari Ahad yang cukup merehatkan pengundi BN bersama keluarga di rumah atau berpergian.


Begitu juga kempen PCM yang cuba menjadi galang ganti MCA, jelas tidak kemana, apabila hanya meraih simpati sekitar 3,000 pengundi sahaja. Jauh sama sekali bagi kedua-dua calon Bebas yang sengaja dihebohkan sebagai mewakili kelompok Melayu, mereka juga gagal. Tambahan pula wujud senario dan rasa keselesaan pengundi DAP sendiri, tatkala mereka yang bekerja di luar Pulau Pinang dan Lembah Klang tidak bersedia balik kerana sudah yakin dengan kemenangan selesa untuk DAP.

Natijahnya, PRK Bukit Gelugor kali ini telah menyerlahkan kecelaruan BN, khususnya parti MCA yang sudah kalah di Kajang meskipun di bawah kepimpinan Presiden yang baru. Sementara kehadiran PCM sebagai parti ketiga tidak memberi impak kepada sikap dua parti pengundi Pulau Pinang. Begitu pula kehadiran parti Bebas dalam pilihan raya amat tidak relevan, sebagaimana tidak relevannya Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas di Pasir Mas dalam ketiadaan BN yang malu berlawan dengan PAS. Ternyata kemenangan DAP di Bukit Gelugor telah menambah nilai menang menyebelahi PR menyambung dari kemenangan di PRK Kajang. Semoga PK Teluk Intan pada 31 Mei nanti pun berpihak kepada PR.

20 May, 2014

Strategi baru Kelantan: Merakyatkan Membangun Bersama Islam

Sempena genapnya setahun (pada 6 Mei 2014) kepimpinan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob memimpin Kelantan pasca Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya melancarkan Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Suatu pelan yang lahir daripada Bengkel Merakyatkan Membangun Bersama Islam pada 23-24 April 2014 yang lalu. Apa pun pelan ini merupakan penerusan daripada 23 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam yang telah diperkukuhkan dengan misi menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan semasa pilihan raya umum yang lalu. Misi ini merupakan kesinambungan daripada nilai-nilai kejayaan yang sebelum ini diungkapkan sebagai Kelantan Menerajui Perubahan bagi seluruh warga Kelantan.


Justeru pelan ’merakyatkan’ ini adalah suatu perancangan program bersepadu untuk memastikan persoalan teras cara hidup warga Kelantan agar bertambah mantap berpandukan prinsip hidup beragama (baca: Islam sebagai Ad-din). Natijahnya ke arah pengukuhan prestasi dasar Membangun Bersama Islam yang beteraskan tiga prinsip utama, iaitu ‘Ubudiah, Mas’uliah, Itqan yang perlu diteruskan bagi menggerakkan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan.

Sehingga kini terdapat enam dasar utama Kerajaan Negeri Kelantan yang berpaksikan Membangun Bersama Islam:  1) Dasar Pentadbiran Kerajaan berteraskan Syari’at; 2) Dasar Perundangan dan Kehakiman; 3) Dasar Kebudayaan dan Kesenian;  4) Dasar Pembangunan Pendidikan; 5) Dasar Pembangunan Ekonomi, dan 6) Dasar Pembangunan Sosial.

Keenam-enam dasar utama ini telah dirangkumkan bagi memenuhi program Merakyatkan Membangun Bersama Islam. Maka pendekatan program ini adalah berkonsepkan pendidikan, iaitu melalui lima proses membangunkan modal insan:  1) Pendidikan (education); 2) Pencegahan (prevention); 3) Penguatkuasaan (enforcement); 4) Pencelahan (intervention); dan 5) Pemulihan (rehabilitation).  Kesemua konsep pendidikan ini diyakini dapat memenuhi lima aspek keutamaan berteraskan tuntutan maqasid syariah bagi menjaga dan mengawal kehidupan sejahtera, iaitu aspek Agama, Akal, Keturunan, Nyawa dan Harta .

Tujuh fokus

Justeru itu, pendekatan strategik yang diambil bagi mencapai matlamat misi Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan adalah tujuh fokus nilai teras Merakyatkan Membangun Bersama Islam: 1) Amalan Kebersihan; 2) Menyempurnakan Solat; 3) Pembangunan Pendidikan; 4) Menyuburkan Kebudayaan dan Kesenian; 5) Menangani Gejala Sosial; 6)  Menerajui Pembangunan Ekonomi; dan 7) Penyelidikan dan Penilaian.

Fokus pertama ialah meningkatkan amalan kebersihan dengan objektifnya bagi mewujudkan Kelantan Bersih (Kelantan Go Green), melahirkan masyarakat cakna kebersihan dan amalan kebersihan sebagai budaya unggul. Tunggaknya adalah bergantung kepada keberkesanan fungsi dan operasi pihak berkuasa tempatan (majlis daerah dan majlis perbandaran).

Memandangkan solat adalah amalan keimanan sewajarnya fokus kedua yang diberikan keutamaan ialah membudayakan aktiviti solat sebagai tiang agama. Ia boleh dijayakan menerusi aktiviti yang menggalakkan amalan solat berjemaah, menyegerakan bersolat seawal waktu walau di mana berada serta meningkatkan penghayatan dengan syiar-syiar yang membantu orang ramai sentiasa mengingati solat.

Bergerak dari soal keimanan, paling popular di kalangan rakyat Kelantan adalah persoalan seni budaya dan warisan. Oleh itu, bagi misi merakyatkan persoalan ini, fokus ketiga ialah aspek hiburan yang bercirikan Islam harus dihidup-suburkan agar selari dengan sikap dan minat warga negeri. Justeru aktiviti membangun dan mengembangkan permainan rakyat, seni warisan agar serasi dengan budaya rakyat yang beragama, memartabatkan seni budaya sedia ada agar mesra syariah. Malah mengambil inisatif ke arah mengkomersilkan Seni Warisan Kelantan adalah suatu agenda strategik yang menyentuh cita rasa majoriti rakyat Kelantan.

Demikian pula ke arah melahirkan budaya hidup yang berkualiti di Kelantan seharusnya dipandu oleh kualiti pendidikan rakyatnya. Kejayaan selama dua dekad yang lalu (1990-2000) adalah pendidikan bersepadu Islam-iktisas dan pengajian tahfiz al-Quran sudah menjadi sebutan di peringkat nasional. Justeru fokus keempat ialah menjadikan Kelantan sebagai hab pendidikan Islamik dengan memajukan lagi sektor pendidikan sebagai daya tarikan yang turut mampu menjana ekonomi  negeri– Islamic Based Education (contohnya: Sekolah YIK, MTS, Pondok Moden, KIAS, pusat-pusat kuliah agama pagi Jumaat selain Medan Ilmu).

Apa pun, nilai dan mutu kehidupan sosial yang beragama akan rosak sekiranya tahap kerosakan sosialnya tidak dapat dikawal. Melihat indeks gejala sosial yang serius, maka fokus kelima program merakyatkan ini adalah kepada usaha melaksanakan program pendidikan dan pemulihan akhlak dan peribadi bagi menangani gejala sosial. Ia boleh diperkukuhkan lagi dengan melaksanakan program pendidikan dan pencegahan gejala sosial, menganjurkan program pendidikan untuk memupuk kesedaran kehidupan sosial yang berbudaya Islamik. Termasuk juga mengambil langkah pencelahan (intervention) dan disusuli dengan program pemulihan ke atas mangsa yang terlibat. Berserta dengan usaha menjalankan aktiviti kawalan dan penguatkuasaan bagi mengatasi gejala sosial di tempat-tempat awam,

Bertolak daripada indeks sosial, fokus keenam ialah merakyatkan usaha-usaha bersifat perekonomian. Justeru langkah rasional kepimpinan Ustaz Ahmad adalah melakukan sistem aturan projek dan aktiviti ekonomi ke arah memaksimumkan pendapatan negeri. Ini boleh ditumpukan dalam aspek pengurusan dan pemajuan khazanah asli yang ada (mineral, tanah dan hutan), memaksimakan pendapatan negeri menerusi usaha ‘Bertani Satu Ibadah’ dalam sektor pertanian, selain usaha yang berterusan bagi melahirkan masyarakat Usahawan Tani dan Nelayan serta Penternak yang dinamik dan inovatif. Turut diberi tumpuan ialah menambahbaik program-program memberdayakan produk barangan anjuran agensi kerajaan Negeri melalui PPWK dan IKS.

Meneruskan fokus perekonomian ialah sektor pelancongan dengan cara mengembangkan pelancongan bersepadu sebagai satu industri. Bagi tujuan ini, usaha mempromosi dan mengenalpasti lokasi dan atau produk pelancongan baru berteraskan Islamik perlu diutamakan (contoh: Medan Ilmu, kampung tradisi, pusat pengajian pondok, kekayaan alam seperti sungai, pantai dan tanah tinggi). Selain menggarapkan produksi pelbagai cenderahati yang mempunyai nilai estatika Islamik dan keunikan budaya warga negeri dalam pelbagai artifak dan seni kreatif (contoh: design T-shirt dengan khat jawi dan kesenian batik Kelantan, barangan dan foto atau replika seperti Air Terjun Gunung Stong, Masjid Beijing dan sebagainya). Ini sesuai dengan kalendar pelancongan yang sedia ada bagi merancakkan Kelantan sebagai pusat membeli-belah waktu cuti umum yang berkonsepkan bazar rakyat.

Apa pun, penilaian terhadap prestasi program merakyatkan Membangun Bersama Islam adalah penting – boleh diukur melalui indeks kejayaan dari semasa ke semasa, maka fokus ketujuh pelan strategik merakyatkan dasar ini ialah aspek penyelidikan dan penilaian prestasi. Kajian dan nilaian yang ditumpukan adalah dari aspek komitmen kepimpinan terutama wakil rakyat dalam memberi kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab ke arah memacu program yang diatur oleh agensi dan pihak berwajib. Di samping kajian dan nilaian turut dibuat ke atas jentera pentadbiran kerajaan negeri di dalam memberi khidmat kepada rakyat dan meninjau sama pandangan awam atau kumpulan sasar (komuniti lokal) mengenai prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda projek, program dan aktiviti yang dirancang.

Semoga pendekatan baru Negeri Kelantan (merakyat dasar ini) di bawah kepimpinan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob bakal mendidik rakyatnya kepada penghayatan lebih murni dan tuntas kepada cara hidup Islamik. Akhirnya ia berjaya mencapai matlamat dasar Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, kemakmuran dan kebajikan kepada seluruh warga negerinya.

12 May, 2014

Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan - Antara halangan dan komitmen


(Tiga persepsi berbeza berikutan keputusan PAS Pusat mahu menumpukan kepada persiapan Jawatankuasa Teknikal terlebih dahulu sebelum membawa Bill Persendirian di Parlimen di bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan)


(Pandangan Prof Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, bagi tujuan pelaksanaan di Kelantan perlu kepada kelulusan Parlimen berpandukan peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan)

(Negara Brunei Darusalam yang mengisytiharkan pelaksanaan Undang-undang Syariah sepenuhnya - termasuk kepada non Muslim - bermula April 2014 telah mendapat kritikan dan tekanan antarabangsa. Bagaimananpun, Sultan Brunei tetap bertegas akan meneruskan pelaksanaan melalui tiga peringkat. Baginda mengharapka kekeliruan 'pihak antarabangsa atau mana-mana pihak dapat ditangani segera).



Apa pun kerajaan Negeri Kelantan terus komited, malah Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' haji Ahmad Yakob mengharapkan pemimpin Islam terus menyokong usaha Kelantan.

Semoga Allah SWT merahmati dan mempermudahkan segala-gala urusan ke arah pelaksanaan Undang Jenayah Islam di Kelantan.

14 April, 2014

PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN PILIHAN RAYA: PAKATAN RAKYAT PERLU RESPONSIF TERHADAP TAKTIK SPR

Pada April ini, menurut sumbernya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan membincangkan tatacara mengkaji semula syor-syor menyempadankan [menyempadani] bahagian pilihan raya parlimen dan negeri. Tatacara itu adalah sesuai dengan peruntukan dalam Jadual Ketiga Belas yang bersumberkan kuasa Fasal 2 dan fasal-fasal berurutan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.  Hal ini menjadi tugas rutin SPR setiap lapan tahun (daripada tempoh kajian semula sebelum ini) dan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun daripada mula kajian semula dibuat.

Apa yang penting difahami, perbincangan syor-syor sudah agak terlewat memandangkan tarikh-tarikh proses tatacara kajian semula menyempadani yang terakhir pada tahun 2003. Berdasarkan tempoh proses tersebut, SPR telah memulakan kerja awal (menyiarkan pameran notis awal melalui warta) pada 8 Ogos 2002; siasatan tempatan 1 Oktober  hingga 2 Disember 2002; kemudian pameran kedua pada 16 Januari – 15 Februari 2003; tempoh rayuan pula pada 2 hingga 6 Februari 2003 dan siap proses menerima rayuan itu pada 10 Mac 2003.

Kajian semula 2003

Oleh itu, tempoh genap lapan tahun selepas siap proses bagi kajian semula tahun 2003 ialah pada pada 10 Mac 2003 hingga 10 Mac 2011. Ini bermakna pihak SPR sudah pun melakukan tugas-tugas kajian ini sebelum pilihan raya umum 2013 lagi dan sepatutnya tempoh 10 tahun sebagaimana kehendak  Maka penulisan ini bertujuan meneliti beberapa cadangan asas untuk pihak PAS dan rakan Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab mempersiapkan beberapa aspek asas dan prinsip serta teknikal yang harus dilaksanakan bagi meneliti beberapa syor SPR yang akan dipamerkan untuk mendapat representasi (kerajaan negeri atau kerajaan tempatan dan orang ramai) sebegaimana tatacara mengikut Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Pengalaman lalu (tahun 2003) pihak Barisan Nasional telah bersekongkol dengan SPR bagi memantapkan sokongan rakyat melalui kajian semula ini. Misalnya di negeri dominan Barisan Nasional, Johor diperuntukkan tambahan 6 kerusi Parlimen baru dan Sabah 5 kerusi, sementara negeri-negeri lain diberi 1 atau 2 kerusi Parlimen tambahan. Sedangkan di negeri-negeri undi Barisan Nasional merosot (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), tidak ditambah sebarang kerusi Parlimen. Bahkan di Kedah, menyempadani semula bahagian tanpa tambahan kerusi, sehingga mewujudkan ketidakseimbangan jumlah pengundi yang amat ketara, terutama kawasan luar bandar dan Barisan Nasional kekal dominan. 

Pakatan hendaklah sepakat

Memandangkan status demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia belum lagi berada pada kedudukan terbaik, termasuklah ada beberapa kelemahan dalam urusan persempadanan bahagian pilihan raya sebelum ini, maka amat wajar syor-syor kajian semula kali ini diambil perhatian. Pakatan Rakyat sewajarnya sepakat bagi menghakiskan ruang hegemoni Barisan Nasional yang selama ini mengekang ruang kepada parti pesaing demi untuk terus kekal menguasai tampuk pemerintahan. 

Sesuai dengan latar belakang rakyat dan pengundi sekarang yang lebih matang (a matured and informed citizens and voters), maka sudah tentu ia memerlukan ruang demokrasi (termasuk urusan sempadan bahagian pilihan raya) yang progresif. Dalam konteks ini, perkembangan di negara maju seperti di Barat, mereka sedang menikmati satu sistem pelayanan perkhidmatan awam yang baik dari pihak kerajaan. Satu daripada saluran pelayanan itu hendaklah ‘kadar perwakilan’ di dalam satu-satu bahagian pilihan raya hendaklah kompeten dan efektif. Justeru ia penting untuk menyempadani bahagian pilihan raya itu dengan keluasan, kriteria pembangunan dan jumlah pemilih yang seimbang dengan upaya khidmat seorang wakil rakyat di bahagian berkenaan. Maknanya ia seimbang sebagaimana formula yang disyorkan oleh SPR sendiri (lihat Jadual berikut).

Apa pun persoalan ‘kadar perwakilan’ ini adalah terletak pada SPR yang akan berurusan dengan Perdana Menteri, sejauh mana hujahnya dapat memastikan sikap pendemokrasian (untuk melaksana ‘kadar perwakilan’) dipersetujui oleh Perdana Menteri sendiri. Oleh sebab itu, ruang kajian semula dan syor-syornya nanti hendaklah dipastikan berlaku penambahbaikan daripada apa yang berlaku pada tahun 2003 dan sebelumnya. Sebagaimana gesaan Pengerusi SPR (ketika itu), Tan Sri Haji Ab. Rashid Ab. Rahman (dalam ucaptama Majlis Pelancaran Akademi Pilihan Raya Malaysia, 8 Januari 2007), “Ke arah penambahbaikan sistem dan perjalanan pilihan raya Malaysia adalah perlunya dan pentingnya badan pengurusan pilihan raya seperti SPR senantiasa mendapat kepercayaan awam, tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak, segala urusannya harus dilihat sebagai senantiasa adil dan tidak berpihak dan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dapat menjalankan urusan dan aktiviti secara bebas.”

Tambah Ab. Rashid lagi, “Isu-isu berkaitan sistem pilihan raya amat perlu dilakukan penambahbaikan selepas negara mengharungi 50 tahun proses demokrasi beriringan dengan proses pembangunan yang pesat, bagi tujuan memenuhi kehendak awam yang menginginkan amalan-amalan demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia dibangunkan, memperdalamkan dan diperteguhkan sesuai dengan tuntutan semasa.”

Sehubungan itu, atas rasa tanggungjawab pihak Pakatan Rakyat, sesuai dengan perkembangan dan tuntutan persempadanan bahagian pilihan raya mencapai ‘kadar perwakilan’ yang standard (seperti kriteria syor SPR sendiri), maka tulisan ini berpendirian bahawa telah sampai masanya Malaysia yang dijenamakan sebagai kerajaan ‘wasatiyah’ pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil kira amalan demokrasi yang juga bersifat ‘wasatiyah’ demi menyuburkan proses patriotisme dalam pilihan raya akan datang.

Tanggungjawab jamai’i

Bagi pemimpin dan warga kerja PAS, kita hendaklah bersama-sama mengambil tanggungjawab ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW (hadis riwayat Muslim), maksudnya: Ribat (menjaga perbatasan wilayah Islam dari serangan musuh-musuh Islam) sehari semalam lebih baik dari pada puasa sunat dan solat sunat sebulan penuh, dan jika seorang murabit mati ketika sedang melakukan ribat, maka amal perbuatannya itu akan terus berpahala, dan ia diberikan rezekinya di syurga kelak, serta tidak ditanya di dalam kubur (oleh malaikat Munkar dan Nakir)”. Hal ini penting untuk keterlibatan secara jamai’i untuk memberi respons atas isu dan syor yang relevan demi mengutuhkan ruang untuk menguasai dan “counter hegemony” terhadap Barisan Nasional, khususnya di sempadan Melayu-Islam.

Antara isu dan syor relevan yang perlu dijadikan asas respons ialah dalam enam perkara pokok, iaitu: Pertama, meneliti objektif persempadanan untuk memastikan semua warganegara yang layak diberi peluang dan kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi secara sistematik dan teratur bagi pilihan raya yang bebas, adil dan demokratik; keduanya sempadan itu mengambil kira fakta kaedah muka bumi, perkembangan ekonomi dan penduduk; ketiganya kemungkinan ditambah bilangan kerusi berasaskan keadaan geografi dan topografi kawasan berkenaan, tahap pembangunan, demografi dan kepadatan penduduk, kemudahan asas yang perlu seperti jalan raya dan alat komunikasi yang lain, pelbagai prinsip yang perlu diikuti seperti mana tatacara dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan; keempatnya aspek kemampuan Kerajaan Negeri (khususnya dari segi kemungkinan tambahan kerusi Negeri) untuk menampung kos yang terlibat ekoran penambahan kerusi negeri; kelimanya penentuan bilangan pemilih di antara kawasan yang maju dan kawasan yang belum maju atau di antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar dan memastikan SPR mematuhi kriteria faktor kewajaran ‘weightage’ iaitu, bilangan pemilih bagi kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar atau bandar raya; keenamnya keadaan masyarakat di kawasan dalam bahagian pilihan raya berkenaan seperti isu perkauman yang berbilang kaum (homogenous) dan keadaan masyarakat berbilang kaum yang terpaksa dijelmakan dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang diwujudkan (sama ada mewujudkan kerusi ‘campuran’ atau ‘majoriti’ sesuatu kaum.

Apa pun, segala-gala asas respons yang diberi masih tertakluk kepada kuasa SPR sendiri untuk mengurus secara adil dan telus tanpa keraguan. Pengalaman lampau, isu dan syor persempadanan ini  sering kali menyebelahi hegemoni Barisan Nasional dalam mengekal kuasa. SPR didapati bertindak menurut pendekatan gerrymandering dan pihak parti pesaingnya sentiasa menerima kesan buruknya. Lihat sahaja pada pilihan raya umum 2004, PAS tewas dan gagal mempertahan kerajaannya ekoran daripada persempadanan yang tidak menambah sebarang kerusi. Apa yang dilakukan hanyalah menyempadani semula secara melonggokkan semula penyokong Barisan Nasional dari daerah mengundi tertentu untuk menjamin kemenangan. Pendekatan hampir berjaya Barisan Nasional merampas Kelantan dan sebahagian besar PAS dan KeAdilan tewas di kerusi parlimen. Semoga kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya kali ini dipandang serius dan diambil tanggungjawab oleh semua pihak demi mengutuhkan legitimasi 52 peratus rakyat yang telah pun mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

25 March, 2014

Kekal Kajang, Kak Wan Langkah Kanan Penerus Legasi

Despite the lower turnout and lower majority for PKR at the by-election, "Kajang move" was a success. - Dr Wan Azizah Wan Ismail.



Kekal Kajang adalah impian warga Pakatan Rakyat semenjak kosongnya kerusi Dun N.25 Kajang. Langkah Kajang penggerak mood pilihan raya kecil (PRK) sehingga tercetusnya keputusan penghakiman yang mengecewakan dan mengundang Dato’ Seri Wan Azizah  (baca: Kak Wan ) menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon. Meskipun nilai kesedihan dan rasa simpati tinggi petugas pilihan raya Pakatan Rakyat mengiringi sepanjang kempen, namun keyakinan Kekal Kajang melangkah maju tetap berupaya menyaingi segala-gala perang saraf pasukan kempen Barisan Nasional. Ia telah mengundang kemenangan selesa Kak Wan meskipun dengan jumlah keluar mengundi menurun dan nilai majoriti mengecil. Ia suatu kehebatan Langkah Kajang memartabatkan kuasa permuafakatan rakyat “Selangor Ku” di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sekali gus menatijahkan Pakatan Rakyat kekal di Kajang dan mengabsahkan Kak Wan penerus Langkah Kajang yang dapat menghidupkan legasi Anwar.

Demografi politik

Dun  Kajang menyaksikan sebagai Dun dengan demografi politik pengunci ‘campuran’ dengan 39,278 pemilih berdaftar. Memiliki 16 pusat pengundian semasa PRK––satu pusat pengundian awal dan 15 pusat daerah mengundi biasa. Sebanyak 38,055 pemilih yang mengundi biasa pada 23 Mac dan 1,197 orang sebagai pengundi awal yang mengundi pada 19 Mac bersama-sama 26 orang pengundi pos. Sejumlah 17,569 (44.7%) adalah pengundi pada umur pertengahan (41-60 tahun) dan 14,899 (37.9%) adalah pengundi muda (21-40 tahun). Selebihnya adalah pengundi warga emas.

Mengikut komposisi kaumnya, 19,443 (49.5 %) Melayu, 16,004 (40.7 %) Cina dan 3,829 (9.7%) India serta 2 orang sahaja untuk lain kaum. Begitu pun, enam daripada 15 peti undi adalah konsentrasi pengundi Cina amat tinggi, iaitu Bandar Kajang (72.7%), Sungai Chua Satu (82.9%), Sungai Chua Dua (93.1%), Sungai Chua Tiga (96.9%), Sungai Chua Empat (97.5%) dan Sungai Chua Lima (94.6%). 

Menurut keputusan pilihan raya umum lalu, kesemua peti undi konsentrasi Cina ini adalah dimenangi Pakatan Rakyat dengan undi popular yang amat selesa. Misalnya, undi popular untuk Pakatan Rakyat masing-masing di Kajang 72.0 peratus, Sungai Chua Empat 73.6 peratus dan Sungai Chua Lima 83.4 peratus.

Menurun keluar mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Kajang mampu mencapai sehingga 80 peratus (31,172/38,965) berbanding 88 peratus (34,290/38,965) pada PRU lalu. Apa pun pada PRK kali ini, realiti keluar mengundi hanya 72 peratus (28,314/39,278), iaitu menurun sebanyak 16 peratus berbanding PRU lalu. Ini ada kaitannya dengan faktor sikap sebahagian pengundi yang menganggapkan sebarang keputusan PRK itu tidak akan membawa kesan kepada kuasa kerajaan Negeri, iaitu tetap kekal di bawah Pakatan Rakyat. Justeru agak besar penurunan itu dapat dilihat juga di peti undi majoriti Melayu seperti di Sungai Kantan dan Taman Delima seperti mana berikut:


Dikatakan juga punca penurunan undi setiap parti itu ada kaitannya dengan faktor calon dan kaum.  Pakatan Rakyat menamakan Wan Azizah telah berjaya menarik simpati pengundi Melayu, dan Barisan Nasional menamakan Chew Mei Fun pula atas sentimen kaum Cina demi mengekalkan kepentingan MCA di Dun Kajang. Sentimen kaum ini memungkinkan tidak dinafikan ada sebahagian penyokong Umno bertindak sebagai ‘pengundi palsu’ yang tak mengundi Mei Fun. Kesannya seperti mana berlaku di kedua-dua daerah mengundi ini, iaitu undi Barisan Nasional telah menurun, malah memberi majoriti kepada Pakatan Rakyat di Taman Delima. Hal ini dapat dilihat apabila meneliti jumlah undi diterima semasa PRU dibandingkan PRK; di Sungai Kantan undi diterima masing-masingnya 1,992 (PRU) dan 1,851 (PRK), dan di Taman Delima pula 1,395 (PRU) dan 1,257 (PRK). Sedangkan di kedua-dua daerah mengundi ini, pengundi Melayu agak besar––Sungai Kantan (90.3%) dan Taman Delima (75.7%). Jelas di sini sentimen pengundi Melayu berpihak kepada calon Pakatan Rakyat, kerana bertambahnya undi untuk Wan Azizah. Realiti ini hampir sama dengan penemuan survey Ilham Centre yang meneliti peluang Pakatan Rakyat dapat melebarkan pengaruhnya di kawasan pengundi Melayu, termasuk di Sungai Kantan.

Faktor sosioekonomi

Selain daripada dua faktor yang disebutkan (sikap terhadap kuasa dan nilai kaum), sebuah portal berita online ketika menjelang hari mengundi meramal Pakatan Rakyat mencapai kemenangan besar atas sebab kepercayaan kepada Pakatan Rakyat berdasarkan pelbagai sebab sosioekonomi dan politik semasa seperti kenaikan harga barang yang sangat menjejaskan kehidupan rakyat, harga rumah terlalu mahal dan amalan rasuah yang berleluasa serta gaya hidup pemimpin BN yang dilihat bermewah-mewah. Hal ini, menurut portal itu, ia dibantu lagi oleh kekuatan peribadi calon Pakatan Rakyat (Wan Azizah) yang memiliki sifat kewanitaan dan isteri yang tahan diuji. Malah diperkukuhkan lagi oleh tingginya simpati pengundi kepada Anwar, khasnya membabitkan peristiwa terbaharu penghakiman (keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac lalu) yang agak tragis semacam zalim terhadapnya.
Apa pun sepanjang 12 hari perjalanan kempen, darjah sokongan dilihat meningkat meskipun suasana gerakan kempen yang sederhana ekoran negara berduka akibat kehilangan pesawat MAS MH 370. Justeru itu, apa yang didakwa oleh sesetengah penganalisis PRK Kajang adalah benar tatkala menilai sokongan kepada Pakatan Rakyat bertambah menurut unjuran; pengundi Melayu meningkat daripada 45 kepada 53 peratus, pengundi Cina di paras 65 peratus, manakala kaum India pula 55 peratus.
Provokasi negatif
Bagaimanapun darjah sokongan tersebut tidak menjamin jumlah keluar mengundi yang agak tinggi. Ini kerana ada beberapa pihak pengundi yang tidak selesa dengan perkembangan kempen provokatif sesetengah pihak, seperti mengaitkan kehilangan pesawat MAS MH 370 sebagai angkara Anwar dan Langkah Kajang sebagai medan menukar Menteri Besar Selangor.
Tidak kurang pula, provokasi negatif yang mencetuskan kesesakan lalu lintas di pusat mengundi seperti lakonan baldi tanpa air, menjaja kangkung dan mengayuh beralaskan karpet serta meneropong, kononnya ia suatu aksi sindiran dan ini dilihat memualkan yang turut menjejaskan mood golongan pengundi untuk keluar mengundi. Ini turut berlaku di Sungai Kantan dan beberapa pusat mengundi lain.
Apa pun, secara umumnya dapat diakui prestasi Pakatan Rakyat di Selangor pada tempoh PRK Kajang ini masih stabil dan tidak mudah digugat oleh Barisan Nasional. Justeru keputusan PRK Kajang kali ini jika dibandingkan dengan prestasi pada PRU lalu (rujuk jadual berikut), ternyata bagi kawasan pilihan raya ‘campuran’ ia tetap berpihak kepada Pakatan Rakyat.


Hal ini berlaku apabila Pakatan Rakyat dapat melonjakkan sokongan popular daripada 58 peratus (PRU) kepada 59.6 peratus (PRK). Meskipun secara bandingan, didapati menurunnya kadar keluar mengundi, namun peratusan undi kepada parti-parti tetap bertambah daripada PRU 2013 hingga PRK 2014.

Sehubungan itu, Barisan Nasional seharusnya merasa tergugat dalam mendepani cabaran PRU akan datang. Di samping riak SPR untuk persempadanan semula bahagian pilihan raya nanti, pastinya keputusan PRK Kajang boleh dijadikan petunjuk yang boleh menyusahkan teori gerrymandering agar berpihak kepada Barisan Nasional. Ia sesuatu yang unik dalam iklim politik Malaysia menjelang PRU ke-14 nanti.


17 March, 2014

PRK Kajang dan lambakan isu hangat



Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang merupakan penerus Langkah Kajang.  Ia suatu isu negara yang bermula dengan pengosongan kerusi Dun Kajang oleh penyandangnya Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.  Sebelum itu berlaku kepanasan iklim pentadbiran negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid ekoran penamatan Timbalan Presiden KeAdilan, Azmin Ali sebagai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 31 Disember 2013.

Perancangan pengosongan kerusi itu dikatakan sebagai satu pendekatan bagi membolehkan Ketua Umum KeAdilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di PRK Kajang, di samping uar-uar Anwar bakal menggantikan Abdul Khalid di kerusi Menteri Besar Selangor.  

Sementara Abdul Khalid sendiri tidak pula bersikap reaktif dengan uar-uar itu, malah tetap konsisten menjalankan tugasnya. Beliau kemudian diputuskan oleh partinya, KeAdilan sebagai pengarah PRK Kajang. Ternyata keputusan itu tidak merencatkan tugasnya selaku Menteri Besar. Abdul Khalid, seperti biasa telah bertindak secara matang, malah sempat pula melaksanakan tindakan politik pentadbiran dengan mengadakan kerjasama persefahaman (MoU) antara Selangor dengan Kelantan pada 2 Mac lalu, bagi memajukan tujuh bidang projek pembangunan melibatkan kepentingan bersama. Sebelum itu, pada 26 Februari, Abdul Khalid juga telah mengadakan MoU air antara kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, Langkah Kajang bergerak seiring dengan perbicaraan Anwar berkaitan kes liwat II di Mahkamah Rayuan. Keputusan perbicaraan pada 7 Mac telah mensabitkan Anwar. Ia suatu senario penghakiman yang mengejutkan banyak pihak, kerana selain perbicaraan yang singkat, ia juga bersifat tergesa-gesa dan memaksa berlarutan sehingga di luar waktu pejabat. Timbul persepsi semacam penghakiman yang disengajakan sebagai langkah menyumbang isu negatif terhadap Anwar di pentas PRK Kajang.

MH370 ligat berputar

Seiring dengan penghakiman di Mahkamah Rayuan tersebut, pada awal pagi 8 Mac berlaku pula peristiwa kehilangan pesawat terbang MH370 milik Malaysia Airlines System (MAS). Ia lebih mengejutkan berbanding penghakiman ke atas Anwar dan cerita di sebalik Langkah Kajang.  Malah seluruh dunia terpinga-pinga apabila peristiwa yang turut mendapat perhatian ‘bomoh sedunia’ telah memasuki tempoh pencarian minggu kedua tanpa noktah. Peristiwa ini amat berputar ligat sehingga mendapat liputan meluas media perdana dan hampir menenggelamkan kempen PRK Kajang.



Kesannya agak memudarkan Langkah Kajang dengan pelbagai jangkaan dan ramalan yang berputar ligat. Saban waktu, tumpuan media bukan kepada kempen di PRK Kajang, sebaliknya kepada siri-siri sidang media pihak pengurusan yang tidak mampu meyakinkan di sebalik kehilangan pesawat MH370 tersebut. Justeru media massa hampir lupa memberi ulasan berhubung pengumuman Anwar yang tidak bertanding di PRK Kajang berikutan keputusan mahkamah tersebut. Hampir terlupa juga menyiarkan hasrat Anwar yang komited untuk turun berkempen walaupun beliau bukan calonnya. Malah secara terpaksa, pihak media massa ada menyiarkan keputusan Pakatan Rakyat yang bersetuju menamakan Presiden KeAdilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menentang Barisan Nasional yang diwakili oleh Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Kemudiannya, secara selayang pandang sahaja perjalanan kempen antara dua calon bertanding itu disiarkan. Ia mencetuskan senario tiada kehangatan kempen di PRK Kajang. Maka Langkah Kajang hampir tidak disebut oleh media arus perdana.

Merancakkan kempen

Realitinya, pentas PRK Kajang tetap menjadi fokus bagi Pakatan Rakyat menjayakan kempen. Di sana tetap berputar pelbagai isu yang boleh memenangkan Pakatan Rakyat yang diwakili Dr. Wan Azizah. Justeru Anwar terus komited berkempen, meskipun dibebani dengan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan keadilan semula ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu. Apa yang utama ialah memastikan Langkah Kajang bakal mempertahankan kerusi Kajang kekal milik Pakatan Rakyat. Justeru di sebalik kempen  yang memasuki pusingan akhir ini, pihak pengurus pasukan kempen Pakatan Rakyat perlu berbuat sesuatu langkah  realistik bagi menghangatkan isu-isu yang melibatkan selera pengundi.

Nasib yang sama dialami oleh jentera kempen BN, apabila media milik BN pun semacam kaku untuk berkempen membantu calon BN dari MCA. Meskipun MCA pada 14 Mac lalu melancarkan lima janji  (mengandungi aspek menjadikan Kajang sebagai Bandar Kebudayaan, mendirikan pusat khidmat wakil rakyat, mengatasi kesesakan lalu lintas dengan projek Aliran Transit Massa, mengatasi banjir, memantau dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah), namun ia masih tidak menghangatkan isu kempen berbanding isu kehilangan pesawat milik MAS itu.
 
Apa yang pasti, dalam longgokan isu tersebut, yang menjadi fokus bukan lagi pada isu-isu pentadbiran Abdul Khalid di Selangor. Oleh itu isu penghakiman ke atas Anwar perlu kesegaran semula. Sebagaimana persepsi umum, penghakiman itu agak gopoh dalam mensabitkan lima tahun penjara dan ikat jamin RM10 ribu. Sehubungan itu, pihak jentera Pakatan Rakyat seharusnya merumus dan meluncurkan semula longgokan isu yang berlaku kepada satu isu fokus, iaitu penghakiman ke atas Anwar.  Ini penting bagi menarik kembali sentimen Langkah Kajang agar menjadi perbincangan yang rancak kalangan pengundi. Semoga kesedaran pengundi atas isu-isu kedaifan penghakiman tersebut memungkinkan penolakan total pengundi terhadap Barisan Nasional.