17 March, 2014

PRK Kajang dan lambakan isu hangat



Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang merupakan penerus Langkah Kajang.  Ia suatu isu negara yang bermula dengan pengosongan kerusi Dun Kajang oleh penyandangnya Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.  Sebelum itu berlaku kepanasan iklim pentadbiran negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid ekoran penamatan Timbalan Presiden KeAdilan, Azmin Ali sebagai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 31 Disember 2013.

Perancangan pengosongan kerusi itu dikatakan sebagai satu pendekatan bagi membolehkan Ketua Umum KeAdilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di PRK Kajang, di samping uar-uar Anwar bakal menggantikan Abdul Khalid di kerusi Menteri Besar Selangor.  

Sementara Abdul Khalid sendiri tidak pula bersikap reaktif dengan uar-uar itu, malah tetap konsisten menjalankan tugasnya. Beliau kemudian diputuskan oleh partinya, KeAdilan sebagai pengarah PRK Kajang. Ternyata keputusan itu tidak merencatkan tugasnya selaku Menteri Besar. Abdul Khalid, seperti biasa telah bertindak secara matang, malah sempat pula melaksanakan tindakan politik pentadbiran dengan mengadakan kerjasama persefahaman (MoU) antara Selangor dengan Kelantan pada 2 Mac lalu, bagi memajukan tujuh bidang projek pembangunan melibatkan kepentingan bersama. Sebelum itu, pada 26 Februari, Abdul Khalid juga telah mengadakan MoU air antara kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, Langkah Kajang bergerak seiring dengan perbicaraan Anwar berkaitan kes liwat II di Mahkamah Rayuan. Keputusan perbicaraan pada 7 Mac telah mensabitkan Anwar. Ia suatu senario penghakiman yang mengejutkan banyak pihak, kerana selain perbicaraan yang singkat, ia juga bersifat tergesa-gesa dan memaksa berlarutan sehingga di luar waktu pejabat. Timbul persepsi semacam penghakiman yang disengajakan sebagai langkah menyumbang isu negatif terhadap Anwar di pentas PRK Kajang.

MH370 ligat berputar

Seiring dengan penghakiman di Mahkamah Rayuan tersebut, pada awal pagi 8 Mac berlaku pula peristiwa kehilangan pesawat terbang MH370 milik Malaysia Airlines System (MAS). Ia lebih mengejutkan berbanding penghakiman ke atas Anwar dan cerita di sebalik Langkah Kajang.  Malah seluruh dunia terpinga-pinga apabila peristiwa yang turut mendapat perhatian ‘bomoh sedunia’ telah memasuki tempoh pencarian minggu kedua tanpa noktah. Peristiwa ini amat berputar ligat sehingga mendapat liputan meluas media perdana dan hampir menenggelamkan kempen PRK Kajang.



Kesannya agak memudarkan Langkah Kajang dengan pelbagai jangkaan dan ramalan yang berputar ligat. Saban waktu, tumpuan media bukan kepada kempen di PRK Kajang, sebaliknya kepada siri-siri sidang media pihak pengurusan yang tidak mampu meyakinkan di sebalik kehilangan pesawat MH370 tersebut. Justeru media massa hampir lupa memberi ulasan berhubung pengumuman Anwar yang tidak bertanding di PRK Kajang berikutan keputusan mahkamah tersebut. Hampir terlupa juga menyiarkan hasrat Anwar yang komited untuk turun berkempen walaupun beliau bukan calonnya. Malah secara terpaksa, pihak media massa ada menyiarkan keputusan Pakatan Rakyat yang bersetuju menamakan Presiden KeAdilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menentang Barisan Nasional yang diwakili oleh Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Kemudiannya, secara selayang pandang sahaja perjalanan kempen antara dua calon bertanding itu disiarkan. Ia mencetuskan senario tiada kehangatan kempen di PRK Kajang. Maka Langkah Kajang hampir tidak disebut oleh media arus perdana.

Merancakkan kempen

Realitinya, pentas PRK Kajang tetap menjadi fokus bagi Pakatan Rakyat menjayakan kempen. Di sana tetap berputar pelbagai isu yang boleh memenangkan Pakatan Rakyat yang diwakili Dr. Wan Azizah. Justeru Anwar terus komited berkempen, meskipun dibebani dengan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan keadilan semula ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu. Apa yang utama ialah memastikan Langkah Kajang bakal mempertahankan kerusi Kajang kekal milik Pakatan Rakyat. Justeru di sebalik kempen  yang memasuki pusingan akhir ini, pihak pengurus pasukan kempen Pakatan Rakyat perlu berbuat sesuatu langkah  realistik bagi menghangatkan isu-isu yang melibatkan selera pengundi.

Nasib yang sama dialami oleh jentera kempen BN, apabila media milik BN pun semacam kaku untuk berkempen membantu calon BN dari MCA. Meskipun MCA pada 14 Mac lalu melancarkan lima janji  (mengandungi aspek menjadikan Kajang sebagai Bandar Kebudayaan, mendirikan pusat khidmat wakil rakyat, mengatasi kesesakan lalu lintas dengan projek Aliran Transit Massa, mengatasi banjir, memantau dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah), namun ia masih tidak menghangatkan isu kempen berbanding isu kehilangan pesawat milik MAS itu.
 
Apa yang pasti, dalam longgokan isu tersebut, yang menjadi fokus bukan lagi pada isu-isu pentadbiran Abdul Khalid di Selangor. Oleh itu isu penghakiman ke atas Anwar perlu kesegaran semula. Sebagaimana persepsi umum, penghakiman itu agak gopoh dalam mensabitkan lima tahun penjara dan ikat jamin RM10 ribu. Sehubungan itu, pihak jentera Pakatan Rakyat seharusnya merumus dan meluncurkan semula longgokan isu yang berlaku kepada satu isu fokus, iaitu penghakiman ke atas Anwar.  Ini penting bagi menarik kembali sentimen Langkah Kajang agar menjadi perbincangan yang rancak kalangan pengundi. Semoga kesedaran pengundi atas isu-isu kedaifan penghakiman tersebut memungkinkan penolakan total pengundi terhadap Barisan Nasional.

No comments: